Saturday, June 18, 2011

Permainan Bogel, Internet & Hp. Tindak Segera!


 ‘Jurukamera’ berahi

KL 18 Jun 11: Pilih... pemain boleh memilih permainan elektronik berunsur seks di Internet sebelum memuat turun ke telefon bimbit. Begitulah, satu permainan elektronik yang diadaptasi daripada rancangan realiti seks terkenal di luar negara kini menjadi kegilaan remaja terutama pelajar untuk dimuat turun ke dalam telefon bimbit secara percuma. Lapor myMetro hari ini.

Antara tarikan utama yang mendorong remaja memuat turun permainan itu disebabkan ia menggunakan visual manusia, bukan animasi seperti permainan elektronik lain. Melalui permainan ini, pemain bertindak sebagai jurukamera program itu dengan merakamkan aksi lucah dan berahi tiga gadis yang menjadi peserta program realiti terbabit.

Pada peringkat permulaan, setiap pemain diwajib menjawab soalan dan menyelesaikan beberapa halangan untuk ke peringkat seterusnya. Permainan itu cukup mudah dan memberahikan kerana setiap pemain disyaratkan menjawab satu soalan di setiap peringkat selain memujuk gadis dalam program terbabit. Sekiranya berjaya, gadis pilihan terbabit akan membuka pakaiannya satu persatu sehingga bogel.

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Permainan bogel atau berhadiahkan gadis bogel ini jelas bertentangan dengan sistem didikan Islam. Pihak kerajaan perlu bertindak segera dan mencari jalan mengatasinya, jangan asyik menyalahi pihak lain. (IH)

Lagi cerita-cerita bogel..

E-Buku IH-28: Kisah-kisah Bogel
E-Buku IH-28: Kisah-kisah Bogel

Kos Pertunangan Anak Najib Atas Nama JPM? -Dr Tan

Nooryana Najwa Najib and Daniyar Nazarbayev
KL 18 Jun 11: Berita Malaysiakini melaporkan, pemimpin PKR Dr Tan Kee Kwong hari ini menimbulkan soalan siapa yang membiayai bil bagi majlis pertunangan anak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang diadakan di Seri Perdana, Putrajaya malam semalam.

Majlis tertutup itu dikhaskan kepada kira-kira 800 tetamu istimewa dan terpilih yang terdiri daripada golongan dan kerabat diraja termasuk dari negara asing, ahli politik, tokoh perniagaan dan kenalan rapat yang lain. Hanya media rasmi sahaja yang dibenarkan membuat liputan.

parliament crime prevention dialogue 080906 tan kee kwongMajlis itu diadakan sempena pertunangan anaknya Nooryana Najwa kepada Daniyar Nazarbayev, yang mempunyai pertalian dengan presiden Kazakhstan Nursultan Nazarbayev.

“Saya difahamkan nota pembelian daripada sebuah hotel terkemuka itu dikeluarkan atas nama Jabatan PM. Ini menimbulkan soalan, siapa sebenarnya membayar bil katering yang berjumlah RM81,000,” soal Dr Tan.

Beliau yang merupakan bekas ahli parlimen Gerakan dan juga timbalan menteri berkata soalannya itu penting, khususnya ketika rakyat sekarang diminta 'mengetatkan tali pinggang mereka ketika menghadapi kenaikan kos kehidupan'.

“Pengurangan subsidi minyak dan barangan keperluan, memeritkan rakyat. Justeru, soalan siapa yang menanggung perbelanjaan itu perlu dijawap, lebih-lebih lagi nota pembelian dibuat atas nama Jabatan PM,” katanya.

Awal bulan ini, lawatan Najib serta keluarganya ke Kazakhstan menjadi isu hangat apabila ahli parlimen Kuala Selangor, Dzulkefly Ahmad membidas perdana menteri kerana didakwa bersalah dari segi moral kerana menggunakan dana awam bagi merisik perkahwinan anak perempuannya.

"Tindakan Najib ini tidak ada kelas langsung iaitu menggunakan wang kerajaan dan rakyat untuk urusan peribadi,” kata pemimpin PAS itu.

Sebaliknya, Wisma Putra menafikan laporan itu dan menegaskan bahawa lawatan itu adalah untuk memenuhi penerimaan perdana menteri terhadap undangan yang telah lama dibuat oleh Presiden Nursultan Nazarbayev untuk melawat negara itu.

Lawatan itu, juga dikatakan kebetulan diadakan serentak dengan penganjuran Forum Ekonomi Islam Sedunia (WIEF) ke-7 di Astana dari 7 hingga 9 Jun lalu. (IH)

Hina PAS Boleh Berkira Lagi, Tapi Hina Islam...


KL 18 Jun 11: Hina PAS mungkin boleh berkira dan tolak ansur lagi. Tapi hina Islam tidak boleh dimaafkan, dan perlukan jalan penyelesaian segera, menurut pandangan Weblog Ibnu Hasyim. Oleh itu cadangan PAS mahu kerajaan menubuhkan satu panel khas pengawasan syariah yang berfungsi mengawal penyiaran dan memandu media perdana supaya tidak bercanggah dengan agama Islam perlu diberi perhatian segera.

Sebentar tadi Ketua Penerangannya Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man hari ini menegaskan, langkah itu penting berikutan insiden penyiaran karikatur bertajuk “Kekeliruan Kes Rogol” dalam akhbar milik Umno, Utusan Malaysia, yang didakwa menyeleweng dari ajaran Islam sebenar.

“Dialog ‘peralatan itu tak boleh jadi saksi, sebab dia tak ada telinga dan tak ada mata! Dia hanya Besi.’ menghina hukum Islam danmenimbulkan kekeliruan umat Islam lembaga pengawasan syariah ini bukan sahaja mengawal agar penyiaran tidak bercanggah dengan syarak, tetapi turut memandu media perdana agar setiap bahan penerbitan yang boleh merosakkan minda atau akhlak remaja dapat dikawal,” kata beliau dalam satu kenyataan disiarkan di blognya hari ini.

Pesuruhjaya PAS Pahang ini berkata, setiap bahan penyiaran perlu disaring kerana ia mempunyai kesan langsung kepada rakyat. “Mutakhir ini pelbagai penulisan yang bersifat kontroversi, menjejas perpaduan masyarakat dan kaum, dan menggugat akidah seolah-olah menggambarkan bahawa sudah tiada langsung kawalan kepada etika dan tanggungjawab sosial terhadap pemberitaan,” kata Tuan Ibrahim.

Berkaitan isu penyiaran karikatur di Utusan Malaysia yang menghina Islam, kata Tuan Ibrahim, “saya menasihatkan pelukis karikatur dan editor Utusan Malaysia yang terlibat untuk meminta maaf dengan kadar segera.”

Malah kata beliau, kesilapan mereka boleh dianggap sebagai satu penghinaan besar kepada hukum syarak dan juga telah mengelirukan orang ramai mengenai ajaran Islam yang sebenar dalam isu rogol. Beberapa pihak mengecam Utusan Malaysia ekoran tindakannya menyiarkan karikatur itu.

Semalam, Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) menggesa Utusan Malaysia memohon maaf secara terbuka kepada umat Islam. Presidennya Dr Muhd Razak Idris menegaskan karikatur itu yang disiarkan dalam Utusan Malaysia mengandungi unsur-unsur menghina perundangan Islam.

Persatuan Ulama Malaysia (PUM) dan Dewan Pemuda PAS Kelantan mengecam penyiaran karikatur itu sambil menyifatkan ia menghina Islam dan mahu penerbit dan pelukis karikatur itu didakwa. Akhbar Utusan Malaysia awal minggu ini menggambarkan mangsa rogol membuat laporan kepada pihak dalam dua situasi berbeza secara jelas menghina golongan ulama dan Islam.

Karikatur itu yang disiarkan pada muka surat 15 Utusan Malaysia, menyaksikan dua situasi berbeza yang terpaksa dialami oleh mangsa rogol.

Dalam situasi pertama, mangsa rogol telah mengemukakan aduan kepada jabatan agama, namun ditolak kerana menurut karikatur itu mangsa memerlukan empat orang saksi sedangkan mangsa hanya mempunyai rakaman video. Sementara itu dalam situasi kedua, mangsa telah membuat laporan polis dan pegawai yang menguruskan kes itu berkata rakaman video boleh dijadikan bukti.

Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Nik Mat pula menyifatkan Utusan Malaysia sebagai “Denmark Malaysia” kerana menyiarkan karikatur yang menghina syariat Islam. Beliau berkata demikian dengan merujuk kepada akhbar Denmark yang pernah menyiarkan karikatur yang menghina Islam dengan menerbitkan kartun Nabi Muhammad memakai serban yang bentuknya mirip sebutir bom.

"Kerajaan UMNO/BN perlu berhati-hati dan memilih pegawai yang 'celek agama' dalam mengendali urusan media negara ini, supaya tidak lagi berlaku seperti itu. Bos No 1 BN pun kena celek agama juga.. baru dia tahu apa kakitangannya buat.." kata editor Weblog Ibnu Hasyim lagi. (IH)

Tahniah, Rombakan Kecil & Biasa P/PAS K'tan

Bergambar selepas sebuah mesyuarat di Beijing China. Dua dari kanan Ibnu Hasyim, Zulkifli Mamat (SU Perhububungan K'tan yang baru), Ustaz Latif & no 4 seterusnya, Datuk Husam bersama wakil-wakil dari China.

KOTA BHARU, 18 Jun 11: Weblog IbnuHasyim mengucapkan tahniah kepada Badan Perhubungan PAS Kelantan hari ini membuat rombakan kecil dan biasa dengan menampilkan muka-muka baru bagi memantapkan lagi organisasi parti.

Adun Pulai Chondong, Zulkifli Mamat dilantik sebagai Setiausaha Badan Perhubungan baru menggantikan Mohd Zaki Ibrahim. Manakala bendahari - Adun Pengkalan Pasir, Hanifa Ahmad menggantikan Datuk Anuar Tan Abdullah. Selain itu Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Negeri menampilkan sarjana lulusan Sains Politik, Wan Nik Wan Yussof.

Beliau yang juga Setiausaha Politik Menteri Besar menggantikan Adun Bukit Tuku, Abdul Fatah Harun. Pengumuman mengenai perubahan itu dibuat Pesuruhjaya PAS Negeri, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada persidangan media di Pejabat PAS Negeri hari ini.

Bagaimanapun beberapa jawatan utama lain tidak berlaku sebarang perubahan. Timbalan Pesuruhjaya I, Datuk Ahmad Yakob, Timbalan Pesuruhjaya II, Datuk Husam Musa dan Timbalan Pesuruhjaya III, Datuk Mohd Amar Abdullah. Begitu juga jawatan Ketua Penerangan tidak berubah, Dr Mohamad Fadzli Hassan selepas dilantik tahun lepas.

Selain itu Setiausaha Kerja Dewan Ulama PAS Kelantan, Ustaz Mohd Asri Mohd Zain dilantik sebagai Penolong Setiausaha II menggantikan Mohd Ridha Mohd Zain. Penolong Setiausaha I, Mohd Nasir Che Daud kekal. Pelantikan tersebut bagi tempoh 2011/2013 dibuat berdasar kepada Fasal 40 (5), Fasal 40 (3) (m) dan Fasal 79 (3) Perlembagaan PAS pindaan 2011.

Mesyuarat Perhubungan PAS Negeri kali pertama selepas muktamar itu juga melantik tujuh ahli jawatankuasa baru iaitu Ustaz Ahmad Fadhli Shaari (Setiausaha Akhbar Menteri Besar, Datuk Takiyuddin Hassan (Exco), Datuk Anuar Tan (Exco), Hisham Fauzi (peguam), Senator Mumtaz Mohd Nawi, Hussin Embong (AJK PAS Gua Musang) dan Datuk Dr Johari Mat (ahli akademik).

Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar merakamkan ucapan terima kasih di atas jasa dan khidmat setiausaha, bendahari dan pengarah jabatan pilihan raya sebelum ini. Sementara itu Zulkifli berkata, beliau berharap mendapat kerjasama semua pihak bagi melaksanakan tugas baru di Perhubungan PAS Negeri.

”Tugas ini suatu yang berat tanpa bantuan dan kerjasama semua pihak tentunya ia sukar untuk dilaksanakan.

”Insya Allah saya akan berusaha meneruskan kesinambungan tugas yang dilaksanakan Setiausaha Perhubungan sebelum ini. Kalau ada perubahan bakal dibuat ia hanya berdasar kepada kehendak semasa,” ujarnya.

Beliau juga merakam ucapan terima kasih kerana diberi kepercayaan oleh Pesuruhjaya bagi melaksanakan tugas yang begitu mencabar itu. Beliau sebelum ini pernah dilantik sebagai Ketua Penerangan PAS Kelantan. (IH)

Wednesday, June 15, 2011

Isteri Tiruan & Suami Tiruan.. Gila!

Rakyat Kanada, Lee Trung bersama robot ciptaannya, Aiko yang dijual pada harga RM54,000, setiap satu.

Robor seks diperkenalkan di China.

CATATAN SANTAI

BENARKAH dikatakan saintis makin gila? Mereka bertumpu kepada usaha penghasilan robot bagi memikul satu lagi fungsi manusia iaitu menjadi peneman dan pasangan lelaki. Istilah isteri itu sendiri seakan kian hilang maknanya apabila kadar perceraian semakin meningkat dengan ramai lelaki, khususnya di Barat.

Kini mereka semakin tergila-gilakan robot perempuan untuk dijadikan isteri dan pemuas nafsu. Maka lahirlah gelaran' isteri tiruan' yang mungkin pelik bagi kita, tetapi satu keseronokan kepada segelintir insan pengutama nafsu. Situasi yang tidak dapat diterima akal ini dilihat sebagai satu bentuk diskriminasi zaman moden, dengan menterjemahkan perkahwinan sebagai hubungan antara tuan dan hamba, atau berseronok-seronok sahaja tanpa tanggung-jawab

Buktinya, bulan-bulan lalu, robot perempuan dihasilkan oleh sebuah syarikat Britain sebagai alat bantuan seks. Ia digelar 36C berdasarkan ukuran dadanya. Ia menyusuli ‘kelahiran’ robot perempuan seperti Actroid, setiausaha serba sempurna oleh saintis Jepun pada 2003. Dan robot projek Aiko pada 2007 yang boleh bercakap dalam bahasa Jepun dan Inggeris, dicipta di Kanada.

Bagaimanapun, kelahiran Actroid dan Aiko lebih peranannya berbanding 36C yang dicipta seorang jurutera elektrik dan saintis komputer Amerika Syarikat, Douglas Hines, yang pernah bekerja di Makmal AT&T Bell. Hines turut berterus terang yang rekaan terbarunya, Roxxxy itu adalah ‘robot seks.’

“Ia adalah hamba cinta,” kata Hines ketika ditemubual ABCNews.com ketika itu sambil menambah ia berharga antara AS$500,000 (RM1.5 juta) dan AS$1 juta (RM3 juta) dan mengambil masa sehingga dua tahun setengah untuk dicipta.

Pelanggan yang mahukan Roxxxy sebagai teman boleh meminta syarikat berkenaan menghasilkan robot mengikut kehendak mereka. Bagi menghasilkan robot yang kelihatan dan dapat beraksi sebagai pasangan sesuai, pelanggan perlu mengisi soal selidik untuk memberikan petunjuk kepada jurutera mengenai personaliti robot berkenaan.

Walaupun prototaip robot itu dihasilkan berdasarkan seorang penuntut wanita kulit putih dengan ketinggian 1.5 meter dan 54 kilogram berat, pelanggan boleh memilih warna rambut serta mata. Namun 36C bukanlah robot teman wanita atau isteri tiruan. Menurut Pensyarah Kanan Jabatan Kejuruteraan Kimia Universiti Lagos, Dr Kingsley Abhulimen, pada 1983 satu robot perempuan Sweetheart tidak dibenar-pamerkan di Kolej Berkeley selepas petisyen dibuat mendakwa ia satu penghinaan kepada wanita.

Robot Aiko yang dijual pada harga RM54,000 setiap satu, adalah robot yang dilengkapi sistem ‘artificial intelligence’ atau fungsi menyamai manusia. Ia yang dibangunkan Le Trung di Kanada, memiliki ketinggian kira-kira lima kaki. Aiko atau ‘anak kasih sayang’ disifatkan peneman sempurna kerana selain mampu bertutur dalam bahasa Jepun dan Inggeris, ia juga boleh memberi reaksi atau tindak balas terhadap pertanyaan dan sentuhan.

Ia juga boleh mengenal pasti objek di depannya kerana dilengkapi alat pengesan terhadap sebarang sentuhan atau kesakitan. Malah, jika pipinya dicubit atau bahagian lain badannya dikasari, Aiko juga boleh ‘bersuara’ meminta perbuatan itu dihentikan.

Robot Actroid juga mempunyai beberapa versi yang dimulai robot dikenali Repliee Q1 dan Repliee R1 yang dibuat berasaskan budak perempuan Jepun berusia 5 tahun. Model lebih canggih diperkenalkan pada 2005 dikenali dengan nama Aichi yang membantu orang ramai terhadap lokasi dan majlis tertentu. Ini diikuti penghasilan robot Actroid model berperanan sebagai pengacara pada tahun sama serta robot Actroid Sara pada 2009.

Versi terbaru Actroid itu dijual di pasaran Jepun pada harga RM67,000. Apa yang pasti, hampir setiap tahun robot wanita itu dihasilkan dengan pembuatan yang lebih terkini. Termasuk rupa parasnya yang mirip wanita biasa dengan tubuhnya turut disaluti kulit menyamai manusia. Biarpun ada yang memujinya sebagai tahap kecerdikan manusia, tetapi hakikatnya ada juga pandangan bahawa penghasilan robot wanita yang sempurna, seksi dan patuh sebenarnya mencerminkan kekecewaan emosi pencipta mereka.

Antara robot popular:

Teman pesakit strok
Robot ciptaan penyelidik Hospital Kitasato, Jepun, boleh membantu mangsa serangan angin ahmar memperbaiki fungsi lengan dan bahu, dengan menggerakkan lengan pesakit lumpuh dalam pelbagai arah yang sudah diprogramkan terlebih dulu.

Robot paderi
Mula menjadi perhatian apabila sepasang suami isteri pada Mei lalu di Jepun, menjalani majlis perkahwinan berteknologi tinggi dengan robot paderi mengahwinkan mereka. Robot I-Fairy yang dihasilkan oleh Kokoro Co menjadi robot pertama mengetuai majlis perkahwinan.

Teman kanak-kanak
Robot ‘Saya’ mungkin menjadi robot kegemaran ibu bapa untuk dibawa pulang apabila sekumpulan penyelidik di Jepun berusaha menghasilkan robot yang boleh mengawal sekumpulan kanak-kanak. Ia boleh berpusing selain mempamerkan enam emosi iaitu terkejut, takut, jijik, marah, gembira dan sedih.

Robot pelayan
Di restoran Dalu Robot di China, pelayannya hadir dalam bentuk robot membawa hidangan. Setiap robot dipasang dengan alat pengesan bagi membolehkan mereka berhenti apabila pelanggan mahu mengambil hidangan. Lebih 12 robot beraksi sebagai penyambut tetamu, penghibur dan pelayan. Pemilik restoran berkenaan, Zhang Yongpei, berkata dia berharap dapat menambah bilangan robot kepada 30 dan memperkenalkan robot yang boleh melayan pelanggan di meja serta mampu naik turun tangga.

Pengurus rumah tangga
Suri rumah pula pasti akan lebih tertarik memiliki pembantu terbaik dalam menguruskan rumah tangga, Roomba. Sejak diperkenalkan pada tahun 2002, ia sudah dijual lebih lima juta unit, kata syarikat penciptanya, iRobot. Gembira dengan kejayaan Roomba, iRobot turut menghasilkan lebih banyak robot praktikal termasuk Scooba, robot pencuci lantai dan Verro, yang boleh mencuci kolam.

Kesimpulan: Kalau robot untuk pengurusan kerja masih tiada apa-apa. Apalah sangat dengan sebuah robot atau tukang kerja. Tetapi kalau sebagai isteri tiruan, itu agak keterlaluan. Mereka tidak akan sesekali menghasilkan zuriat mereka sendiri. Mahu tidak mahu terpaksalah mencari pasangan daripada kalangan manusia itu sendiri. Kalau bagi umat Islam, antara konsep perkahwinan ialah "Berkahwinlah dan beranaklah sesungguhnya aku gembira dengan umatku yang ramai." kata Nabi Muhammad SAW.

Mungkin akan diciptakan pula suami tiruan? Hah, ini lagi kelam kabut. Trend ini sangat membimbangkan.. Na a'uzubillahi minzalik.

Ibnu Hasyim
alamat: ibnuhasyim@gmail.com

KL 15 Jun 11

Tuesday, June 14, 2011

Blair Baca Quran Tiap Hari, Rosmah M Baca Apa?

BLAIR...anggap Islam agama yang indah & baca Quran tiap hari..

LAUREN..adik ipar Blair yang memeluk Islam tahun lalu.
LAUREN..adik ipar Blair yang memeluk Islam tahun lalu.

WANITA ini, wanita yang bercium dengan Blair ini, wanita Malaysia beragama Islam, agaknya dia baca apa setiap hari.. Harap-harap diapun baca Quran juga...

LONDON: Walaupun pernah menolak perbincangan mengenai agama ketika mentadbir Britain, Tony Blair kini dilaporkan membaca al-Quran setiap hari sejak melepaskan jawatan sebagai perdana menteri.

Blair juga semakin kerap membincangkan secara terbuka mengenai kepentingan agama kepada manusia. Media melaporkan, beberapa bulan selepas meninggalkan No 10 Downing Street pada 2007, Blair mengikut fahaman Katolik dan kini rajin menelaah al-Quran.

Bekas pemimpin Parti Buruh itu berkata, hasil pembacaan al-Quran beliau dapat memastikan dirinya sentiasa celik agama. Dalam temu bual dengan majalah Observer dan diterbitkan semalam, Blair berkata, dia percaya celik agama sangat penting dalam era globalisasi.

“Saya membaca al-Quran setiap hari, antaranya untuk memahami sesetengah perkara yang berlaku di dunia, tetapi lebih penting, ia bersifat sangat instruktif,” katanya.

Blair berkata, pengetahuan mengenai Islam membantunya melaksanakan tugas sebagai duta khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah dan Russia ke Timur Tengah. Blair diutus dalam usaha kuartet terbabit menyelesaikan konflik Israel - Palestin.

Sebelum ini, Blair pernah memuji Islam sebagai agama “indah” dan Nabi Muhammad sebagai tokoh membawa “kekuatan sangat bertamadun.” Pada 2006, Blair berkata, al-Quran adalah “buku perubahan yang bersifat inklusif, meletakkan sains dan pengetahuan di tempat tinggi serta membenci tahyul.” Adik ipar Blair, Lauren Booth, memeluk Islam pada September tahun lalu dan membuat pengumuman terbuka mengenainya kira-kira sebulan kemudian. - DM

Komen Weblog Ibnu Hasyim:
  • Gambar atas sekali, Blair... anggap Islam agama yang indah & baca Quran tiap hari..
  • Gambar dua bawah, Lauren..adik ipar Blair yang memeluk Islam tahun lalu.
  • Gambar tiga bawah, wanita ini, wanita yang bercium dengan Blair ini, wanita Malaysia beragama Islam, agaknya dia baca apa setiap hari.. Harap-harap diapun baca Quran juga...
Sebelum ini..
(IH)

N/Aziz Saman Utusan RM20J, Selesai Luar Mahkamah.

KL, 14 Jun 11: Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menarik balik saman terhadap Utusan Malaysia berdasarkan tawaran penyelesaian di luar mahkamah.

Setiausaha akhbarnya, Ahmad Fadhli Shaari menjelaskan, ia berdasarkan tawaran penyelesaian di luar mahkamah oleh pihak defendan berdasarkan sejumlah bayaran yang tertentu. Beliau menyatakan demikian dalam satu kenyataan sebagai merujuk kepada laporan akhbar Utusan Malaysia dan Sinar Harian hari ini.

Berikut penjelasan beliau.

Saya merujuk kepada laporan akhbar Utusan Malaysia hari ini 14 Jun 2011 di halaman 20 di bawah tajuk 'Kes Nik Aziz Saman Utusan RM20j Selesai Luar Mahkamah'. Laporan yang sama juga disiarkan oleh Sinar Harian hari ini di halaman N4. Sukalah saya mengesahkan laporan tersebut dengan sedikit penambahan berdasarkan kronologi berikut:

Pada 12 Jun 2009, Utusan Malaysia telah menyiarkan satu artikel dengan petikannya di muka hadapan di bawah tajuk “Nasihat Saya Mesti Didengar” dengan beberapa isi kandungan yang memfitnah YAB Tuan Guru Dato Menteri Besar Kelantan.

Antaranya menyebut, “Namun begitu, beliau mengingatkan bahawa nasihatnya itu mesti didengar kerana mempunyai hujah jelas untuk menangkis cadangan yang dianggapnya sebelum ini sebagai ‘ilham’ UMNO.”

Artikel tersebut mengundang kepada beberapa pandangan balas yang mengecam YAB Tuan Guru, antaranya ialah seperti yang tersiar di dalam akhbar yang sama di muka surat 12 bertarikh 16 Jun 2009. Artikel yang ditulis oleh Ramli Abdul Halim itu mengecam YAB Tuan Guru dengan mendakwa tindakan tersebut bercanggah dengan Islam.

YAB Tuan Guru telah menafikan kenyataan yang dilaporkan oleh Utusan Malaysia pada 12 Jun 2009 dan penafian ini disiarkan oleh akhbar yang sama di muka surat dua pada 18 Jun 2009.

Setelah melalui proses rundingan di antara kedua-dua pihak bersama dengan peguam yang dilantik, Utusan Malaysia telah memohon maaf kepada pihak YAB Tuan Guru di atas laporan yang salah tersebut dan permohonan maaf ini disiarkan di muka hadapan Utusan Malaysia 29 Julai 2009.

Memandangkan laporan tersebut yang dianggap begitu tersasar dan mendatangkan kesan khususnya kepada keputusan pilihanraya kecil Dun Manek Urai, pihak YAB Tuan Guru tetap meneruskan usaha untuk memfailkan saman sebanyak RM20 juta ke atas Utusan Malaysia.

Kes ini dijadualkan mula dibicara pada 12 Jun 2011 di Mahkamah Tinggi Kota Bharu. Pada 10 Jun 2011, pihak Utusan Malaysia melalui peguam yang dilantik telah menghantar notis tawaran penyelesaian di luar mahkamah dengan sejumlah bayaran ganti rugi kepada pihak YAB Tuan Guru.

Justeru pada prosiding mahkamah yang bermula pada 13 Jun 2011, berasaskan kepada notis yang dihantar tersebut, YAB Tuan Guru telah berbesar hati untuk menarik balik saman dengan sejumlah bayaran yang ditawarkan oleh pihak defendan.

Justeru, sukalah saya mengulangi sekali lagi bahawa apa yang dilaporkan oleh Utusan Malaysia pada hari ini 14 Jun 2011 iaitu YAB Tuan Guru telah menarik balik saman RM20j adalah benar namun perlu disebut bahawa ia dilakukan berdasarkan tawaran penyelesaian di luar mahkamah oleh pihak defendan berdasarkan sejumlah bayaran yang tertentu. (IH)

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails