Thursday, October 06, 2011

3 Anak Dibunuh Polis, Belum Bukti Bersalah -Ibu

KL 6 Okt 11: Keluarga mangsa tiga remaja yang mati ditembak polis di Glenmarie, Shah Alam November tahun lalu hari ini ke Parlimen menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) campur tangan dalam kes yang disifatkan sebagai ‘pembunuhan dengan niat’.

Ia ekoran tidak ada sebarang perkembangan mengenai kes tersebut meskipun mereka dengan bantuan pihak peguam sudah menyerahkan memorandum kepada pihak berwajib termasuk kepada Ketua Polis Negara sendiri. Peguam Lawyer for Liberty  (LFL) menuntut polis yang teribat dalam tembakan tersebut didakwa dan dibicarakan di mahkamah. Mereka juga menuntut pihak polis membuat permohonan maaf terbuka kepada keluarga mangsa kerana laporan forensik menunjukkan mangsa sitembak dari jarak dekat.

Peguam N. Surendran berkata, berasaskan laporan itu, besar kemungkinan seorang mangsa, Muhammad Syamil Hafiz Shapiei berada dalam kedudukan melutut atau mencangkung ketika ditembak.

“Mangsa yang ditembak di bahagian dahi dan dada sebenarnya berada pada jarak yang dekat dengan berkedudukan lebih rendah daripada penembak.

“Luka berbentuk bulat selaras dengan luka tembakan masuk pada bahagian dahi di antara kedua-dua kening berdiameter 0.5 cm," kata Surendran pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Ibu allahyarham Syamil, Norhafizah Mohd Razali pula menggesa Peguam Negara mendakwa polis yang terlibat kerana sudah setahun pihaknya menunggu tindakan daripada pihak berwajib.

"Saya menggesa pihak KDN dan Peguam Negara ambil tindakan segera terhadap polis yang menembak anak saya. Dah setahun saya menunggu tapi belum ada tindakan.

"Kenapa anak saya dibunuh sebelum dibuktikan bersalah?

“Saya boleh terima kalau anak betul-betul melakukan kesalahan tapi janganlah dibunuh," katanya sebak.

Sementara itu, ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar berkata, KDN dan polis seharusnya berani bertanggungjawab dalam kes melibatkan pembunuhan itu.

"Kita dah hantar memorandum ke Bukit Aman, dah jumpa KDN tapi kenapa tak diendahkan? Beginikah layanan mereka kepada rakyat?” soalnya yang juga Naib Presiden PKR.

Menurut Nurul juga, pihaknya akan berusaha menyerahkan memorandum kepada Menteri KDN, Datuk Seri Hishammudin Hussein sesegera mungkin bagi menuntut campur tangan beliau. Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk mahfuz Omar pula berkata, pihak polis seharusnya menimbang cadangan peguam agar ditubuhkan Suruhanjaya Bebas Aduan Dan Salah Laku Polis ( IPCMC).

"Dalam pada kerajaan mengumumkan NKRA polis meningkat, kenapa enggan tubuh IPCMC ini? Buktikan prestasi polis benar-benar bagus. Jangan bohong rakyat," katanya yang juga Naib Presiden PAS.

Turut bersama pada sidang media tersebut ialah Hamidah Kadir, ibu kepada Mohd Khairul Nizam dan Noriah Darus, ibu kepada Mohd Hanafi Omar. Ketiga-tiganya ditembak kira-kira jam 4.45 pagi kerana disyaki terlibat dengan rompakan stesen minyak (Harakahdaiy)

Siapa, Raja Lawak Dari Tuaran Terlibat Dadah?

 HALAMAN HIBURAN
TUARAN: Seorang pelawak berkumpulan yang pernah menjuarai program Raja Lawak ditahan polis kerana disyaki terbabit dalam penyalahgunaan dadah selepas ditemui ‘merayau tanpa tujuan’ di pekan ini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, artis berusia lingkungan 20-an terbabit dilihat berjalan seorang diri di kaki lima bangunan dalam keadaan mencurigakan, menyebabkan dia ditahan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tuaran.

Difahamkan, selepas ditahan pelawak itu dibawa ke IPD Tuaran untuk siasatan lanjut dan sumber mengesahkan ujian air kencing terhadap artis yang masih aktif berlawak itu didapati positif mengambil dadah.
Berikutan itu, artis terbabit yang masih bujang ditahan reman selama empat hari di IPD Tuaran bagi membantu siasatan. Sabit kesalahan, dia boleh dihadapkan ke mahkamah mengikut Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tuaran, Deputi Superintendan Zaharudin Rasip, ketika dihubungi enggan memberi sebarang ulasan kerana masih belum menerima laporan daripada pihak bawahannya.

Komen Weblog Ibnu Hasyim:  Siapa tidak penting. Yang penting dilihat. trend artis-artis terlibat dadah makin meningkat. Perlu difikircari suatu kaedah atau pakej jalan penyelesaian yang berkesan. Kerajaan perlu bertanggungjawab, bukan kerja polis sahaja. Kerana mereka adalah idola remaja kita. Corak negara akan datang berada di bahu mereka. (IH)

Fasa Ke2 60 Thn PAS, Bajet Membela Rakyat (II)

Oleh AHMAD LUTFI OTHMAN

 Pak Akob [kiri] menunjukkan nisan pusara Mat Indera. Tulisan namanya masih timbul dengan jelas  walaupun dikebumikan pada Januari 1953

SELAIN pengumuman tawaran menarik oleh Ketua Pembangkang, Dato' Seri Anwar Ibrahim semasa membentangkan Belanjawan Alternatif 2012 kepada media, 4 Oktober lalu, beberapa penekanan yang dibuatnya elok juga diberi tumpuan.

Di antaranya, Anwar menekankan: "Golongan maha kaya (super rich) membolot kekayaan negara dan dipisahkan dari golongan pesara tua dan warga emas yang dihimpit kenaikan harga walhal pencen dan pendapatan mereka semakin mengecil. Anak-anak muda yang memasuki alam pekerjaan terpaksa bertungkus-lumus berkongsi rumah dan mengikat perut, sedang anak-anak golongan maha kaya ini seronok melancong dan berbeli-belah beg-beg tangan mahal dan cincin permata.

"Golongan pekerja masih memperjuangkan hak untuk dibayar upah yang bersesuaian dengan kos sara hidup kini dan masih ramai yang upahnya lebih kecil dari garis kemiskinan yang ditetapkan. 35 peratus dari rakyat kita bekerja dalam sektor tidak formal seperti menjaja dan berniaga kecil-kecilan yang tidak mempunyai perlindungan kerja dan imbuhan sosial yang memadai.

"Statistik rasmi dari kerajaan sendiri  jelas menunjukkan satu Malaysia yang caca-merba dan tidak sekata agihan kekayaannya.

"40 peratus   rakyat Malaysia datang daripada isi rumah yang pendapatannya kurang dari RM1,500 sebulan. Tiga perempat dari golongan ini adalah Melayu/Bumiputra yang kononnya dibela oleh pemerintah. Lebih mendukacitakan, golongan 20% terkaya dalam negara (termasuklah golongan maha kaya dan kaum kerabat mereka) membolot 50% kekayaan negara, sedang 40% golongan terbawah hanya menikmati 15% kekayaan negara.

"Angka ekonomi negara rendah-rendah belaka, kecuali kenaikan harga barang. Perbandingan harga barang di antara tahun 2008 dan 2011  menunjukkan  harga gula melonjak  66%,  harga 1 kilogram ayam  melonjak 37%;  susu bayi, 26%; teh tarik, 25%; dan roti putih, 20%.

"Unjuran angka inflasi  membayangkan jika keadaan ini berterusan sehingga 2015 akibat kegagalan BN mengawal harga barang, rakyat akan menanggung kos barangan harian yang melonjak 50% lebih mahal dalam tahun 2015 berbanding tahun 2005, sedangkan purata kenaikan gaji dalam masa satu dekad hanyalah 2.6%."

Justeru, rakyat tiada pilihan selain bertindak menukar kerajaan. Pembolotan khazanah kekayaan negara mesti dihentikan. Rasuah yang membarah bagai tiada kesudahan. Undang-undang tidak mampu menyekat keserakahan nafsu pemimpin Umno-BN dan suku-sakatnya.

Pengalaman saya mengikuti beberapa kes rasuah berprofil tinggi membuktikan bahawa peluang untuk melakukan salahguna kuasa hanya dapat ditutup melalui undang-undang yang berat, penguatkuasaan yang tegas dan integriti diri yang tinggi.

Begitu banyak ruang dan peluang salahguna kuasa yang tidak mampu dikesan oleh undang-undang, apatah lagi dengan realiti Malaysia Boleh!

Dalam masa sama, Dato' Seri Najib Razak tentu tidak akan melepaskan peluang semasa membentangkan Belanjawan 2012 Jumaat ini, bagi menarik sokongan kepada BN. Pastinya ia bajet terakhir  sebelum PRU13 dan usah terkejut dengan tawaran-tawaran itu nanti. Sekian.

Sebelum ini..

Fasa Ke2 60 Thn PAS, PAS P/Islam Se-Dunia (I)

Oleh AHMAD LUTFI OTHMAN
Ketua Menteri Pulau Pinang, yang juga Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng bersama Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat di majlis Rapat Umum Perdana, sempena sambutan 60 tahun PAS, 1 Oktober.

KONGRES Sambutan 60 Tahun PAS yang berlangsung pada 1 Oktober lalu di Pulau Pinang memang meriah dan bersejarah. Hadirin, saya kira 30,000 orang, sebahagiannya di dalam Dewan Milenium  "berlagu lutut" pada majlis Rapat Umum Perdana di sebelah malamnya.

Pekan Kepala Batas sesak teruk. Saya terpaksa perlahan-lahan menapak agak jauh dari tempat letak kereta. Ramai lagi yang berpusing-pusing mencari parkir. Mujur perut sudah diisi nasi kandar di gerai berdekatan.
Seusai program, jam 12 malam, sekali lagi terpaksa menunggu lama disebabkan laluan kereta tersekat di celah-celah rumah kedai, 2km dari lokasi ceramah.

Di sebelah paginya, mood kongres nampak ceria dan bersemangat. Ucapan Presiden, Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan penganugerahan tokoh buat "putera terbaik Melayu", Dr Burhanuddin Al-Helmy menyuntik inspirasi baru buat petugas parti. Cerita mengenai kegigihan, istiqamah, ketekunan dan ketabahan berdepan tribulasi dan rintangan berpanjangan di atas jalan dakwah.

Yang nyata, selepas Mohamad Sabu menimbulkan kontroversi Mat Indera, berbicara tentang sejarah (apatah lagi mengenang jatuh bangun parti) sudah mampu menarik perhatian umum dan memaku tumpuan.

Saya sendiri melihat kongres itu memberi makna tersendiri, sehingga menggagahi juga turun jauh ke utara. Muktamar PAS pun bagi saya tidak seistimewa itu. Jun lalu, meskipun Taman Melewar tidak begitu jauh dengan kediaman saya di Bukit Ampang, saya tidak bersedia untuk bersesak di persidangan tahunan PAS.

Sayang, pengisiannya pada hanya sebelah pagi, dan tiada ruang untuk penyertaan aktif daripada perwakilan. Hanya ada dua pembicara, Dato' Kamarudin Jaffar dan Subky Abd Latif. Ramai yang mahukan sambutan 60 tahun itu diraikan di peringkat akar umbi, di seluruh negara, dan mengaitkannya dengan persiapan PRU13.

Semasa berucap, Ustaz Abdul Hadi kelihatan sebak sewaktu menyebut nama-nama Yang Dipertua Agung atau Presiden PAS sebelumnya. Dengan suara tersekat-sekat, beliau menyeru seluruh ahli PAS bersedia menyerahkan diri kepada perjuangan menegakkan agama Allah seperti yang ditunjukkan pemimpin terdahulu.

"Marilah kita menjadi seperti mereka yang tetap jatidiri, tidak mengubah haluan, tidak menebuk bahtera, malah melajukan perjalanan bahtera mencapai keredhaan Allah untuk menang di dunia dan menang di akhirat," katanya.

Pidato tengahari naib-naib presiden, Husam Musa dan Mahfuz Omar lebih menekankan keupayaan parti menempuh cabaran mendatang, dengan memanfaatkan pengalaman silam.

Husam membentangkan data-data menarik tentang PRU13, khususnya bagi menjayakan pelan kemenangan menguasai Putrajaya. Exco Kanan Kerajaan Kelantan ini menarik perhatian peserta dengan ungkapan  "minda berkerajaan dalam PAS", yang dilihat mampu meletakkan parti Islam itu sebagai peneraju kerajaan alternatif berdasarkan pengalaman memerintah negeri.

"Bagi 60 tahun akan datang, PRU13 adalah sebahagian dari barometer yang penting. Kongres ini dianjurkan tepat menjelangnya tarikh penting itu. Terpulang kepada ahli sama ada mampu melonjak PAS seribu langkah ke hadapan dan memundurkan lawan kita seribu langkah ke belakang dalam pertarungan penting untuk meletakkan perjuangan kita ke persada utama negara," rumus Husam.

Mahfuz, yang berapi-rapi berucap, mengimbau konsep Melayu Raya yang diperjuangkan Burhanuddin, dan mahu ia dikembangkan dalam bentuk Malaysia Raya, dengan asas Islam yang kukuh. Baginya, fasa 60 tahun kedua PAS perlu dimantapkan lagi, terutama selepas terbukti Umno makin tersepit dengan asakan kesedaran rakyat yang ditunjangi PAS.

Sebelumnya, Tok Guru Nik Aziz menyampaikan tazkirah tentang hal-hal asas seperti solat dan membaca al-Quran, yang dikaitkan dengan pengalaman PAS berdepan pelbagai tekanan, termasuk mengharamkan simbol bulan bintang. Beliau juga menyentuh polemik hudud.

Tok Guru mengharapkan,  satu hari nanti Parti Islam Se-Malaysia (PAS) akan muncul sebagai "Parti Islam Se-Dunia" (PAS). Keuzuran sememangnya tidak pernah menghalang Tok Guru untuk terus menyampaikan nasihat, yang pastinya cukup bermanfaat buat bekalan melalui jalan berliku dalam perjuangan suci ini.

Tazkirahnya membekas di hati; ya, Tok Guru memang tiada duanya. Peringatannya begitu menyentuh biarpun mengulas tema biasa dalam kehidupan.

Sementara menunggu pidato umum malamnya, semasa menjamah nasi kandar di pekan Kepala Batas, seorang yang mengenalkan dirinya sebagai pembaca setia Harakah, merapati saya. "Bang, saya minta sangat-sangat, tolonglah tulis tentang penagihan dadah terutama di kampung-kampung, yang cukup tenat sekarang," nada suaranya cukup serius, di antara merayu dan mendesak.

"Bangsa kita punah kalau macam ini. Kerajaan dan polis memang tak serius tangani masalah dadah. Betul. Undang-undang berat pun tak guna kalau pelaksanaannya longgar," tambahnya. Beliau bercerita panjang, penuh emosi dan sekali lagi menggesa Harakah menimbulkan isu ini.

Sebenarnya hari itu, saya diasak satu lagi isu yang "membingungkan" apabila terbaca laporan Berita Harian, 1 Oktober, tentang kajian isu pembuangan bayi oleh Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IPPBM).

Kajian itu mendapati tiga daripada enam remaja berumur di antara 15 hingga 28 tahun, kebanyakannya lulusan universiti, melakukan hubungan zina. Seramai 1,922 daripada 5,016 responden yang diselidik mengetahui rakan mereka mengandung anak luar nikah. 76 peratus (3,812 responden) mempunyai rakan yang pernah menonton video lucah.

Semasa singgah di Taiping, tengahari Ahad, 2 Oktober, untuk menziarahi makam Pahlawan Umat, Dr Burhanuddin, di Masjid Lama Taiping, dan pusara Mat Indera, di Kg Jambu, tidak jauh daripada situ, kemelut gejala sosial yang membarah itu masih menganggu fikiran saya.


Bagaimanapun, pelbagai cerita yang dikongsi daripada setiausaha masjid, Mohd Zamhuri Baharim dan penjaga kubur Mat Indera, Yaakob Din, dapat meringankan sedikit "sakit kepala" saya. Sayang kami tidak dapat memenuhi jemputan makan tengahari PAS kawasan yang disampaikan Bashir Ahmad, pegawai khas Dato' Seri Nizar Jamaluddin untuk Dun Sepetang.

 Bersambung..

Ini Surat Hitler Anti-Yahudi Dipamerkan



SURAT Adolf Hitler yang mengandungi tandatangannya dipamerkan di Muzium Toleransi, Los Angeles kelmarin.

LOS ANGELES - Sepucuk surat bekas pemimpin Jerman, Adolf Hitler yang bertaip pada 1919 yang diperoleh Pusat Simon Wiesenthal dipamerkan di Muzium Toleransi di sini.

Surat itu ditulis semasa Hitler menjadi askar Jerman dan sebelum dia menjadi pemimpin Nazi.
Ia merupakan surat yang mengandungi komen bagi mendesak supaya kaum Yahudi dihapuskan.
Pusat tersebut membeli surat tersebut pada harga AS$150,000 (RM478.180) daripada seorang pengedar di Calabasas.

Dalam satu bahagian dalam surat itu, Hitler menyatakan hak penduduk Yahudi perlu dinafikan.
Hitler merupakan pemimpin Jerman yang mencetuskan Perang Dunia Kedua. - Agensi

Lihat sebelum ini...
E-Buku IH-20: Hitler, Masuk Islam & Meninggal Di Indonesia
E-Buku IH-20: Hitler, Masuk Islam & Meninggal Di Indonesia

Peragut Dibunuh, Orangramai Boleh Terima, Hudud?


SEORANG peragut Myanmar dibelasah oleh orang ramai yang meragut dua pelancong China yang baru keluar dari medan selera ini di Jalan Pudu kelmarin.

KL 6Okt 11: Tindakan dua lelaki Myanmar yang meragut beg tangan milik dua pelancong warga China berakhir dengan tragedi apabila salah seorang daripada peragut itu mati dibelasah oleh orang awam dalam kejadian berhampiran medan makanan di Pudu di sini kelmarin.

Dalam kejadian pada pukul 8 malam itu, orang ramai yang berang dengan tindakan peragut itu bertindak memukul dan menendang suspek namun salah seorang daripada peragut itu berjaya melarikan diri. Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zulkarnain Abdul Rahman berkata, sebaik polis tiba di tempat kejadian, suspek yang dipukul telah mati akibat mengalami pendarahan teruk di kepala.

"Sebelum kejadian, kedua-dua suspek itu meragut dua wanita warga China yang ketika itu dalam perjalanan ke hotel selepas makan di medan selera berkenaan. "Berlaku pergelutan dalam cubaan meragut itu dan dua mangsa wanita tersebut juga cedera akibat ditikam dengan pisau," kata beliau di sini semalam.

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Peragut dibunuh, orang ramai boleh terima. Adakah itu adil? Berbanding hukum hudud yang hanya hukum 'potong tangan' kepada pencuri-pencuri tegar, yang ditentukan jumlah dan ganasnya. Baik sangat kalau di Malaysia dilaksanakan hudud., Kelantan dijadikan percubaannya. Kerajaan pimpinan UMNO patut sokong.

Pembetulan: Lihat komen di bawah, 'peragut' bukan kategori 'pencuri'.

Sebelum ini...
E-Buku IH-46: Isu Hudud, K'tan & Nik Abd Aziz
E-Buku IH-46: Isu Hudud, K'tan & Nik Abd Aziz

Awas, Penjenayah Profesional A/Latin Operasi Di M'sia


DUA SUSPEK warga Amerika Latin yang ditahan di Jalan Ipoh, Sentul pada Jumaat lalu kerana disyaki mangsa untuk disamun. 

 KL 6 Okt 11: Warga kota yang sebelum ini dihantui dengan kes-kes mangsa disamun ketika memeriksa tayar kereta yang pancit mampu menarik nafas lega apabila polis berjaya menahan lima lelaki Amerika Latin yang terlibat dalam jenayah itu.

Jenayah terancang yang dipercayai melibatkan 15 ahli kesemua rakyat Amerika Latin termasuk dua wanita berusia lingkungan 40-an dan 50-an dipercayai mempunyai rangkaian penjenayah menggunakan taktik sama yang beroperasi di negara lain seperti Singapura, Hong Kong, Korea, Jepun dan Vietnam sebagai sasaran. Modus operandi penjenayah Amerika Latin yang disifatkan profesional itu sama iaitu memancitkan tayar kereta mangsa sebelum suspek mengekori mangsa itu dan berpura-pura menghulurkan bantuan sebelum mangsa disamun.

Kumpulan penjenayah ini bergerak secara berkumpulan ketika mencari sasaran. Mereka dilihat menumpukan kepada pelanggan bank yang mengeluarkan wang. Bagi melancarkan rancangan jahat itu, dua suspek wanita yang kadangkala turut memakai tudung akan diletakkan di bank-bank untuk menjadi pemerhati pelanggan bank yang mengeluarkan wang dalam jumlah yang banyak.

Pada masa sama, suspek yang berada di luar bank akan memainkan peranannya iaitu meletakkan satu alat tajam di bawah salah satu tayar kereta mangsa. Selepas urusan mengeluarkan wang selesai mangsa yang menjadi sasaran diekori oleh suspek lain. Kereta mangsa kebiasaannya akan pancit selepas ia dipandu beberapa kilometer sebelum beberapa suspek lelaki yang berlagak baik hati turut memberhentikan kereta dan menghulurkan bantuan untuk menukarkan tayar.

Namun kesempatan semasa menukarkan tayar itu digunakan oleh suspek untuk mengambil beg mangsa yang mengandungi wang yang biasanya diletakkan dalam kereta. Kegiatan licik kumpulan Amerika Latin yang bermaharajalela hampir tiga bulan itu di ibu negara bagaimanapun berjaya dipatahkan apabila lima daripada anggotanya ditahan pada pukul 1 petang Jumaat lalu.

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati menghadapinya, atau merancang kaedah yang sesuai baai mangaasinya. Apakah dengan hukum hudud mampu mengajar penjenayah-penjenayah seperti ini?

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails