KUALA LUMPUR, 12 Jun — Para ahli Parlimen (MP) daripada
Barisan Nasional (BN) dijangka akan menerima sejumlah RM1.5 juta bagi
mempertahankan kerusi mereka, ekoran pentadbiran Najib berkemungkinan
hanya mengadakan pilihan raya ke-13 selepas pengumuman Bajet 2013 pada
28 September depan.
The Malaysian Insider difahamkan peruntukan itu diumumkan
sewaktu mesyuarat BN semalam, namun Perdana Menteri Datuk Seri Najib
Razak masih lagi berteka-teki dengan tarikh pilihan raya.
Sumber mengesahkan ia akan mengambil masa tiga bulan untuk
projek-projek tersebut untuk dikenalpasti dan dijalankan, dan pengumuman
lain ketika bajet 2013, termasuk pemberian wang tunai Bantuan Rakyat 1
Malaysia (BR1M) yang memerlukan tempoh lama untuk dilaksanakan.
Ahli-ahli Parlimen BN enggan mendedahkan jumlah sebenar tetapi mereka
berkata sebahagian dana tersebut “boleh diperolehi berdasarkan
permintaan.”
“Kami perlu mintanya untuk projek spesifik,” kata Timbalan Menteri Sains, Teknologi, dan Inovasi, Datuk Fadillah Yusof.
Bekas menteri Kabinet, Tan Sri Shahrir Samad
(gambar), turut berkata perdana menteri terlalu “berhati-hati” ketika menyuarat malam itu.
“Jika tiada peruntukan, pilihan raya akan datang sangat cepat”, katan
ahli Parlimen Johor Baru tersebut yang turut ditanya bagaimana dana
sedemikian untuk berkenaan akan memberi kesan kepada tempoh masa Najib
harus mengetuai kempen BN untuk kali pertama.
Walaupun pengerusi BN dan presiden Umno pada mulanya akan membubarkan
Parlimen bulan ini untuk pilihan raya pada Julai ini, beliau
mengumumkan akan membentangkan Bajet 2013 pada 28 September, dan dilihat
bakal ada kemungkinan untuk pemberian wang tunai BR1M untuk keluarga
berpendapatan rendah.
Bayaran wang tunai RM500 itu kepada hampir lima juta keluarga dengan
kos RM2.6 bilion awal tahun ini menunjukkan kadar kedudukan Najib
meningkat kepada 69 peratus, disebabkan peningkatan dalam kalangan isi
rumah kaum miskin.
Namun insiden keganasan polis dan para penunjuk perasaan yang
mengambil bahagian dalam protes Bersih pada 28 April menyaksikan
penurunan populariti beliau kepada 65 peratus bulan lalu.
The Malaysian Insider melaporkan pada 28 May, berkemungkinan
pilihan raya pada bulan September namun pengumuman Najib bahawa Bajet
2013 hanya akan dibentangkan pada 28 September telah memaksa pakar
strategi parti untuk mencari tarikh yang sesuai bagi memastikan apa-apa
manfaat bajet boleh sampai ke peringkat akar umbi.
Ibadah Haji pada 26 Oktober, Deepavali pada 13 November dan cubaan
Barisan Nasional menarik sokongan pengundi Cina dan belia memungkinkan
pilihan raya pada bulan November, menurut sumber, yang menambah, Najib
masih lagi mengenal pasti calon untuk meraih kemenangan majoriti untuk
BN.
Sumber BN turut mengesahkan beberapa kajian sebelum ini menunjukkan
parti perlu bekerja keras terutamanya meyakinkan pengundi baru yang
berjumlah sekitar 2.2 juta orang.
Difahamkan hasil kajian mendedahkan BN mampu menang hingga 146 kerusi
Parlimen dengan 80 yakin menang, lebih 140 daripada Pilihan Raya 2008.
Bagaimanapun, kaji selidik terbaru oleh unit khas BN menunjukkan BN
hanya mampu menang 118 kerusi, memaksa pakar strategi menunda
pilihanraya.
Najib mengambil alih pentadbiran negara daripada Tun Abdullah Badawi
pada April 2009 untuk menaikkan imej BN yang kalah teruk dalam PRU 2008,
yang mana BN hilang kuasa dua pertiga dewan dan lima negeri. (MI)