KL: Kerajaan Negeri Selangor melalui Kumpulan
Darul Ehsan Berhad (KDEB) membuat tawaran bernilai RM9.65 billion bagi
memulakan proses pengambilalihan syarikat-syarikat konsesi air di negeri
itu.
Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, nilai
tawaran itu telah diputuskan dalam mesyuarat exco hari ini dan surat
tawaran kepada Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas), Puncak
Niaga Sd Bhd, Konsortium Abass Sdn Bhd dan Syarikat Pengeluar Air
Selangor Holding (Splash) akan dikeluarkan secara rasmi oleh KDEB petang
ini.
"Kerajaan Negeri juga berpandangan tawaran tinggi yang kita
berikan ini adalah untuk menyelesaikan masalah penswastaan air yang
ternyata gagal memberi perkhidmatan cemerlang kepada rakyat dan berharap
semua pengusaha air temasuk Tan Sri Rozali Ismail tidak memprejudiskan
usaha ini.
"Kita juga yakin tawaran ini tidak akan merugikan
syarikat-syarikat berkenaan kerana jumlah ini merupakan pulangan 12%
setahun terhadap ekuiti – yang mereka miliki berbanding dengan pulangan
lazim bagi industri air iaitu hanya 6%. Tambahan pula segala liabiliti
akan juga diambil alih oleh KDEB menerusi Special Purpose Vehicle,"
katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, pengambilalihan ini
adalah di antara usaha untuk mengembalikan hak air kepada rakyat
Selangor. Kerajaan yang dipilih oleh rakyat untuk memimpin negeri ini
akan berhak menguruskan industri air. Hasil daripada
pengambilalihan ini ujarnya akan memberi kesan penting terhadap
kehidupan rakyat di mana rakyat akan terus menerima kemudahan air
percuma 20 meter padu dan tidak akan terperangkap dengan kadar tarif air
yang tidak adil serta membebankan.
Beliau juga percaya proses
pengambilalihan ini akan berjalan lancar memandangkan tawaran ini adalah
tawaran terbaik oleh rakyat Selangor demi mempertahankan hak air
mereka.
"Rakyat juga akan mendapat pengurusan air yang telus dan
cekap dan yang paling penting sekali pengambilalihan ini juga akan
menamatkan era monopoli air oleh mana-mana individu atau syarikat,"
tambahnya.
Sementara itu, Kerajaan Negeri telah pada 14hb
Februari yang lalu menerima surat jawapan daripada Menteri Tenaga,
Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Kah Fui yang bertarikh 6
Februari 2013. Namun, jawapan menteri itu kata Abdul Khalid,
tidak banyak membantu menyelesaikan masalah pengambilalihan ini kerana
nampaknya menteri terlalu keliru dengan situasi yang kita hadapi ini.
Menteri
tersebut ujarnya, gagal memahami peranan yang sepatutnya dilakukan
selaku menteri yang diamanahkan menjaga industri air hingga memberikan
beberapa fakta dan pandangan yang bercanggah di antara satu sama lain.
"Dalam surat beliau, menteri berkata Kerajaan Persekutuan tiada halangan untuk Kerajaan Negeri memulakan proses pengambilalihan.
"Walaubagaimanapun,
kelmarin apabila ditanya oleh pihak media beliau dengan tegas
mengatakan pengambilalihan yang mahu dilakukan Kerajaan Negeri tidak
boleh dijalankan kecuali dengan kebenaran Kerajaan Persekutuan," jelas
Abdul Khalid.
Tambah beliau lagi, kerajaan negeri sebenarnya
sedia maklum bahawa Kerajaan Persekutuan mempunyai kuasa penentu selaku
pemegang saham emas seperti yang termaktub dalam Akta Perkhidmatan
Industri Air 2006 (Akta 655). Justeru itu, sejak dari awal lagi
pihaknya telah menggesa Kerajaan Persekutuan menggunakan kuasa tersebut
demi kepentingan awam dengan membantu kerajaan negeri melakukan
penstrukturan semula setelah kerajaan negeri membuat tawaran kepada
syarikat konsesi.
"Kerajaan Negeri Selangor konsisten dengan
pendirian bahawa hak air harus diserahkan kepada rakyat Selangor dan
pengambilalihan ini akan menyelesaikan masalah pengurusan industri air
secara menyeluruh.
"Kerajaan Negeri percaya rakyat Selangor dan
Lembah Klang akan menyokong tindakan berani yang kita lakukan ini kerana
antara faktor utama kerajaan hari ini dipilih adalah untuk melakukan
reformasi pentadbiran termasuklah dalam industri air," katanya. (Hrkh)