Wednesday, October 23, 2013

Lagi Tak Habis-habis.. 8 GRO Ditahan.

FotoPENGUAT kuasa memeriksa dokumen wanita warga Vietnam yang bekerja sebagai GRO di pusat karaoke.

Cheras: Seramai lapan wanita warga Vietnam yang bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) ditahan dalam dua serbuan berasingan oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Penguatkuasaan Imigresen Putrajaya di dua pusat karaoke di Cheras, di sini, malam kelmarin.

Timbalan Penolong Pengarah Imigresen 1 Pejabat Imigresen Putrajaya, Abd Malik Bujang berkata, seramai 34 pegawai dan anggota terbabit dalam Operasi 6P berkenaan.


“Serbuan pertama dilakukan di sebuah pusat karaoke di Jalan Metro Pudu pada jam 10.15 malam dan berjaya menahan enam wanita warga Vietnam yang sedang asyik melayan pelanggan.
“Manakala dalam serbuan kedua di Taman Connaught, seramai dua wanita yang menyedari kehadiran anggota penguat kuasa cuba melarikan diri melalui pintu belakang premis, namun mereka berjaya dicekup berikutan kawasan itu sudah dikepung,” katanya.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati pintu belakang premis itu berkunci dari dalam menyebabkan anggota terpaksa memecahkan pintu itu untuk masuk.

“Semua wanita warga asing berusia 20 hingga 45 itu ditahan kerana melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) dan Peraturan 39 (b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
“Manakala dua penjaga premis warga tempatan masing-masing berusia 25 dan 32 tahun ditahan mengikut Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002),” katanya. (myMetro)

Brunei Laksana Hukum Hudud

Foto 
SULTAN Brunei ketika mengumumkan undang-undang itu, semalam.

Bandar Seri Begawan: Sultan Brunei semalam memperkenalkan hukuman hudud, termasuk merejam sampai mati mereka yang didapati bersalah kerana berzina. Mengumumkan keputusan itu, beliau merujuk langkah berkenaaan sebagai yang bersejarah pelaksanaan undang-undang Islam sebenar di negara itu.

Sultan Hassanal Bolkiah, 67, antara lelaki terkaya di dunia, berkata, akta baru undang-undang syariah yang dikaji selama bertahun-tahun itu diperkenalkan secara rasmi semalam di negara yang kaya dengan minyak itu mengikut tempoh percubaan selama enam bulan.

Berdasarkan kes terhadap individu, undang-undang itu meliputi hukuman termasuk merejam hingga mati kerana berzina, memotong tangan kerana mencuri dan sebat kerana pelbagai kesalahan seperti pengguguran kandungan hingga kepada meminum arak.

Akta itu bagaimanapun hanya tertakluk kepada umat Islam.

“Dengan izin Allah, dengan menguatkuasakan undang-undang ini, tanggungjawab kami terhadap Tuhan sudah ditunaikan,” katanya.

Sebagai pemimpin negara yang keluarganya menguasai negara yang kaya dengan minyak itu selama enam abad, beliau pertama kali menggesa hukuman hudud dilaksanakan pada 1996.

Brunei sebelum ini mengamalkan pemerintahan lebih konservatif berbanding negara jiran Islamnya di Asia Tenggara iaitu Malaysia dan Indonesia, seperti mengharamkan penjualan dan kegiatan minum arak secara terbuka. -AFP

Lihat Sebelum ini..

Brunei: Klasifikasi Jenayah & Hukuman Diperjelaskan


DEKAN Fakulti Syariah dan Undang-undang UNISSA, Profesor Madya Dr. Abdul Mohaimin bin Noordin Ayus ketika membentangkan kertas kerja bertajuk "Klasifikasi Jenayah dan Hukuman Dalaman Undang-Undang Jenayah Syariah. (Foto: Dk. Nur Hafilah Pg. Osman)

Klasifikasi Jenayah dan Hukuman Undang-Undang Jenayah Syariah diperjelaskan

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 22 Oktober. - Dekan Fakulti Syariah dan Undang-Undang Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Profesor Madya Dr. Abdul Mohaimin bin Noordin Ayus berkata bahawa 'al-jinayah' atau 'al-jarimah' adalah jenayah dalam perkataan Melayu merujuk kepada larangan-larangan hukum syara' yang diugut dengan balasan hukuman 'hadd' atau ta'zir dan al-qisas.

Tiap-tiap sistem perundangan itu  jelasnya, ada membuat pembahagian atau klasifikasi jenayah dan hukuman masing-masing yang bertujuan untuk menyusun atur setiap jenis jenayah yang dikuatkuasakan bagi memudahkan pentadbiran sistem keadilan jenayah itu mengendali dan menguruskannya.

Beliau  menjelaskan demikian ketika membentangan kertas kerja bertajuk 'Klasifikasi Jenayah dan Hukuman Dalaman Undang-Undang Jenayah Syariah' seterusnya menekankan ini dapat melicinkan pentadbiran dengan menentukan bidang kuasa mahkamah mana yang boleh membicarakan dan menghukum tertuduh, atau hukuman jenis apa yang dapat dijatuhkan terhadapnya, atau sistem undang-undang keterangan bagaimana yang diperlukan untuk pembuktian sesuatu kes jenayah itu.

“Klasifikasi secara tradisi dapat dilihat dari beberapa sudut pengklasifikasian, antara lain, berdasarkan 'maqasid al-shari'ah'; berdasarkan hak Allah Subhanahu Wata'ala dan hak hamba (manusia) yang dapat membezakan sama ada hukuman itu mandatori atau ada penyelesaian alternatif kepada hukuman yang ditetapkan syara'..” 

Ujarnya ketika menyampaikan kertas kerja di Simposium Majlis Ilmu Sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-67 yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarbangsa, Berakas di sini.

Profesor Madya Dr. Abdul Mohaimin seterusnya menegaskan bahawa jenayah juga diklasifikasikan kepada perbuatan jenayah itu sama ada dilakukan dengan niat atau perbuatan yang tidak disengajakan dan menambah klasifikasi pada lazim mengenai jenayah syariah disusun mengikut hukuman yang telah disyariatkan bagi setiap jenisnya: qisas, hudud, ta'zir, yang mempunyai hikmat yang tersendiri. (IH/Pelita Brunei)


Lihat Sebelum ini..

Brunei Negara A/Tenggara Pertama Laksana Hudud. M'sia? Lembab.

AFPSULTAN HASSANAL BOLKIAH (kanan) berucap pada pembukaan Majlis Ilmu 2013 di Bandar Seri Begawan semalam. 

Sultan Brunei perkenal undang-undang syariah

BANDAR SERI BEGAWAN - Sultan Hassanal Bolkiah yang memerintah Brunei, semalam memperkenalkan hukuman Islam termasuk merejam sampai mati penzina sekali gus menjadikan Brunei negara Asia Tenggara pertama yang melaksanakan undang-undang tersebut di peringkat nasional.

Baginda berkata, Kanun Hukuman Jenayah Syariah yang baru diperkenalkan semalam selepas persediaan selama beberapa tahun itu akan dikuatkuasakan secara berperingkat enam bulan kemudian.
Undang-undang tersebut akan hanya dilaksanakan terhadap penganut Islam.

Ia merangkumi hukuman Islam termasuk merejam penzina yang sudah berkahwin, memotong tangan pencuri dan hukuman sebat ke atas penganut Islam yang melakukan perlbagai salah seperti minum arak dan menggugurkan anak.

"Dengan ini, Alhamdulillah, pada peringkat ini tanggungjawab kita di hadapan Allah telah pun tertunai," titah baginda dalam satu ucapan.

Sultan Hassanal pertama kali mencadangkan untuk melaksanakan undang-undang jenayah syariah di negara yang dihuni oleh 400,000 penduduk itu pada 1996.

"Brunei menonjolkan ciri-ciri sebuah negara feudal pada kurun ke-18 berbanding anggota penting rantau ekonomi dan sosial Asia Tenggara pada kurun ke-21," kata Timbalan Pengarah Asia Pertubuhan Hak Asasi Manusia Human Rights Watch, Phil Robertson ketika mengulas perkembangan itu.

Beliau menyifatkan perubahan kepada undang-undang tersebut sebagai pencabulan hak, dibenci dan tanpa justifikasi. Brunei telah mengharamkan penjualan dan perbuatan minum arak di tempat awam serta mengehadkan perkembangan ajaran agama lain.

Sultan Brunei sendiri melahirkan kebimbangan berhubung undang-undang syariah beberapa tahun lalu ketika kanun berkenaan dalam proses untuk disiapkan. Namun, baginda berulang kali menyokong untuk mengukuhkan asas Islam bagi menghadapi pengaruh luar yang merosakkan termasuk internet.

Bagaimanapun, kerajaan Brunei dipercayai akan melaksanakan undang-undang syariah secara peringkat-peringkat seiring dengan cirinya sebagai sebuah negara yang aman, kata seorang felo pelawat di Pusat Pengajian Islam Omar Ali Saifuddien, Gibril Fouad Haddad.

"Adakah ia (undang-undang syariah) hanya simbolik? Saya tidak tahu," katanya. - Agensi

Komen Weblog Ibnu Hasyim:  Al-hamdulillah, Brunei negara Asia Tenggara pertama yang melaksanakan undang-undang tersebut di peringkat nasional.  Malaysia? Lembab!

Lihat sebelum ini..
E-Buku IH-46: Isu Hudud, K'tan & Nik Abd Aziz
E-Buku IH-46: Isu Hudud, K'tan & Nik Abd Aziz

Tuesday, October 22, 2013

Tiada Tindakan Terhadap Teguran Husam.. Biasa - Abdul Hadi


Bernama: Tiada Tindakan Kerana Teguran Husam Perkara Biasa - Hadi Awang  

KOTA BAHARU: PAS tidak akan mengambil tindakan terhadap Anggota Dewan Undangan Negeri Salor Datuk Husam Musa yang mengkritik secara terbuka pentadbiran kerajaan PAS Kelantan baru-baru ini.

Presiden parti Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata ini kerana PAS melihat kritikan Husam itu hanya satu teguran biasa yang turut dibuat oleh orang lain.

Kritikan itu juga tidak menjejaskan pentadbiran kerajaan negeri Kelantan, katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Harian PAS Pusat dan Lajnah Politik PAS Kelantan, di sini, Selasa.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada mesyuarat itu membincangkan isu Husam yang mengkritik kerajaan Kelantan berhubung beberapa isu dalam persidangan dewan undangan negeri (DUN) baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata PAS Pusat juga tidak menerima permohonan PAS Kelantan agar tindakan diambil terhadap Husam.

Dalam persidangan DUN Kelantan pada 8 Oktober lepas, Husam yang juga Naib Presiden parti dan bekas exco kanan kerajaan Kelantan, membuat kejutan apabila membidas beberapa tindakan kerajaan negeri yang disifatkannya tidak wajar dan menyimpang daripada konsep ketelusan, antaranya isu pembalakan Hutan Simpan Kekal Ulu Sat di Machang dan kenaikan tarif air yang berkuat kuasa Ogos lalu.

Sementara itu, Ketua Penerangan PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang diminta mengulas isu berkenaan, berkata mesyuarat turut mendengar penjelasan daripada Husam.

"Alhamdulillah mesyuarat berjalan dengan baik dan kita rasa beruntung kerana dapat penjelasan secara langsung antara Husam dan kerajaan negeri," katanya.

Husam yang turut hadir pula memberitahu pemberita beliau berpuas hati dengan perbincangan yang diadakan. -BERNAMA

Lihat sebelum ini..
E-Buku IH-77: Pemilihan Kepimpinan PAS 2013
E-Buku IH-77: Pemilihan Kepimpinan PAS 2013

Burung Ini Terbang 6 Bulan Tanpa Henti. Subhanallah!

Burung alpine swifts
Burung alpine swifts

UNGKAP RAHSIA YANG MAHA AGUNG 

BERATNYA tidak sampai setengah kg. Bila sayapnya merentang hanya 22 inci - setara 55 cm. Namun, ternyata burung ini sanggup terbang tanpa henti selama 6 bulan. Inilah burung Alpine swifts.

Berkembang biak di Swiss, lalu bermigrasi ke Afrika Barat pada musim dingin dan akhirnya kembali lagi ke Swiss seperti dilapor situs apakabardunia. Sebelumnya banyak ilmuwan meragukan klaim tersebut. Kerana kajian hanya berdasar pada radar pelacakan yang menunjukkan Alpine swifts sering terbang malam. Bukti itu belum cukup meyakinkan.

Team Ilmuwan Liechty lalu menempelkan sensor kecil yang dibuat Universiti Bern sedemikian rupa agar tidak mengganggu pergerakan Alpine swifts. Dari hasil penilitian terbaru ini, seperti ditulis Smithsonian Magazine,  burung Alpine swifts boleh terbang lalu menyambar makanan - berupa serangga kecil - untuk terbang lagi sambil mengunyah. Cara ini dapat membuatnya tetap bugar dalam perjalanan sejauh 3000 mil menuju Swiss.

Maka terungkap lagi rahsia kewujudan dan kehebatan Yang Maha Agung. Subhanallah!

Lihat lagi di sini..
E-Buku IH-22: Ungkap Rahsia Yang Maha Agung
E-Buku IH-22: Ungkap Rahsia Yang Maha Agung

PKR, DAP: Pastikan PAS Kekal Di Sg Limau





JERAI: PKR dan DAP berikrar memberi komitmen sepenuhnya bagi membantu PAS untuk mengekalkan kemenangan di kerusi Dun Sungai Limau pada pilihan raya kecil itu 4 November ini. Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali berkata selaku rakan PAS dalam Pakatan Rakyat, PKR akan turut sama berkempen dan berikrar untuk memenangkan calon PAS.

"Kita dari PKR akan turut sama berkampung mulai hari ini sehingga hari pengundian nanti bagi usaha untuk berkempen bersama-sama PAS agar kerusi ini terus kekal di tangan parti itu.
"PKR yang akan diketuai Datuk Johari Abdul akan melaksanakan tugas mereka selari dengan apa yang dikehendaki oleh PAS dan kita turut meletakkan beberapa individu yang mempunyai kepakaran agar serangan kita terhadap Barisan Nasional (BN) berjalan dengan lancar," jelas beliau.

Katanya lagi, kemenangan PAS pada PRK kali sangat penting sebagai satu isyarat kepada kerajaan agar tidak terus membebani rakyat. Selain itu katanya, kemenangan ini juga sebagai satu 'amanah kedamaian' yang akan diteruskan setelah sekian lama diperjuangkan oleh Allahyarham Tan Sri Azizan Abd Razak," ucap beliau.

Sementara itu, Penasihat DAP Lim Kit Siang yang turut sama hadir pada majlis tersebut menyatakan dengan tema 'kekal' yang akan digunakan PAS, sangat bertepatan. Jelasnya lagi, kemenangan pada 4 November nanti juga merupakan satu isyarat jelas untuk Pakatan Rakyat serta rakyat membuat persediaan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

"Kita yakin PAS dengan calon yang diumumkan ini akan terus berada di kerusi Dun Sungai Limau.
"Kemenangan kita merupakan satu isyarat yang amat jelas untuk kita membuat perubahan pada PRU14 nanti," ucapnya.

Dalam pada itu, beliau turut menasihati pengundi agar tidak terpengaruh dengan fitnah yang akan digunakan oleh BN dalam kempen mereka nanti. Katanya, BN pasti akan menberitahu kepada rakyat tentang sikap perkauman DAP yang anti kepada Melayu serta mengatakan PAS menjadi alat kepada DAP.

"Pengundi perlu berhati-hati dan tidak terpengaruh dengan kempen fitnah BN terhadap rakan-rakan parti di dalam Pakatan Rakyat.
"Mereka pasti menuduh DAP anti Islam dan Melayu, malah akan mengatakan PAS menjadi alat kepada DAP.
"Saya sehingga sekarang mengesa mereka kemukakan bukti manakah yang kata DAP anti Islam atau Melayu tetapi sehingga sekarang tidak ada apa-apa bukti ditunjukkan," ucapnya.

Beliau yakin dengan apa yang telah dibina oleh Ustaz Azizan sebelum ini, pengundi tidak terpengaruh dan bijak dalam melaksanakan tanggungjawab mereka. (Hrkh)

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails