SUKAN
KUALA LUMPUR:
Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menggesa Malaysia
menimbang penyertaan dalam Kejohanan Sukan Sea kali ke-27 yang bakal
berlangsung di Myanmar bermula 1 Disember ini.
“Mengambilkira
tindakan kelompok sami Buddha yang terang-terangan berkempen membenci
Islam dan menyebarkan permusuhan terbuka kepada Islam dan syiar agama
Islam termasuk membunuh, membakar hidup-hidup mangsa yang diserang,
membakar masjid, memusnah kubur dan madrasah Islam yang diserang
berterusan, berbulan-bulan sejak Jun 2012, menunjukkan mereka tekad
untuk melenyapkan Islam dari bumi Myanmar,” ujar Presidennya, Mohd Azmi
Abdul Hamid dalam satu kenyataan.
Menurutnya, demonstrasi yang
terkini yang didorong sendiri oleh kerajaan Yangoon telah mempamerkan
kempen membenci Islam dan masyarakat Islam secara jelas, terus disebar
luas.
Katanya, setelah mereka membunuh, merampas, menyiksa,
membakar dan menzalimi masyarakat Islam Rohingya, kini jelas mereka
sudah secara terang-terangan menyerang Islam sebagai agama suci dan
melancarkan kempen untuk menghapuskan seluruh simbol Islam di Myanmar.
Tambahnya,
terkini mereka menghina Islam dengan melabelkan Islam sebagai agama
haiwan ketika memprotes lawatan delegasi OIC ke Myanmar baru-baru ini
untuk meninjau mangsa pelarian Rohingya Muslim yang terpaksa hidup dalam
keadaan terancam.
Katanya lagi, kebencian terhadap umat Islam
sangat meluap-luap sehingga seorang warga Muslim sama ada rakyat Myanmar
atau orang luar akan sentiasa dipandang dengan mata permusuhan oleh
semua penganut Buddha di Myanmar.
Kini, ujarnya Myanmar akan menjadi tuan rumah kepada kejuaraan Sukan Sea.
“Pada
pendapat kami Myanmar hilang kelayakan untuk menjadi tuan rumah kepada
kejohanan yang diadakan itu di Myanmar itu, setelah Myanmar menjadi tuan
rumah sebanyak dua kali sebelum ini iaitu 1961 dan 1969.
“Dalam
keadaan inilah kami menggesa Malaysia malah semua delegasi kejohanan Sea
tahun ini membatalkan penyertaan mereka atas alasan kerajaan Myanmar
bersikap anti Islam dan kehadiran atlet Islam yang tidak selamat di
Myanmar,” ujarnya.
Katanya, Mapim menggesa semua olahragawan dan
olahragawati Muslim dari Malaysia mahupun dari mana-mana negara Asean
yang menyertai kejohanan ini berfikir dua kali untuk ke Myanmar.
Menurutnya lagi, mereka harus menilai keadaan keselamatan ketika berada di Myanmar yang tidak selamat dan tidak terjamin.
“Kami
berpendirian memboikot kejohanan Sukan Sea di Maynmar itu adalah wajar
kerana antara matlamat kejuaraan ini adalah untuk mewujudkan keharmonian
dalam masyarakat Asean dan Myanmar tidak berhasrat menjayakan
keharmonian itu,” katanya lagi.
Beliau menambah, dengan jelas
Myanmar tidak berhasrat untuk berbuat demikian, malah dengan sangat
tidak bertamadun, rejim Myanmar yang ada sekarang telah melaksanakan
penindasan, penafian hak manusia etnik Rohingya Muslim dan seterusnya
menyatakan sikap permusuhan terhadap Islam.
“Kami tidak nampak
manfaat penyertaan dalam kejohanan Sea di Myanmar jika Malaysia serta
semua anggota lain serius dengan slogan rantau aman, bebas dan neutral
Asean (zone of peace, freedom and neutrality),” katanya.
Mohd
Azmi berkata, Asean tidak boleh membiarkan Myanmar meneruskan polisi
menindas dan mewujudkan ketegangan agama antara penganut Buddha dan
Islam bertujuan untuk menghapuskan Islam dan umat Islam di negara
tersebut.
Katanya, Mapim menegaskan peserta Malaysia yang
mempunyai anggota dari kalangan orang Islam mungkin menjadi sasaran oleh
puak ekstremis Buddha ketika berada di Myanmar.
“Kami mengambil
berat terhadap ingatan yang diberikan oleh beberapa pertubuhan Islam
Rohingya supaya peserta Islam di kejohanan Asean itu benar-benar menjaga
keselamatan diri ketika di Myanmar kerana ada tanda-tanda bahawa mereka
boleh diserang,” katanya.
Ini, kata beliau menunjukkan bahawa
keadaan di Myanmar sangat terdedah kepada keganasan oleh penganut
ekstremis Buddhis dan kekhuatiran etlit Islam akan menjadi sasaran
adalah beralasan.
Komen Weblog Ibnu Hasyim: Kebiadaban Myanmar membunuh, merampas, menyiksa,
membakar, menzalimi masyarakat Islam Rohingya, kini secara terang-terangan menyerang Islam sebagai agama suci dan
melancarkan kempen untuk menghapuskan seluruh simbol Islam di Myanmar..
Bagaikan jiran kita yang membunuh, merampas, merogol, menyiksa,
membakar dan menyerang rumah saudara kita, reaksi kita baru nak boikot main bola? Padankah?
Jauh dari padan. Itupun kalau berlaku... (IH)