Saturday, October 11, 2014

Azmil Mustapha, Hijrah 7 Tahun Cari Ilmu, Kini Bersama Halal TV


Azmil Mustapha masih lagi mendapat tawaran lakonan meskipun tidak lagi aktif di bidang tersebut. 

HALAMAN HIBURAN

PETALING JAYA: Bekas pelakon era 80-an iaitu Azmil Mustapha menjelaskan penghijrahannya ke negara Syria kira-kira tujuh tahun lalu bukanlah kerana merajuk dengan industri seni negara tetapi kerana mencarari ilmu..

Sebaliknya, Azmil, 62, berkata, dia ke negara itu membawa bersama-sama empat orang anaknya iaitu Nurazalea Arifah, 24, Nor Amalia Batrisya, 23, Mohd. Bazli Zhafri, 19, dan Nur Alia Iman, 13, ke negara itu adalah untuk mencari ilmu bagi menambah pengetahuan agama Islam. Alhamdulillah. Begini ceritanya penglaman lalunya kepada mStar.

"Ketika mula mendalami agama, hati saya masih lagi berasa kosong. Kemudian saya membuat sembahyang hajat untuk mendapatkan petunjuk, dan saya diberi petanda untuk ke Syria.
"Saya membawa keempat-empat anak ke negara itu dengan poket kosong. Tetapi, Alhamdulillah perjalanan dan kehidupan kami di sana dipermudahkan.
"Jadi tidak ada istilah saya merajuk dengan dunia seni atau tidak. Cuma saya ingin mencari ilmu ke jalan Allah. Itu sahaja," katanya.

Azmil yang kini duda turut mempunyai seorang anak iaitu Nur Syamira, 28, hasil perkahwinannya yang pertama. Tambah Azmil, selepas lima tahun di negara itu, dia berhijrah ke Pattani, Thailand untuk membangunkan sekolah agama..

Gambar saat popular Azmil.

Pelakon popular dengan filem Ali Setan, pernah berjaya mencipta nama menerusi filem Mekanik sebagai pelakon utama pada 1983 berjaya mencecah kutipan Boxoffice itu kali terakhir berlakon tahun 2005 menerusi filem Puteri Gunung Ledang membuat keputusan untuk kembali ke tanah air. 
 
" ...saya tidak mahu lagi berlakon..." Tetapi dia kini sedang melibatkan diri dengan sebuah stesen televisyen baharu iaitu Halal TV yang bakal dilancarkan tidak lama lagi. Menerusi saluran itu, Azmil menjadi penerbit program dan pengacara bagi program Selebritillah yang menampilkan Janet Jackson, Yusuf Islam dan beberapa selebriti muallaf antarabangsa. Selain itu, Azmil turut menerbitkan program lain iaitu Tic Tech Tric (mengenai dunia elektrik) dan Sufi Seeker
 
Al-hamdulillah Azmil, selamat mengabdikan diri kepada agama Islam!  (IH)

Friday, October 10, 2014

Islam Liberal: Fathi Aris/Malaysiakini Cabar JAKIM?


 

FATHI ARIS OMAR : Jakim antara Ulil Abshar dan Karen 

ULASAN Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) melarang kita mengadakan diskusi tentang cabaran fundamentalisme agama minggu depan. Alasannya, penganjur mengundang Ulil Abshar Abdalla, sarjana dan pendiri Jaringan Islam Liberal (JIL) yang kontroversi. Diskusi pada pagi 18 Oktober bertajuk 'Cabaran fundamentalisme agama abad ini' dianggap medan Ulil Abshar menyebarkan faham Islam liberalnya.

Maka, Jakim berhujah panjang lebar betapa bahayanya pemikiran lulusan Universiti Harvard ini, menantu kiyai Mustofa Bisri, seorang tokoh Nahdhatul Ulama (NU) Indonesia.

Ketua pengarah Jakim berkata Malaysia hanya berpegang kepada aliran Ahlul Sunnah Wal Jamaah dan sebarang usaha sebaliknya "boleh memberi ancaman dan menggugat pegangan akidah umat Islam" dan "perlu dihalang dan disekat."

Jakim berpandangan, diskusi itu nanti akan menyebarkan "liberalisme agama" sedangkan Ulil Abshar termasuk "dalam kalangan mereka yang tidak mempunyai autoriti dan boleh membawa implikasi buruk sehingga menimbulkan keresahan awam."

"Penampilan pihak-pihak ini ke Malaysia bukan sahaja boleh merosakkan hukum syarak secara halus malah bahaya, dan dikhuatiri boleh menggugat persoalan akidah," Jakim dipetik sebagai berkata semalam.

Jabatan agama ini juga telah memaklumkan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan berharap diskusi berkenaan disekat. Zulkifli Noordin, bekas tokoh Perkasa dan bekas wakil rakyat PKR, dikatakan telah membuat aduan polis berhubung acara tersebut.

Beliau mahu penganjurnya Islamic Renaissance Front (IRF) disiasat polis dan tokoh muda Indonesia itu diberikan status 'persona non grata' (dilarang masuk).

Nasib Ulil Abshar, katakan beliau dihalang ke negara ini nanti, lebih malang daripada Karen Armstrong, sarjana pro-Islam yang dilarang bukunya beberapa tahun dulu oleh KDN.

Karen, pengkaji fundamentalisme agama yang tersohor melalui 'The Battle for God', dianggap tokoh yang kuat simpatinya pada umat Islam, khasnya selepas paparan negatif Islam di Barat sejak tragedi 11 September 2001.

Daniel Pipes, tokoh pengkritik aliran radikal Islam, menyifatkan Karen dan seorang lagi sarjana besar, John Esposito, sebagai "two of the West's leading apologists for radical Islam." Seperti nasib 'The Battle for God' Karen, karya Esposito -- 'What Everyone Needs to Know About Islam' (terbitan Oxford University Press) juga diharamkan di Malaysia pada Jun 2006.

Waktu itu, Abdullah Ahmad Badawi melancarkan gagasan Islam Hadhari dan ketika agamawan Umno ini dikelilingi penasihat-penasihat progresif 'tingkat empat'!

Mengulas pengharaman bebal kerajaan Malaysia itu, Karen menulis di akhbar The Guardian (Julai 2007):  


"... I arrived in Kuala Lumpur to find that the Malaysian government had banned three of my books as 'incompatible with peace and social harmony'.
"This was surprising because the government had invited me to Malaysia, and sponsored two of my public lectures.
"Their position was absurd, because it is impossible to exert this type of censorship in the electronic age."


Pengarang buku 'A History of God' dan 'Muhammad: A biography of the prophet' (dua lagi bukunya yang diharamkan di sini pada 2005) menyindir begini:

"In fact, my books seemed so popular in Malaysia that I found myself wondering if the veto was part of a Machiavellian plot to entice the public to read them."

Namun, tindakan bebal ini bukan hanya terkhusus pada kajian fundamentalisme Karen.

Seingat saya, sekurang-kurangnya ada dua lagi buku mengulas gejala fundamentalisme Islam (kedua-duanya pengarang Muslim) diharamkan sewaktu dunia sedang berminat memahami gejala ini, khususnya dalam konteks radikalisme agama.

Kita tertanya-tanya kenapa kajian atau kupasan tentang fundamentalisme agama, termasuk Islam, diharamkan sedangkan isu ini topik utama dunia dalam tempoh beberapa dekad mutakhir. Gejala fundamentalisme bukan terkhusus pada Islam. Malah, semua agama termasuk Kristian dan Hindu juga mewarisi trend seumpamanya.

Buku Karen itu 'The Battle for God: Fundamentalism in Judaism, Christianity and Islam' mengupas fundamentalisme tiga agama besar ini. Ia sangat mendalam dan mengasyikkan bagi peminat kajian politik gerakan Islam ala PAS, Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) atau Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim).

(ii)

Utusan Malaysia, Umno dan Dr Mahathir Mohamad pernah berperang dengan gerakan dakwah dan gejala fundamentalisme sejak lewat 1970-an. Tetapi tidak lama selepas tokoh Umno ini meninggalkan kerusi teratas kepemimpinan negara, birokrasi agama kita bertukar sebuah gerakan dakwah fundamentalis pula!

Seolah-olahnya birokrasi agama ini dan kerajaan terkena sumpahan Firaun. Gara-gara takut takhtanya digoncang seorang anak muda (kemudian dikenali sebagai Musa), raja Mesir ini memerintahkan agar semua bayi lelaki dibunuh.

Tetapi dia tidak sedar anak kecil yang ditemui di tepi sungai itulah pemuda yang dicari-carinya. Lalu anak kecil ini dimanjai dan dibesarkan di istana gahnya sendiri. Mimpi ngerinya menjelma sebagai Nabi Musa.

Barangkali perlambangan tadi tidak serasi dengan isu fundamentalisme yang kita bahaskan di sini. Tetapi sumpahan Firaun itu masih tepat untuk menunjukkan ketololan pemerintah berdepan dengan ancaman fundamentalisme.

Gejala yang dianggap oleh kerajaan dan Umno mengancamnya dan cuba dikawalnya habis-habisan suatu waktu dulu, kini dibiarkan subur dalam jelmaan baru, jelmaan Jakim atau KDN. Kajian fundamentalisme agama yang seharusnya disebarkan seluas-luasnya agar rakyat memahami dan berwaspada kini disorok daripada pengetahuan umum.

Jika Abdullah memerangi buku-buku kajian fundamentalisme agama, kini Najib Abdul Razak bercakap tentang bahaya pluralisme dan liberalisme agama -- seolah-olah perdana menteri kita sedang berdakwah lagak seorang anggota kumpulan Tabligh!

Tidak cukup pengharaman buku-buku, Jakim pula keliru antara diskusi isu fundamentalisme, yakni isu sosio-politik gerakan agama seperti PAS, dengan wacana "Islam liberal". Alangkah jauhnya penyimpangan Jakim dalam memahami persoalan politik dan intelektual umat.

Jika di zaman Dr Mahathir, tokoh seumpama Ulil Abshar mungkin saja diundang untuk mengupas bagaimana kita memahami dan mendekati gerakan fundamentalis agama.

Namun, ada sumpahan tolol lain yang Jakim dan KDN harus ambil iktibar. Buku Karen, yang diharamkan pada 2005, akhirnya dibatalkan larangannya tiga tahun kemudian!

'A History of God: The 4,000-Year Quest of Judaism, Christianity and Islam', yang melonjakkan nama Karen, ditarik balik selepas kejadian pelik pada 2007.

Sewaktu Karen diundang berucap di sebuah institut bawah Kementerian Luar Malaysia di Kuala Lumpur, sewaktu sesi soal jawab, seorang peserta menggesa kerajaan menarik balik pengharamannya.

Usulan ringkas peserta itu mendapat tepukan gemuruh para peserta lain! Menteri luar Syed Hamid Albar pasti masih ingat tepukan gemuruh itu.

Setahun kemudian, Mei 2008, KDN memansuhkan ketololannya sendiri. Apakah nasib Ulil Abshar nanti seberuntung Karen?



FATHI ARIS OMAR, seorang editor Malaysiakini, mengenali Ulil Abshar Abdalla dari dekat sejak menjalankan kajian di Jakarta sedekad lalu. 

Lihat sebelum ini..

Anda ziarah blog ini... http://hafizfirdaus.com/ebook/HimpunanRisalah1/chapter12%20intro.htm (Membongkar Aliran Islam Liberal Hafiz Firdaus Abdullah)
Sila lihat kandungannya..

Jakim Mahu Diskusi Meja Bulat Islam Lliberal Disekat



Ketua Pengarah Jakim Datuk Othman Mustapha menegaskan hanya pegangan ahli Sunnah Wal Jamaah sahaja yang boleh diamalkan di Malaysia. – Gambar fail The Malaysian Insider, 10 Oktober, 2014.  
Ketua Pengarah Jakim Datuk Othman Mustapha menegaskan hanya pegangan ahli Sunnah Wal Jamaah sahaja yang boleh diamalkan di Malaysia. – Gambar fail The Malaysian Insider, 10 Oktober, 2014.  

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berpandangan cadangan penganjuran diskusi meja bulat membincangkan soal fundamentalisme tentang agama melibatkan seorang tokoh liberal luar negara perlu disekat.

Ketua Pengarah Jakim Datuk Othman Mustapha berkata jabatan itu mengambil maklum usaha pihak tertentu untuk membawa masuk seorang tokoh liberalisme agama luar negara ke satu perbincangan meja bulat bertajuk "Tentangan Fundamentalisme Agama di Abad Ini" di Bukit Damansara pada 18 Oktober.

Beliau menegaskan Malaysia berpegang kepada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah berdasarkan kepada keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Tahun 1996 yang menetapkan hanya aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah sahaja dibenarkan diamalkan di Malaysia.

"Maka sebarang usaha membawa pemikiran yang bertentangan dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah dan dikenalpasti boleh memberi ancaman dan menggugat pegangan akidah umat Islam di Malaysia perlu dihalang dan disekat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan beliau merujuk kepada diskusi anjuran Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global (GMM) bersama Islamic Renaissance Front yang dijadualkan diadakan antara lain menampilkan tokoh liberal Indonesia Dr Ulil Abshar Abdalla.

Selain Ulil Abshar, anggota panel lain yang dijangka mengambil bahagian ialah pensyarah Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Prof Tajuddin Rosdi dan Dr Ahmad Farouk Musa dari Islamic Renaissance Front.

Othman berkata Jakim berpandangan usaha meja bulat untuk membincangkan isu berkaitan liberalisme agama yang dicadangkan perlu dihentikan kerana tokoh yang terlibat adalah dalam kalangan mereka yang tidak mempunyai autoriti dan boleh membawa implikasi buruk yang boleh menimbulkan keresahan awam.

Beliau berkata pihaknya juga maklum tokoh yang diundang merupakan pendokong aliran pemikiran liberal yang dikaitkan sebagai penyokong ajaran Ahmadiah/Qadiani yang difatwakan keluar daripada Islam di Malaysia dan Indonesia.

"Penampilan pihak-pihak ini ke Malaysia bukan sahaja boleh merosakkan hukum syarak secara halus, malah bahaya dan dikuatiri boleh menggugat persoalan akidah," katanya.

Pandangan Jakim itu, katanya adalah selari dengan Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali ke-8 yang bersidang pada 24-25 September 1984 yang membincangkan Penyelewengan Qadiani/Ahmadiah.

Katanya muzakarah memutuskan bahawa puak Qadiani /Ahmadiah adalah puak yang terkeluar daripada Islam dan tidak boleh menerima hak-hak sebagai seorang Islam termasuk pengkebumian dalam tanah perkuburan Islam.

Sehubungan itu, katanya, Jakim memaklumkan perkara itu kepada Kementerian Dalam Negeri dan berharap penganjurannya disekat. – Bernama, 10 Oktober, 2014.

Lihat sebelum ini..
    Anda ziarah blog ini... http://hafizfirdaus.com/ebook/HimpunanRisalah1/chapter12%20intro.htm (Membongkar Aliran Islam Liberal Hafiz Firdaus Abdullah)
    Sila lihat kandungannya..

    Bom Di B/Bintang: Kaji Semula Pusat Hiburan Jadi Pusat Maksiat..

    ANAK panah menunjukkan arah suspek membaling dua butir bom tangan ke arah pemandu Toyota Vellfire di hadapan sebuah pusat hiburan di Sun Complex, Bukit Bintang semalam

    Ibnu Hasyim
    KUALA LUMPUR – Kerajaan diseru kaji semula kegiatan pusat hiburan yang lari dari matlamat hiburan asal untuk ketenangan bertukar menjadi pusat maksiat atau sarang yang melahirkan pelbagai kegiatan jenayah.

    Demikian dinyatakan editor weblog Ibnu Hasyim, Dr Hj Mohd Hasyim di sini sebentar tadi.
     

    Kenyataan ini dibuat berikutan seorang joki kereta lelaki maut selepas terkena letupan sebutir bom tangan yang disasarkan pada salah seorang pengunjung pusat hiburan Cherry Blossom di bangunan Sun Complex, Bukit Bintang di sini awal pagi semalam.

    Dalam kejadian pukul 4.25 pagi itu, mangsa, Tiong Kwang Yie, 36, yang berasal di Sibu, Sarawak maut pada pukul 10.20 pagi semasa mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur. Seramai 12 pengunjung pusat hiburan tersebut turut tercedera terkena letupan berkenaan terdiri daripada empat wanita dan lapan lelaki.

    Enam daripadanya merupakan warga tempatan, empat warga China, seorang warga Singapura dan seorang lagi merupakan rakyat Thailand.

    Unit Pemusnah Bom berjaya memusnahkan satu lagi bom yang ditemui di lokasi kejadian letupan di Jalan Bukit Bintang, pagi Khamis.



    Mangsa kejadian letupan bom yang enggan mendedahkan identitinya dibenarkan pulang selepas mendapat rawatan di HKL petang Khamis.

    "Sudah terkenal sekarang kebanyakan kegiatan-kegiatan jenayah datang dari pusat-pusat hiburan seperti pembunuhan, pelacuran, GRO asing, penyeludupan, dadah, kegiatan gangster dan kesalahan-kesalahan yang menghina kesucian agama-agama di negara ini." Kata Dr Hj Mohd Hasyim.

    "Pihak bertanggung jawab perlu tangani segera, cari dan selesaikan punca masalah. Contohnya, kalau kawasan kotor banyak burung gagak,  tak perlu tembak gagak, bersihkan kawasan itu, gagak akan tiada dengan sendirinya.

    "Bersih dan betulkan matlamat pusat hiburan dari hal-hal bermaksiat dan jenayah..  Supaya jadi tempat hiburan yang sebenarnya demi keselesaan rakyat. Begitu sepatutnya.." Jelas Hj Mohd lagi. (IH)

    Lacur Di Arab 5: Penyakit Mematikan Sampai Buang Anak

    Penyakit mematikan sampai buang anak
    Pelatihan TKW.

    "KAK N sekarang jadi kurus kering, dah sakit-sakit. Nggak kelihatan lagi habis pulang dari Jeddah," kata Ipeh (nama samaran), karyawati Balai Latihan Kerja di Condet, Jakarta Timur. Memang mereka beberapa eks pembantu rumah tangga sambil jadi pelacur, khususnya di Arab Saudi. Kini terjangkit penyakit mematikan, seperti HIV / AIDS

    "Pas dia (N) mengajukan kembali menjadi TKW (Tenaga Kerja Indonesia) dalam hasil laporan kesihatannya positif terkena virus itu," katanya ketika ditemui merdeka.com di Jakarta kelmarin

    Akhirnya permohonan N ditolak dan dia dikembalikan ke kampung halamannya di Bandung, Jawa Barat. Selain penyakit berjangkit seksual, beberapa TKW memilih menelantarkan anaknya. Biasanya buah hati hasil hubungan gelap dengan majikannya akan dibuang apabila kembali ke tanah air.

    "Kalau nggak, dipulaukan keluarga atau diceraikan suami di rumah. Mereka banyak dititipin atau dibuang begitu sahaja," kata Diki, kakitangan agensi perkhidmatan anak korban TKW.  


    Menurut lelaki 37 tahun ini, banyak eks TKW kembali bekerja ke tempat lamanya sehabis menelantarkan anaknya. Di yayasan terletak di Jakarta sudah menampung puluhan anak berwajah Arab dirawat secara percuma. Diki pernah mencari bayi tiga tahun ditinggalkan begitu saja di terminal kepulangan TKI di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno Hatta, Tangerang, Banten.

    Ipeh mengakui penyaluran TKW ke Timur Tengah lebih banyak bermasalah berbanding Asia. Bagi calon TKW untuk Asia, latihan diberikan lebih ketat dan sesuai standard perkhidmatan untuk rumah tangga.  


    "Kalau dibandingkan dengan Hong Kong, Taiwan, Singapura, Korea, lebih bagus," ujarnya.

    Untuk keperluan menjadi TKW terbilang mudah. Cukup melampirkan biodata, pasport, dan visa bekerja. Selain itu, beberapa keperluan kesihatan lalu mengikuti program latihan tugas rumah tangga selama beberapa hari. Kemudian diterbangkan ke negara destinasi. "Latihan etikanya belum ada secara baik. Banyak TKW nakal dari orangnya sendiri," tuturnya.(IH)


    Apakah artinya ‘AIDS’?


    Lihat sebelum ini..

    Bersambung..

    Vietnam: Menunggu Datangnya Dai'e

    Oleh DR RIDUAN MOHAMAD NOR 

    JAUH lagi ke kampong orang Islam imam?” Tanya saya kepada Imam Abdul Azim yang bertindak sebagai pemandu rombongan kami dalam misi korban ke Vietnam. Saya membetulkan tempat duduk, tulang belakang disengat rasa lenguh dengan bas kecil yang tersedak-sedak membelah aspal yang berdebu dan  deretan panjang kenderaan bertali arus. Resah dan rimas apabila terperangkap dalam kesesakan sebegitu, sebahagian anggota rombongan mengambil peluang untuk melelapkan mata. Semenjak pesawat terbang terbang rendah lagi sehingga menampakkan hamparan bumi Saigon yang rata, dengan jajaran Bandar yang semakin melebar berbanding sepuluh tahun lepas.

    “Boleh mati sakit jantung jika melihat cara orang Vietnam bawa kenderaan,” seorang teman memecah hening. Motosikal merajai jalan-jalanraya negara yang sedang membangun itu pasca konflik perang yang panjang. Topi keledar mereka dengan beragam fesyen, jauh daripada spesifikasi keselamatan yang piawai.

    “Semua benda dari buah-buahan sehingga batang tiang letrik pun nak diangkut dengan motor” sambung teman yang lain. Saya hanya menatap kosong pemandangan di kiri kanan yang tak terhenti deretan kedai yang sangat panjang. Ditambah dengan jambatan demi jambatan menghubungi antara daratan yang terpisah dengan jaluran sungai yang berselirat. Bumi Indochina ini kelihatan begitu basah dengan jajaran sungai, juga teratai yang terapung. Indah tak terperi.

    Hati saya digaru keterujaan untuk menyingkap bumi bersejarah legasi Ho Chin Minh, sosok komunis yang sederhana itu. Sejak kecil Vietnam dipasak dalam benak saya dengan seribu konotasi negatif, bermula dengan filem-filem Hollywood yang memaparkan ‘super hero’ Amerika seperti filem Rambo, juga aksi lasak penangan Chuck Norris, juga genre perang seperti Platoon, Nam (tour of Duty) dan sebagainya.

    “Rasanya tentera Amerika yang lari terkencing di bumi yang asing ini…,” getus saya setelah akhirnya beberapa kali menyusuri Vietnam yang masih malu membuka rahsia kemenangan mereka.

    Filem-filem Hong Kong pula juga berjasa dalam memburukkan wajah Vietnam kepada dunia terutama penjenayah berdarah dingin Hong kong akan dipaparkan sebagai imigran miskin dari Vietnam. Vietnam adalah ‘Wilayah Gelap’ yang digambarkan dengan manusia pengotor yang makan apa sahaja binatang yang merayap diatas muka bumi. Juga gadis-gadis berkulit kuning berbusana nipis yang membuka peha, menjual maruah diri untuk mencari sesuap nasi.

    “Jackie Chan dalam siri filem polis Hong Kong juga tidak pernah bertoleransi dalam mewajahkan manusia Vietnam - hodoh, berhati kering, sanggup membunuh untuk tukaran wang yang rendah - begitu buruk dan sanggup melakukan apa sahaja,” desis saya, teringatkan puluhan filem negara kapitalis Asia itu yang memburukkan Vietnam dan warganya.

    Wajah-wajah buruk dan hodoh  tentera Vietcong seperti ‘tin biskut’ adalah gambaran tipikal tentera komunis yang diburu oleh Amerika. Saya dan generasi seumur dipasak kukuh tentang kezaliman Vietcong, dibangku sekolah rendah tentera Vietcong adalah musuh yang berjaya dicipta oleh Amerika untuk kami benci. Kami anak-anak kampong yang naïf bersorak sorai keriangan melihat aksi sadis tentera Amerika membunuh bangsa Vietnam yang dipaparkan di filem Hollywood. Gambaran hitam Vietnam juga terselit dengan ingatan tentang orang ‘hanyut’ diperairan Terengganu pada tahun 70-an dan awal tahun 80-an sehingga Pulau Bidong di Terengganu menampung puluhan ribu pelarian di bawah bendera PBB.

    Perjalanan kami seolah tak berhujung. Saya terhantuk-hantuk dengan bas kami yang tersedak di tengah jalanan kembali bertanya Abdul Azim. “Jauh lagi ke?.” Sebahagian kami tertidur, antara lena dan jaga, dimamah kepenatan dengan jalan sesak di Saigon. Saigon yang bernafas dalam debu ini baru sahaja bangkit dari keterpurukan, mula diterima sebagai anggota ASEAN tetapi FDInya telah memintas Malaysia yang mewabak dengan penyakit korupsi yang semakin parah. Rasuah adalah Penyakit paling dibenci oleh pelabur asing dan peniaga.

    “Dalam tiga jam lebih,” jawab Abdul Azim yang pernah membantu kami sebelum ini dalam menjayakan misi korban dipeta luka umat Islam. Dia Imam yang berasal dari Wilayah Chou Duc, berhijrah ke Bandar dan menjadi imam di Masjid An Nur HCM.

    Negara Vietnam juga pernah merakamkan nama di langit sejarah kerana pernah menyaksikan anak watan menentang penjajah Amerika dalam dekad 60-an sehinggalah pertengahan dekad 70-an. Episod berdarah ini disorot dengan lensa kamera di seluruh dunia sehingga menimbulkan fenomena bantahan anak-anak muda di pelbagai belahan dunia terutama di negara Eropah, Australia dan juga Asia. Anak-anak muda berambut panjang, berseluar ketat dan diselimuti kejutan rock ‘woodstock’ telah memprotes perang Vietnam ini.

    Perang Vietnam telah memunculkan irama rock sebagai genre music protes anak-anak muda, banyak kumpulan rock yang muncul mengekspreasikan bantahan melalui lirik dan lagu mereka. Genre dan fesyen rock telah bertebaran sehangat bantahan terhadap perang Vietnam.

    Gerakan anti perang ini juga akhirnya menjadi fenomena anak-anak muda kampus dalam dekad 60-an sehinggalah pertengahan dekad 70-an yang akhirnya Amerika terpaksa mengalah kepada bantahan dunia dan meredakan kegelisahan rakyatnya sendiri yang marah dengan angka kematian tenteranya yang sentiasa meningkat. Beg mayat bewarna hitam yang semakin banyak dikirim ke amerika semakin meningkatkan bantahan.

    Perjalanan ke kampong Muslim itu mengambil jarak masa yang lama berbanding anggaran awal kami, iaitu selama tiga jam setelah menempuh kesesakan lalu lintas Saigon atau dikenali sebagai Ho Chin Minh City yang mempunyai kepadatan penduduk seramai Sembilan juta jiwa. Kenderaan terutama motosikal berdesakan di jalan raya berdebu dan pemanduan yang boleh menyebabkan kita boleh mengalami kegagalan jantung. Hampir 70 peratus penduduk menggunakan motosikal berbanding kenderaan lain.

    “Boleh kaya kita kalau datang buka kedai motosikal disini….,” kata Saiful yang masih bujang cuba berlucu. Deruman motor dengan asap yang mengepul ke udara adalah warna-warni kehidupan dikota yang kumuh ini. Juga melambangkan kemiskinan dan kemelaratan.

    “Tapi tak boleh kasi ansuran, mahu hilang terus,” jawab yang lain. Ketawa meledak seketika, Saigon juga menyakitkan mata dengan pendawaian letrik yang huru hara.

    “Wah, TNB kat sini kena kerja siang dan malam,” kami melirik ke arah manusia beruniform yang sedang melakukan kerja berhampiran pencawang eletrik yang agak tidak terurus. Dengan hujan yang tidak menentu saya menjangkakan letrik akan sentiasa meragam di sudut-sudut terpencil bandar ini. Mungkin juga kerana Saigon adalah Bandar tua yang telah berusia ratusan tahun sejak penjajahan Siam, Peranchis, Jepun, bahkan berlarutan dengan pecahnya perang IndoChina yang meluluh apa yang telah dibina. Di kawasan Bandar baru, keadaan agak moden seperti juga ibu kota negara kita, terutama dengan syarikat konglomerat yang membina bangunan mereka sendiri di sini terutama dari Amerika Syarikat.

    Misi Korban

    Saya dan teman-teman 12 orang ditemani dengan kotak-kotak yang berisi dengan bantuan peralatan ibadah dan kitab jawi. Misi kami adalah untuk melaksanakan ibadah korban di perkampungan muslim di negara republik Sosialis yang tidak mesra umat Islam itu. Diskriminasi tersembunyi dalam ruang bongkah yang dalam, seperti semut di batuan hitam.

    Lembu-lembu korban untuk disembelih terpaksa diimpot dari negara kemboja yang berjiran dengannya kerana bekalan lembu tempatan tidak mencukupi. Penganjur program korban pula terpaksa berhadapan dengan soal siasat pihak berkuasa. Kesan mendadak pula, harga lembu juga turut mendadak naik di Kemboja kerana permintaan yang sangat tinggi dari negara jirannya, Vietnam.

    Vietnam yang pernah dijajah oleh Peranchis juga menyaksikan penularan pengaruh kristian sehingga mengasak ke perkampungan muslim.

    “Orang Vietnam secara umumnya tidak kuat berpegang kepada agama, ini kemungkinan kerana sejarah pemerintahan komunis,” ujar seorang teman. Pemerintahan komunis tidak mesra agama dan orang Islam selalunya menjadi mangsa seperti yang berlaku di Cambodia, China, Rusia, Yugoslavia.

    “Inilah masa paling baik kepada pendakwah untuk memasarkan Islam kepada orang Vietnam, berbanding dengan 10 tahun lepas, hari ini bertambah baik untuk orang luar masuk ke Vietnam,” tingkah yang lain. Keterujaan itu meruap urat nadi darah, kerana pendakwah akan berterusan meraih pahala diakhirat setelah berlumas di dunia ini.

    Saya mengangguk setuju, wilayah yang suatu masa dahulu berakar dengan komunis kini agak terbuka untuk Islam seperti negara Kesatuan Russia, China, Cambodia. Peluang ini harus dimanfaatkan dengan pantas sebagaimana gerakan kristian yang sentiasa mengintai peluang. Dengan dana yang besar mereka sentiasa dihadapan merengkuh pengaruh.

    Melayu Cham Di Vietnam Yang Masih Utuh Dengan Budaya Melayu

    “Eh..mereka faham cakap Melayu,” seorang peserta korban teruja melihat orang Cham memahami pertuturan rombongan dari Malaysia. Juga mereka menggunakan tulisan jawi di madrasah-madrasah seluruh Vietnam.

    “Banyak istilah mereka guna, sama dengan istilah kita,” sampuk yang lain pula dengan muka teruja. Orang Melayu Cham di negara ini sebagaimana juga orang Melayu di Kemboja agak terpuruk berbanding kaum lain namun kehidupan mereka masih dilingkari dengan adat Melayu dan agama Islam yang masih menebal. Ramai kalangan anak-anak orang Melayu Cham yang dihantar belajar Islam di Malaysia dan juga Pattani, antaranya Ustaz Shafie yang belajar di Kelantan dan masih bercita-cita untuk melanjutkan pelajaran ke Afrika Selatan. Afrika Selatan pula akhir-akhir ini mula disebut sebagai destinasi popular pelajar agama terutama ilmu-ilmu dakwah, juga mengasah bakat berbahasa Arab dan juga Inggeris sebagai wahana yang penting dalam berdakwah.

    Di bumi Vietnam mereka tidak mengharapkan bantuan kerajaan. Antara yang biasa membantu ialah NGO dari Negara Arab dan Turki. NGO Turki baru sahaja pandai menyantuni umat Islam Vietnam, tahun lepas ada NGO Turki yang menyembelih 700 ekor lembu korban, kesannya harga lembu tahun ini mula meningkat sedikit dengan permainan manipulasi ‘kapitalis kecil’. Bangsa Turki mempunyai keharuman sejarah mereka yang tersendiri, moyang mereka lebih 600 tahun menjadi adijagat dunia. Di Saigon sendiri hampir dihuni oleh 5000 orang muslim namun syiar Islam tidak begitu terasa. Saya mengimpikan sebuah masjid besar yang berpusat seperti pusat Islam yang menjadi pengkalan dakwah di tengah Negara republik ini, paling kurang seperti Pusat Islam Kowloon di Kota Hong Kong yang pernah saya lawati.

    Pagi hari kedua kami di perkampungan muslim kami mengagihkan barang bantuan dan juga mengorbankan lembu disembelih. Kami dijemput untuk makan dirumah salah seorang ahli jawatankuasa masjid. Jamuan nasi dengan hidangan daging masak sup ‘ala vietnam’ itu tetap menyelerakan walaupun ringkas.

    “tambah lagi, jangan malu, makan biar kenyang...,” pelawa mereka ramah, kami makan di serambi masjid Kampung Tay Ninh yang kelihatan agak bersih. Kampung itu menjadi pusat penyembelihan dan dagingnya akan diagihkan ke perkampungan muslim di sekitar. Kami bergilir-gilir menyembelih korban dengan bertakbir beramai-ramai mengiringi upacara penyembelihan, juga sibuk merakamkan foto untuk tatapan peserta korban dari Malaysia.

    Vietnam adalah ladang dakwah yang subur, secara jangka panjangnya, umat Islam memerlukan ramai pendakwah dan ulama tempatan. Ia hanya boleh dimunculkan dengan wujudnya banyak madrasah-madrasah, sekolah tahfiz, bahkan Universiti Islam yang akan melahirkan generasi yang celik agama. Ibadah korban hanyalah pencetus awal untuk masyarakat di sini merasakan mahalnya harga sebuah ukhuwwah, juga merasakan jatidiri muslim mereka serta dipedulikan oleh muslim antarabangsa yang lain.

    (Penulis ialah Exco Muslim Care Malaysia, aktivis tanpa sempadan)

    Thursday, October 09, 2014

    Islam: Bukan Untuk Orang Arab Atau Melayu Sahaja. -TG Nik Aziz


    KOTA BHARU: Hampir 30 orang para sami Budha dari seluruh negeri Kelantan hadir ke majlis ramah mesra di kediaman Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, di Pulau Melaka semalam.

    Rombongan sami itu diketuai Ketua Majlis Sangha Negeri Kelantan Phra Vicharan Vuthikhon. Tuan Guru yang juga bekas Menteri Besar Kelantan, ketika ditemui berkata, kehadiran rombongan sami itu dapat mengeratkan lagi hubungan beliau dengan golongan bukan Islam.

    Katanya, pada masa yang sama ianya turut mempamerkan keindahan Islam pada golongan itu.

    “Sekarang ni timbul masalah bermacam-macam bangsa, Cina ada parti dia, Melayu ada parti dia, sedangkan Islam datang untuk manusia bukan untuk orang Arab atau Melayu sahaja.
    “Kewajipan kita semua termasuk saya sendiri untuk memberi kefahaman Islam adalah untuk agama semua bangsa termasuk kaum Cina,” ujarnya.

    Turut hadir pada majlis itu Pegawai Khas Menteri Besar Kelantan, Lau Chin Chua, Pegawai Urusetia Penerangan Kerajaan Kelantan, Lim Guan Seng dan lain-lain pimpinan hubungan antara kaum. - HARAKAHDAILY 9/10/2014

    LinkWithin

    Related Posts with Thumbnails