Saturday, October 11, 2014

Bajet 2015: Suntik Ekuinas Tidak Bantu Rakyat Terbanyak -Dr Mujahid




KUALA LUMPUR: Bajet 2015 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri hanya menumpukan usaha mengembangkan ekonomi dalam bentuk syer tetapi bukan dalam bentuk individu, demikian menurut Ahli Parlimen Parit Buntar Datuk Dr Mujahid Yusuf Rawa.

Beliau berkata, jika dilihat di peringkat bawah masih terdapat kesenjangan pendapatan yang melibatkan 53 peratus rakyat Malaysia yang tidak ada apa-apa aset kewangan.

"Hanya 80 peratus daripada berpendapatan rendah iaitu 22 peratus sahaja yang ada aset kewangan. Ini menyebabkan pendapatan boleh guna tidak dapat ditingkatkan.
"Saya melihat 53 peratus mereka yang tidak ada aset kewangan itu, 80 peratus daripada itu adalah bumiputera," katanya kepada Harakahdaily.

Mengulas lanjut Bajat 2015, katanya walaupun Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan akan menyuntik Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas) supaya syer bumiputera bertambah malangnya ia bukan dalam bentuk individu.

"Yang kita maksudkan 80 peratus tidak punyai aset kewangan. Dan ini menyebabkan dia tidak ada wang lebihan untuk berbelanja seterusnya menjadi beban kepada rakyat,"katanya.

Justeru katanya, bagi melihat kedudukan realiti rakyat negara ini perlu mengambil kira kesenjangan pendapatan bukan syer yang dimiliki oleh bumiputera.

"Nampaknya perjalanan kita lebih jauh lagi. Bajet ini adalah satu usaha tetapi tidak berjaya menyelesaikan soal ketirisan dan rasuah yang masih membimbangkan kita,"tegas beliau. - HARAKAHDAILY 11/10/2014

Bajet 2015 'bajet sakit' -Suhaizan Kaiyat


KUALA LUMPUR: Pemuda PAS Malaysia menyifatkan Bajet 2015 sebagai belanjawan kurang sihat apabila lebih banyak peruntukan pengurusan berbanding pembangunan. Ketuanya, Suhaizan Kaiyat berkata, nisbah peruntukan untuk pengurusan adalah 80 peratus berbanding untuk pembangunan sebanyak 20 peratus.

"Ini menunjukkan bajet yang kurang sihat kerana bajet untuk pengurusan terlalu banyak.
"Kalau untuk pengurusan maksudnya belanja hangus, tiada pulangan," kata beliau pada sidang media di Pejabat Agung PAS Pusat, Jalan Raja Laut, dekat sini.

Suhaizan juga berkata, kerajaan lebih banyak mengumumkan projek pembangunan di bandar berbanding di luar bandar.

"Projek-projek pembangunan hanya bertumpu di bandar dan meminggirkan luar bandar.
"Di negeri-negeri misalnya Kelantan masih tidak mendapat peruntukan yang sepatutnya," katanya.

Kawal harga rumah

Menyentuh insentif untuk golongan muda pula, beliau menyambut baik pemberian kemudahan untuk golongan muda membeli rumah pertana namun mahu kerajaan turut mengawal kenaikan harga rumah.

"Memang ada insentif untuk golongan muda membeli rumah pertama tapi saya tidak nampak bagaimana kerajaan boleh mengawal kenaikan harga rumah.
"Harga rumah naik mendadak hingga golongan muda yang berpendapatan sederhana tidak mampu untuk membeli rumah," katanya lagi.

Untung peraih

Sementara itu beliau berkata, peruntukan RM100 juta untuk menyelesaikan masalah penoreh getah tidak diberikan terus kepada penoreh sebaliknya memberi keuntungan kepada peraih.

"Insentif 100 juta untuk penoreh tidak dapat menyelesaikan masalah penoreh yang berhadapan masalah penurunan harga getah sebaliknya diberikan kepada peraih," katanya.

Selain itu tegasnya, walaupun petrol tidak dikenakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) tetapi tiada jaminan kerajaan tidak akan menaikkan harga petrol.

"Memang kerajaan umum petrol tak dikenakan GST tapi apa jaminan kerajaan tak akan naikkan harga minyak? Sekarang pun minyak dah naik 20 sen," katanya. - HARAKAHDAILY 11/10/2014

TURUN, Gamis & Pemuda PAS Bantah Harga Minyak Naik.


Sekumpulan 150 orang aktivis anak muda berarak hampir sejam di kawasan pusat membeli belah Jalan Tuanku Abdul Rahman petang ini bagi menyatakan bantahan ke atas kenaikan terbaru harga minyak.

Acara yang disertai aktivis Gerakan Turun Kos Sara Hidup (TURUN), Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) dan Pemuda PAS itu merupakan susulan kepada memorandum bantahan mereka ke parlimen, Rabu lalu.

Ia antara lainnya dikepalai oleh ketua Pemuda PAS, Suhaizan Kaiat, pengerusi TURUN, Mohamad Azan Safar. Sambil berarak, kumpulan peserta berkenaan bertepuk tangan dan menyanyikan lagu yang menuntut Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak meletak jawatan atas kenaikan harga bahan api itu.

Kumpulan itu membawa sepanduk, antaranya dengan slogan "Jangan kangkungkan kami", "Menteri ikat perut, rakyat jerut leher" dan "Turunkan harga minyak". Kumpulan yang diawasi beberapa orang anggota polis itu turut melaungkan slogan dengan nada sama.

Terdahulu, kumpulan berkenaan berhimpun di hadapan Kompleks Pertama selama kira-kira 10 minit dan mula berarak mengelilingi kompleks berkenaan. Mereka turut mengelilingi pusat membeli belah Sogo melalui Jalan Tunku Abdul Rahman, Jalan Raja Laut dan Jalan Semarang sebelum bersurai pada jam 4 petang.

Ketika ditemui pemberita selepas itu, Suhaizan berkata usaha seperti itu akan diteruskan sehingga kerajaan menurunkan harga petrol RON95 dan diesel.

"Kita akan buat lagi minggu depan dan akan teruskan sampai kita rasa puas hati dan sehingga harga minyak diturunkan.
"Tidak semestinya berarak. Kita akan buat pelbagai cara untuk terus bantah. Kehadiran peserta hari ini pun menunjukkan petanda yang bagus," ujarnya.

Berkuatkuasa 2 Oktober, petrol RON95 dijual pada harga RM2.30 seliter dan diesel pula RM2.20. Najib dalam pembentangan Bajet 2015 semalam seterusnya mengumumkan cukai GST 6 peratus tidak akan dikenakan ke atas jualan kedua-dua bahan tersebut. (MK)

Tiada 'wow factor' Dalam Bajet 2015-Dr Dzulkefly




Bajet 2015 Sekadar 'melepas batuk di tangga' 

KUALA LUMPUR: Pengarah Pusat Penyelidikan dan Pembangunan PAS, Dr Dzulkefly Ahmad menyifatkan Bajet 2015 yang dibentangkan Perdaa Menteri semalam, tidak lebih sekadar mahu melepas batuk ditangga.

Beliau berpendapat, Datuk Seri Najib Razak sepatutnya menggunakan Bajet 2015 secara baik bagi mendidik rakyat tentang kedudukan ekonomi dan kewangan negara yang kini berdepan dengan risiko untuk diturunkan Penarafan Negara atau Sovereign Rating oleh Badan Penarafan Antarabangsa.

"Puncanya ialah hutang kerajaan pusat terkini RM586 bilion. 16 tahun defisit fiskal dan jaminan pinjaman oleh kerajaan ke atas GLC atau 'contingent liabilities' ke paras RM157 bilion.

"Pada awal nampak macam sudah insaf tetapi jelas bahawa langkah konsolidasi fiskal hanya 'melepas batuk ditangga' ketika perbelanjaan mewah diperuntukkan semacam  tidak berdepan apa-apa masalah," katanya.

Menurut Dzulkefly yang juga AJK PAS Pusat, belanja mewah itu termasuk peruntukan besar kepada Jabatan Perdana Menteri iaitu RM19 bilion, Pan Borneo Highway yang sudah masuk enam kali disebut dalam bajet, projek-projek infrastruktur, pelbagai insentif-insentif cukai dan sebagainya.

"Perkara yang baik tetap baik, tapi sengaja berbelanja besar kerana takut hilang adalah sangat tidak bertanggungjawab.

Dzulkifli juga melahirkan kebimbangan, apakah Bajet 2015 ini akan mengalami nasib yang sama dengan yang lain dari segi ketirisan dan kebocoran yang akhirnya akan menggagalkan pencapaian program-program yang baik.

Sebab itu katanya, Pakatan Rakyat turut membentangkan belanjawan alternatif sebagai penyemak imbang agar wujud persaingan sihat. - HARAKAHDAILY 11/10/2014

Minta RM2.9J, Culik Konstabel Zakia Aliep -Masih Runding..




Malaysia sedang berunding dengan kumpulan penculik bagi pembebasan tanpa bayaran tebusan anggota polis marin Konstabel Zakia Aliep yang diculik di sebuah pusat peranginan di Pulau Mabul, Semporna pada Julai lepas.

Pengarah Jabatan Keselamatan Negeri Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Senior DCP Datuk Muhammad Fuad Abu Zarim berkata rundingan sebelum ini menemui jalan buntu kerana kumpulan penculik menuntut wang tebusan yang tinggi antara RM3 juta hingga RM10 juta.

Katanya Zakia yang diculik kumpulan penceroboh pada 12 Julai lepas berada dalam keadaan sihat dan selamat berdasarkan panggilan telefon kepada isterinya dan beliau dipercayai berada di lokasi di pedalaman selatan Filipina bersempadanan dengan Sabah.

"Kita tengah berunding. Mereka menuntut 40 juta peso (RM2.9 juta). Kadarnya ada naik dan turun. Mereka ada memberi sepuluh hari dan kita tunda. Rundingan masih boleh diteuskan.
"Apa yang penting, kalau boleh kita mahu membuat pembebasan tanpa sebarang bayaran dan pihak sana boleh membebaskannya secepat mungkin," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kebajikan ke rumah bapa Zakia di Kampung Tinuhan, di Tuaran, hari ini.

Turut hadir Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jalaluddin Abdul Rahman dan Komander Pasukan Polis Marin Datuk Abd Aziz Yusoff. Muhammad Fuad berkata pihaknya bekerjasama rapat dengan kerajaan dan pasukan keselamatan Filipina untuk meneruskan rundingan dan menurutnya Zakia  menghubungi keluarganya sebanyak 82 kali sejak dilarikan kumpulan penculik itu. Ditanya lokasi Zakia ditawan, beliau berkata kumpulan penculik dipercayai sentiasa bergerak dan berpindah tempat persembunyian yang berkemungkinan di kawasan hutan.

"Isterinya tidak tahu di mana dia berada kerana melalui percakapan dengan Zakia, kumpulan itu sering berpindah dari suatu tempat ke suatu tempat. Apabila isteri cuba bertanya pihak sana tidak mahu mendedahkan lokasi. Apabila mereka rasa tidak selamat akan pindah dan pindah di kawasan pedalaman kemungkinan kawasan hutan," katanya.

Beliau berkata pasukan polis akan berusaha dan bertangungjawab sepenuhnya untuk menentukan keselamatan Zakia dan kembali ke pangkuan keluarga.

"Kita mahu dia dibebaskan dengan selamat dan oleh sebab itu, kita mengambil masa tiga bulan (untuk berunding) dan keadaan masih terkawal dan dia (Zakia) masih okay kerana kita tahu pihak sana tidak mendera dan memukul ... kita perlu ambil masa," katanya.

Berhubung lawatan kebajikan itu, Muhammad Fuad berkata ia sebagai tanda sokongan kepada keluarga Zakia dengan menyampaikan sumbangan kepada ibu bapa Zakia iaitu Juna Gumbur, 54, dan Aliep Sadu, 54,  serta isteri Zakia, Sharifah Erna Berson, 22, dan anak mereka, Muhd Hisyam Izzuddin yang berusia tujuh bulan.

"Kita memberi harapan kepada keluarga Zakia pasukan polis sentiasa mengambil berat dari segi kebajikan dan kita ada orang yang tengah membuat rundingan ... kita hendak beliau (Zakia) bebas dengan selamat," katanya.

Dalam pada itu, Muhammad Fuad berkata pengusaha ikan dalam sangkar Chan Sai Chiun yang diculik di Kampung Sapang Air, Kunak pada 16 Jun lepas juga dipercayai berada dalam keadaan selamat dan rundingan juga sedang diadakan dengan pihak penculik bagi pembebasannya tanpa bayaran tebusan. – Bernama, 11 Oktober, 2014.

Bajet 2015 mengecewakan, 'mengulangi benda sama' -Anwar




KL: Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim melahirkan rasa kecewa terhadap Bajet 2015 yang dibentangkan Perdana Menteri di Parlimen semalam.

Menurutnya, bajet yang dibentang Datuk Seri Najib semalam itu lebih kepada 'mengulangi benda sama' seperti bajet-bajet terdahulu.

Malah kata beliau, Najib gagal untuk menangani masalah peningkatan kos hidup rakyat yang kini sangat terbeban dengan pelbagai kenaikan.

"Bagi saya soalnya kos meningkat tidak yang dapat ditangani. Peningkatan harga minyak tak munasabah dalam keadaan harga minyak antarabangsa turun.

"Soal kebocoran, ketirisan, rasuah, tidak ada tender dalam beberapa kontrak besar menyebabkan kos meningkat, dan hal ini tidak disentuh," katanya ketika diminta memberi ulasan awal terhadap pembentangan bajet itu semalam.

Beliau juga berkata, kesan bahaya akibat kebocoran berbilion ringgit yang tidak ditangani, telah memangsakan rakyat dengan beban kenaikan harga termasuk harga minyak.

"Soal GST, bukan pengecualian semata-mata tetapi pendekatan yang akan pasti meningkatkan harga barang," tegasnya.

Menurut Anwar, semua perkara itu akan dibangkitkan beliau pada sesi perbahasan bajet, minggu depan. - HARAKAHDAILY 11/10/2014

Parti Arak Oktoberfest, Ini Sikap Azmin.


Shah Alam: Selari dengan arahan Menteri Besar Selangor, Azmin Ali agar acara parti arak Oktoberfest diadakan mengikut peraturan,  penganjurnya Carlsberg Malaysia terpaksa memindahkan acara tiga hari tu ke kawasan letak kereta bertingkat.

Majlis Bandaraya Petaling Jaya mengarahkan acara berkenaan dijalankan di lokasi tertutup, susulan bantahan oleh pemimpin Umno dan PAS. Penganjur turut menegaskan bahawa acara berkenaan "khusus untuk pengguna bukan Islam berusia 18 tahun ke atas"

Demikian lapor Malaysiakini.

Itu sikap Azmin, Menteri Besar Selangor. Sementara segerombolan pemimpin kanan DAP dan PKR muncul untuk memberi sokongan kepada penganjur parti arak Oktoberfest, yang terpaksa memindahkan upacara tersebut ke lokasi tertutup tersebut.

Menurut MP Kelana Jaya, Wong Chen, gerombolan itu diketuai penasihat DAP, Lim Kit Siang yang tiba seawal jam 9 malam di pusat membeli-belah 1Utama, Petaling Jaya bagi menyertai parti berkenaan.

Turut hadir ialah setiausaha publisiti DAP, Tony Pua, ADUN Bukit Gasing R Rajiv dan ADUN Damansara Utama, Yeo Bee Yin. Wong Chen berkata beliau hadir ke program tersebut bersama penasihat undang-undang PKR, R Sivarasa demi mempertahankan hak orang yang minum alkohol.

“Saya bukan seornag peminuum tapi saya percaya pada hak orang yang minum dan tidak minum. Cuma, jangan memaksa niat anda pada orang lain.
“Untuk peminum, anda ada satu lagi tanggungjawab untuk tidak memandu dalam keadaan mabuk,”
 

Menurut berita itu lagi. (IH)

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails