Thursday, February 09, 2017

4 Jam Cetak Senaskhah Al-Quran Braille













 Al-quran Braille diberi secara percuma kepada ahli Pertis selain diwakafkan di masjid dan surau mengikut sistem penajaan individu persendirian serta badan korporat.

LANGKAH wanita bertongkat putih itu disusun cermat mendaki anak tangga menuju tingkat dua sebuah premis bernombor 42 yang terletak di Jalan Padang Belia, Brickfields, Kuala Lumpur.
Usai tiba, Nor Bainun Zakaria, 40-an, meraba-raba dinding mencari suis loceng dan memicitnya. Kemudian seorang petugas datang lalu memimpinnya duduk di satu sudut bagi menanti kehadiran penyelia di tempat itu.
“Bahagian ini ada silap sedikit Haji,” tuturnya sebaik seorang lelaki datang bertemunya seraya menghulurkan kitab Munyatul Musolli versi Braille karangan Sheikh Daud Abdullah Al-Fattani yang dikeluarkan dari beg sandangnya. Dengan tenang, lelaki yang dipanggil Haji itu atau nama lengkapnya Muhammad Lee Abdullah, 50, menyentuh barisan titik-titik timbul pada satu helaian naskhah tersebut dan ‘membacanya’ buat seketika.
Kemudian, beliau mengeluarkan halaman dikatakan tersalah taip itu dan masuk ke dalam sebuah bilik yang dipenuhi tujuh mesin percetakan dan mula mengetik papan kekunci komputer untuk membuat salinan baharu.
Beroperasi antara deretan rumah kedai dua tingkat, premis tersebut merupakan Unit Penerbitan Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (Pertis) yang baru berpindah ke situ awal tahun lalu.
Menurut Muhammad Lee, kesilapan sebegitu kadangkala terjadi pada salinan teks yang dibuat pertama kali dan diketahui jika pengguna tidak dapat membaca perkataan atau suatu istilah yang ditulis dalam sistem Braille.
Katanya, Pertis merupakan pertubuhan pertama menghasilkan al-Quran Braille dalam bentuk data komputer atau soft copy di negara ini dan mendapat pengiktirafan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan kelulusan Kementerian Dalam Negeri (KDN) sejak 1997. Dari situ, Pertis mula menyalin semula kitab seperti Hadis 40 Imam Nawawi, Kitab Tafsir Pimpinan al-Rahman, buku panduan haji, umrah, tajwid, Iqra di samping buku-buku motivasi.
Buku teks
 SITI NAJIHA menggunakan perisian JAWS yang boleh mengeluarkan suara untuk membantu dalam kerja-kerja menaip.

Pertis turut diberi kepercayaan oleh Kementerian Pendidikan untuk menerbitkan buku teks untuk pelajar sekolah pendidikan khas sejak tahun 2011.

Muhammad Lee yang menyelia aktiviti percetakan dan penerbitan di Pertis bercerita, beliau merupakan individu terawal di negara ini menukarkan kod aksara papan kekunci komputer pada kod Braille menggunakan perisian Terjemahan Duxbury Braille (DBT).


“Saya mula memasukkan kod Braille al-Quran kepada kod Braille berkomputer dari November 1994 hingga Mac 1995. Jika tidak silap, al-Quran digital Braille belum ada lagi pada waktu tersebut. Jadi saya niatkan untuk beri salinan itu kepada Pertis.
“Selepas itu, kami mengambil masa empat tahun untuk menyemak bacaan dan hukum tajwid. Kami turut menghantarnya kepada pelbagai pihak untuk tujuan semakan,” ujarnya.
Bagi memudahkan tugas, komputer yang digunakan Muhammad Lee turut dilengkapi satu lagi perisian dikenali sebagai JAWS yang boleh mengeluarkan suara dan membaca satu persatu ayat yang dipaparkan di skrin.
Muhammad Lee memeluk Islam pada usia 20 tahun. Namun, sebenarnya, anak kelahiran Banting, Selangor itu telah mempelajari subjek Pendidikan Islam semasa menuntut di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Princess Elizabeth, Johor Bahru, Johor.
“Seingat saya, semasa itu saya darjah tiga. Selepas memeluk Islam, saya mempelajari al-Quran Braille di Darul Kifayah Kuala Lumpur,” katanya yang pernah bertugas sebagai guru Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) selama beberapa tahun.
Proses mencetak
MUHAMMAD LEE terlibat dalam usaha percetakan al-Quran Braille sejak 1994.

Sementara itu, Pembantu Penerbitan Pertis, Siti Najiha Abdul Rahman, 25, berkata, proses mencetak senaskhah al-Quran menggunakan mesin pencetak yang dipanggil embosser mengambil masa kira-kira empat jam.
Tambahnya, tidak seperti buku biasa, al-Quran dibahagikan kepada enam jilid dengan setiap satu mengandungi lima juzuk. Hal ini kerana kertas Braille agak tebal. Paling banyak setiap jilid menggunakan sehingga 197 helai kertas.
Biarpun tidak dapat melihat, gadis yang memiliki perwatakan ceria itu kelihatan selesa melakukan tugas-tugasnya termasuk menaip, menjilid dan mengendalikan embosser.
“Butang-butang yang terdapat mesin pencetak embosser turut dilengkapi tulisan Braille untuk kami mengetahui fungsinya. Setiap butangnya juga boleh mengeluarkan suara apabila ditekan.
“Di sini, hanya ada tiga orang bertugas termasuk saya. Kami tidak sepanjang masa mencetak al-Quran kerana ia dibuat mengikut permintaan sahaja,” ujar anak jati Melaka itu.
Tambah Siti Najiha, dalam menyediakan bahan bacaan Braille, adakalanya, mereka perlu meminta bantuan sukarelawan untuk membacakan buku-buku yang ingin disalin setelah mendapat kebenaran daripada penerbit atau penulisnya.
“Namun ia akan mengambil masa yang lama. Mungkin juga bukan keseluruhan teks boleh disalin kerana kami biasanya perlu mempertimbangkan maklumat yang perlu diberi prioriti untuk mempercepatkan proses itu.
“Bagi pihak penerbit biasanya mereka mudah memberi keizinan kerana kami tidak berorientasi keuntungan. Namun lebih mudah jika kami boleh mendapatkan salinan soft copy sesuatu naskhah untuk menukar kod Braille dengan lebih pantas,” katanya.
Kelas al-Quran
 SISTEM tulisan Braille pada asasnya mempunyai enam titik.

Naib Yang Dipertua Pertis, Zamzuri Ghani berkata, al-Quran Braille tersebut diberi percuma kepada ahli-ahli mereka mengikut sistem penajaan oleh individu persendirian atau badan korporat selain diwakafkan di masjid dan surau memandangkan ia tidak dijual di kedai-kedai buku.

Menurutnya, Pertis turut menganjurkan kelas pengajian al-Quran dua kali sebulan melibatkan 70 peserta bertempat di Pertubuhan Orang Buta Malaysia (MAB) di Brickfields.
“Cepat atau lambat belajar al-Quran Braille ini bergantung kepada tahap sensitiviti jari. Kalau tidak, jadi masalah kerana mereka tidak dapat merasa sistem tulisan dan mengenal huruf.
“Masalah ini biasanya berlaku pada mereka yang baru hilang penglihatan akibat penyakit tertentu atau kemalangan. Dalam hal ini kita bersedia mengajar mengikut kesesuaian tahap pelajar,” katanya.
Katanya, terdapat empat guru yang mengajar di kelas pengajian al-Quran tersebut secara separuh masa. Lantaran itu, Pertis turut bercadang melatih individu celik mempelajari al-Quran Braille supaya lebih ramai yang mempunyai kemahiran membacanya,” ujarnya.
PERTIS
  • Ditubuhkan pada 1996
  • Mempunyai 1,600 ahli di seluruh negara
  • Membuat penyelidikan terutamanya mengenai tulisan al-Quran Braille khasnya yang digunakan di peringkat antarabangsa
  • Mengembangkan pengetahuan Teknologi Komunikasi Maklumat dalam kalangan ahli
  • Alamat Unit Penerbitan Pertis No. 42, Jalan Padang Belia, Brickfields, Kuala Lumpur
  • Telefon: 03-2276 2634
(Disebarkan oleh IH/Kosmo!)

PERHATIAN
Peluang kerja kosong di Korea Selatan hanya dengan modal RM3,00 termasuk tambang dan khidmat..

Pakistan Sekat Filem Shah Rukh Khan Ini, Wajar Kerana Islam.


AFP - Shah RUKH KHAN menjalani sesi fotografi ketika mempromosikan filem Raees di Mumbai, India pada 30 Januari lalu.



HALAMAN HIBURAN
ISLAMABAD – Tindakan Pakistan mengharamkan filem Bollywood, Raees yang menampilkan aktor popular, Shah Rukh Khan mencetuskan kemarahan pengguna media sosial semalam.
Islamabad mengharamkan filem itu kerana didakwa menggambarkan orang Islam sebagai pengganas. Filem Bollywood dan Shah Rukh sememangnya popular di Pakistan, manakala Raees turut menampilkan aktres popular Pakistan, Mahira Khan.
Namun, industri perfileman Bollywood turut menjadi medan persengketaan politik ketika ketegangan antara dua negara kuasa nuklear itu memun­cak berikutan perebutan wilayah Kashmir.
“Filem ini menggambarkan orang Islam sebagai pengganas dan golo­ngan ganas,” kata Pengerusi Lembaga Penapisan Filem Pakistan, Mubahsar Hassan.
Seorang pegawai lain turut mempu­nyai pandangan serupa.
“Filem ini membawa mesej bahawa semua orang Islam melakukan perkara jahat dan terlibat dengan jenayah,” kata pegawai tersebut yang enggan mendedahkan identitinya.
Namun, ramai peminat menolak hujah tersebut kerana menyifatkan seni boleh menyentuh tentang politik, namun politik tidak mempunyai tempat dalam seni.
“Pengharaman Raees adalah tidak munasabah,” kata penerbit filem Pakis­tan, Hasan Zaidi. – AFP
Komen Weblog Ibnu Hasyim: Berita ini mengemukakan 2 pandangan.
  1. Pandangan Islamabad yang mengharamkan filem itu kerana didakwa menggambarkan orang Islam sebagai pengganas. Ini pandangan yang baik dan sepatutnya, untuk menjaga sensitiviti umat beragama.
  2. Pandangan yang kononnya, 'mencetuskan kemarahan pengguna media sosial'. Kononnya lagi, 'ramai peminat menolak hujah tersebut kerana menyifatkan seni boleh menyentuh tentang politik, namun politik tidak mempunyai tempat dalam seni.' Ini pendapat karut, yang disodorkan kepada orang Islam, sedangkan di barat sendiri politik menguasai semua termasuk seni dan lain-lain.
PERHATIAN
Peluang kerja kosong di Korea Selatan hanya dengan modal RM3,00 termasuk tambang dan khidmat..

Artis Mustapha Kamal Pun Ajak Umat Islam Hadir Himpunan RUU 355


HALAMAN HIBURAN

KOTA BHARU: Artis Mustapha Kamal menyeru umat Islam hadir pada Himpunan RUU355 yang akan diadakan 18 Febuari ini.(lihat gambar)

Artis yang lebih mesra dengan panggilan ‘abe Mus’ atau nama sebenarnya Mustapha Kamal Mohd Daud, menyeru orang ramai berbuat demikian agar perlaksanaan RUU355 yang akan dibentangkan Mac ini berjaya diadakan.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi Harakahdaily hari ini bagi mendapat pandangannya terhadap perlaksanaan RUU355 itu.

Pada masa yang sama, beliau berkata sebagai umat Islam, tidak ada sebab baginya untuk menolak perlaksanaan undang-undang itu.

“Ia untuk memperkasakan undang-undang syariah yang ada demi kepentingan kita umat Islam khususnya pada generasi akan datang.

“Kita bantu agama Allah, Allah akan bantu kita, insya-Allah,” ujarnya.

Beliau turut berpendapat, RUU355 perlu dilaksanakan, memandangkan umat kini mencari kesejahteraan hidup berikutan gejala sosial yang semakin tenat.

Sementara itu, di akaun media sosial miliknya, artis berkenaan turut memuat turun sekeping gambar beliau bersama Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sebagai tanda sokongannya terhadap RUU 355. – HARAKAHDAILY 8/2/2017


PERHATIAN
Peluang kerja kosong di Korea Selatan hanya dengan modal RM3,00 termasuk tambang dan khidmat..

Purple: Dataran Merdeka Ke Padang Merbok




Alhamdulillah, hari ini secara rasminya telah dimuktamad dan diluluskan Padang Merbok, Kuala Lumpur yang terletak berhampiran dengan Dataran Merdeka sebagai lokasi yang dibenarkan untuk Himpunan 355 pada 18 Februari 2017 kelak.

Sebelum ini, pihak Sekretariat H355 telah mengemukakan permohonan untuk mendapatkan Dataran Merdeka sebagai lokasi Himpunan 355 tetapi ianya telah ditolak oleh pihak DBKL. Malah rayuan pihak kami juga telah ditolak.

Namun kami Sekretariat H355 mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kerana akhirnya pihak DBKL membenarkan Himpunan 355 diadakan di Padang Merbok yang terletak tidak jauh dari lokasi asal iaitu Dataran Merdeka. Malah keluasan antara keduanya juga tidak jauh berbeza.

Rombongan Sekretariat H355 yang diketuai oleh Pengarah Himpunan 355 YB Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi dan Setiausahanya Kamaruzaman Mohamad  hari ini telah menemui Encik Norazam Mohamed Nor Timbalan Pengarah (Hortikultur) DBKL di pejabat beliau Menara DBKL 3 Jalan Raja Abdullah Kuala Lumpur bagi membincangkan beberapa perkara penting berkait kelancaran Himpunan 355 kelak.

Pada jam 2.30 petang tadi pula, pertemuan bersama ACP Mohd Sukri Kaman, OCPD Dang Wangi telah dilangsungkan bagi tujuan yang sama dan mendapat permit himpunan dari pihak PDRM. 

Justeru itu, seluruh rakyat Malaysia dijemput hadir mengimarahkan Himpunan 355 dan men"purple"kan Kotaraya Kuala Lumpur dengan semangat kesatuan dan kemuliaan ummah dan pastinya ia bakal menjadi himpunan bersejarah ummat Islam serta seluruh rakyat (tanpa mengira agama dan bangsa) yang menghormati hak ummat Islam untuk beramal dengan syariah Islam yang diwahyukan oleh Allah SWT Tuhan Yang Maha Mencipta.

Himpunan 355 ini bukan sahaja aman tetapi sarat dengan pengisian yang akan membina spiritual, mental dan fizikal secara santai melalui acara dan aktiviti menarik yang akan dipersembahkan kepada peserta himpunan. Bahkan himpunan ini dianjurkan dengan penuh semangat persaudaraan lantas memupuk kesejahteraan melalui usaha memperkasakan syariah Islamiyah.

Himpunan 355 ini secara rasmi yang akan bermula seawal jam 2.30 petang, Sabtu 18 Feb 2017 sehinggalah bersurai pada jam 11.00 malam. Antara aktiviti menarik ialah:

i - Pentas Anak Muda bersama selebriti undangan dan hiburan yang Islamik
ii - Ceria Ilmiah bersama Ybhg Ustaz Azhar Idrus dan soal jawab agama
iii - Solat Asar, Maghrib dan Isyak berjamaah
iv - Solat, Munajat dan Tazkirah dipimpin oleh Sohibus Samahah Datuk Dr Zulkifli Al Bakri Mufti Wilayah Persekutuan
v - Bayan Amal Islami oleh pimpinan Jamaah Tabligh.
vi - Selawat cinta Rasul SAW pimpinan para Habaib Hafizahumullah.
vii - Pidato pimpinan masyarakat, NGO dan tokoh-tokoh negara.
viii - Deklarasi Himpunan 355
ix - Pidato YB Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang selaku Naib Presiden Kesatuan Ulamak Islam Sedunia.

Para peserta Himpunan 355 disarankan datang awal bagi mengelak dari terperangkap dalam kesesakan lalulintas. Pihak penganjur tidak menyediakan parking khas bagi kenderaan sebaliknya mengesyorkan supaya kenderaan seperti bas serta lainnya menurunkan penumpang di Masjid Negara dan seumpamanya. Kemudian disarankan agar kenderaan mengambil parking masing-masing di luar kawasan ibukota sebelum masuk kembali sebelah malam untuk mengambil penumpang.

Kenderaan besar boleh juga mengambil parking di pinggir ibukota, kemudian peserta masuk ke lokasi menggunakan kenderaan awam seperti LRT dan Komuter.

Peraturan dan Arahan Am buat peserta Himpunan 355 akan dikeluarkan sedikit masa lagi. Nasihat saya agar semua hadir dengan tertib dan mempamerkan akhlak mulia. Tidak melakukan provokasi, sebaliknya memelihara ketenteraman awam, menjaga kebersihan, tidak merosakkan harta awam dan alam sekitar. Beri kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa dan petugas Himpunan 355 yang menjalankan khidmat mereka mengurus himpunan yang besar ini.

Kami juga ingin tegaskan bahawa himpunan ini bukan demonstrasi atau perarakan yang mencetus huru hara dan gangguan kepada ketenteraman orang ramai, sebaliknya ia satu himpunan aman selaras dengan Akta Perhimpunan Aman. Langkah ini diambil bagi mengelak sebarang pertembungan dengan pihak berkuasa dan memastikan himpunan ini berjalan dengan jayanya.

Syariah Diperkasa Rakyat Sejahtera

Tuan Ibrahim Tuan Man
Pengerusi Sekretariat H355

G/Eng Tuduh K'tan Muflis.. Dah Meroyan Ke?




AHMAD FADHLI SHAARI 

"SAYA membaca kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng seperti yang disiarkan oleh Berita Harian hari ini 8 Februari 2017 yang menyatakan bahawa Kelantan adalah sebuah negeri gagal dan muflis, berikutan ditadbir oleh PAS, sebuah parti yang gagal. " Kata penulis Ahmad Fadhil Shaari.

"Saya sifatkan kenyataan Guan Eng tersebut hanyalah untuk mengalih tumpuan daripada kontroversi campur tangan terhadap fatwa yang berlaku di Pulau Pinang pada hari ini. Di dalam usaha mengalih perhatian tersebut, Guan Eng menyerang Kelantan.

"Barangkali pada tanggapannya, dengan menjadikan Kelantan sebagai sasaran, seluruh perhatian ke Pulau Pinang ekoran keceluparannya sendiri akan terhenti seketika. Namun, meletakkan Kelantan sebagai sasaran hanya akan menjadikan Guan Eng sebagai bahan ketawa." Tulis Ahmad Fadhil.

Menurut Ahmad Fadhil, Guan Eng memfintah Kelantan sebagai sebuah negeri yang muflis pada saat Negeri Kelantan berada pada kedudukan ke-3 tertinggi di Malaysia dari sudut pemilikan kediaman iaitu sebanyak 83.9%.

"Saya mencabar Guan Eng untuk mendatangkan statistik berapakah peratus pemilikan kediaman di Pulau Pinang bersama perbandingan di antara kekuatan ekonomi Bumiputera di negeri yang ‘sangat kaya’ itu.

"Saya barangkali boleh sedikit membantu Guan Eng mengingatkan beliau terhadap fakta bahawa mengikut laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (2014), populasi penduduk Pulau Pinang adalah 1.663 juta orang iaitu Cina (42.2 peratus), Melayu (41.3 peratus), India (9.8 peratus), bangsa-bangsa lain termasuk warga asing (6.7 peratus).

"Bagaimanapun dari sudut pemilikan tanah, Pejabat Tanah dan Galian pada 2010 telah mengeluarkan statistik bahawa pemilikan tanah oleh kaum Cina di Pulau Pinang mengikut bilangan hak milik adalah sebanyak 64 peratus, manakala Melayu pula hanya 28 peratus dan India sebanyak 8 peratus."

Menurut Ahmad Fadhil lagi, ni bukan isu perkauman, ini adalah fakta dan timbanglah sendiri mengikut neraca yang sihat dan adil. Tepatkah peratus pemilikan tersebut jika dibandingkan peratus bilangan penduduk?

Kelantan Lebih Baik Dari Pulau Pinang

Adalah lebih baik Kelantan yang diktakan muflis ini jika dibandingkan dengan Pulau Pinang dari sudut menjaga hak pribumi bumiputera dan keadilan untuk rakyat.

Ahmad Fadhil juga memaklumkan,

  • Untuk makluman Guan Eng juga, sumber dari Khazanah Research Institute pada tahun 2016 juga menunjukkan Pulau Pinang sebagai negeri ketiga tertinggi dari sudut ketidakmampuan rakyat untuk membeli rumah. 
  • Sekalipun gaji bulanan (pertengahan) rakyat Pulau Pinang berada di angka RM4,702.00 namun harga rumah (pertengahan) di negeri tersebut ialah RM295,000.00 berbanding Kelantan yang walaupun gaji bulanan (pertengahan) di negeri ini ialah RM2.716.00 namun harga rumah (pertengahan) di negeri ini hanyalah sekitar RM157,740.00. 
  • Ia sekaligus meletakkan Pulau Pinang berada di tangga indeks 5.2 iaiti sangat tidak mampu dimiliki berbanding Kelantan hanya di tangga indeks 4.8. Apa yang lebihnya Pulau Pinang sehingga anda melabelkan kami sebagai negeri hampir bangkrap?
  • Suka untuk saya nyatakan kepada Guan Eng, Kelantan telah mencatatkan penurunan kadar kemiskinan sebanyak 1.8% daripada 2.7% pada 2012 kepada 0.9% pada tahun 2014.
  • Pencapaian ‘negeri bangkrap’ ini juga dari sudut anggaran tahunan hasil negeri meningkat dari tahun ke setahun di mana pada tahun 2017, Kelantan mengunjurkanmemperolehi hasil sebanyak RM636.98 juta yang meliputi hasil cukai sebanyak RM179.67 juta, Hasil Bukan Cukai sebanyak RM308.02 juta dan Terimaan Bukan Hasil sebanyak RM149.29 juta. 
  • Jumlah tersebut menunjukkan berlakunya peningkatan dalam hasil sebanyak RM43.18 juta ataupun sebanyak 7.27% berbanding dengan anggaran hasil tahun 2016 sebanyak RM593.80 juta.

Bukan Gagal..

Menurut beliau lagi,

"Adapun kegagalan (sebenarnya bukan gagal) pemimpin kami membeli rumah banglo yang dilengkapi dengan kolam renang, ia bukanlah kerana Kelantan tidak mempunyai wang dan hampir bangkrap, tetapi negeri ini sudah diasaskan di atas prinsip Membangun Bersama Islam. Prinsip ini sudah cukup menyejukkan tanpa memerlukan kolam renang untuk menurunkan suhu kepanasan.

"Hakikatnya, membuat perbandingan ‘apple to apple’ di antara dua buah kerajaan negeri ini adalah tidak adil kerana banyak lagi faktor perlu ditimbangkan, namun menuduh dengan bahasa kesat bahawa Kelantan ialah sebuah negeri yang bangkrap dan muflis ialah satu tuduhan yang sangat tidak berperikemanusiaan.

"Kelantan terus ditadbir dengan baik oleh kerajaan PAS. Projek-projek persekutuan sekalipun ada yang mengalami diskriminasi, namun sebahagiannya berjalan sekalipun pemimpin negeri tidak berpegangan tangan mesra dengan pemimpin UMNO di atas lantai kaca. Cukup hanya sekadar bergambar bersama pun sudah dilambakkan dengan tuduhan ‘UG’ oleh lidah-lidah pengikut Guan Eng.

"Saya hanya memilih menjawab beberapa serangan sahaja sebelum menjawab beberapa isu lain. Samalah seperti seperti kata Guan Eng sewaktu ditanya kenapa tidak menyaman Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang, jawabnya “Kenapa perlu membuang masa..?”


Nasihat Untuk G/Eng.

"Saya syorkan kepada Guan Eng, nikmatilah hari-hari terakhir sebagai seorang manusia yang bebas dengan sebaik mungkin. Bimbang nanti jika anda ‘ke dalam’ untuk kali kedua, lebih ramai yang bergembira daripada yang bersimpati dengan nasib tuan."

Lapor HARAKAHDAILY 8/2/2017

(IH)

PERHATIAN
Peluang kerja kosong di Korea Selatan hanya dengan modal RM3,00 termasuk tambang dan khidmat..

Wednesday, February 08, 2017

Pertandingan Foto Bikini Dibatal 'atas sebab-sebab dalaman'.


Pertandingan Foto Bikini Dibatal Selepas Tular 24 Jam

HALAMAN HIBURAN

BANGI – Setelah tular 24 jam sehingga menerima bantahan keras daripada pelbagai pihak setempat, penganjur pertandingan fotografi bikini akhirnya membatalkan program kontroversi berkenaan.

Menurut seorang pegawai acara syarikat Icreative Event, Charyl Ng yang dipetik portal MalaysiaKini, mereka terpaksa akur dan membatalkan pertandingan tersebut “atas sebab-sebab dalaman” yang tidak dapat dinyatakan.
“Dengan rasa dukacita, kami perlu membatalkan acara berkenaan dan ia dilakukan sebab masalah dalaman. Kami bagaimanapun tidak boleh beritahu buat masa ini,”kata beliau secara ringkas ketika dihubungi hari ini.
Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Daerah Hulu Langat dilapor membantah penganjuran pertandingan melibatkan supermodel antarabangsa di Bangi Wonderland Theme Park and Resort di Bangi Avenue pada 19 Februari ini.
Yang Dipertuanya, Mohd. Noor Azib Asmangi dilaporkan portal Ismaweb sebagai berkata bahawa penganjuran program tersebut jelas sengaja mencabar sensitiviti penduduk Bangi yang kebanyakannya beragama Islam.
Malah, kata beliau, ia tidak selari dengan slogan “Bangi Bandar Berilmu” yang dilaungkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PAS Bangi, Ustaz Shafie Ngah dan menjadikan kehidupan Islam sebagai teras penduduknya.
“Program seperti ini perlu dibatalkan sebagai menghormati penduduk yang majoritinya ialah Melayu Islam. Pihak ISMA sendiri menolak sekeras-kerasnya penganjuran program yang tidak memberi manfaat kepada umat Islam.
“Penganjurnya memang mempromosikan program-program yang berbentuk sosial serta tidak bermoral secara terbuka sebegini,” kata Mohd. Noor Azib sekali gus menggesa penduduk bersama-sama membantah program itu.
ISMA turut akan berhubung dengan persatuan penduduk setempat terutama di Bangi Avenue, Bandar Seri Putra, Taman Impian Putra dan Bukit Mahkota untuk membincangkan usaha mengeluarkan petisyen bantahan bersama.
Pemuda PAS Kawasan Serdang menerusi ketuanya, Rosli Jusoh dilaporkan turut membantah keras penganjuran program dedah aurat itu yang dikatakan “tidak membawa sebarang faedah terhadap masyarakat setempat”.
Justeru beliau menyeru pihak berkuasa menggunakan peruntukan undang-undang bagi menghalang acara itu serta menyeru bantahan awam dibuat terhadapnya. Acara itu bakal diadakan di sebuah taman tema air baharu dibuka.
Pemenang pertandingan foto bikini itu akan meraih wang tunai RM500, trofi dan tiket masuk acara makan malam gala program itu yang bernilai RM300 setiap kerusi sehingga RM10,000 semeja. – Agensi

PERHATIAN
Peluang kerja kosong di Korea Selatan hanya dengan modal RM3,00 termasuk tambang dan khidmat..

Orang Ramai Diseru Sertai Himpunan RUU355 -Royalti.



KOTA BHARU:  Pertubuhan Royalti (R) Kelantan menyokong penuh usaha ke arah mengukuhkan sistem perundangan syariah di Malaysia. Bagi merealisasikan perkara itu, R Kelantan akan menyertai Himpunan 355 yang akan diadakan di Dataran Merdeka pada 18 Februari ini.

Presidennya, Nazri Deraman berkata, pihaknya menyokong usaha tersebut memandangkan ia merupakan salah satu langkah  ke arah menjaga kepentingan muslim.

Beliau menambah, R Kelantan, berpendirian menyokong sepenuhnya bil itu  kerana  menginsafi  pindaan undang-undang tersebut akan membawa kepada pembaikan pengamalan undang-undang Islam di Malaysia.

Sehubungan itu, beliau  menyeru semua pihak tidak menjadikan RUU 355 sebagai isu politik, perkauman.

“Setelah ia diketengahkan sebagai suatu Rang Undang-Undang Persendirian, diharap perbahasan sihat berlaku dengan baik di Parlimen.
“Segala permainan politik dalam hal-hal sebegini akan membawa akibat  buruk kepada rakyat,” ujarnya.

Sambungnya, ia bertepatan dengan roh Perlembagaan Malaysia yang meletakkan Islam sebagai Agama Persekutuan yang mempunyai kedudukannya tertinggi seperti yang terkandung di dalam Perkara 3.

Beliau turut menyeru orang ramai menyertai Himpunan RUU 355 ini. – HARAKAHDAILY 8/2/2017

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails