Friday, July 21, 2017

Pusat Hiburan Sarang Maksiat. 8 Artis Dicekup Pesta Dadah.

8 Artis Popular Indonesia Dicekup Pesta Dadah
HALAMAN HIBURAN

JAKARTA – Lapan artis Indonesia termasuk Dian Pretty Asmara, ditahan dalam serbuan pihak berkuasa ke atas sebuah bilik karaoke di sebuah hotel di sini, awal Isnin ketika leka berpesta dadah.

Ketua Bahagian Hubungan Masyarakat Polis Daerah Metro Jaya, Argo Yuwono dipetik oleh media dalam talian berkata, kesemua artis terbabit ditahan ketika menyertai satu pesta dadah anjuran mereka sendiri.
Katanya, bertindak atas siasatan dan intipan selama dua minggu, polis menyerbu bilik hotel dan karaoke hotel itu pada tengah malam semalam ketika kesemua artis berkenaan sedang berkumpul dan mengambil dadah.
Penahanan Dian, 39, aktres dan pelawak popular yang masih bujang serta berasal dari Lumajang, wilayah Jawa Timur turut mengejutkan media tempatan kerana imej penampilan dirinya yang agak gemuk dan sihat.
Turut ditahan di Hotel Grand Mercure Kemayoran, Jakarta Pusat itu ialah penyanyi dangdut dengan identiti dirujuk sebagai EY, ES dan MA, pelakon sinteron AH, model GL, pemain filem layar lebar SS serta penyanyi pop DW.
Polis menjumpai 0.9 gram dadah jenis ice dan alat menghisapnya dalam sebuah bilik hotel serta merampas 1.12 gram ice, 23 pil ekstasi dan 25 pil dadah jenis H5 dalam bilik karaoke tempat artis itu sedang berkumpul.
Argo berkata, kesemua mereka ditahan untuk siasatan lanjut dan polis juga sedang mengesan seorang lagi suspek yang dipercayai menjadi pengedar dadah kepada golongan artis itu.
Katanya, selain itu, polis turut merampas wang tunai berjumlah 25 juta rupiah (kira-kira RM80,134), dipercayai hasil kutipan pesta dadah itu.
Penyalahgunaan dadah dalam kalangan artis Indonesia dilaporkan semakin berleluasa dan beberapa artis popular sebelum ini juga pernah ditahan pihak polis kerana terbabit kes narkotik seumpama itu. Lapor BERNAMA.
Soalnya, mengapa pihak berkuasa negara umat Islam masih membiarkan pusat-pusat hiburan masih bergelumang dengan maksiat seperti dadah, arak, judi, lacur sukarela dan amalan-amalan syaitan lainnya? (IH)


Kes Culik/Tebusan Wanita S'pura Di Filipina Angkara Ah Long..



REUTERS - De LA ROSA (kanan) bercakap dengan seorang daripada 44 suspek kes culik yang ditahan di Ibu Pejabat Polis di Manila semalam.



MANILA – Seramai 44 suspek warga China dan Malaysia ditahan di Filipina kerana menculik dan memukul seorang wanita Singapura yang dilarikan dari sebuah kasino di Manila, kata pihak berkuasa semalam.
Setiausaha Rendah Keadilan, Erickson Balmes berkata, polis menemui mangsa, Wu Yan, 48, di sebuah kondominium di sini kelmarin.
“Dia dijumpai sehari selepas diculik oleh dua rakyat Malaysia yang menjadi anggota geng tersebut.
“Mangsa ditahan, dikurung, dipukul dan diugut oleh penculiknya. Mereka meminta wang tebusan AS$180,000 (RM773,000) untuk membebaskannya,” kata Balmes.
Polis berkata, dua rakyat Malaysia bersama 42 suspek China itu ditahan selepas mangsa diselamatkan. Mereka akan didakwa kerana menculik.
“Kumpulan ini dipercayai mendalangi penculikan warga asing yang berbelanja besar di kasino sejak beberapa bulan lalu,” kata Balmes.
Beliau tidak memberikan maklumat lanjut mengenai kes penculikan lain atau apa yang berlaku kepada mangsa berkenaan.
Jurucakap Unit Antipenculikan Polis Filipina, Abelardo Borromeo berkata, anggota geng itu dipercayai merupakan sebahagian daripada sindiket ah long yang beroperasi di kawasan genting yang menempatkan kasino-kasino berkenaan di hadapan Teluk Manila.
Mangsa sedang berjuddi sebuah kasino sebelum dua suspek Malaysia itu ‘berkawan’ dengannya dan mengajak dia mencuba nasib di kasino lain di kawasan sama, kata Borromeo.
Bagaimanapun, suspek membawa mangsa ke kondominium tersebut dan menuntut wang tebusan, tambahnya.
Semalam, Ketua Polis Filipina, Jeneral Ronald Dela Rosa berikrar akan membasmi penculikan ketika kesemua suspek berkenaan ditampilkan kepada pihak media.
“Kamu bebas datang berjudi, tetapi kamu tidak bebas melakukan jenayah ketika berada di Filipina,” katanya kepada mereka. – AFP

Arab Saudi, Batalkan Sekatan Terhadap Qatar! -TPM Turki.


 REUTERS - AKSI Numan ketika wawancara bersama Reuters di Ankara, Turki pada 5 Julai lalu.
DOHA – Timbalan Perdana Menteri Turki, Numan Kurtulmus menggesa Arab Saudi dan tiga lagi kerajaan Teluk menggugurkan 13 tuntutan mereka terhadap Qatar kerana ia mencabuli kedaulatan negara itu.
Beliau membuat gesaan itu dalam satu wawancara de­ngan saluran berita Al Jazeera di Doha yang disiarkan kelmarin.
Dalam temu bual tersebut, Numan mengeluarkan amaran tersirat kepada Emiriyah Arab Bersatu (UAE).
Beliau berkata, UAE perlu menampilkan pendirian berasaskan keamanan dan penyelesaian kerana konflik itu berisiko mencetuskan konflik lain dan kesannya pula sukar untuk diduga.
“Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan sedia mendengar pandangan semua pihak tetapi Arab Saudi perlu menggugurkan 13 tuntutan tersebut.
“Di pihak Qatar pula, Doha mesti mengambil pendirian positif yang akan memberi laluan kepada rundingan, manakala Turki bersedia untuk menjadi orang tengah,” kata Numan.
Pada Selasa lalu, pejabat Presiden Turki memaklumkan bahawa Erdogan akan melawat Arab Saudi, Kuwait dan Qatar pada 23 dan 24 Julai ini dalam usaha menyelesaikan krisis itu.
Sebelum ini, Emir Kuwait dan beberapa setiausaha serta menteri kanan dari Amerika Syarikat, Britain, Perancis serta Jerman cuba untuk menamatkan krisis tersebut tetapi gagal.
Namun, Numan berkata, beliau percaya ketegangan di Teluk boleh diselesaikan dan Erdogan akan cuba untuk membantu.
Turki memihak kepada Qatar dalam perbalahan itu yang bermula pada Jun lepas apabila Arab Saudi, UAE, Bahrain dan Mesir mengenakan sekatan terhadap Doha yang dituduh menyokong kumpulan pengganas.
Pemimpin empat negara itu menuntut Doha menerima 13 tuntutan mereka termasuk menghentikan operasi Al Jazeera dan menutup pangkalan tentera Turki di Qatar.
Qatar menolak dakwaan dan tuntutan tersebut tetapi bersedia untuk berunding. – Reuters

Arab Saudi Telefon AS: Tapi Netanyahu Beri Janji Palsu

Netanyahu Beri Janji Palsu
AMERIKA Syarikat (AS) menjadi negara pertama menyahut keputusan Parlimen Israel yang meluluskan rang undang-undang menjadikan Baitul Maqdis milik penuh negara Yahudi itu.
Rang Undang-undang itu diluluskan Isnin lalu, sekali gus memadamkan kunci utama pelan damai Israel-Palestin. Kem perunding Palestin mahukan Baitul Maqdis Timur sebagai ibu negara Palestin Merdeka.
Di Baitul Maqdis Timur terletak Masjidil Aqsa, kawasan ketiga paling suci umat Islam. Israel pula mengisytiharkan kawasan sama sebagai tapak kuil Sulaiman, sejarah suci ajaran Yahudi.
Naib Presiden AS, Mike Pence mengulangi pendirian Presiden Donald Trump untuk serius memindahkan kedutaan AS ke Baitulmaqdis  ketika berucap di Sidang Kristian Israel di Washington.
Menurut Pence, dalam itu Baitul Maqdis, AS akan berdiri di belakang Israel, kini dan selama-lamanya. Justeru, tidak timbul isu samada kedutaan itu akan dipindahkan atau tidak.
Ucapan Pence melengkap skenario tragis terhadap nasib Baitul Maqdis. Khamis lalu, Israel menutup laluan masuk ke Masjidil Aqsa. Pada Isnin, Parlimen Israel meluluskan rang undang-undang menguasai Baitul Maqdis. Semalam, AS menyokong usul itu dengan sentimen memindahkan kedutaan.
Semua perkembangan serius ini serentak pula dengan laporan portal berita Elaph mengenai trending #Raja_Salman_Buka_Pintu_AlAqsa di Twitter.
Elaph melaporkan, pemimpin Arab Saudi, Raja Salman turut campur tangan dalam isu penutupan pintu masuk ke Masjidil Aqsa.
Raja Salman secara peribadi menghubungi Rumah Putih untuk mengarahkan Israel membuka kembali pintu Masjid Al-Aqsa yang ditutup. Raja Salman juga dikatakan menghubungi Tel Aviv.
Malah, lebih sensasi, konon Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berjanji pada Raja Arab Saudi, kejadian penutupan pintu Masjidil Aqsa tidak akan berulang lagi.
Laporan Elaph itu serta realiti tindakan AS dan Israel dalam isu Masjidil Aqsa terlihat sangat sarkastik. Ia menimbulkan jenaka luar biasa. Ketika Yahudi hampir memusnahkan status Baitul Maqdis sebagai kota suci umat Islam, Arab Saudi dikatakan memberi kata dua pada AS dan Israel.
Malah, jenaka murahnya pula, Israel dalam laporan Elaph terlihat seperti sangat akur dan akan patuh pada arahan Arab Saudi.
Trending Elaph juga menyebut, Netanyahu turut menjemput Raja Salman melawat tapak pintu masuk ke kiblat pertama umat Islam itu.
Pence barangkali belum menerima panggilan Presiden Donald Trump yang baru diberi amaran oleh Arab Saudi. Atau, parlimen Israel belum mendapat nasihat Netanyahu, bahawa Tel Aviv sudah berjanji akan mematuhi segala kehendak Arab Saudi.
Realitinya, Pence sebaliknya tegas menyuarakan hasrat AS untuk terus membantu Israel menguasai sepenuhnya Baitul Maqdis.
Terdahulu, Netanyahu dengan nada riak pula, mendesak dunia mengiystiharkan Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel.
“Ibu negara Israel ialah Baitulmaqdis. Semua kedutaan perlu berada di Baitulmaqdis.”
Di Jordan, The Waqf yang bertanggungjawab menjaga urusan agama di Masjid Al-Aqsa, berang dengan tindakan rejim Zionis yang memasang pengesan logam di kawasan tersebut.
“Sekiranya pengesan logam terus dipasang, kami menyeru orang ramai untuk mengerjakan solat di hadapan pintu pagar masjid dan jalanan,” kata kenyataan The Waqf. 

Khidmat Guaman Percuma Untuk Golongan Asnaf

Khidmat Guaman Percuma Untuk Golongan Asnaf
KUALA TERENGGANU – Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) akan memperkenalkan khidmat guaman percuma untuk kes mahkamah syariah kepada golongan asnaf di negeri ini, sebelum akhir tahun ini.

Yang Dipertua MAIDAM Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata ia merupakan kerjasama strategik MAIDAM, Persatuan Peguam Syarie Negeri Terengganu dan Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu dalam membantu golongan asnaf yang memerlukan.
“Hasil perbincangan awal ini, MAIDAM akan membiayai kos guaman golongan asnaf itu dan lebih istimewa apabila peguam syarie juga bersetuju untuk mengurangkan kadar bayaran tersebut.
“Ia sebagai khidmat sosial peguam syarie untuk bersama-sama membantu meringankan beban kewangan golongan asnaf terbabit dan menyelesaikan proses pendakwaan di mahkamah syariah secepat mungkin,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan cek bantuan sebanyak RM25,000 kepada pesakit kronik anak mualaf di sini, hari ini.
Setakat 30 Jun ini, MAIDAM telah membelanjakan RM1.9 juta untuk keperluan golongan mualaf di Terengganu termasuk pembayaran bil hospital, ubat-ubatan dan keperluan asas lain.
Shaikh Harun berkata ketika ini, khidmat guaman percuma ada disediakan Biro Bantuan Guaman, namun kes mahkamah semakin lama semakin bertambah dan pihaknya mengambil inisiatif ini untuk membantu mempercepatkan proses di mahkamah syariah.
“Keutamaan akan diberi kepada golongan asnaf yang tidak berkemampuan untuk membayar khidmat guaman bagi proses perceraian mereka yang jumlahnya melebihi RM1,000 dan ke atas (bergantung kepada kes).
“MAIDAM sangat prihatin dengan keperluan golongan asnaf dan khidmat guaman percuma ini diharap dapat membantu mereka menjalani kehidupan sebelum, semasa dan pasca perceraian yang lebih selesa,” katanya.  – BERNAMA

2 Anggota Polis Direman 4 Hari Kerana Rasuah

SPRM

SUNGAI PETANI – Dua orang koperal polis direman selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung tuduhan rasuah membabitkan RM10,000 pada April lalu.
Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Adibah Husna Zainal Abidin kira-kira pukul 11.30 pagi terhadap kedua-dua anggota polis berumur 34 dan 37 tahun itu bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
SPRM dalam satu kenyataan menyebut, kedua-dua anggota polis yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda itu ditahan kira-kira pada pukul 2 petang semalam kerana dipercayai terlibat dalam permintaan wang rasuah berjumlah RM10,000 daripada seorang pengadu sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan atas aktiviti pinjaman wang tanpa lesen pada 11 April lalu. – BERNAMA

Sanggup Jadi Khadam Musuh Agama -PAS



KUALA LUMPUR – PAS kesal dengan sikap sebilangan umat Islam negara ini kerana bersedia menjadi khadam kepada sesiapa sahaja termasuk musuh agama mereka yang sentiasa cuba menipu dan memporak-perandakan demi mencapai cita-cita mereka memerintah Malaysia.
Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, umat Islam terbabit sanggup menawarkan apa sahaja khidmat sebagai khadam kepada musuh Islam yang memonopoli undi satu kaum itu termasuk menjadi penyapu, tukang pukul, tukang maki hamun dan tukang cuci kotoran.
Beliauturut melahirkan rasa kesal diatas sikap `marahkan nyamuk kelambu dibakar’ sebilangan umat Islam Malaysia kerana sanggup merobohkan akidah dan jati diri dalam keadaan kaumnya masih ketinggalan ekoran terpengaruh dengan dakyah salah laku yang menyakitkan hati.
Lebih malang, kata beliau, umat Islam terbabit sanggup menempah kemusnahan lebih besar dan mudarat yang lebih parah dengan tidak sabar terhadap mudarat lebih ringan yang boleh diselesaikan selepas menangani mudarat lebih besar terlebih dahulu.
“Apa yang patut menjadi kewajipan sebenarnya ialah melakukan perubahan ke arah islah bersama Islam yang memimpin dan Islam yang dilaksanakan walau sesiapa pun yang ada dikerusi Putrajaya.
“Kalau tidak bersedia berubah maka kerusi itu wajib diambil alih bagi menunaikan kewajipannya, bukan mengambil peluang sahaja dengan meletakkan Islam dan umatnya di belakang.
“Inilah pendekatan yang dinyatakan dalam semua perutusan Rasulullah S.A.W. kepada raja-raja dan pemimpin di zamannya: “Terimalah Islam nescaya kamu selamat”,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Abdul Hadi dalam pada itu membidas sebilangan pihak dalam negara yang memperjuangkan hak sama rata dan mahu menghapuskan konsep Islam didahulukan di Malaysia atas alasan keadilan.
Kata beliau, mereka terlupa Islam yang berjaya membentuk kerajaan dan tamadun berasaskan iman dan ilmu di rantau ini bermula dengan Kerajaan Islam di Melaka, bukan tamadun batu yang dibina menjadi berhala atau tamadun membina kota yang memaksa rakyat.
Tegas beliau, hakikatnya umat Islam adalah warga teras kepada negara ini yang perlu dihormati, malah umat Islam selama ini menerima masyarakat majmuk tanpa paksaan beragama dan hak beragama mengikut Perlembagaan Persekutuan, bukan setakat memberikan kerakyatan.
Hasil carian imej untuk khadam musuh Islam
Justeru, katanya, rakyat wajib menolak mana-mana parti dan sesiapa sahaja yang mahu merungkai Perlembagaan Negara laksana tikus membaiki labu, bukannya penambahbaikan ke arah memperkasakan Islam dan syariatnya.
“Rakyat juga wajib menolak mana-mana parti atau sesiapa sahaja yang sanggup menjadi khadam kepada pihak yang mahu meruntuhkan asas Perlembagaan Negara atau menjadi khadam kepada penjajah atau menjemput penjajah datang semula.
“Oleh itu, tiada kompromi terhadap mereka yang menghalang perjalanan Islam atau mereka yang bersekongkol dengan penghalang itu dan tiada kompromi juga dengan mereka yang sekadar mengkhadamkan Islam atau memainkan sentimen perkauman dengan niat mahu meminggirkan umat Islam tanpa menghormati dan mengenang budinya,” katanya. 

Ijtimak Alami kali pertama dalam kenangan...



LinkWithin

Related Posts with Thumbnails