KUTIPAN derma besar-besaran oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) melalui Tabung Harapan sejak awal lagi sudah nampak tidak masuk akal apabila alasan membayar hutang negara diberikan.
Hutang pun diperbesarkan untuk dijadikan alasan tidak mampu melaksanakan janji melangit yang diberikan untuk menarik rakyat mengundi PH.
Kalau kita betul-betul perhati sejak awal PH menubuhkan kerajaan, permainan manipulasi persepsi dan emosi ini memang kepakaran mereka.
Mereka meneruskan menggunakan kepakaran mereka sejak kempen pilihan raya umum, kali ini untuk memberi alasan tidak mampu menunaikan janji pula.
Sebelum ini mereka menumpukan pada persepsi kelemahan kerajaan Barisan Nasional (BN), kali ini selepas berkuasa mereka memanipulasi isu sama untuk menunjukkan mereka tidak mampu tunai janji kerana negara sudah dirosakkan oleh BN.
Tanpa menjelaskan bentuk hutang negara, tempoh dan cara membayarnya, mereka memperbesarkan isu beban hutang.
Orang ramai faham hutang sebagai pinjam duit yang mesti dibayar semula, dan inilah yang dapat mereka eksploit.
Mereka eksploit pemahaman orang ramai tentang hutang ini dengan menubuhkan Tabung Harapan yang lebih bersifat gimik berlebihan, terutama bila dijadikan alasan untuk membayar hutang negara.
Mereka yang tertipu, apatah lagi yang taksub (dan yang ada kepentingan agenda tertentu) akan menyumbang dan berasa patriotik kerana menyumbang kepada kesejahteraan negara.
Gimik murahan terbaru ialah sumbangan seorang kanak-kanak 12 tahun yang menyerahkan tabungannya kepada Tabung Harapan.
Penyerahan ini disambut dengan puji-pujian dan pada masa yang sama kutukan kepada perdana menteri terdahulu.
Gimik murahan ini bukan sahaja memalukan dan memualkan, tetapi sudah sampai ke tahap menghina rakyat Malaysia sendiri.
Mungkin penubuhan tabung ini perlu dilihat dan diteliti berdasarkan undang-undang, kerana setakat ini tidak nampak satu yang benar-benar jelas tentang kedudukan sebenar tabung ini dan ke mana akan digunakan wang diterima.
Cukup-cukuplah berpolitik murahan dan menabur persepsi buruk kepada orang lain demi menaikkan diri sendiri.
Mereka yang taksub tidak akan bersedia menerima teguran agar tabung ini dinilai semula, kerana sudah tertanam dalam kepala mereka semua yang pemimpin mereka lakukan betul belaka.
Yang nampak apa yang tidak kena dengan tabung ini mesti berani bersuara untuk menyekat lebih banyak kekeliruan dan kerosakan berpunca daripada politiking tabung ini. – Mynewshub.cc
HARAPAN rakyat Malaysia khasnya penyokong tegar Pakatan Harapan (PH) untuk menyaksikan harga barangan jatuh kini bertukar menjadi ‘mimpi ngeri’ apabila keadaan sebaliknya pula berlaku. Dengan tiada sesiapa jadi menteri menerajui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) sejak PH menang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 pada bulan lalu, kadar inflasi malah terus naik lagi! Hari ini, media tempatan melaporkan Indeks Harga Pengguna (IHP) Malaysia; yang mengukur kadar inflasi secara menyeluruh, meningkat 1.8 peratus kepada 121.1 pada Mei 2018 berbanding 119.0 bagi tempoh sama tahun lepas. Dalam satu kenyataan di Putrajaya, Jabatan Perangkaan Malaysia berkata kumpulan utama yang catat peningkatan ialah indeks pengangkutan (+3.8 peratus) serta indeks makanan dan minuman bukan alkohol (+2.2 peratus). Tidak ketinggalan ialah indeks perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (+2.1 peratus), restoran dan hotel (+2.1 peratus), kesihatan (+1.9 peratus) serta hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah (+1.5 peratus). Bagi perbandingan dari bulan ke bulan, IHP meningkat 0.2 peratus berbanding April 2018. Ia sekali gus hampir menepati unjuran dikeluarkan firma penyelidikan tempatan RAM Rating Services Berhad di ibu negara semalam. Mereka meramalkan kadar inflasi Malaysia bagi bulan Mei lalu dijangka meningkat kepada 1.9 peratus berbanding 1.4 peratus pada April, terutama disebabkan kenaikan ketara harga runcit bahan api runcit yang lebih pantas. “Justeru, tekanan inflasi daripada komponen bahan api runcit juga dijangka meningkat pada Jun dan Julai depan apabila kesan asas yang rendah daripada tahun lalu meningkat,”kata agensi penarafan itu dalam satu kenyataan. Ketua Penyelidikan RAM Rating Services Berhad, Kristina Fong berkata, ketidakpastian kekal pada keseluruhan prospek inflasi bagi sepanjang 2018 ketika lebih banyak langkah dasar diperkenalkan oleh pentadbiran baharu PH. Ini terutama perubahan sistem percukaian daripada Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) kembali kepada era lapuk iaitu Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), yang konon dianggap paling relevan bagi anggaran tahun penuh. Beliau berkata, waima langkah mengenakan GST pada kadar sifar berkuat kuasa pada 1 Jun dijangka mengurangkan tekanan inflasi keseluruhan, pengenalan semula SST mungkin bakal mengimbangi kesan deflasi daripada GST. “Ia juga tertakluk kepada kadar cukai dan liputan akhir apabila rejim SST dilaksanakan mulai 1 September. Kami akan mengawasi perkembangan rejim tersebut untuk menilai kadar inflasi setahun penuh yang dijangka pada 2018. “Dengan mengekang impak pelaksanaan SST buat masa ini sehingga butiran lebih pasti diperoleh, kadar inflasi secara keseluruhan untuk tempoh setahun penuh dijangka akan berpurata sekitar 1.6 peratus,”kata Fong lagi. Menurutnya, jangkaan RAM Rating Services Berhad didasarkan pada pengenalan semula subsidi bahan bakar, harga yang lebih rendah di tengah-tengah penarafan sifar GST dan trajektori pertumbuhan harga makanan yang lemah. Sementara itu, Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata data indeks keseluruhan tersebut turut terjejas akibat peningkatan dalam kumpulan pengangkutan sebanyak 3.8 peratus sepanjang Mei. “IHP bagi Januari-Mei mencatatkan peningkatan sebanyak 1.7 peratus berbanding tempoh sama pada tahun lepas,”katanya. Kenyataan itu sekali gus membuktikan kerajaan PH sebenarnya gagal dalam mengawal harga barangan. Umum maklum sebelum PRU ke-14, pemimpin PH dengan angkuh mendakwa konon harga produk pengguna akan jatuh sebaik blok politik itu menawan Putrajaya demi hasut rakyat benci kepada pentadbiran Barisan Nasional (BN). Namun, sejak kadar GST diturunkan kepada sifar peratus pada awal bulan ini, harga barangan di pasaran tetap tidak berubah, bahkan ada mencatatkan peningkatan dan membebankan rakyat marhaen. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA
Rizab Antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) pada 14 Jun 2018 US$107.9 bilion Pada 30 April 2018 yang ditinggalkan oleh kerajaan terdahulu US$109.5 bilion.
Indeks Saham Bursa Malaysia juga merudum dibawah 1,700 mata hari ini kepada 1,692.32 berbanding 1,850 mata sebelum PRU 14. Berbanding pasaran saham serantau terus meningkat. https://www.investing.com/indices/ftse-malaysia-klci-historical-data
——— Rizab Antarabangsa Bank Negara Malaysia pada 14 Jun 2018
Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia berjumlah USD107.9 bilion pada 14 Jun 2018. Paras rizab ini memadai untuk membiayai 7.5 bulan import tertangguh dan 1.0 kali hutang luar negeri jangka pendek.
SHAH ALAM - Menteri Kewangan, Lim Guan Eng digesa bersikap adil mendedahkan skandal penyelewengan pimpinan kerajaan terdahulu dan bukan hanya di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak sahaja.
Jurucakap Publisiti MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker berkata, Guan Eng pendedahan yang sama perlu dibuat terhadap kepimpinan yang menerajui kerajaan di bawah pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad sewaktu beliau menjadi Perdana Menteri ke- 4.
“Dalam melaksanakan tugasnya tanpa menyebelahi mana-mana pihak, kami mendesak supaya Guan Eng meletakkan profesionalnya di tahap tertinggi. Guan Eng perlu mendedahkan salah laku, terkini dan masa lalu. Ini termasuklah bekas perdana menteri dan menteri kewangan. “Maksudnya mendedahkan salah laku, salah guna kuasa, rasuah dikaitkan dengan Dr Mahathir , Tun Daim Zainuddin dan Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya melalui kenyataan media, hari ini. Katanya, pada pemerintahan dahulu (era Dr Mahathir) juga terdapat tuduhan melibatkan jumlah wang yang besar. “Tunjukkan keberanian anda dan kes seperti itu perlu didedahkan dan disiasat semula. Jika pemimpin pada hari ini tidak mahu menyembunyikan apa-apa, ia tidak akan menjadi isu besar. “Seseorang pada masa lalu ‘menghalalkan’ rasuah dan sehingga kini orang itu sudah menjadi raksasa,” katanya. Dalam perkembangan sama, Guan Eng dan Menteri Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali perlu membersihkan nama mereka selepas terpalit beberapa isu besar di Selangor dan Pulau Pinang. Katanya, ini juga merupakan harapan rakyat selepas kerajaan Pakatan Harapan berjanji untuk mendedahkan segala penyelewengan. “Kami desak mereka supaya membersihkan nama mereka dalam skandal Syarikat Pengeluaran Air Sungai Selangor (Splash), tanah di Ijok, projek terowong dasar laut Pulau Pinang dan pelbagai lagi yang melibatkan wang yang besar,” katanya. (SH)
PETALING JAYA – Kira-kira 20 ahli sebuah badan bukan kerajaan (NGO) pro-PKR mendakwa Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berat sebelah dan mengaibkan Adun Ijok, Dr Idris Ahmad yang didakwa calon tunggal menteri besar mendapat sokongan semua parti komponen Pakatan Harapan (PH).
Sehubungan itu, ahli Otai Reformis yang merupakan bekas setiausaha NGO itu, Abdul Razak Ismail menuntut pucuk pimpinan PKR menjelaskan surat pembatalan Dr Idris sebagai calon tunggal menteri besar Selangor.
“Bagaimana PKR boleh menidakkan hak pencalonan Dr Idris sendiri, walhal PKR sendiri mengeluarkan 2 surat sokongan bertarikh 4 dan 5 Jun menyokong Dr Idris. Keputusan tidak konsisten, hari ini orang ini dilantik, kemudian esok orang lain pula yang dilantik.
“Otai tidak mempertikaikan hak Sultan Selangor melantik pengganti lain, tetapi kita sangsi dengan kaedah pelantikan itu,” katanya dalam sidang media di kediaman Dr Idris, hari ini.
“Wan Azizah keluarkan surat baru beberapa hari sebelum pelantikan menteri besar yang meminta membatalkan surat sokongan dari DAP, PPBM dan PKR kepada Dr Idris.”
Semalam, Istana Selangor memberitahu Sultan Sharafuddin Idris Shah menerima surat bertarikh 7 Jun dari Wan Azizah mencalonkan 3 adun untuk diperkenan sebagai calon menteri besar.
“Dalam surat itu, Wan Azizah memohon perkenan Tuanku bagi menerima menghadap mana-mana calon yang pada pandangan Tuanku layak mengikut Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor bagi tujuan mengangkat sumpah sebagai menteri besar.
“Surat bertarikh 7 Jun 2018 oleh presiden PKR itu juga secara tidak langsung membatalkan surat terdahulu yang ditulis ketua-ketua parti politik Selangor kepada Tuanku,” kata kenyataan Istana Selangor.
Awal bulan ini, PPBM bersama DAP dan Amanah Selangor dilaporkan sebulat suara menamakan Dr Idris sebagai calon tunggal bagi mengisi kekosongan ditinggalkan Datuk Seri Azmin Ali, tetapi akhirnya Exco Selangor, Amiruddin Shari yang mengangkat sumpah jawatan itu Selasa lalu.
Sementara itu, Razak berkata, mereka juga kecewa tiada pemimpin PKR yang mempertahankan Dr Idris daripada dakwaan penyelewengan dana pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) untuk pelajar Kolej Vision Kelana Jaya (Kolej Vision).
“Saya pelik dan hairan kenapa isu ini tidak timbul sewaktu Dr Idris dicalonkan pada pilihan raya umum lalu, tetapi hanya timbul ketika Dr Idris dicalonkan sebagai menteri besar Selangor.
“Apa yang terjadi adalah kita mahu namanya dibersihkan, jangan ‘move forward’ lagi selagi nama Dr Idris tidak dibersihkan kerana kita dikhabarkan isu PTPTN ini antara punca Dr Idris tidak dicalonkan.”
Dr Idris berkata, beliau membuat laporan polis Isnin lalu bagi membersihkan namanya daripada dakwaan penyelewengan dana pinjaman PTPTN untuk pelajar Kolej Vision.
“Saya mahu bersihkan nama saya, saya bekerja di hospital berprestasi tinggi, ia juga jejaskan kerjaya saya sebagai doktor pakar. Saya bukan sahaja wakil rakyat,” kata pakar sakit puan itu.
Selasa lalu, Dr Idris berkata, mengapa beliau perlu mengambil wang PTPTN sedangkan beliau mempunyai kedudukan kewangan kukuh, termasuk rumahnya yang bernilai RM8 juta.
Katanya, beliau hanya berperanan sebagai penasihat dan ahli Lembaga Pengarah Kolej Vision dengan 35% pegangan saham, tetapi tiada kedudukan dalam pengurusan kolej itu.
Beliau berkata, pihak pengurusan Kolej Vision turut mengesahkan mereka tidak menghadapi masalah atau kesalahan berkaitan PTPTN serta Kementerian Pengajian Tinggi sejak ditubuhkan pada Julai 2005. – Fmt
BEBERAPA hari sahaja menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 pada 9 Mei lalu, sebuah akhbar tempatan, Sinar Harian menyiarkan laporan eksklusif mengenai nasib pemandu teksi di Langkawi.
Terkenal dengan gaya pemberitaan cenderung kepada pihak Pakatan Harapan (PH), tabloid itu melaporkan ramai kalangan mereka konon marah kerajaan Barisan Nasional (BN) yang gagal membela golongan tersebut selama ini.
Berita agak pelik ini walaupun fokus kepada pulau legenda Mahsuri itu yang kebetulan ditandingi oleh Pengerusi PH sendiri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, namun seolah-olah merujuk senario kes tersebut melibatkan seluruh negara!
Kini selepas lebih sebulan berjaya ‘menawan’ Putrajaya, lain pula cerita apabila pentadbiran PH didapati tidak mahu menjaga kebajikan puluhan ribu pemandu teksi di negara ini bahkan jauh lebih teruk berbanding zaman BN dahulu.
Lebih malang lagi, PH awal bulan ini mewujudkan pula Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) sebagai usaha penjenamaan semula imej Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) yang dibubarkan pada akhir Mei lalu.
Justeru, kisah sedih dimuat naik netizen tempatan yang hanya mahu dikenali Mohd. Fadzil dalam akaun sosial baru-baru ini mendedahkan ramai pemandu terbabit kesal dengan tohmahan jahat dimainkan oleh PH sebelum PRU itu.
Catatan tersebut membongkar banyak faedah ditawarkan kerajaan BN sebelum ini langsung tidak dihargai dan lebih teruk, Datuk Seri Najib Tun Razak pula dihina mereka kerana kononnya mahu undi 80,000 pemandu teksi terbabit.
Berikut ialah nukilan Mohd. Fadzil bercerita pengalaman dirinya itu dengan seorang pemandu teksi yang turut tular dalam kalangan pengguna Facebook dan kemudian dikongsi ribuan netizen sejak Hari Raya Aidilfitri minggu lalu:
Aku ada cerita sewaktu berangkat pulang selepas empat hari kejatuhan BN. Aku menggunakan khidmat teksi untuk mengangkat segala peralatan desktop aku menuju ke KLIA2 di Sepang, Selangor.
Datang sebuah kereta Proton Exora yang terlekat stiker TEKS1M. Naik je kereta, aku disambut dengan perkataan “Selamat Malaysia Baru”… Aku tersenyum sambil duduk, tanpa balas ucapannya.
Tapi aku terlintas di kepala sesuatu “Mmm… Ini kali kau siap!”
Aku mula bersuara “Apa harapan abang dengan kerajaan baru.”
Dijawab pemandu “Kali ini habis budak-budak GRAB & UBER!
“Abang yakin ke Mahathir akan memansuhkan GRAB & UBER!
“Ehh…kenapa tidak yakin pulak.”
Aku tanya lagi “Kerajaan BN tidak pernah bantu teksi ke selama ini!
“Huh langsung tak bantu.”
Tersenyum panjang aku dan aku bagi bidasan pertama “Habis abang beli teksi ini di bawah skim “TEKS1M” bukankah abang dapat skim pinjaman mudah tanpa pendahuluan daripada BN.
“Itu belum abang sudah buat tukaran empat tayar percuma pada tahun kedua.”
Abang teksi itu mula tersenyum sumbing!
“Bang, seingat saya untuk 2018, Najib dah beri Kad Bantuan Teksi RM800 sampai berebut-berebut bergaduh-gaduh antara pemandu teksi yang datang ambil ketika itu dan dapat kelayakan automatik menerima BR1M!
“Malah BR1M telah upgrade daripada RM400 kepada RM800 untuk bulan Ogos dan Jun 2018. Bermakna abang layak terima RM2,000 keseluruhannya.”
Hujah ini buat abang teksi duduk tidak diam sambil perbetulkan kedudukan di tempat teksi! Dalam hati aku bersuara ‘Hey bang! Kerusi tu ada pijat ke?’ lalu aku sambung lagi!
“Tak silap saya ada 10 peruntukan yang saya terlupa, tapi abang dapat bukan. Ini bukan bantuan daripada BN ke?”
Antaranya ketika itu: 1. RM520 subsidi tayar kepada pemandu teksi di seluruh negara 2. RM1 juta peruntukan insurans peribadi TR1MA 1.0 3. RM1,000 skim bantuan penukaran teksi bagi kenderaan kurang 10 tahun 4. RM2 sahaja kos cukai jalan untuk pemandu teksi 5. RM200 juta peruntukan pinjaman pembelian teksi secara individu 6. RM35 juta sebagai keseluruhan peruntukan TEKS1M 7. RM5,000 geran beli kereta kepada pemandu mahu menukar e-hailing
Terkejut pemandu teksi tengok aku tahu hal teksi! Lalu ditanya aku kerja mana kerana tahu semua ini dan aku jawab: “Saya kerja sendiri je, bang tapi saya rajin membaca!
“Tapi bang masalah teksi! Setahu saya bukan masalah Kerajaan BN! Malah masalah ini punca daripada zaman Mahathir lagi yang orang-orang teksi buat-buat tidak ingat!”
Abang teksi itu jawab “Mana ada!”
“Betul lah bang tak ingat? Setahu saya masalah teksi kerana kepala-kepala teksi yang dilantik atas kapasiti politik pada zaman Mahathir! Bukan? Sampai sekarang abang kena bayar ufti setiap hari kepada mereka.
“Ia antara RM25 hingga ada sampai RM50 sehari, betul tak?”
Berkerut dahi sambil pemandu teksi menganguk kepala! “Abang tahu kenapa Datuk Nancy Shukri dan SPAD ditugaskan untuk selesaikan masalah teksi?”
Abang teksi sudah mula tidak berasa selesa, lalu aku sambung jee…
“Sebab, Najib hendak hapuskan orang tengah yang kerja makan ufti! Abang fikir ketua-ketua kumpulan teksi yang beratus-ratus di Malaysia ini berjuang untuk teksi ke atau berjuang untuk pertahankan duit ufti?”
“Tak mereka ini bagus, mereka jaga kawasan kami cari makan,” jawab pemandu teksi itu.
“Cerita bab kawasan cari makan bang! Saya nak tanya abang! Kalau abang dapat penumpang di KL minta hantar ke JB kerana kecemasan! Abang boleh ambil penumpang dari JB untuk ke KL tak?”
“Tak! Mana boleh kawasan orang, mana nak boleh suka-suka kacau! Dan kat mana nak cari penumpang yang hendak ke KL,” jawab pemandu teksi itu lagi.
“Haa tahu pun! Sebab itu kerajaan perkenalkan e-hailing supaya abang tidak ada sempadan untuk cari penumpang, abang boleh dapat penumpang kepada dua hala.
“Abang hanya bergantung kepada satu operator yang caj abang 1% perkhidmatan berbanding abang nak kena bayar sampai RM50! Ini abang kata kerajaan BN zalim ke? Atau kepala kumpulan teksi yang hasut kata BN zalim?”
Abang teksi cuba pusing cerita: “Masalahnya GRAB dan UBER curi hasil kami.”
Aku segera jawab: “Bang, masalah UBER dan GRAB itu bukti kerajaan hendak buka pasaran tanpa kepala pengaut ufti itu, bang! Bang tahukan Nancy dan SPAD sedang berunding untuk perkhidmatan yang lebih baik!
“Setahu saya ada usaha melabelkan dua kategori pemandu sahaja iaitu pemandu sepenuh masa bagi pemegang lesen teksi individu untuk mendapat manfaat berhenti dan menunggu di kawasan KLIA contohnya!
“Dan pemandu sambilan yang tiada lesen teksi tetapi tidak mendapat pelbagai keistimewaan daripada pihak kerajaan yang diumumkan setiap tahun termasuk zon khas bagi teksi boleh menunggu penumpang!
“Malah SPAD sudah bawa benda ini, dah berpuluh kali cuba berunding dengan kumpulan-kumpulan teksi tetapi masalahnya ketua-ketua teksi ini hanya mahu menuntut hak ufti mereka!
“Bang zaman dah berubah! Zaman sekarang orang lebih suka turun tangga dah ada pemandu tunggu, malah keluar KLIA pun dah ada pemandu tunggu! Dan penumpang rasa mereka tidak ditipu.
“Sejujurnya bang! Saya nak tanya abang rasa kenapa penumpang suka guna UBER dan GRAB,” aku bertanya.
Abang teksi pura-pura tidak tahu kerana tak mahu jawab!
“Kerana pemandu teksi itu pengundi malah pemandu GRAB dan UBER pun pengundi! Abang fikir masalah teksi je Mahathir nak kena fikir? Lagipun sekarang ini kerajaan DAP tak hairanlah dengan pemandu teksi!”
Aku buka cerita lebih jauh daripada subjek teksi iaitu berkisar apakah nasib Melayu Islam di bawah kerajaan Mahathir yang sebenarnya sekadar jadi boneka kepada DAP.
“Minta maaf bang saya terkasar sikit! Tapi abang tengok nanti betul tak cakap saya tu!”… Aku akhiri penutup “Berapa tambang saya bang?”….
KESATUAN Renang Amatur Malaysia (ASUM) mengesahkan atlet negara yang terpalit kontroversi video adalah tiga penerjun senior dalam Program Podium dan empat lagi membabitkan penerjun remaja dari Majlis Sukan Negara (MSN).
Menerusi kenyataan dikeluarkan Setiausaha Kehormat ASUM, Mae Chen menjelaskan penerjun mengakui akan kesalahan dilakukan dan berjanji tidak akan melakukannya lagi malah bersedia membuat permohonan maaf kepada orang ramai.
“Berkenaan video membabitkan penerjun Malaysia, kami mengesahkan mereka adalah tiga penerjun senior dari Program Podium dan 4 penerjun remaja MSN serta Institut Sukan Negara (ISN) ingin menjelaskan mengenai isu ini. “Video yang bocor di media sosial beberapa hari lalu membabitkan penerjun dirakam semasa makan malam Tahun Baharu Cina, dihoskan pengurusan perkhidmatan di China sewaktu cuti rehat tiga hari.
“Tiga jurulatih juga berada di sana namun tidak menyedari perkara berkenaan kerana ia berlaku di kawasan tertutup,” kata Mae dalam kenyataan media berhubung isu video penerjun negara, hari ini.
Awal pagi tadi, media melaporkan skuad terjun sekali lagi terpalit isu panas apabila video yang dipaparkan di internet menunjukkan penerjun Malaysia sedang bersuka ria, berfoya-foya serta meminum alkohol dan perkara itu dipercayai berlaku di Guangzhou, China.
Mengulas lanjut, Mae menjelaskan ASUM, ISN dan MSN sudah bertemu dengan semua penerjun terbabit dan memaklumkan secara jelas akan tahap yang diletakkan terhadap mereka adalah tinggi.
“Sebagai atlet kebangsaan, mereka harus sedar mereka membawa imej negara. Amaran sudah diberikan kepada atlet dan ini adalah masalah disiplin, maka jurulatih perlu mengambil perhatian akan perkara ini serta memantau atlet dengan lebih dekat agar ia tidak berulang.
“Atlet juga mengakui salah mereka dan berjanji tidak akan melakukannya lagi. Mereka akan belajar daripada kesilapan dan bersedia untuk meminta maaf secara umum.
“Jawatankuasa siasatan akan menentukan tindakan yang bakal diambil dan akan mengemukakan cadangan kepada jawatankuasa disiplin ASUM. Dalam pada itu, elaun atlet akan digantung dengan serta merta,” katanya.
Mae dalam masa sama menjelaskan penerjun negara berada di China selama sebulan bermula pada Januari untuk persiapan Siri Terjun Dunia 1 dan 2 di China serta Jepun, kemudian bertolak ke Gold Coast untuk Sukan Komanwel 2018.
Selepas tamat Komanwel, semua penerjun kembali ke Kuala Lumpur untuk menjalani latihan dan kemudian bertolak ke Piala Dunia 2018 di Wuhan, China pada Mei, sambil memuji penerjun negara yang berjaya menghasilkan keputusan baik.