Saturday, October 19, 2019

Rusuhan Di Kalimantan: Pemimpin Dayak-Paser Usaha Damai.


Keadaan selepas berlakunya protes di PPU, Kalimantan Timur.

KALIMANTAN - Ketua Wilayah Penajam Paser Utara (PPU) Abdul Gafur Mas’ud bersama beberapa pemimpin Dayak dan Paser menjalankan usaha pengantara untuk mencapai perdamaian dengan pemimpin masyarakat setempat semalam susulan rusuhan yang tercetus oleh kumpulan puak tempatan.

Usaha pengantara yang diadakan di Rumah Adat Baru Jalan Penajam–Kuaro, Kecamatan Longkali, Kabupaten Paser itu dihadiri beberapa individu penting termasuk Setiausaha Agung Majlis Dayak Negara, Yakobus Kumis, Pengerusi Majlis Dayak Kalimantan Timur, Edi Gunawan dan keluarga mangsa.

Abdul Gafur berkata dia diberi amanah daripada seluruh masyarakat bermula daripada suku Paser, Dayak, Jawa, Bugis dan lain-lain untuk mengekalkan kerukunan di PPU selepas rusuhan tersebut.
Menurutnya, meskipun PPU berbeza dari segi wilayah namun kedua-dua daerah itu masih serumpun dan sebarang perbezaan serta perselisihan tidak diperlukan kerana ia boleh merugikan ramai orang.

"Saya sebagai ketua wilayah akan tetap mengikuti dan memantau kejadian ini agar ia diselesaikan dengan baik," katanya.

Salah seorang penduduk Paser, Sudirman turut berterima kasih dengan Abdul Gafur yang sudi meluangkan masa untuk mendengar aduan masyarakat.

"Semoga pertemuan ini dapat mengurangkan amarah masyarakat terutamanya orang asli tempatan di wilayah Paser. Kita perlu menjaga antara satu sama lain," katanya.

Daripada usaha pengantara itu, dua perkara penting digariskan iaitu pertama masyarakat Paser akan mengadakan pendengaran adat dengan dihadiri pemimpin Dayak.

Kedua, semua peserta sepakat untuk mengurangkan kemarahan masyarakat asli Dayak Paser di daerah Paser terutamanya di daerah Long Kali agar ia tidak mengganggu kestabilan masyarakat keseluruhan.
Kelmarin, ratusan penduduk mengadakan bantahan di pelabuhan di PPU, dekat Barat Kalimantan berikutan kes dua pemuda yang maut ditikam di Pantai Nipah-Nipah 9 Oktober lalu.

Protes kemudiannya bertukar ganas apabila penunjuk perasaan bertindak membakar rumah, kiosk dan kemudahan di pelabuhan. - Agensi.

Lihat sebelum ini..
E-Buku IH-51: Catatan Perjalanan
E-Buku IH-51: Catatan Perjalanan
Perjalanan Ke Kalimantan


Rumah Dirempuh Tongkang. Jiran Penyelamat Wanita Mengandung 7 Bulan..

Keadaan sebuah rumah yang rosak setelah dirempuh sebuah kapal tongkang di Sungai Igan, Kampung Hilir, Sibu pagi tadi.
Keadaan sebuah rumah yang rosak setelah dirempuh sebuah kapal tongkang di Sungai Igan, Kampung Hilir, Sibu pagi tadi.

SIBU: Seorang wanita yang sarat mengandung tujuh bulan berdepan detik cemas apabila sebuah kapal tongkang hanyut merempuh rumahnya yang terletak di tepi Sungai Igan di Kampung Hilir di sini pagi Jumaat.
Kejadian berlaku kira-kira jam 9.30 pagi ketika mangsa, Sumui Hamzah, 40, sedang mandi di bilik air rumah berkenaan.

Wanita itu bernasib baik apabila jiran-jiran yang menyedari insiden itu segera menjerit meminta dia keluar menyelamatkan diri semasa kapal terbabit bergerak merempuh bahagian ruang tamu rumah berkenaan.
Difahamkan, Sumui telah menyewa rumah itu bersama suami dan tiga orang anaknya selama lebih dua tahun dan tinggal bersendirian semasa insiden berlaku.
Seorang anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) meninjau keadaan rumah penduduk yang rosak setelah dirempuh kapal tongkang di Sungai Igan, Kampung Hilir, Sibu pagi tadi.
Seorang anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) meninjau keadaan rumah penduduk yang rosak setelah dirempuh kapal tongkang di Sungai Igan, Kampung Hilir, Sibu pagi tadi.

Sementara itu, pihak polis yang pergi ke tempat kejadian selepas menerima laporan mendapati rempuhan kapal telah meruntuhkan dinding di ruang tamu rumah tersebut.
Timbalan Ketua Polis Daerah Sibu, Superintendan Wong Chee Keong berkata, tiada kecederaan dan kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian itu, namun hanya mengalami kerosakan di ruang tamu.

“Siasatan awal pihak polis di tempat kejadian mendapati rumah pengadu yang dibina di atas sungai berada dalam keadaan condong dan hampir runtuh disebabkan rempuhan kapal tongkang berkenaan.
"Siasatan juga mendapati kapal tersebut telah didaftarkan atas nama Phenomenal dan berdasarkan maklumat daripada sumber lain, kapal tersebut mengalami kerosakan dan hanyut tidak dapat dikawal," katanya ketika dihubungi di sini.

Menurutnya, pihak polis sedang berusaha menghubungi pemilik kapal untuk memintanya membuat laporan polis.
Tambahnya, kes itu diklasifikasikan sebagai ROA (rujuk agensi lain) iaitu untuk tindakan dan siasatan lanjut di bawah Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS).

Komen Weblog Ibnu Hasyim: 'Wanita itu bernasib baik apabila jiran-jiran yang menyedari insiden itu segera menjerit meminta dia keluar menyelamatkan diri semasa kapal terbabit bergerak merempuh bahagian ruang tamu rumah berkenaan.'

Al-hamdulillah, itulah peranan jiran yang baik. Kerana itu, agama Islam menggariskan panduan berjiran..

Konsep Jiran.

Difinisi.


Dari segi bahasa atau etimologi, jiran berasal daripada bahasa Arab yang membawa pengertian orang yang tinggal bersebelahan atau tetangga.[1]

Dari segi istilah jiran adalah orang-orang yang tinggal bersebelahan dengan rumah, bersebelahan kampung, daerah malahan lebih besar daripada itu iaitu jiran yang bersebelahan dengan negara. Jiran juga bererti ahli-ahli 40 buah rumah setiap penjuru yang mengelilingi rumah individu. Hal ini sebagaimana hadith riwayat Abu Daud, telah bersabda Rasulullah s.a.w iaitu :

Maksudnya : “Empat puluh buah rumah tetap sebagai jiran tetangga”.[2]

Berdasarkan kepada hadith Rasulullah s.a.w menunjukkan bahawa walaupun jarak daripada rumah seseorang diselangi 40 buah rumah, ia juga dikira sebagai jiran tetangga. Menurut Ali Ibn Talhah daripada Ibnu Abbas, jiran membawa pengertian hubungan kekeluargaan atau pertalian darah. Jiran juga boleh dikatakan sebagai apabila penempatan itu dihuni oleh manusia yang lain yang juga tinggal berhampiran dengan rumah yang dihuni oleh kita. 

Pembahagian Jiran.

Islam membahagikan jiran kepada beberapa bahagian iaitu jiran beragama Islam yang mempunyai pertalian darah, jiran beragama Islam yang tidak mempunyai pertalian darah dan jiran bukan Islam. Dalam erti kata lain jiran jauh dan dekat. Hal ini sebagaimana firman Allah s.w.t dalam surah an-Nisaa’ ayat 36 iaitu :

Maksud-Nya : Sembahlah Allah dan janganlah kamu mempersekutukan-Nya dengan sesuatupun. dan berbuat baiklah kepada dua orang ibu-bapa, karib-kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, tetangga yang dekat dan tetangga yang jauh[3] dan teman sejawat, ibnu sabil[4] dan hamba sahayamu. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong dan membangga-banggakan diri. 

Hak Jiran. 

Hak jiran perlu bagi setiap individu untuk pelihara kerana hal ini adalah selari dengan tuntutan agama. Tidak menyakiti jiran dan seringkali memelihara keamanan dengan jiran. Hal ini sebagaimana dalam sabda Rasulullah s.a.w iaitu :

Maksudnya : “Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat maka janganlah dia menyakiti jirannya.”[5]

Menghormati jiran dan pengamalan mereka selagimana tidak membawa mudharat. Sekalipun jiran tersebut bukanlah beragama Islam maka menghormati dan tidak menganggu kehidupan dan pengamalan mereka misalnya ibadah mereka dalam agama mereka seperti yang dilakukan oleh orang-orang Cina dengan meletakkan tokong di luar rumah maka hendaklah dihormati selagimana tidak membawa bahaya dan mudharat.

Umat Islam yang bertimbang rasa dan menyedari serta memahami hukum-hukum agama, adalah merupakan manusia yang paling baik hubungannya terhadap jiran-jirannya. Mereka akan sentiasa mencurahkan segala bakti demi kebaikan jiran mereka yang merupakan manusia yang paling mereka kasihi. Islam banyak menyeru umatnya agar sentiasa menjaga dan memelihara hubungan dengan jiran. Menyedari betapa tingginya kedudukan jiran di dalam Islam dan peranannya dalam kehidupan kemanusiaan.

Antara hak jiran yang lain yang perlu dipelihara adalah sentiasa memberi layanan baik dan kasih sayang serta akhlak yang baik dalam muamalah dengan mereka. Islam mementingkan hubungan mesra dan layanan baik kepada jiran dan ini terlihat daripada banyak panduan daripada hadith baginda antaranya ialah daripada riwayat Abu Dzar yang menyebut telah bersabda Rasulullah s.a.w iaitu :

Maksudnya : Wahai Abu Dzar sekiranya engkau memasak maraq (sejenis makanan berkuah seperti sup) maka banyakkanlah kuahnya dan berikan kepada jiran engkau.

Berdasarkan dalil-dalil daripada al-Qur’an dan hadith, jelas menunjukkan bahawa Islam seringkali menganjurkan dan menyeru umatnya supaya sentiasa menjaga hubungan dengan jiran tetangga dan memelihara hak-hak jiran disamping menghormati jiran-jiran bukan Islam selagimana tidak merosakkan akidah dan akhlak. 

[1] Mustafa Haji Daud (1991), Tamadun Islam, Kuala Lumpur: Utusan Publication & Distributors Sdn Bhd. h.56.
[2] Ibid., h.56
[3] Dekat dan jauh di sini ada pendapat yang mengertikan dengan tempat, hubungan kekeluargaan, dan ada pula antara yang muslim dan yang bukan muslim.
[4] Ibnu Sabil ialah orang yang dalam perjalanan yang bukan maksiat yang kehabisan bekal termasuk juga anak yang tidak diketahui ibu bapanya.
[5] Lihat hadith sahih riwayat Bukhari no. 5787 dan Muslim no. 47. 




Lihat sebelum ini..
Setinggan 'Kebal' Masih Ada Di S'ngor? Ini..
Setinggan 'Kebal' Masih Ada Di S'ngor? Ini..

Simpanan RM40,000 Lesap, Akaun Kena Hack...


10 Tahun Menyimpan. Duit Simpanan RM40,000 Dalam Maybank Lesap Akaun Kena Hack


Memang tidak dinafikan, kes melibatkan akaun bank digodam pernah berlaku sehingga menyebabkan kerugian jutaan ringgit.

Kebanyakan kes yang berlaku disebabkan kecuaian pemilik akaun tetapi ada yang dilakukan oleh pihak ketiga.

Hari ini, seorang pengguna Twitter telah berkongsikan kisah bagaimana adiknya kehilangan wang sebanyak RM40,000 dalam akaun Maybank miliknya.

Sebelum ini kita dengar kes akaun bank digodam di luar negara sahaja sehinggakan jumlah yang hilang mencecah ribuan ringgit. Namun, seorang lelaki telah memuatnaikkan satu kicau di laman Twitternya yang mendakwa akaun bank adiknya menjadi mangsa godam oleh individu yang tidak bertanggungjawab.

“Life saving dia sejak dari 2009 lebur 40k”

Account maybank adik aku kena hack. Life saving dia sejak dari 2009 lebur 40k. Dah report polis dgn freeze account tu. Bank deny about the hacking, they continously deny and push the responsibilty kat adik aku.



View image on Twitter


Lelaki ini juga mendakwa simpanan adiknya sejak mula bekerja dari tahun 2009 lebur dan jumlahnya RM40,000. Dia juga menyatakan sudah membuat laporan polis dan bekukan akaun tersebut. Dia turut mendakwa pihak bank menafikan tentang godaman itu.

Ini adalah butiran mengenai akaun adiknya yang tertera seperti gambar di bawah. Baki dalam akaun hanya tinggal RM394.44 sahaja dan ada dua transaksi berjumlah RM20,000 setiap satu.

Sumber: Siakapkeli.my

Friday, October 18, 2019

Dicekup Khalwat Di Changlun, Malam Tadi. Ini, Ambil Tahu Sikit!


Sekejap isteri, sekejap bukan


LELAKI berstatus duda dicekup berkhalwat dengan pasangannya yang juga penuntut Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di motel di kawasan perumahan Pekan Changlun, malam tadi.
Kedua-dua mereka berasal dari Kelantan itu memberi alasan menumpang tidur di motel berkenaan untuk menghantar barang ketika dicekup berkhalwat oleh sepasukan anggota Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK), 12.40 tengah malam.
Lelaki berusia 43 tahun itu bekerja sebagai guru sekolah memandu dan mendakwa berkenalan dengan wanita itu di Kelantan.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang Syariah JAIK, Syeikh Radzi Abdul Mutalib berkata, dalam operasi Ops Bersepadu itu, anggotanya memeriksa sebuah bilik di tingkat atas motel berkenaan dipercayai disewa pasangan terbabit.
Beliau berkata, selepas diketuk dan memberi salam, seorang lelaki yang berkemeja T dan berkain pelikat membuka pintu.
“Pada mulanya lelaki itu mendakwa wanita berkenaan adalah isterinya, namun akhirnya mengaku mereka hanya kawan selepas gagal menunjukkan sebarang dokumen hubungan mereka.
“Ketika pemeriksaan, wanita itu sedang baring di atas katil dengan berpakaian lengkap,” katanya ketika ditemui selepas operasi itu awal pagi, hari ini.
Radzi berkata, berikutan itu pasangan terbabit ditahan untuk siasatan lanjut kerana disyaki berkhalwat.
Beliau berkata, pasangan itu kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu untuk dibuat laporan tangkapan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 25 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014 dan sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Radzi berkata, operasi itu disertai 30 anggota penguatkuasa dari JAIK dan Pejabat Agama Daerah Kubang Pasu (PADKP) yang bermula 11 malam hingga 4 pagi tadi.
“Kita tertumpu di sembilan hotel bajet yang disyaki menjadi tumpuan orang Islam menyewa dengan pasangan bukan mahram untuk melakukan maksiat,” katanya. (MyMetro)

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Kita kena ambil tahu serba sikit hal-hal Islam semasa, kerana Islam menyuruh umarnya begitu. Mengenai kes di atas sila lihat ini.. 
Enakmen 11 Tahun 1965 UNDANG-UNDANG PENTADBIRAN UGAMA ISLAM 1965 BAHAGIAN IX - KESALAHAN2.

Seksyen 154. Khalwat.

(1) Sa-saorang lelaki Islam yang di-dapati berkediaman dan bersekedudokan yang mendatangkan shak dengan sa-saorang perempuan sa-lain daripada perempuan yang muhrim mengikut Hukum Shara' dengan sebab perhubongan darah, persaudaraan atau peliharaan akan melakukan kesalahan kerana berkhalwat dan akan bersalah kapada kesalahan yang boleh di-hukum penjara sa-lama tidak lebeh daripada tiga bulan atau denda tiada lebeh daripada tiga ratus ringgit, atau, pada kesalahan kali yang kedua atau kesalahan yang berikut-nya dengan penjara sa-lama tiada lebeh daripada enam bulan atau penjara tiada lebeh daripada lima ratus ringgit atau kedua2 sa-kali penjara dan denda.

(2) Sa-saorang perempuan Islam yang bershubahat diatas kesalahan di-dalam pechahan (1) dalam fasal ini bolehlah di-hukum penjara tiada lebeh daripada tiga bulan atau denda tiada lebeh daripada tiga ratus ringgit atau, jika dIdapati kesalahan yang kedua at au kesalahan yang sa-rupa kemudian daripada itu, dengan penjara tiada lebeh daripada enam bulan at au denda tiada lebeh daripada lima ratus ringgit atau kedua2-nya penjara dan denda.


(3) Sa-saorang perempuan Islam yang di-jumpai berkediaman dan bersekedudokan yang mendatangkan shak dengan mana2 lelaki yang bukan berugama Islam boleh-lah di-hukum sa-olah2 ia membuat kesalahan di-dalam pechahan (2) dalam fasal ini.

(4) Sa-siapa orang lelaki Islam yang bersekedudokan sabagai suami isteri dengan mana2 perempuan yang tiada harus nikah dengan-nya mengikut Hukum Shara' at au didapati berkediaman dan bersekedudokan yang mendatangkan shak dengan perempuan itu ada-lah melakukan kesalahan berkhalwat, dan apabila thabit kesalahan-nya maka boleh-lah di-hukum dengan hukuman yang sarna jalan-nya saperti yang tersebut dalam pechahan (1) dalam fasal ini.

(5) Mana2 perempuan yang di-dapati bershubahat melakukan kesalahan yang tersebut dalam pechahan (4) dalam fasal ini boleh-Iah di-hukum dengan hukuman yang ditentukan di-bawah pechahan (1) dalam fasal ini.

(6) Mahkamah boleh memerentahkan bahawa sa-saorang perempuan yang telah di-dapati salah kapada satu kesalahan menurut fasal ini hendak-lah di-hantarkan kasabuah rumah yang di-luluskan oleh Majlis bagi tempoh yang tiada lebeh daripada enam bulan sa-bagaimana yang di-fikirkan patut oleh Mahkamah itu.

Sekian.

Lihat sebelum ini..
E-Buku IH-124: Budaya Saudi &Melayu Kota Mekah Kini..

E-Buku IH-124: Budaya Saudi &Melayu Kota Mekah Kini.

Ini.. Patut Dicontohi Dari Artis Ella. Al-hamdulillah.


HALAMAN HIBURAN
“SUDAH sampai masanya untuk saya berbakti pada tanah di negara sendiri yang boleh menghasilkan pelbagai jenis tanaman.
“Niat saya hendak mendidik masyarakat dan menjadi inspirasi kepada anak muda,” kata ratu rock tanah air, Ella atau nama sebenarnya Nor Zila Aminuddin.

Menurutnya, dia dan suaminya, Azhar Ghazali mengusahakan tanaman fertigasi cili sejak dua tahun lalu dengan modal pusingan RM150,000 membabitkan tiga ladang berkeluasan 1.2 hektar.

“Alhamdulillah, tanaman ini sudah masuk musim keenam di mana setiap ladang mampu menghasilkan pengeluaran cili lapan tan.
“Setahun kami dapat menghasilkan dua musim di mana setiap musim dari peringkat semaian hingga menuai mengambil masa selama enam bulan. Kami menggunakan benih cili kulai 461 yang terbukti berkualiti dan baik,” katanya yang ditemui di ladangnya di Puncak Alam, dekat sini, semalam.

Ella berkata, setiap ladang mempunyai keluasan 0.4 hektar yang mampu menanam kira-kira 5,000 pokok cili menggunakan beg semaian di mana setiap pokok dapat menghasilkan sehingga dua kilogram (kg) cili dengan panjang mencecah lima hingga enam inci.

“Sejak kecil saya suka bercucuk tanam pokok bunga di keliling rumah. Mungkin sudah ditakdirkan jodoh dengan suami mempunyai minat yang sama dalam pertanian walaupun kami tiada asas pertanian.
“Sebelum berkecimpung dalam bidang ini, saya dan suami banyak membuat penyelidikan dan mendapatkan maklumat mengenai tanaman fertigasi cili termasuk mengikuti kursus asas pertanian.
“Saya yakin potensi perniagaan pertanian ini mampu menjana pendapatan lumayan sekiranya dilakukan dengan bersungguh-sungguh dan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya.

Ditanya mengenai bidang nyanyian yang diceburi sejak 34 tahun lalu, Ella berkata, dia menjadikan bidang nyanyian dan pertanian sebagai kerjaya utama kerana meminati industri berkenaan.

“Saya akan terus menyanyi kerana minat sejak kecil dan pada masa sama akan memantau perkembangan ladang cili supaya ia tidak dilakukan separuh jalan.
“Saya menggalakkan lebih ramai golongan muda berkecimpung dalam bidang pertanian kerana ia menjanjikan masa depan yang baik, sekali gus mengurangkan cili import,” katanya.

Sementara itu, Azhar berkata, bagi tanaman musim kali ini, dia menggunakan sistem perladangan pintar menerusi aplikasi Internet of Things (IoT) yang mana parameternya dipantau menerusi komputer dan telefon pintar.

“Kecanggihan teknologi masa kini membolehkan bidang pertanian makin berkembang pesat dan berupaya mengurangkan kos serta sumber manusia di samping meningkatkan kecekapan dalam menangani cabaran dan isu pertanian.
“Lebih menarik semua parameternya dipantau menerusi komputer dan telefon pintar. Ia membolehkan IoT membawa manfaat kepada fertigasi cili khususnya dalam proses penjagaan berjalan dengan lebih bermaklumat.
“Ia mudah dipantau. Penderia untuk suhu, kelembapan udara dipasang di kawasan fertigasi cili manakala penderia kelembapan tanah pula diletakkan dalam sabut kelapa di pangkal pokok cili yang secara langsung berperanan sebagai masukan kepada aplikasi sistem IoT ini,” katanya.

Menurutnya, selain mengelak pembaziran dan mengurangkan kos operasi, hasil pertanian yang dikeluarkan juga lebih berkualiti kerana mendapat bekalan air dan baja dalam kuantiti yang diperlukan termasuk kandungan Omega 3.

“Dengan menggunakan kaedah IoT, ia dapat meningkatkan hasil pengeluaran sehingga tiga kg bagi satu pokok cili selain dapat memenuhi permintaan pasaran cili tempatan yang kurang mengandungi bahan kimia berbanding cili import,” katanya.
“Hasil pengeluaran cili ini akan dipasarkan ke pasar raya, kedai runcit, Pertubuhan Peladang Kawasan Kuala Langat dan restoran makanan.
“Dalam perancangan masa depan, kami akan memasarkan sendiri cili ini dan menambah ladang di kawasan berhampiran.
“Kami turut mengadakan khidmat nasihat kepada usahawan yang mahu menjalankan aktiviti pertanian fertigasi cili,” katanya.
 ELLA memerhatikan Azhar mengendalikan aplikasi di ladang mereka.
Komen Weblog Ibnu Hasyim: Anak muda! Inilah yang patut dicontohi dari Ella, supaya 'bebas kewangan' tidak terlalu bergantung kepada industri muzik semata-mata. Al-hamdulillah!



Lihat Sebelum Ini..

Rogol Anak, Hukum '202 tahun penjara, 23 sebatan'?, Ini Solusi..


IPOH, 18 Safar 1441H, Khamis – Seorang nelayan dijatuhi hukuman penjara berjumlah 202 tahun dan 23 sebatan, selepas mengaku bersalah atas 22 pertuduhan merogol, mencabul dan merakam gambar bogel anak perempuan tirinya berusia 15 tahun sejak 2016.

Hakim Mahkamah Sesyen, Datuk Julie Lack Abdullah menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh berusia 36 tahun itu apabila membuat pengakuan itu, selepas pertuduhan dibacakan semula oleh jurubahasa mahkamah, di sini hari ini.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman bagi setiap kategori kes serentak bermula dari tarikh dia ditangkap pada September lalu, yang menjadikan tempoh penjara kepada 38 tahun.

Pada 11 Oktober lalu, bapa durjana itu hanya mengaku bersalah terhadap enam daripada kesemua pertuduhan berkenaan dan mengaku tidak bersalah bagi 16 lagi pertuduhan, sebelum menukar pengakuan ketika prosiding keputusan yang ditetapkan hari ini.

Dia didakwa atas 14 pertuduhan merogol, lima pertuduhan melakukan kekerasan jenayah dengan niat mencabul, dua pertuduhan mencabul kehormatan ketika remaja itu berusia 12 tahun dan satu pertuduhan merakam gambar bogel.

Lelaki itu didapati melakukan kesemua kesalahan itu di sebuah rumah di Sitiawan, Manjung, antara April 2016 sehingga 29 September lalu.

Bagi kesemua kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 377C, 376B (1), 377CA, 354, 509 Kanun Keseksaan serta Seksyen 14(a) dan 14(b) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Naidatul Athirah Azman memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat terhadap tertuduh untuk memberi pengajaran kepada tertuduh dan orang ramai, memandangkan kejadian itu menyebabkan trauma terhadap mangsa dan mempengaruhi mangsa secara emosi.

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Robert Gannarajan, memohon hukuman ringan dengan mengambil kira pengakuan bersalah tertuduh yang menjimatkan kos dan masa mahkamah.

Hakim kemudian menjatuhkan hukuman penjara 38 tahun dan 23 sebatan bagi kesemua kes itu.

Mengikut fakta kes, kesemua kesalahan dilakukan tertuduh terbongkar apabila ibu mangsa menemui kad memori SD, yang mengandungi gambar mangsa dalam keadaan bogel sebelum laporan polis dibuat.

Polis menahan tertuduh pada 30 September lalu. -Bernama

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Untuk perhatian PH, ini solusinya..

I. Aspek pendidikan
  1. Pihak kerajaan mesti memperkasakan silibus pengajian Islam di seluruh sekolah dan pelbagai tahap pendidikan sebagai subjek wajib, bukan selektif. 
  2. Para ibu bapa dan guru mesti berganding bahu memantau kelakuan anak-anak dan memastikan sukatan pelajaran agama diberikan perhatian yang lebih dan serius. 
  3. Mempergiatkan kempen yang sihat dalam membangunkan nilai moral dan jati diri syaksiah seperti kempen jaga pandangan dan memelihara kehormatan di seluruh peringkat sama ada agensi kerajaan, sekolah, masyarakat dan keluarga.
  4. Penekanan pemakaian patuh syariah yang menutupi aurat oleh semua umat Islam serta pemakaian sopan bagi yang bukan beragama Islam. Termasuk juga pengiklanan sama ada secara maya, digital serta di papan tanda. 
II. Aspek Pencegahan
  1. Memperkasakan bidangkuasa Mahkamah Syariah agar diberikan kuasa penuh sebagaimana peruntukan dalam syariat Islam. 
  2. Kementerian yang berkaitan seperti Penerangan, Komunikasi dan Multimedia untuk lebih agresif menyekat laman sesawang yang mempunyai unsur lucah dan seksi. 
  3. Penetapan cara pemakaian yang bersesuaian dengan etika agar tidak seksi dan menjolok mata. Bagi umat Islam dengan menutupi aurat, bagi bukan beragama Islam ialah batasan sopan. 
  4. Pihak berkuasa mesti menutup semua pusat maksiat sama ada yang berlesen atau tidak. Serta memantau pusat siber umum agar tidak menjadi tempat lepak remaja-remaja dengan aktiviti yang kurang sihat. 
(Disedut dari  Ustaz Hanafi Zulkapli HARAKAHDAILY 3/7/2019)

Maka sama-samalah kita berharap agar pihak berkuasa dapat mengambil langkah segera bagi memastikan kes jenayah rogol ini dapat di atasi dengan terbaik menerusi aspek pendidikan dan aspek pencegahan. 

Kalau tidak dan PH masih berdegil, pada PRU akan datang, undilah PAS!

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails