Kenapa tiada hukuman keras pemandu mabuk?
PAS menyelar kelembapan Menteri Pengangkutan kerana masih gagal meminda Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333). Rakyat mendesak Akta 333 dipinda khususnya melibatkan hukuman bagi kesalahan memandu dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan kematian. Berdasarkan Seksyen 41 dan 44 Akta 333, hukuman maksimum adalah penjara tidak lebih 10 tahun dan denda tidak lebih RM20,000.
Semalam (23 Januari), seorang penunggang motosikal maut dan seorang lagi cedera parah akibat dilanggar pemandu mabuk di Jalan Kebun, Klang. Ramai orang awam tidak bersalah termasuk kanak-kanak dan wanita mati akibat sikap pemandu mabuk yang semakin ramai mutakhir ini. Sampai bila rakyat yang tidak bersalah terus menjadi korban pemandu mabuk ini? Mengapa Menteri Pengangkutan masih berdiam diri dan belum meminda Akta 333?
Menteri Pengangkutan pernah menjawab soalan Ahli Parlimen di Dewan Rakyat pada bulan Mac 2019 berhubung isu ini. Menteri hanya memaklumkan akan meneliti dan mengkaji cadangan pindaan termasuk berbincang dengan pihak PDRM dan Peguam Negara. Namun, masih belum ada apa-apa perkembangan lagi dan rakyat masih menunggu perkembangan ini. Isu ini sangat serius dan hukuman lebih keras patut dikenakan terhadap pesalah. Pindaan perlu disegerakan untuk menghalang lebih banyak kes akan berlaku.
PAS akan berusaha sebaik mungkin agar pindaan ini dapat dilaksanakan termasuk mendesak untuk mengharamkan penjualan arak secara berleluasa.
Sekian, terima kasih.
TUAN IBRAHIM TUAN MAN
Timbalan Presiden PAS
Ahli Parlimen Malaysia (Kubang Kerian)
28 Jamadil Awwal 1441 | 24 Januari 2020 – HARAKAHDAILY 24/1/2020
IKLAN LANDAK
Biakkan Landak Komersial..
(Membeli dan Menjual)
Sila hubungi..
Pak Zuu
Tel 011 33111321 (KL)