Thursday, June 18, 2020

Salah guna wang zakat: Bekas guru besar dipenjara&denda.


Gambar hiasan


BEKAS guru besar dijatuhi hukuman penjara empat tahun dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu, hari ini, selepas didapati bersalah menyalahgunakan wang zakat sumbangan sebuah syarikat yang sepatutnya disalurkan kepada pelajar sekolah rendah.
Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed menjatuhkan hukuman itu ke atas Zabidah Sulaiman, 59, selepas membenarkan rayuan pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu yang melepas dan membebaskan wanita itu pada Jun 2019 daripada pertuduhan.
Mahkamah Tinggi mengetepikan keputusan Mahkamah Sesyen dan mensabitkan Zabidah atas pertuduhan menyalahgunakan wang zakat sebanyak RM5,000 yang disumbangkan Syarikat Ladang Rakyat Terengganu untuk diberikan kepada 100 pelajar Sekolah Kebangsaan Cheneh Baru 2 di Kemaman.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu ketika bertugas di sekolah itu di bilik mesyuarat Syarikat Ladang Rakyat Terengganu Sdn Bhd pada 13 Julai 2015 mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun, dengan sebatan dan denda jika sabit kesalahan.
Bagaimanapun, Abdul Wahab membenarkan pelaksanaan hukuman ke atas wanita itu ditangguhkan sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan dan mengenakan jaminan sebanyak RM10,000.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Farah Yasmin Salleh manakala tertuduh diwakili peguam Masliela Ismail dan Ghazali Ismail. (BERNAMA)

Najib mohon dibebaskan, dakwa tuduhan tidak berasas

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hadir ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi perbicaraan kes pindaan Laporan Pengauditan 1MDB di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. - Foto NSTP/Eizairi Shamsudin
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hadir ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi perbicaraan kes pindaan Laporan Pengauditan 1MDB di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. - Foto NSTP/Eizairi Shamsudin






KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak menimbang untuk memohon dibebaskan daripada tuduhan meminda Laporan Pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dihadapinya bersama bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Arul Kanda Kandasamy.
Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib berkata, pihaknya berhasrat mengemukakan permohonan itu berdasarkan keterangan pemeriksaan balas terhadap bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa, semalam.



Beliau berkata, berdasarkan kepada pemeriksaan balas itu, laporan 1MDB masih lagi dalam peringkat draf dan belum dimuktamadkan bagi dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).
Katanya, tuduhan ke atas anak guamnya menyatakan kesalahan dilakukan 'sebelum' laporan itu dibentangkan kepada PAC, maka anak guamnya tidak melakukan apa-apa kesalahan yang membolehkan beliau didakwa.
"Melihat keseluruhan kes pendakwaan bahawa anak guam saya didakwa melakukan kesalahan sebelum laporan 1MDB dimuktamadkan, ia bukan satu kesalahan kerana pada peringkat itu pihak yang mengaudit dan diaudit boleh berbincang bagi mencapai persetujuan dan ia tidak memakan masa sejam atau sehari.
"Oleh itu, asas pendakwaan untuk meminda tuduhan membabitkan perkataan 'sebelum' yang dipinda kepada perkataan 'selepas' Laporan Pengauditan 1MDB dimuktamadkan, perkara itu perlu ditentukan mahkamah terlebih dahulu.
"Jika tidak, ia adalah tidak adil kepada anak guam saya," katanya.
Muhammad Shafee berkata, pihaknya menimbangkan untuk mengemukakan permohonan mengikut Seksyen 173(g) Kanun Acara Jenayah dengan alasan tuduhan yang tidak berasas.
Menurut peguam itu, pihaknya membantah permohonan pendakwaan untuk meminda tuduhan terhadap Najib kerana ia boleh menyebabkan implikasi serius terhadap kes pembelaan.
Beliau berkata, dengan cadangan pindaan kepada tuduhan berkenaan, ia merubah kedudukan pihak pendakwaan dengan drastik.
Katanya, inti pati kepada pemeriksaan balas terhadap saksi ialah tiada apa yang salah dengan permintaan untuk meminda laporan audit yang belum dimuktamadkan.
Menurut peguam itu, pada awal perbicaraan, pendakwaan meminda tuduhan terhadap Najib dan Arul Kanda dengan mendakwa Najib menyalahgunakan kedudukan dan menyebabkan pindaan kepada Laporan Pengauditan 1MDB yang disediakan oleh Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang, sebelum ia dimuktamadkan dan dibentangkan kepada PAC.
"Ketika dihadapkan di Mahkamah Sesyen pada tahun 2018, tuduhan yang dikenakan ialah anak guam saya menyebabkan pindaan kepada laporan itu yang sedang disediakan pada Februari 2016 sebelum dimuktamadkan.
"Sekarang pihak pendakwaan mahu menyatakan bahawa laporan itu sudah dimuktamadkan," katanya.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Seri Gopal Sri Ram, berkata bukti yang dikemukakan setakat ini adalah asas kepada tuduhan terhadap tertuduh.
Beliau berkata, semua pihak perlu fokus kepada kesalahan yang sangat jelas berdasarkan kepada keterangan Ambrin; Pengarah Sektor Audit Tadbir Urus Jabatan Audit Negara, Datuk Nor Salwani Muhammad dan bekas Pengarah Audit JAN, Saadatul Nafisah Bashir Ahmad.
Katanya, pihaknya merasakan bahawa tiada perubahan besar dengan pindaan terhadap tuduhan berkenaan.
"Ia sudah jelas melalui keterangan ketiga-tiga individu ini bahawa laporan itu bukan draf," katanya.
Terdahulu, dalam prosiding hari ini, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib memohon supaya tuduhan pindaan dibacakan terhadap Najib, sebelum Muhammad Shafee mengemukakan bantahan.
Selepas mendengar hujahan kedua-dua belah pihak, Hakim Mohamed Zaini Mazlan menetapkan pada 24 Jun ini bagi mendengar hujahan untuk meminda tuduhan ke atas Najib dan Arul Kanda.(BH)

Wednesday, June 17, 2020

George Floyd: Kegagalan Barat tangani perkauman



KITA dikejutkan dengan kematian Floyd pada 25 Mei yang mengheret kepada ketidakpuasan hati rakyat Amerika. Bermula di Minesotta, sehinggalah hari ini membarah ke banyak negeri. Awal Jun baru ini, Donald Trump, Presiden Amerika telah mengerahkan tentera untuk mengekang protes tersebut.

Demonstrasi semakin panas apabila ratusan kedai dan balai polis dibakar. Sehingga akhir bulan lepas, 500 orang tentera dikerahkan bagi mengawal protes tersebut. Derek Chauvin merupakan salah seorang polis yang menyebabkan kematian Floyd sedang ditahan. Media melaporkan bahawa mereka berempat telah dipecat.

Senator Amerika, Amy Klobuchar dari Minnesota memuji penangkapan Chauvin, menyebutnya “langkah pertama menuju keadilan”.
Trump pula melabelkan para penunjuk perasaan sebagai ‘samseng’, dan mengancam tindakan keras terhadap mereka. Pendekatan ini berbeza dengan Obama (mantan Presiden Amerika). Menggambarkan sikap Rasisme yang diamalkan oleh beliau.
Manakala Barack Obama pula mengatakan pada hari ini bahwa dia berkongsi ‘penderitaan’ jutaan rakyat Amerika atas kematian Floyd dan mengatakan bahawa perkauman (Rasisme) tidak boleh ‘normal’ di Amerika Syarikat.
“Tidak boleh biarkan Rasisme menjadi normal” kata Obama yang dikenali sebagai Presiden kulit hitam AS pertama, dalam satu kenyataannya.
Sejarah Rasisme (White Supremacy)
White Supremacy adalah kepercayaan rasis bahawa orang kulit putih lebih unggul daripada orang-orang dari kaum lain dan oleh itu harus menguasai mereka. Ia menggambarkan ideologi politik yang mengekalkan dominasi sosial, politik, sejarah, atau institusi oleh orang kulit putih, sepertimana yang dibuktikan oleh struktur sosiopolitik sejarah dan kontemporari. Contohnya Atlantic Slave Trade dari abad ke-16 hingga abad ke-19, Jim Crow Laws di Amerika Syarikat pada akhir abad ke-19 dan awal abad ke-20, White Australia policy dari tahun 1890-an hingga pertengahan 1970-an, dan Apartheid di Afrika Selatan.
Mengikut sejarah dunia Barat juga, sememangnya mempunyai rekod sejarah gerakan White Supremacy. Contohnya pada 20 September 2019, United States Secretary of Homeland Security mengumumkan strategi melawan teroris
(a) Antara yang diumumkan oleh pertubuhan tersebut, ia merangkumi penekanan baru terhadap bahaya yang wujud dalam gerakan ketuanan kulit putih (White Supremacy) yang semakin subur di Amerika.
(b) Sebagai kontra kepada White Supremacy, wujudnya gerakan seperti Black Power Movement, Black Lives Matter, New/Black Panther Party dan sebagainya.
Konflik persaingan ‘warna kulit’ sangat subur di dunia Barat akibat daripada unsur Rasisme yang menghantui dunia tersebut.
Kegagalan peradaban Barat memerangi Rasisme
Walaupun Barat yang bertunjangkan ideologi Liberalisme sering melaungkan hak asasi manusia dan kesamarataan kaum, namun realiti masyarakat di sana masih tegar dengan semangat perkauman yang melampau. Keganasan polis terhadap George Floyd hanyalah salah satu di antara episod-episod buruk diskriminasi kaum di US dan Eropah.
Menurut soal jawab yang dikeluarkan oleh Civil Rights Movement pada tahun 2001, kebanyakan aktivis hak asasi manusia berpandangan diskriminasi kaum masih menebal di US. Walaupun berbagai undang-undang anti perkauman telah diperkenalkan, namun ia hanya berlaku dalam bentuk perundangan sahaja. Hakikatnya, pandang rendah kaum kulit putih terhadap kaum kulit hitam masih berleluasa di sana. Bahkan ia hanya menjadi alat politikus untuk meraih sokongan semata-mata, bukan lahir dari keikhlasan membanteras perkara tersebut.
Pew Research Center, sebuah badan kajian terulung Antarabangsa mengeluarkan laporan kaji selidik pada tahun 2019 menyatakan majoriti penduduk US mengakui perkauman masih wujud, malah semakin kritikal. Walaupun sistem perhambaan dan kasta telah dihapuskan 150 tahun lalu, namun orang berkulit hitam masih merasai tekanan perbezaan warna kulit. Kesamarataan yang diperjuangkan masih belum cukup mencapai kayu ukur yang digariskan.
Menurut kajian tersebut juga, golongan berkulit gelap, hispanik dan orang Asia merasakan nasib mereka akan lebih baik jika dilahirkan daripada keturunan berkulit putih. Majoriti berpandangan era Trump memperlihatkan diskriminasi kaum makin melebar berbanding Presiden sebelumnya.
Contoh paling dekat yang boleh kita ambil adalah negara jiran, Singapura yang juga menjadikan peradaban Barat sebagai kiblat. Walaupun negara tersebut terkenal dengan diversiti kaum yang kompleks dan undang-undang kesamarataan yang unggul, namun norma diskriminasi masih wujud di kalangan masyarakat. Apabila syarikat milik kaum Cina mengiklankan pekerjaan, mereka meletakkan syarat “boleh berkomunikasi dalam bahasa Cina” yang sekali gus mengehadkan kaum lain untuk memperolehi peluang tersebut.
Bagaimana solusi Islam
Dalam isu Rasisme ini, Islam mengajar bahawa manusia itu memang diciptakan oleh Allah S.W.T dalam keadaan hidup saling memerlukan:
يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُم مِّن ذَكَرٍ وَأُنثَىٰ وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا ۚ إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِندَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).”
(al-Hujurat: 13)
Sistem yang disediakan oleh Allah S.W.T ialah kepelbagaian bangsa, asal-usul, keturunan, latar belakang dan sebagainya. Kepelbagaian ini hakikatnya diciptakan oleh Allah S.W.T untuk hidup dalam keadaan tolong-menolong. Ini kerana setiap bangsa dan keturunan, pasti ada kelebihan masing-masing.
Nabi S.A.W bersabda;
يَا أَيُّهَا النَّاسُ أَلَا إِنَّ رَبَّكُمْ وَاحِدٌ وَإِنَّ أَبَاكُمْ وَاحِدٌ أَلَا لَا فَضْلَ لِعَرَبِيٍّ عَلَى أَعْجَمِيٍّ وَلَا لِعَجَمِيٍّ عَلَى عَرَبِيٍّ وَلَا لِأَحْمَرَ عَلَى أَسْوَدَ وَلَا أَسْوَدَ عَلَى أَحْمَرَ إِلَّا بِالتَّقْوَى

“Wahai sekalian manusia, ketahuilah bahawa Tuhanmu satu, bapa kamu (Adam) juga satu. Tiada kelebihan bagi orang Arab berbanding orang bukan-Arab, tidak juga bagi orang bukan-Arab terhadap orang Arab. Tiada juga kelebihan bagi orang berkulit merah berbanding si kulit hitam, tidak juga bagi si kulit hitam berbanding si kulit merah melainkan dengan takwa.”
(Riwayat Imam Ahmad)
Kita juga boleh lihat dalam Sirah Nabi S.A.W, bagaimana Baginda S.A.W memanfaatkan pengalaman Salman al-Farisi yang mencadangkan supaya dikorek parit mengelilingi Madinah. Idea tersebut diambil daripada pengalamannya di Parsi, dan dicadangkan kepada Baginda S.A.W. Cadangan tersebut diterima. Ia menjadi gambaran bahawa perbezaan itu boleh dimanfaatkan antara sesama manusia.
Sayyid Qutb berkata di dalam في ظلال القرآن :
“Perbezaan bahasa dan warna kulit, perbezaan tabiat dan akhlak, perbezaan kebolehan dan bakat-bakat adalah perbezaan yang tidak seharusnya membawa kepada pergaduhan dan perbalahan, malah ia sewajarnya membawa kepada tolong-menolong dan kerjasama yang erat untuk melaksanakan tugas-tugas kemanusiaan dan melengkapkan keperluan umat manusia. Warna kulit, bangsa, bahasa dan negara tidak mempunyai nilai menurut neraca Allah kerana di sana hanya neraca takwa merupakan satu-satunya neraca yang menentukan nilai dan kelebihan manusia.”
Ya, Islam mengajar kita supaya hidup bersosial, dengan makna hidup bermasyarakat. Tidak hidup sendirian di gua, atau gunung-ganang melainkan beberapa ketika sahaja untuk penyucian jiwa. Hal ini boleh dilihat dalam sirah Nabi S.A.W, yang hidup bermasyarakat dan dalam masa yang sama ada masa tertentu Baginda S.A.W bersendiri (berkhalwat).
Hidup kerjasama
Allah S.W.T berfirman menyatakan konsep hidup kerjasama dalam Islam;
وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ

“Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.”
(al-Maidah: 2)
Malaysia merupakan sebuah negara demokrasi berparlimen yang bersistemkan Raja Berperlembagaan. Rakyat Malaysia yang berbilang bangsa, pelbagai agama, dalam keadaan mengekalkan hak Bumiputera dan Islam sebagai agama rasmi.
Malaysia yang menjadikan Islam sebagai agama rasmi bertentangan dengan fahaman Liberal yang meruntuhkan Amerika dan dunia Barat pada hari ini. Apabila rakyat mereka diberi kebebasan secara berlebihan, mengheret mereka ke arah kehidupan yang tidak terkawal.
Malaysia juga bukanlah negara yang berkonsepkan Totalitarian atau Autoritarian yang menyekat terus kebebasan bersuara atau kebebasan berparti. Masyarakat yang hidup dalam suasana Autokrasi juga berhadapan dengan situasi kongkongan dan paksaan.
Malaysia mengamalkan konsep kebebasan yang ada batasnya. Ada ruang yang dibuka, ada ruang yang ditutup. Malaysia juga tidak mengamalkan Rasisme sekalipun berbilang bangsa, dan menekankan semangat perpaduan.
Di dalam Perlembagaan Persekutuan, “Perkara 152. Bahasa Kebangsaan” menyatakan;
(1) Bahasa Kebangsaan ialah Bahasa Melayu dan hendaklah dalam tulisan yang diperuntukkan melalui undang-undang oleh Parlimen: Dengan syarat bahawa:
(a) tiada seorang pun boleh dilarang atau dihalang daripada menggunakan (selain bagi maksud rasmi), atau daripada mengajarkan atau belajar, apa-apa bahasa lain; dan
(b) tiada apa-apa jua dalam Fasal ini boleh menjejaskan hak Kerajaan Persekutuan atau hak mana-mana Kerajaan Negeri untuk memelihara dan meneruskan penggunaan dan pengajian bahasa mana-mana kaum lain di dalam Persekutuan.
Kenapa Rasisme tertolak?
Rasisme berpunca daripada semangat perkauman yang melampau. Hal ini telah diperingatkan oleh Nabi S.A.W mengenai larangan asabiyyah;
ليس منا من دعا الى عصبية، وليس منا من قاتل على عصبية، وليس منا من مات على عصبية

“Bukan dari kalangan kami mereka yang menyeru kepada semangat ketaksuban, dan bukan dari kalangan kami orang yang berjuang di atas semangat ketaksuban, dan bukan dari kalangan kita orang yang mati atas dasar ketaksuban.”

(Riwayat Abu Daud)
Nabi S.A.W juga pernah bersabda menghuraikan maksud asabiyyah yang diharamkan dalam Islam:
ﻋﻦ اﻣﺮﺃﺓ ﻣﻨﻬﻢ ﻳﻘﺎﻝ ﻟﻬﺎ ﻓﺴﻴﻠﺔ، ﻗﺎﻟﺖ: ﺳﻤﻌﺖ ﺃﺑﻲ، ﻳﻘﻮﻝ: ﺳﺄﻟﺖ ﺭﺳﻮﻝ اﻟﻠﻪ ﺻﻠﻰ اﻟﻠﻪ ﻋﻠﻴﻪ ﻭﺳﻠﻢ ﻓﻘﻠﺖ: ﻳﺎ ﺭﺳﻮﻝ اﻟﻠﻪ، ﺃﻣﻦ اﻟﻌﺼﺒﻴﺔ ﺃﻥ ﻳﺤﺐ اﻟﺮﺟﻞ ﻗﻮﻣﻪ؟ ﻗﺎﻝ: ”ﻻ، ﻭﻟﻜﻦ ﻣﻦ اﻟﻌﺼﺒﻴﺔ ﺃﻥ ينصر اﻟﺮﺟﻞ ﻗﻮﻣﻪ ﻋﻠﻰ اﻟﻈلم”

“Seorang wanita dari penduduk Palestin yang disebut Fasilah, mendengar ayahnya bertanya kepada Rasulullah S.A.W: “Wahai Rasulullah, apakah termasuk asabiyyah jika ada seseorang yang cinta kepada kaumnya?” Nabi S.A.W bersabda: “Bukan. Asabiyyah adalah seseorang membantu kaumnya atas dasar kezaliman.”

(Riwayat Ibn Majah)
Antara sebab Rasisme ditolak oleh Islam:
(a) Rasisme menafikan hak bangsa lain, sedangkan dalam Islam perlu memberikan hak kepada mereka yang berhak:
إن لربك عليك حقا، وإن لبدنك عليك حقا، وإن لأهلك عليك حقا، وإن لزورك عليك حقا، فأعط كل ذي حق حقه

“Sesungguhnya pada Tuhan kamu ada hak yang harus ditunaikan, dan pada dirimu ada hak yang harus ditunaikan, dan pada diri keluargamu ada hak yang harus ditunaikan, maka berilah setiap bahagian akan haknya.”
(Riwayat al Bukhari)
(b) Rasisme mengundang kepada perpecahan sedangkan Islam menyuruh kepada kesatuan. Allah S.W..T berfirman menjelaskan antara konsep perdamaian dan kesatuan dalam Islam:
وَإِنْ جَنَحُوا لِلسَّلْمِ فَاجْنَحْ لَهَا وَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ٦١ وَإِنْ يُرِيدُوا أَنْ يَخْدَعُوكَ فَإِنَّ حَسْبَكَ اللَّهُ هُوَ الَّذِي أَيَّدَكَ بِنَصْرِهِ وَبِالْمُؤْمِنِينَ٦٢ وَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِهِمْ لَوْ أَنْفَقْتَ مَا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا مَا أَلَّفْتَ بَيْنَ قُلُوبِهِمْ وَلَكِنَّ اللَّهَ أَلَّفَ بَيْنَهُمْ إِنَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ٦٣ [الأنفال: 61-63]

“Dan jika mereka (pihak musuh) cenderung kepada perdamaian, maka engkau juga hendaklah cenderung kepadanya serta bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. (61) Dan jika mereka bertujuan hendak menipumu, maka sesungguhnya cukuplah Allah (menjaga dan memberikan perlindungan) kepadamu. Dialah yang menguatkanmu dengan pertolongan-Nya dan dengan (sokongan) orang-orang yang beriman. (62) Dan (Dialah) yang menyatu-padukan di antara hati mereka. Kalaulah engkau belanjakan segala (harta benda) yang ada di bumi, nescaya engkau tidak dapat juga menyatu-padukan di antara hati mereka, akan tetapi Allah telah menyatu-padukan di antara (hati) mereka. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”
(al-Anfal: 61-63)
Kesimpulan
Allah S.W.T menciptakan kepelbagaian pada makhluk sebagai tanda kebesaranNya;
وَمِنْ آيَاتِهِ خَلْقُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَاخْتِلَافُ أَلْسِنَتِكُمْ وَأَلْوَانِكُمْ إِنَّ فِي ذَلِكَ لَآيَاتٍ لِلْعَالِمِينَ

“Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan kebijaksanaan-Nya (Allah) ialah kejadian langit dan bumi, dan perbezaan bahasa kamu dan warna kulit kamu. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan bagi orang-orang yang berpengetahuan.”

(ar-Rum: 22)
Perkara pokok yang membezakan peradaban Islam dan Barat adalah soal keterikatan dengan akhirat. Islam bukan sekadar menetapkan undang-undang di atas dunia, bahkan percaya bahawa sebarang kesilapan manusia juga akan dihukum di akhirat walaupun terlepas di atas dunia. Barat pula yang Sekular terpisah antara dunia dan akhirat.
Hasilnya, manusia hanya berlaku adil kerana takutkan undang-undang, bukan atas kesedaran diri. Apabila ada peluang daripada lompang perundangan (loophole) untuk melakukan diskriminasi, pasti ia akan dilakukan.
Hanya ajaran Islam sahajalah yang boleh menyelesaikan masalah perkauman di dunia ini. Nabi S.A.W berpesan supaya membina kehidupan yang harmoni;
لا تَحاسدُوا، وَلا تناجشُوا، وَلا تَباغَضُوا، وَلا تَدابرُوا، وَلا يبِعْ بعْضُكُمْ عَلَى بيْعِ بعْضٍ، وكُونُوا عِبادَ اللَّه إِخْوانًا، المُسْلِمُ أَخُو الْمُسْلِم: لا يَظلِمُه، وَلا يَحْقِرُهُ، وَلا يَخْذُلُهُ، التَّقْوَى هَاهُنا ويُشِيرُ إِلَى صَدْرِهِ ثَلاثَ مرَّاتٍ بِحسْبِ امرئٍ مِنَ الشَّرِّ أَنْ يَحْقِر أَخاهُ المُسْلِمَ، كُلّ الْمُسْلِمِ عَلَى الْمُسْلِمِ حرامٌ: دمُهُ، ومالُهُ، وعِرْضُهُ

“Janganlah kamu dengki-mendengki, tipu-menipu, benci-membenci, musuh-memusuhi, dan jangan kamu berjual beli atas jual beli setengah yang lain, dan jadilah kamu sekalian hamba-hamba Allah yang bersaudara. Seorang Muslim adalah bersaudara sesama Muslim, tidak boleh menganiayanya, tidak boleh membiarkannya tertindas, tidak boleh mendustainya dan tidak boleh menghinanya. Takwa itu berpunca dari sini, sambil Nabi S.A.W menunjukkan ke dadanya tiga kali. Sudah memadailah kejahatan seorang itu jika ia menghina saudaranya yang Islam. Seorang Muslim ke atas seorang Muslim yang lain diharamkan darahnya, harta bendanya dan kehormatannya.”
(Riwayat Imam Muslim)
YB USTAZ MOHD AKMAL KAMARUDIN
Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam Dan Penerangan
Kerajaan Negeri Perak – HARAKAHDAILY 17/6/2020

E-Buku IH-129: Terserlah AS Yang Perkauman..E -Buku IH-129: Terserlah AS Yang Perkauman..

SYG kutip RM3.4 juta


Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan, Datuk Seri Shaharuddin Khalid menunjukkan nombor pendaftaran SYG 8055 yang paling banyak dibida ketika sidang media di ibu pejabat JPJ hari ini. - Foto BERNAMA.




PUTRAJAYA: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengutip hasil bidaan lebih RM3.4 juta bagi nombor pendaftaran SYG yang dikeluarkan JPJ Sabah iaitu yang tertinggi mengatasi bidaan bagi nombor pendaftaran ALL sebelum ini.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Seri Shaharuddin Khalid, berkata jumlah bidaan itu RM100,254 melebihi kutipan nilai bidaaan untuk nombor pendaftaran ALL yang dibuka JPJ Perak pada September tahun lalu.


Beliau berkata, bidaan bagi siri nombor pendaftaran itu dibuka selama enam hari sehingga 15 Jun lalu melalui Sistem Bidaan Nombor Pendaftaran Kenderaan Dalam Talian (JPJeBid).
"SYG 1 menjadi nombor paling mahal dibida melalui pelaksanaan JPJeBid dengan bidaan nilai tertinggi RM115,000 daripada 14 pembida.
"Bidaan kedua tertinggi adalah nombor pendaftaran SYG 9 bernilai RM70,000, diikuti SYG 9 yang bernilai RM52,000 dan SYG 10 dengan nilai bidaan sebanyak RM50,000," katanya dalam sidang media di ibu pejabat JPJ di sini hari ini.
Dalam pada itu, nombor lain yang turut menerima bidaan paling ramai adalah SYG 8055 dengan 25 pembida dan nombor berkenaan berjaya dibida dengan nilai RM19,000.
Nombor lain adalah SYG 4111 yang dibida oleh 22 pembida dan berjaya dibida dengan nilai RM5,500 serta SYG 174 yang dibida 19 pembida dan berjaya dibida dengan nilai RM7,500.
"Seramai 7,424 pembida daripada 190,225 pengguna yang berdaftar dengan JPJeBid membuat bidaan untuk siri nombor pendaftaran SYG.
"Sebanyak 3,173 siri nombor berkenaan dibida melalui JPJeBid dan selebihnya 6,826 lagi nombor yang tidak dibida akan dibuka kepada orang ramai untuk pembelian mulai 1 Julai depan," katanya. (BH)

"PAS tidak pernah meminggirkan suara masyarakat bukan-Islam" -Satail Majungkat


Masyarakat bukan-Islam tetap dibela oleh PAS


DEWAN Himpunan Pendukung PAS (DHPP) Sabah hari ini melahirkan rasa syukur atas pelantikan Pengerusi DHPP PAS Pusat, YB Senator Balasubramaniam a/l Nachiappan sebagai Senator yang baru mengangkat sumpah hari ini.

Ini sebagai satu petunjuk bahawa PAS sebenarnya tidak pernah bersifat prejudis kepada masyarakat bukan-Islam.

Sejak saya bersama dengan PAS sebenarnya itulah yang saya rasakan. Ahli dan pimpinan PAS tidak pernah meminggirkan suara masyarakat bukan-Islam. Malah dalam beberapa keadaan masyarakat Islam diberikan kepercayaan untuk memegang jawatan tertentu dalam kerajaan seperti yang berlaku di Kelantan dan Terengganu.


Saya amat yakin pelantikan YB Balasubramaniam ini akan memberikan keyakinan masyarakat untuk terus berjuang dalam arena politik bersama PAS dan pasti ia juga akan menghakis salah faham terhadap PAS.
Secara peribadi saya mengucapkan terima kasih kepada PAS kerana terus memberi kepercayaan kepada masyarakat bukan-Islam dan saya sendiri amat yakin PAS mempunyai peluang yang amat cerah diterima oleh semua masyarakat di Malaysia khususnya di Negeri Sabah.
SATAIL MAJUNGKAT
Pengerusi
Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) Sabah
16 Jun 2020 – HARAKAHDAILY 16/6/2020

Hannah Yeoh dipanggil polis, "Ai, nak tanya lu sikit pun tak boleh juga?"


Hannah Yeoh dipanggil polis berkait tweet perkahwinan bawah umur


Bekas timbalan menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat, Hannah Yeoh berkata, beliau dipanggil Bukit Aman berhubung satu catatan di Twitter yang dibuatnya mengenai perkahwinan bawah umur pada Mac lalu. 
(https://pakdin.my/hannah-yeoh-dipanggil-polis-berkait-tweet-perkahwinan-bawah-umur/)


  “Saya telah dipanggil oleh Bukit Aman untuk memberi keterangan bagi siasatan mengenai tweet ini.
“Sekarang ini, tanya soalan pun tak boleh,” katanya dalam catatan Twitter yang disertakan tangkap layar tweet asal itu.
Tiga bulan lalu, Yeoh menyuarakan kebimbangan terhadap pelan strategi kebangsaan untuk menangani perkahwinan bawah umur susulan kejatuhan kerajaan Pakatan HarapaDalam tweetnya pada 9 Mac lalu, beliau mempersoalkan apa yang akan berlaku kepada pelan strategi itu selepas pelantikan penggantinya, Siti Zailah Mohd Yusoff daripada PAS.
Pelan Strategi Kebangsaan bagi Menangani Punca Perkahwinan Bawah Umur dilancarkan pada Januari lalu untuk memastikan peraturan, garis panduan dan undang-undang di peringkat negeri berhubung perkara itu sejajar dasar persekutuan.
Pelan itu mengandungi program dan tindakan untuk menangani 6 faktor yang dikenal pasti sebagai punca perkahwinan kanak-kanak seperti kemiskinan dan kekurangan akses kepada pendidikan.
Rujukan:
Pemikiran sempit DAP, Hannah Yeoh memburukkan kepimpinan Islam
https://muafakatnasional.net/pemikiran-sempit-dap-hannah-yeoh-memburukkan-kepimpinan-islam/
Komen Weblog Ibnu Hasyim: “Sekarang ini, tanya soalan pun tak boleh,” Kata Hannah Yeoh. Kita tanya balik, "Ai, Bukit Aman nak tanya lu pun tak boleh juga?". Lu pertikai Demokratik DAP boleh ke? Rakyat China pertikai undang-undang komunis China boleh tak? 
Tiba-tiba lu duduk dalam negara umat Islam pertikai perundangan hukum Islam? Tak padan lagi kalau setakat mengatakan lu kurang ajar!!

FOREX Ke Mahkamah, Dr M Akan Akhiri Politiknya Di Tirai Besi..


Anwar Cuba Pancung Dr Mahathir Dengan Kes FOREX


Semua tahu dapatan siasatan Suruhanjaya Siasatan Di Raja (RCI) mengenai skandal FOREX di tahun 90'an mendapati terdapat asas yang kukuh untuk dibicarakan di mahkamah.

Malah ketika Pakatan Harapan memerintah, Mahkamah Tinggi telah menolak saman petisyen Dr Mahathir untuk membatalkan lapuran RCI (BACA DI SINI).

Penolakan Mahkamah Tinggi terhadap saman petisyen Dr Mahathir ini adalah bukti yang sangat jelas bahawa mahkamah juga berpendapat terdapat kes yang kukuh untuk dibicarakan skandal terbesar penyelewengan duit negara.

Untuk rekod, siasatan RCI mendapati suspek utamanya ialah Nor Yakcop yang ketika itu adalah sebahagian dari pengurusan tertinggi Bank Negara Malaysia (BNM), kemudiannya dilantik oleh Dr Mahathir sebagai Menteri Kewangan Kedua dan RCI juga mendapati terdapat campurtangan secara langsung dari Dr Mahathir yang ketika itu adalah Perdana Menteri dalam skandal FOREX yang melibatkan kerugian lebih RM30 bilion dalam tahun 90'an (BACA DI SINI).
Namun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang Undang) di era pemerintahan Pakatan Harapan, Liew Vui Keong, telah mengeluarkan arahan supaya tiada tindakan lanjut diambil terhadap kes FOREX tersebut.

Kita tahu, malah Dr Mahathir juga tahu, sekiranya skandal FOREX dibicarakan di mahkamah, maka Dr Mahathir akan mengakhiri karier politiknya di sebalik tirai besi.

Kerana itu semasa dipanggil untuk disoal siasat oleh panel RCI, Dr Mahathir tidak memberikan kerjasama dengan memberikan jawapan 'tidak tahu' atas setiap soalan yang diajukan kepada beliau.

13 Jun yang lepas, melalui akaun Facebook, DS Najib menyarfankan agar semua kes yang telah digugurkan oleh Pakatan Harapan sewaktu mereka memerintah disiasat dan dibuka semula (BACA DI SINI).

DS Najib tidak mengkhususkan terhadap kes FOREX sahaja, malah saranan DS Najib adalah terhadap kesemua kes-kes mahkamah yang telah digugurkan tanpa sebab-sebab yang munasabah sewaktu Pakatan Harapan memerintah.

Anwar melihat ini sebagai satu peluang keemasan untuk 'membunuh' karier politik Dr Mahathir.

Anwar dengan pantas memberikan respom supaya kes FOREX disiasat semula dan sekiranya ada asas yang kukuh, ianya dibawa ke mahkamah untuk dibicarakan (BACA DI SINI).

Kita tahu saranan Anwar adalah kerana ketika ini beliau menemui jalan buntu untuk meneruskan agenda peribadi beliau untuk menjadi Perdana Menteri.

Walau pun beliau adalah Ketua Pembangkang, namun dalam mesyuarat kepimpinan tertinggi Pakatan Harapan terutamanya dari DAP, PAN dan Warisan mahu supaya Dr Mahathir dicalunkan sebagai bakal Perdana Menteri sekiranya Pakatan Harapan berjaya menawan Putrajaya buat kali kedua (BACA DI SINI).

Ianya pasti mengecewakan Anwar kerana walau pun selepas 30 tahun, Dr Mahathir masih lagi menjadi penghalang buat Anwar memenuhi impian untuk menjadi Perdana Menteri.

Satu-satunya cara untuk keluar dari bayangan Dr Mahathir ialah dengan menggesa supaya kes FOREX dikaji semula.

Bila Dr Mahathir sibuk membuat persediaan untuk perbicaraan mahkamah, Anwar mempunyai ruang yang cukup untuk perkukuhkan pengaruh beliau di kalangan pemimpin Pakatan Harapan.

Dan sekiranya Dr Mahathir ke penjara, maka Pakatan Harapan terpaksa bersetuju untuk mengangkat Anwar sebagai Perdana Menteri, itu pun kalau Pakatan Harapan berjaya merampas Putrajaya buat kali kedua. 

(http://theunspinners.blogspot.com/2020/06/anwar-cuba-pancung-dr-mahathir-dengan.html)

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails