Saturday, July 18, 2020

558 projek dengan tawaran peruntukan RM36.29 juta ...


K’jaan Kedah tangani kesan pembangunan di Kuala Muda 

KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Kedah akan memindahkan kilang-kilang plastik tertentu yang kini beroperasi di Sungai Petani ke Bukit Selambau berikutan masalah ditimbulkan dari aktiviti perkilangan berkenaan.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor mengumumkan perkara tersebut selepas Majlis Mesyuarat Kerajaan yang pada kali ini ke Daerah Kuala Muda di mana sidang media beliau diadakan di Sungai Petani, hari ini.

Maklumnya, turut diberi perhatian adalah masalah kediaman Projek Perumahan Rakyat Paya Nahu juga di Sungai Petani yang berdepan pelbagai isu penghuni haram, penagihan dadah dan sebagainya.

Katanya, dua masalah tersebut akan ditangani oleh Jawatankuasa Khas yang diwujudkan di bawah portfolio EXCO masing-masing hingga masalah berkenaan dapat diselesaikan.

Mengenai masalah tapak pelupusan sampah di Semeling yang dilaporkan masalah berlarutan, kerajaan negeri katanya telah memberi lampu hijau kepada pihak Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSPK).

“Untuk mengambil tindakan yang sewajarnya bagi memastikan isu tapak pelupusan sampah di Semeling ini tidak lagi mengganggu keharmonian, ketenangan penghuni-penghuni di sekitarnya.

“Terutamanya akibat daripada bau busuk daripada pembakaran sampah di tapak pelupusan itu termasuk menamatkan perjanjian dengan kontraktor yang menguruskan tapak itu dan memindahkan pusat pelupusan sampah itu ke satu kawasan lain yang lebih jauh yang kurang kepadatan penduduk,” ujarnya.

Sanusi juga mengemukakan mengenai projek pemuliharaan ‘beach nourishment’ Pantai Merdeka di bawah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk mengembalikan keadaannya untuk riadah sepertimana dahulu.

Projek bernilai RM12 juta itu katanya akan beriringan projek kedua JPS bagi mengatasi air pasang besar dan hakisan pantai melibatkan pembinaan dan pembaikan bermula dari Kampung Tepi Sungai ke Pulau Sayak dengan kos RM25 juta.

Beliau turut membentangkan sebanyak 558 projek dengan tawaran peruntukan RM36.29 juta di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) dan Kerja-kerja Penyelenggaraan Jalan Raya Negeri (MARRIS).

Uniknya kemuka beliau, projek yang akan memberi manfaat kepada kontraktor tempatan itu dicadangkan secara pelaksanaan majlis cabutan undi menerusi siaran langsung atas talian (online) melalui Facebook. – HARAKAHDAILY 15/7/2020

Friday, July 17, 2020

Keluarga Adib mahu saman PDRM

Muhammad Adib

KELUARGA Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim akan mengambil tindakan sivil untuk menuntut ganti rugi atas kegagalan dan kecuaian pihak polis sehingga menyebabkan kematian anggota bomba itu.
Bapa Allahyarham Muhammad Adib, Mohd Kassim Abdul Hamid, 64, berkata, kematian anaknya yang belum terbela menyebabkan mereka sekeluarga masih bersedih walaupun reda dengan pemergiannya itu.
"Saya kehilangan anak tetapi kematiannya masih belum terbela, jadi saya mahu menuntut ganti rugi, kami sekeluarga sungguh kecewa dan tidak berpuas hati dengan kenyataan yang dikeluarkan Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador.


"Saya berasa perkara ini pelik, bagaimana Ketua Polis Negara membuat kenyataan bercanggah sedangkan Mahkamah Koroner sudah putuskan arwah meninggal dunia akibat perbuatan jenayah," katanya ketika dihubungi di Alor Setar hari ini.
Mohd Kassim yang juga pesawah berkata, keluarganya sangat berharap polis dapat mengenal pasti saksi dan menangkap pesalah yang memukul anaknya sehingga meninggal dunia.
Katanya, keputusan yang dibuat Mahkamah Koroner bukan satu perkara mudah dan ia mengambil masa lama kerana perlu memanggil saksi dan pakar tertentu.
"Kita sama-sama hormat keputusan mahkamah, tidak lagi perlu ungkit bagaimana anak saya menemui ajal, sekarang masanya untuk mencari pesalah dan heret mereka ke mahkamah," katanya yang tinggal di Kampung Tebengau, Kuala Kedah.
Isnin lalu, Abdul Hamid berkata, sehingga kini masih tidak ada saksi yang dipanggil memberi keterangan benar-benar melihat Adib dipukul.
Hamid berkata, kesemua keterangan yang diperoleh pihaknya bersifat dengar cakap dan juga pendapat.
Muhammad Adib yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November 2018.
Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember 2018 di Institut Jantung Negara (IJN).
Pada 27 September 2019, Mahkamah Koroner Shah Alam memutuskan kematian Muhammad Adib adalah akibat perbuatan jenayah yang dilakukan lebih dua atau tiga individu tidak diketahui.

Saya tak pernah tawar Shafie jadi Timbalan Perdana Menteri - PM Muhyiddin

Saya tak pernah tawar Shafie jadi Timbalan Perdana Menteri - PM Muhyiddin
Dakwaan Mohd Shafie bahawa pernah ditawarkan jawatan itu pada bulan Mac adalah tidak benar sama sekal

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bertegas beliau tidak pernah sekalipun menawarkan jawatan sebagai Timbalannya kepada Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Dalam satu kenyataan hari ini, Muhyiddin berkata, dakwaan Mohd Shafie bahawa pernah ditawarkan jawatan itu pada bulan Mac adalah tidak benar sama sekali. 

“Saya menyifatkan kenyataan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dalam wawancara sama yang menyatakan: 'Beliau tidak menyebutnya, tetapi saya tahu mengenai hal itu' sebagai tidak benar. Kenyataan itu adalah andaian beliau semata-mata,” kata Perdana Menteri lagi.

Perdana Menteri merujuk kepada kenyataan Mohd Shafie, sewaktu wawancara bahawa beliau pernah membayangkan hasrat untuk mengajak Ketua Menteri Sabah itu sebagai nombor dua di Putrajaya.


Dalam wawancara khas bersama portal Malaysiakini  baru-baru ini, Mohd Shafie berkata Muhyiddin selepas menjadi Perdana Menteri pada bulan Mac lepas cuba mendapatkan sokongan beliau untuk kerajaan Perikatan Nasional.

Ditanya sama ada Muhyiddin ada menawarkan jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri, Mohd Shafie berkata – “Anda perlu bertanya kepada dia (Muhyiddin) sendiri. Dia tidak bercakap secara terang, tetapi saya tahu (hasratnya),” kata Mohd Shafie lagi.

Mohd Shafie berkata, Muhyiddin berhubung dengan beliau beberapa minggu selepas menjadi Perdana Menteri pada Mac lepas, melalui mesej pesanan ringkas.

Namun, ujarnya lagi, keutamaan beliau adalah sentiasa mengenai kepentingan dan kesejahteraan rakyat di Sabah secara amnya. (AA)


DAP Sarawak pilih Shafie calon PM jika Anwar gagal bukti sokongan



Presiden Warisan, Shafie Apdal perlu diberi peluang membuktikan keupayaannya selepas Presiden PKR, Anwar Ibrahim diberi masa untuk memujuk lebih ramai anggota parlimen menyertai Pakatan Harapan (PH), kata Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen.

Katanya, dengan Anwar masih menjadi pilihan pertama PH sebagai calon perdana menteri, perlu ada tarikh akhir bagi beliau mengumpul sokongan bagi membentuk kerajaan.

“Selepas tarikh akhir itu, Shafie perlu diberi peluang untuk membuktikan dirinya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Chong menambah, beliau menghormati keputusan Majlis Presiden PH pada 13 Julai lalu untuk kekal menyokong Anwar namun menegaskan bahawa Shafie juga memainkan peranan penting dalam politik Malaysia.

Jelasnya, sudah sampai masa Malaysia Timur diletakkan sebagai penanda aras untuk menjadikan negara lebih progresif.

"Kami tetap yakin bahawa Shafie Apdal tetap menjadi faktor penting dan bahagian penting dalam politik nasional terutama untuk memecahkan politik toksik perkauman dan agama yang telah terlalu lama memerangkap politik nasional dan juga mencapai inklusif yang lebih baik yang mungkin tidak pernah dirasakan oleh rakyat sebelum ini terutama dari segi hubungan Persekutuan-Negeri […]

"Memiliki perdana menteri dari Malaysia Timur akan membantu kita melangkaui politik lama yang telah lama menjebak kita dan membantu membentuk negara baru yang harmoni antara kaum dan inklusif dalam pembangunan," katanya.


Tambahnya, Shafie juga telah menunjukkan pendirian konsisten dalam memerangi rasuah apabila memilih untuk setia bersama PH meskipun ditawarkan “jalan mudah” dengan menyertai Perikatan Nasional (PN).

Chong juga mendakwa dengan memilih untuk berpihak kepada PN, Umno dan PAS, Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan berisiko disingkirkan oleh pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak akan datang.

"Sebagai Malaysia Timur, tiada sebab untuk kami (DAP Sarawak) untuk tidak menyokong rakan Malaysia Timur, Shafie Apdal sebagai perdana menteri Malaysia," katanya. – Mkini


Hibur Hibur Sikit
H2S Pilihan: 11 -Lagu M'sia BERSIH 2Mei 2019. Anti...

Cadang hantar mualaf belajar ke Timur Tengah



KUALA LUMPUR: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), disyorkan supaya turut menghantar peserta Kelas Pengajian Mualaf yang berkelayakan, ke universiti-universiti Islam di Timur Tengah terutama Universiti Islam Madinah, Arab Saudi.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata sebagai contoh, jika peserta ini layak dan cukup syarat, beliau sendiri akan mencalonkan nama peserta berkenaan.
“Jika layak dan cukup syarat, saya sendiri tidak teragak-agak untuk mencalonkan nama mereka, untuk dihantar ke Universiti (Islam) Madinah,” katanya merasmikan Majlis Apresiasi Kelas Pengajian Mualaf Sesi 2019/2020 di Dewan Seminar Saidina Abu Bakar, Kompleks Darul Hidayah di sini semalam.
Beliau berkata, golongan mualaf juga terbukti boleh menjadi pendakwah berkaliber dan boleh memahami ajaran Islam dengan baik, jika komited mempelajari Islam.
Seramai 61 pelajar mualaf cemerlang Tahap Lanjutan daripada keseluruhan 200 orang yang berjaya menamatkan pengajian bertaraf sijil bagi sesi kali ini, dirai dalam majlis tahunan anjuran JAWI dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
 
Pada sidang media Zulkifli yang juga pemegang Ijazah Sarjana Muda Syariah dari Universiti Islam Madinah berkata, walaupun hanya memiliki sijil, pelajar mualaf kalangan awam ini boleh diserapkan ke institusi-institusi pendidikan di bawah JAWI dan MAIWP, sebelum dihantar  ke Timur Tengah untuk mendalami Islam.
“Kita sudah ada Pondok Modern al-Abaqirah MAIWP, Sekolah Menengah Integrasi Sains Tahfiz (SMISTA) dan beberapa sekolah lain yang hanya mensyaratkan sekurang-kurangnya memiliki SPM dan tahu asas bahasa Arab,” jelasnya lagi.
Zulkifli menyifatkan program ini merupakan satu usaha yang amat baik untuk memantapkan pengetahuan mereka yang baru memeluk agama Islam.
“Usaha sebegini perlu diteruskan oleh JAWI dan MAIWP agar golongan mualaf ini tidak ketinggalan dari segi kefahaman mereka terhadap ajaran Islam, seperti mana mereka yang asalnya muslim,” tambahnya.
Kompleks Darul Hidayah terletak di Sentul, Kuala Lumpur dibina atas tanah seluas 0.8 hektar dengan dilengkapi asrama, dewan dan bilik kuliah, yang boleh memuatkan 200 pelajar dalam satu-satu masa.
Bagi tahun 2020, MAIWP melalui JAWI telah memperuntukkan sejumlah RM2.9 juta bagi pengurusan program kebajikan dan pendidikan mualaf di kompleks berkenaan. – BERNAMA

H2S Pilihan: 13 -Nasyid Islami Malaysia, Wanita Shalihah.

Raihan - Demi Masa


Pergi Tak Kembali-Rabbani



Nasyid | The Fikr - Wanita Shalihah [Lirik]


Pemilihan BERSATU: Muhyiddin menang Presiden



KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin secara tidak rasmi menang tanpa bertanding bagi mengekalkan jawatan Presiden BERSATU, selepas menjadi calon tunggal bagi jawatan itu pada pemilihan parti itu bulan depan.
Turut menang tanpa bertanding (tidak rasmi) Timbalan Presiden adalah Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, yang juga menjadi calon tunggal jawatan tersebut.
Semakan di laman sesawang rasmi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) BERSATU itu menyatakan kedua-dua jawatan tertinggi parti itu masing-masing, hanya mempunyai seorang calon.
Bagaimanapun Pengerusi JPP, Tan Sri Syed Hamid Albar ketika dihubungi Bernama berkata, pengumuman secara rasmi mengenai keputusan pemilihan itu akan dibuat selepas selesai kesemua mesyuarat Bahagian BERSATU yang dijangka pada Ogos ini.
“Secara rasmi tiada calon lain bagi jawatan Presiden dan Timbalan Presiden, kerana pencalonan sudah ditutup, namun pengumuman rasmi (keputusan) hanya akan dibuat selepas selesai mesyuarat bahagian,” katanya.
 
Jawatankuasa pemilihan itu hari ini mengadakan proses cabutan nombor calon di ibu pejabat parti bagi calon-calon yang layak bertanding, di peringkat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), Armada dan Srikandi.
Senarai nombor calon itu boleh diakses semua calon dan ahli melalui laman sesawang rasmi JPP BERSATU di http://pribumibersatu.org.my/sys/index.php/calon_mpt.
Dalam pada itu, seramai 17 calon disenarai bertanding bagi jawatan Naib Presiden, antaranya Menteri Kanan Pendidikan Dr Mohd Radzi Md Jidin dan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof.
Jawatan Ketua Armada pula menyaksikan perebutan dua calon iaitu Timbalan Menteri Belia dan Sukan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dan Exco Armada Muzzamil Ismail.
Jawatan Ketua Srikandi menyaksikan saingan empat penjuru membabitkan penyandangnya yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun dan Ketua BERSATU Bahagian Kepala Batas, Datuk Azlina Mehtab Mohd Ishak, Datin Iza Ismail dan Zuhuraina Makmur.
 
Bagi MPT, seramai 163 calon bertanding jawatan tersebut di mana persidangan semua bahagian BERSATU akan diadakan serentak pada 22 Ogos yang turut berlangsung pemilihan untuk jawatan tertinggi parti.
Persidangan Armada bahagian pula dijadualkan pada 15 Ogos manakala 16 Ogos merupakan persidangan Srikandi bahagian, dengan kedua-dua sayap akan memilih pimpinan tertinggi peringkat pusat sewaktu persidangan bahagian.
Sementara itu semakan di laman sesawang tersebut mendapati tiada calon bagi jawatan Pengerusi BERSATU setelah ada 16 Mac lepas, Tun Dr Mahathir Mohamad disahkan menang tanpa bertanding dijawatan tersebut.
Ia selepas bekas Perdana Menteri itu tidak dicabar untuk jawatan berkenaan, setelah proses penamaan calon bertanding untuk pemilihan ahli MPT ditutup.
Bagaimanapun, keahlian Dr Mahathir dan empat lagi Ahli Parlimen iaitu Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir dan Ahli MPT, Dr Maszlee Malik serta Ketua Armada, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Datuk Amiruddin Hamzah terhenti serta-merta.
Ianya selepas mereka bertindak duduk di blok pembangkang pada sidang Parlimen, 18 Mei lalu, di mana sewaktu penamaan calon untuk jawatan MPT, Mukhriz juga telah diumumkan akan mencabar Muhyiddin untuk jawatan Presiden parti.
Manakala bagi jawatan Timbalan Presiden melibatkan pertandingan tiga penjuru antara Ahmad Faizal, bekas Setiausaha Agung parti Datuk Marzuki Yahya dan Timbalan Ketua Armada Selangor yang juga Ketua Armada Ampang Anas Akashah Nazri.
Sementara itu, Syed Hamid Albar dalam kenyataan hari ini berkata, pihaknya mengambil maklum hasrat calon-calon untuk mencetak nama mereka seperti dikenali umum, pada senarai calon rasmi yang akan diedarkan ke semua bahagian.
Katanya ini termasuk gelaran darjah kebesaran dan gelaran akademik.
“Calon-calon yang berhasrat melakukan perubahan untuk cetakan rasmi nama calon mereka, bolehlah memaklumkan kepada JPP secara bertulis melalui email jpp.bersatu@gmail.com sebelum 25 Julai 2020,” tambahnya. – BERNAMA

Hibur Hibur Sikit
H2S Pilihan: 12 -Nasheed Paletine/Hamas..

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails