Friday, November 20, 2020

GAMIS mengecam forum ‘Madah #DAPMuda: UiTM dan DAP?’

 

Mengapa mudah terpengaruh dengan agenda DAP?

GABUNGAN Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) mengecam forum ‘Madah #DAPMuda: UiTM dan DAP?’ yang dijadualkan pada 18 November 2020. Penggunaan nama ‘UiTM’ yang terpampang di dalam poster tersebut jelas seperti ingin menyampaikan agenda politik jahat yang tidak mencerminkan aspirasi warga UiTM secara keseluruhannya.

GAMIS menentang apa-apa agenda yang akan mengganggu-gugat kedudukan UiTM. Umum mengetahui bahawa penubuhan UiTM sebagai universiti awam ditubuhkan bagi menyediakan peluang pendidikan tinggi dan profesional kepada Bumiputera. Di samping itu, UiTM juga ditubuhkan di bawah Akta Universiti Teknologi MARA 173 pada tahun 1976 di bawah Undang-undang Malaysia.

GAMIS juga kesal dengan barisan panel-panel yang ditampilkan di mana mereka merupakan orang Melayu dan juga alumni UiTM, menunjukkan mereka tidak mampu memahami Visi dan Misi UiTM secara holistik. Mengapa begitu mudah panel ini dipengaruhi dengan agenda politik DAP?

Jika dilihat Perkara 153 termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa hak istimewa kepada semua orang yang mengakui dan diakui berbangsa Melayu dan Bumiputera tidak boleh dipertikaikan. Malah di dalam Bahagian I Akta 173 telah menjelaskan bahawa penubuhan selari dengan Perkara 153. Penubuhan UiTM adalah untuk Bumiputera, mengapa perlu dipolemikkan oleh DAP? 

GAMIS menyeru semua pihak agar menolak sentimen yang cuba dibawa oleh DAP. Agenda DAP ini jelas mempunyai niat busuk untuk mempersoalkan status quo Melayu dan Bumiputera. Jangan sesekali kita melupakan Deklarasi Setapak yang pernah diisytiharkan oleh DAP. Rakyat Malaysia, tolak DAP! 

“Demi Islam, Mahasiswa Bangkit”

SYAZWAN MOHD AMIR
Pengerusi Majlis Politik Nasional
Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) 2020 – HARAKAHDAILY 18/11/2020

Hibur Hibur Sikit: Album 1 

Thursday, November 19, 2020

Ini, Kempen ‘Sawit Anugerah Tuhan’ Dilancarkan!

 

Tanda penghargaan sumbangan..

KUALA LUMPUR: Kempen ‘Sawit Anugerah Tuhan’ yang dilancarkan Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) diadakan bagi menghargai sumbangan besar industri sawit kepada negara selama ini.

Dalam masa sama, ia bagi meningkatkan kesedaran terhadap khasiat dan kebaikan minyak sawit Malaysia kepada masyarakat, kata Menteri KPPK, Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.

Menurut beliau, KPPK melalui Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) akan melaksanakan kempen tersebut dengan memberi tumpuan kepada peranan dimainkan industri sawit negara dalam pembangunan sosioekonomi.

Katanya, sumbangan sektor sawit terhadap industri makanan dan bukan makanan merangkumi produk kesihatan serta pemuliharaan alam sekitar akan turut diberi penekanan.

“Pelbagai aktiviti promosi bagi menggalakkan penglibatan semua lapisan masyarakat akan dijalankan di seluruh negara menerusi pelbagai platform.

“Pelaksanaan program secara bersepadu merangkumi aktiviti fizikal dan maya akan dijalankan.

“Penggunaan media baru dan aplikasi sosial akan menjadi keutamaan dengan elemen pendidikan, kesedaran, tarikan visual serta nilai diterapkan dalam menyampaikan mesej kepada masyarakat,” ujarnya dalam dalam satu Sidang Media Majlis Pra-Pelancaran Kempen Sawit Anugerah Tuhan di Parlimen, hari ini. – HARAKAHDAILY 19/11/2020

‘Influencer’ Muslimah, dakwah ‘trend’ anak muda

 

TERPENGARUH atau mempengaruhi? Itu persoalan pertama dalam realiti dunia hari ini. Sedar tidak sedar, media sosial kini ibarat teman rapat 3.96 bilion daripada seluruh penduduk bumi. 

Bermula dari kanak-kanak, remaja, dewasa sehinggalah ke golongan tua baik lelaki atau wanita. 
Namun, adakah kita termasuk dalam kategori yang terpengaruh atau yang mempengaruhi melalui medium ini? Sebenarnya keduanya baik, terpengaruh dengan influencer yang baik dan seterusnya menjadikan kita insan yang lebih baik adalah satu perkara yang sangat baik. 

Lebih-lebih lagi kita pula menjadi influencer mengajak mereka menjadi lebih baik. Bukankah itu paling terbaik? Kemunculan semakin ramai ikon-ikon Muslimah media sosial yang biasa digelar ‘Insta famous’, ‘tweet famous’menjadi penanda aras bahawa mereka kini semakin mendapat tempat di hati masyarakat. 

Menggunakan medium media baru untuk menyampaikan dakwah santai dan berilmiah kini menjadi perkara biasa. Ditambah pula rencahnya dengan gambar mahupun video menarik, unik dan kreatif dilihat berjaya mencuri tumpuan ramai. 

Para pelayar media baru kini juga semakin mendekati agama lantas melakukan penghijrahan dek kerana menjadi ‘followers’ tegar ikon-ikon Muslimah ini. Apabila ada sahaja ‘posting’ yang di‘update’ atau dicicip, pasti mendapat ribuan ‘viewers’.

@nurhelizahelmi, @aisyahhijanah, @neelofa, @izzatielya.official, @dayanaamerda, @farzana.rais.official, @officialmizznina @dianaamir @fynnjamal dan ramai lagi antara influencer Muslimah yang berjaya mencuri tumpuan. 

Masing-masing mempunyai followers tersendiri dengan kisah hidup, karakter dan content yang berbeza tetapi insya-Allah membawa matlamat yang sama yakni menyampaikan.

“Sampaikanlah dariku walau hanya satu ayat.” (Hadis Riwayat Bukhari)

Bila berbicara soal dakwah, teringat pula kepada 4 rukun yang perlu kita ketahui iaitu:

(1) Tajuk dakwah (Maudu).
(2) Pendakwah (Da’ie).
(3) Orang yang didakwah (Mad’u).
(4) Cara dakwah (Uslub).

Seiring massa, maka tidak hairanlah variasi dan warna-warni dakwah era hujung cari ini semakin disukai ramai. Seiring massa, maka tidak hairanlah variasi dan warna-warni dakwah era hujung cari ini semakin disukai ramai. 

Persoalan seterusnya, adakah para asatizah sudah tidak mendapat tempat di hati pengguna media sosial? Adakah anak muda kita lebih mengikuti dakwah  ‘influencer’ dari pendakwah bertauliah? 

Sama sekali tidak. Para asatizah juga sudah mula menggunakan medium yang sama untuk berkongsi ilmu sebanyak mungkin kepada semua lapisan masyarakat. 

Lebih lagi dengan impak norma baru yang sebenarnya terselit sejuta hikmah. Rata-rata ‘influencer’ Muslimah juga menjadikan para asatizah ini sebagai rujukan utama. 

Ada juga yang suka mengadakan diskusi atau perkongsian santai bersama. Salah satu pendekatan baru yang dahulunya agak janggal tetapi sekarang semakin berkembang dan diterima ramai. 

Lebih menarik, mereka yang digelar ‘influencer’ ini juga mencintai, mendekati dan mengambil nasihat dari para ulamak. Sekali lagi tidak hairan kenapa mereka mudah mempengaruhi. Mungkin kerana aura para ulamak dan asatizah tempias sama kepada mereka. Keberkatannya di situ. 

Selain menjadi pilihan Allah S.W.T untuk memberi hiburan mendidik jiwa, kehadiran ‘influencer’ juga banyak membantu dalam mempromosi produk tempatan. Mereka biasa diminta untuk review produk sekali gus menaikkan jualan tanpa perlu mengeluarkan kos marketing yang mahal-mahal. Ini satu lagi nilai besar yang kadang menjadi isu hangat antara kita. 

Walau apa sahaja niat mereka, bukan tugas kita untuk menghukum. Teruslah menjadi ‘followers’ kepada keduanya. Influencer mahupun para asatizah. Ambil yang keruh buang yang jernih. 

Teruskan juga like, follow, share perkara kebaikan dan bermanfaat walau siapa pun kita yang dahulu atau sekarang. Semoga kita tergolong dari kalangan hambaNya yang hari ini lebih baik dari sebelumnya dan semoga segala usaha kita menyebar kebaikan diterima oleh Allah S.W.T menjadi asbab syurga tertinggi. Amin. 

Pandangan AP PAS Ahmad Fadhli Shaari Terhadap Dato Najib.

 

Saya dan Dato’ Seri Najib

RAMAI yang menurunkan komen di facebook  memberikan respon terhadap ucapan saya di Parlimen beberapa hari lepas. Ada yang setuju dan saya akui, ramai juga yang tidak setuju. Lebih lanjut lagi, ada yang mengheret ia seolah-olah menjadi pertembungan PAS dan Umno.

Saya kekal berpendirian, PAS dan Umno perlu terus duduk bersama, dan sudah pasti, PPBM di bawah kepimpinan Tan Sri Perdana Menteri pun tidak boleh diketepikan. Apa juga pertembungan, meja rundingan tempatnya. 

Saya bukan pemimpin tertinggi, tidak ada dalam mana-mana jawatankuasa interparty, saya tentunya menyerahkan sepenuh kepercayaan kepada pimpinan parti saya untuk menentukan keputusan. Asasnya, PAS hendaklah terus bersama Umno dan PPBM.

Adapun berhubung Dato’ Seri Najib, saya tetap akui beliau seorang pejuang. Kes-kes mahkamah yang dihadapi dilawannya di mahkamah tanpa berusaha untuk digugurkan (setakat yang saya tahu) kerana beliau kelihatan yakin dengan kebenarannya. Berjuang dengan fakta dan analisisnya. 

Pandangannya berhubung ekonomi sudah pasti melalui pengalamannya yang luas. Isu KWSP dan moratorium, pandangan beliau ada asas. Saya juga mempunyai pandangan, berdasarkan kajian rakan-rakan yang lebih arif. Soal pandangan siapa yang akan dipakai oleh kerajaan, itu terpulang kepada kerajaan. Dan saya yakin, apa jua keputusan nanti, ia untuk rakyat dan mengambil kira semua kepentingan.

Dato’ Seri Najib tetap saya hormati, dan pendiriannya meletakkan syarat untuk menyokong Belanjawan 2021, tetap saya tidak setuju. Pandangan saya, kita luluskan Bajet ini yang di dalamnya mengandungi wang untuk rakyat, frontliner, bayaran gaji, pelbagai peruntukan dan lain-lain. Jika tidak, bermula Januari 2021, semua perbelanjaan akan tergendala. 

Isu-isu kepentingan rakyat yang lain yang tidak tertakluk dalam Bajet 2021, kita minta berikan peluang kerajaan mengkaji dan umumkan dalam pelbagai pakej yang boleh dibuat selepas ini.

Dalam hal itu sahaja saya tidak bersetuju. Dan kerana itulah timbulnya contoh syarat Puteri dari gunung itu. Saya tidak bermaksud menyindir. Dan saya menyebutnya dengan penuh hormat. Jika ia mengguris, saya mohon maaf. Tetapi saya cuma bertujuan menyampaikan maksud dengan jelas.

Dato’ Najib bagi saya tetap seorang pejuang. Tidak ada apa-apa mengurangkan hormat saya kepada beliau. Dan isu ini, sudah tentu tidak sepatutnya diheret menjadi pertembungan Umno – PAS. Jika ia berlaku, yang rugi nanti bukan sahaja kedua-duanya, tetapi rakyat. 

Saya kekal menghormati hubungan Umno – PAS. Dan menyokong Belanjawan 2021 tanpa syarat, dan menyeru semua MP yang berada di blok kerajaan untuk turut menyokong Bajet ini tanpa syarat. Bukan kerana Bajet ini sempurna, tetapi itulah yang terbaik untuk memastikan kestabilan negara. 

Jika anda bersetuju dengan saya, jauhilah komen-komen yang boleh membawa retaknya hubungan PAS – Umno – PPBM. Dan sudah pasti saya tidak boleh menghalang komen yang tidak bersetuju dengan saya.

USTAZ AHMAD FADHLI SHAARI
Ahli Parlimen Pasir Mas,
Naib Ketua Pemuda,
Dewan Pemuda PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 16/11/2020

Hibur Hibur Sikit: Album 1 

Armenia bakar balai polis Aghdam, Turki Berangkat ke Azerbaijan, Rusia?

 


1. Tentera Armenia Membakar Balai Polis, Bangunan dan Tempat Kawalan di Aghdam

Tentera Armenia yang terus menarik diri dari wilayah Aghdam, yang dikawal oleh Azerbaijan, membakar balai polis, bangunan dan tempat kawalan yang mereka gunakan.

Dalam rakaman gambar mundurnya pasukan Armenia, terlihat bahawa asap meninggi dari kedudukan tentera Armenia.

Orang Armenia membakar balai polis, bangunan dan pusat pemeriksaan semasa meninggalkan Aghdam, di mana tidak ada penduduk awam.

Sesuai dengan kesepakatan antara Azerbaijan dan Armenia mengenai krisis Nagorno-Karabakh, tentera Armenia diharapkan akan mengosongkan Aghdam sehingga 20 November.


2. Tentera Turki Berangkat ke Azerbaijan

Permit Presiden untuk penghantaran pasukan tentera ke Azerbaijan, telah diterima pada Majlis Umum Perhimpunan Agung Kebangsaan Turki (Parlimen).

Ketua Parlimen Turki Mustafa Şentop membuat kenyataan menerusi Twitter,

"Permit Presiden untuk menghantar pasukan tentera ke Republik Azerbaijan, yang diberikan sesuai dengan Perkara 92 Perlembagaan, diterima oleh Majelis Nasional Turki. Semoga berjaya." Katanya.

3. Presiden Rusia: ''Kami Bekerjasama dalam Interaksi dengan Turki''

Presiden Rusia Vladimir Putin menyatakan bahawa penolakan Armenia terhadap perjanjian Nagorno-Karabakh akan menjadi "bunuh diri".

Dalam satu kenyataan kepada televisyen pemerintah "Rossiya", Putin menyatakan bahawa, berkat perjanjian yang dicapai antara Azerbaijan dan Armenia di Nagorno-Karabakh, pertumpahan darah dihentikan.

Vladimir Putin mengingatkan bahawa Nagorno-Karabakh tidak diakui oleh sesiapa pun, termasuk Armenia, 

"Status akhir Karabakh belum ditentukan. Kami bersetuju untuk meneruskan status quo yang ada hari ini. Pemimpin masa depan akan memutuskan apa yang akan berlaku selanjutnya dan mereka akan mengambil bahagian dalam proses ini di masa depan." Katanya.

Vladimir Putin melaporkan bahawa atas permintaan Azerbaijan, mereka bersetuju untuk mewujudkan pusat dan mekanisme kawalan Turki mengenai gencatan senjata, dia juga mengingatkan bahawa Rusia melakukan kerjasama dalam interaksi dengan Turki di Timur Tengah termasuk mengingatkan bahawa Rusia melakukan kerjasama dalam interaksi dengan Turki di Timur Tengah termasuk Syria.

(IH)

Hibur Hibur Sikit: Album 1 

Wednesday, November 18, 2020

ADUN PAS 10%, ADUN DAP ade ke? Termasuk PP &S'gor?

 

ADUN PAS Pahang potong gaji 10 peratus

KUANTAN: Kesemua lapan ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PAS di Pahang bersetuju untuk memotong gaji mereka sebanyak 10 peratus bagi disumbangkan kepada Akaun Amanah Bencana Negeri selama tiga bulan, mulai bulan ini. 

ADUN Beserah Andansura Rabu berkata tindakan itu diambil bagi membantu meringankan beban rakyat yang terkesan oleh pandemik COVID-19 dan juga sebagai penghargaan kepada pasukan petugas hadapan di negeri tersebut. 

“Diharapkan bantuan kecil kami dapat membantu mereka yang diuji bencana. Kami juga berterima kasih kepada petugas barisan hadapan yang bertungkus-lumus bertugas memastikan penularan wabak COVID-19 di Pahang terkawal. 

“Pahang antara negeri yang tidak dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). Tindakan pasukan ini dengan kepimpinan kerajaan negeri membolehkan tiada kes baharu direkodkan selama 15 hari berturut-turut setakat semalam,” katanya semasa membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan (Belanjawan 2021) di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini. 

Langkah itu diambil berikutan pengumuman Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail Isnin lepas, bahawa semua ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Pahang bersetuju memotong gaji 10 peratus mulai November, untuk disumbangkan ke akaun tersebut dan berharap semua ADUN membuat tindakan sama. 
 
Andansura juga mencadangkan supaya tindakan proaktif dan semangat membanteras penularan wabak COVID-19 diterapkan dalam usaha membasmi penyakit denggi yang menyebabkan lapan kematian di Pahang setakat ini tahun ini. 

Sementara itu, ADUN Peramu Jaya Datuk Seri Sh Mohmed Puzi Sh Ali memohon supaya kerajaan negeri dapat mempercepatkan pelan pembangunan Tanjung Agas di Pekan sebagai taman perindustrian, minyak dan gas serta maritim yang masih dinantikan rakyat setempat. 

“Saya difahamkan ada beberapa syarikat telah menunjukkan minat untuk melabur yang akan mewujudkan antara 2,000 dan 3,000 peluang pekerjaan. Sudah 10 tahun penduduk Pekan menunggu (tetapi) masih belum nampak tanda industri didirikan. 

“Kemakmuran negeri akan tercapai jika rakyat mempunyai peluang bekerja dan mempunyai pendapatan. Saya mencadangkan supaya kerajaan negeri melalui Lembaga Kemajuan Negeri Pahang dapat berusaha mempercepatkan projek itu menjadi realiti,” katanya.   

Sementara itu, Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pahang berterima kasih kepada DUN Pahang yang memberikan ‘tepukan sanjungan’ kepada pasukan COVID-19 negeri pada persidangan hari ini. 

Persidangan bersambung esok. – BERNAMA

Hibur Hibur Sikit

Album 4

Tan Sri Muhyiddin: Kehidupan rakyat akan berjalan seperti biasa.. Insya Allah.

 

Anggota Angkatan Tentera Malaysia melintasi pentas Diraja pada sesi raptai acara perbarisan dan perarakan sempena sambutan Hari Kebangsaan 2019. - Foto hiasan BERNAMA

Darurat Batu Sapi: Kehidupan seperti biasa, tiada pemerintahan ala tentera

KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi jaminan kehidupan rakyat akan berjalan seperti biasa walaupun darurat diisytiharkan di Batu Sapi, Sabah.

Perdana Menteri menegaskan pengisytiharan darurat itu tidak akan menyaksikan sebarang perintah berkurung atau pemerintahan tentera di negeri itu.

"Kegiatan ekonomi, pentadbiran kerajaan, kegiatan sosial boleh diteruskan, tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) dan norma baharu bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Sabah," katanya dalam perutusan khas, sebentar tadi.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. - foto BERNAMA

Terdahulu, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin, menerusi kenyataan dilaporkan berkata Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, memberi perkenan untuk mengisytiharkan Proklamasi Darurat di Parlimen Batu Sapi, Sabah.

Perkenan itu dizahirkan selepas Seri Paduka berpuas hati dengan penjelasan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi mengelak pilihan raya kecil (PRK) sebagai langkah proaktif membendung risiko penularan gelombang keempat wabak COVID-19.

Muhyiddin berkata, Pilihan Raya Kecil (PRK) Batu Sapi akan diadakan dengan kadar segera, tertakluk kepada peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan bagi menghormati hak demokrasi setiap pengundi di daerah berkenaan.

"Bagi pihak Jemaah Menteri, saya menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong yang memperkenankan nasihat Jemaah Menteri supaya darurat diisytiharkan di bahagian Pilihan Raya Parlimen P.185 Batu Sapi, Sabah.

"Titah perkenan Seri Paduka ini menunjukkan keprihatinan Tuanku terhadap keselamatan dan kesejahteraan rakyat jelata yang saya percaya sentiasa dekat di hati baginda.

"Saya berdoa ke hadrat Allah, mudah-mudahan langkah yang diambil oleh kerajaan ini adalah satu hikmah yang dapat membantu membendung wabak COVID-19 dan melindungi nyawa rakyat.

"Langkah ini juga adalah bertepatan dengan hasrat sebahagian besar rakyat yang tidak mahu pilihan raya diadakan semasa pandemik COVID-19 sedang melanda negara.

"Marilah kita bersama-sama memanjatkan doa ke hadrat Ilahi agar pandemik ini segera berakhir dan kita semua dilindungi daripada sebarang musibah. Amin Amin Ya Rabbal Alamin," katanya.

Hibur Hibur Sikit: Album 1 

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails