Kartel cemari industri daging halal, ada pegawai ‘dibeli’
Yang Dipertua PUM, Dato’ Al-Sheikh Abdul Halim Abdul Kadir, pendedahan dibuat itu sangat mengejutkan dan turut mengecewakan umat Islam di Malaysia di atas tindakan kartel pegawai pelulus dan pegawai penguatkuasa yang bersekongkol dengan pihak yang tidak bertanggungjawab tersebut.
“Sangat pedih kita menghadapi isu ini kerana makanan halal adalah suatu perkara yang penting dan telah menjadi budaya dalam masyarakat kita untuk mencari yang halal. Bayangkan telah lebih 40 tahun mereka melakukan kerja ini, tanpa memikirkan kesan dan seakan tidak bimbang langsung terhadap agensi-agensi penguatkuasa yang ada di Malaysia.
“Secara realiti, peniaga-peniaga besar mahupun kecil dan sederhana, tidak kira Muslim atau non-Muslim, turut berusaha untuk mendapatkan status pensijilan halal di mana ianya boleh meningkat kadar permintaan terhadap produk yang mendapat pensijilan halal tersebut.
“Negara kita juga boleh dikatakan saban tahun mengadakan ekspo halal bagi menarik minat peniaga untuk melakukan perniagaan berasaskan halal ini. Bahkan boleh dikatakan negara-negara di dunia turut membekalkan produk halal ke negara mereka walaupun mereka bukan dalam kalangan negara Islam.
“Kesedaran terhadap produk halal telah tersebar ke seluruh dunia. Namun tindakan segelintir kartel ini telah mencemarkan industri halal. Ini termasuklah tindakan penguatkuasa yang bersekongkol dengan kartel ini,” ujarnya.
Oleh itu PUM katanya, menggesa agar pihak kerajaan melalui agensi seperti Polis DiRaja Malaysia (PDRM) ataupun Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk melakukan siasatan segera dan mendedahkan skandal besar yang sangat sensitif kepada umat Islam ini.
“Siapa lagi yang dapat kita harapkan untuk melakukan siasatan menyeluruh ini. Jangan sampai adanya kempen boikot besar-besaran terhadap produk daging dilancarkan di Malaysia, di mana kesannya nanti akan melumpuhkan aktiviti ekonomi sebahagian rakyat kita. Teruskan siasat dan bawa mereka yang terlibat ke muka pengadilan,” ujarnya.
Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Dato’ Seri Dr Ronald Kiandee dalam pada itu berkata, pemegang Permit Import (AP) yang terbukti bersekongkol dengan kartel daging import haram akan dikenakan tindakan tegas termasuk digantung lesen.
“Biar siasatan dibuat dahulu dan apabila ia selesai, tindakan selanjutnya akan diambil ini termasuk menggantung AP sekiranya terbukti bersalah,” katanya sebagaimana dilaporkan Bernama.
Maklum beliau, selain akan mengenal pasti pemegang AP yang terlibat berhubung dengan kartel daging import haram itu, siasatan juga turut dijalankan ke atas penjawat awam terlibat atas persekongkolan.
Dr Ronald ditemui media selepas merasmikan Persidangan Pertanian Digital Kebangsaan (DigAc) 2020 berkata isu penyeludupan daging import haram itu merupakan perkara yang serius dan perlu segera dibanteras.
Beliau dalam pada itu menegaskan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sentiasa mengaudit daging dan ayam yang akan dibawa masuk ke negara ini bagi memastikan ia berstatus halal.
Media hari ini melaporkan kartel mendalangi penyeludupan daging import dari negara sumber tidak sah, termasuk diragui halal dan kualitinya, dipercayai ‘membeli’ beberapa kakitangan kerajaan termasuk pegawai agensi tertentu bagi melepasi pemeriksaan di pintu masuk negara.
Sebelum ini, sebuah gudang syarikat daging sejuk beku di Taman Perindustrian Senai, Johor diserbu pihak berkuasa hasil risikan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) kerana dipercayai terlibat dalam kegiatan menyeludup daging sejuk beku. – HARAKAHDAILY 21/12/2020