Saturday, February 06, 2021

Tahun Baharu Cina tanpa tarian singa

 


KUALA LUMPUR: Tiada lagi bunyi paluan gong, simbal dan gendang yang mengiringi tarian singa dan naga, bagi sambutan Tahun Baharu Cina tahun ini.

Berbeza dengan tahun-tahun sebelum ini, pandemik Covid-19 yang ‘menyerang’ negara, turut menghentikan aktiviti kebudayaan itu yang sering disaksikan di majlis keramaian, hotel, pusat membeli-belah mahupun di sesetengah pejabat dan juga perumahan.

Setiausaha Agung Persekutuan Tarian Naga dan Singa Malaysia, Yong Kheng Chien ketika menyuarakan kebimbangan dan permasalahan dihadapi oleh pemain sektor itu berkata, biarpun perniagaan mereka terjejas hampir 100 peratus, namun mereka akur dengan keputusan kerajaan itu.

“…. memang kita takut akan ada banyak persatuan terpaksa gulung tikar kerana tidak boleh menampung kos persatuan, namun apa yang lebih membimbangkan ialah minat dan daya tarikan penari mungkin terjejas, kerana tiada latihan atau permintaan persembahan ketika ini.

“Kalau ada pun terpaksa ditolak kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Semalam, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan persembahan dan kebudayaan yang lazim bagi perayaan Tahun Baharu Cina seperti tarian singa, tarian naga, perarakan tanglung, persembahan opera Cina dan pertunjukan pentas, tidak dibenarkan.

Yong yang juga pengasas Persatuan Tarian Singa dan Naga Gao Feng Malaysia berpusat di Melaka dan Johor berkata, tarian tersebut merupakan akvititi kerjasama antara penari, sekali gus perlu mengekalkan standard tarian kerana banyak persatuan pernah mengharumkan nama negara di persada antarabangsa.

Beliau yang mempunyai 40 anak buah turut berharap, kerajaan boleh memberi dana atau insentif bagi membantu lebih 1,000 pasukan tarian singa dan naga, di seluruh negara.

“Hampir setahun tiada pendapatan iaitu sejak PKP Mac tahun lepas, memang agak sukar untuk melalui situasi ini dan Covid-19 merupakan perkara yang tidak dapat dielakkan. Kami akur dengan saranan Kementerian Kesihatan (KKM) demi kesihatan rakyat, namun diharap kerajaan juga akan mendengar suara kami dan memberi insentif sepatutnya,” kata Yong.

Senada dengan Yong, pengasas dan ketua jurulatih Persatuan Kwong Ngai Lion Dance Clement Tan Kee Boon berkata, beliau juga terpaksa menolak dan menangguhkan beberapa tempahan persembahan yang diterima.

“Awal tahun ini memang ada terima tempahan, setelah PKP dilaksana 22 Januari hingga 4 Februari, saya terpaksa tangguh sekejap semua tempahan dan kemudian disambung hingga 18 Februari. Nampak gayanya perlu tunggu keputusan muktamad kerajaan, mengenai tarian singa selepas ini.

“Ini kerana tarian singa biasanya terkenal bagi tempoh sebulan sebelum dan selepas Tahun Baharu Cina. Jarang kita dengar persembahan diadakan selepas itu, kecuali latihan atau pertandingan. Ada juga pihak hotel minta sebut harga bagi persembahan, tapi semuanya terpaksa tangguhkan,” katanya yang berpangkalan di Kepong.

“Kami juga berharap kerajaan melihat perkara ini secara serius, biarpun tidak dapat membuat persembahan, mungkin boleh dipertimbangkan diadakan latihan dan sebagainya sekiranya diizinkan supaya pelajar kami tidak jauh ketinggalan dari konteks tarian,” kata Tan yang aktif dalam bidang ini lebih 20 tahun.

Di KOTA BHARU, sebanyak 10 ‘singa’ milik Pertubuhan Seni dan Budaya Xian Long (Xian Long), dekat sini, terpaksa disimpan rapi meskipun mendapat jemputan daripada pelbagai pihak untuk membuat persembahan.

Peneraju utama pertubuhan itu Lee Rong Jiang berkata, seramai 60 ahli persatuan yang ditubuhkan sejak 2011 itu turut direhatkan, dan jemputan terpaksa ditolak selain mereka mengisi masa terluang dengan senaman pergerakan bersendirian dalam kumpulan kecil, supaya tidak hilang rentak dan skil persembahan.

“Kesemua peralatan persembahan bernilai antara RM1,600 hingga RM2,400, sudah lama tidak digunakan dan perlu disimpan di dalam bekas kaca, bagi mengelak bulu di kepala patung singa menjadi kotor,” katanya.

Masyarakat Tiong Hua akan menyambut Tahun Baharu Cina pada 12 dan 13 Februari ini, dengan prosedur operasi standard (SOP) sama seperti sambutan Hari Raya Aidilfitri dan Hari Deepavali, seperti larangan rentas daerah dan negeri dan aktiviti keagamaan yang terhad. – BERNAMA

Friday, February 05, 2021

Edar barangan berkaitan Daesh, penjual cendol dipenjara 16 tahun

 

KUALA LUMPUR, 5 Feb -- Seorang penjual cendol dijatuhi hukuman penjara 16 tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini selepas didapati bersalah atas sembilan pertuduhan, antaranya memiliki dan mengedar barangan berkaitan pengganas Daesh serta memberi sokongan kepada kumpulan itu, empat tahun lepas.
Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin menjatuhkan hukuman itu terhadap Nahzatulazran A. Rahman, 42, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.
Mahkamah memerintahkan Nahzatulazran menjalani hukuman penjara itu bermula dari tarikh tangkap pada 10 Sept 2017.
Bagi tiga pertuduhan memberi sokongan kepada Daesh, Muhammad Jamil menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun bagi setiap pertuduhan dan memerintahkan ia berjalan serentak.
Bagi dua pertuduhan memiliki item, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun bagi setiap pertuduhan dan memerintahkan ia berjalan serentak.
Sementara itu, bagi empat pertuduhan mengedar item berkaitan pengganas, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun bagi setiap pertuduhan dan memerintahkan ia berjalan serentak.
Mahkamah kemudian memerintahkan kesemua hukuman itu berjalan berasingan menjadikan keseluruhan hukuman penjara selama 16 tahun.
Bagi tiga pertuduhan memberi sokongan kepada kumpulan Daesh, lelaki itu didakwa mempromosi kumpulan pengganas terbabit, antaranya melalui pengedaran bendera, kain berwarna putih dan hijau muda dengan tulisan Jawi kepada tiga individu.
Ketiga-tiga kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 130J (1)(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara seumur hidup atau maksimum 30 tahun atau denda, dan boleh dirampas mana-mana harta yang digunakan atau diniat untuk digunakan bagi melakukan kesalahan tersebut.
Sementara, bagi dua pertuduhan memiliki item-item berkaitan Daesh, dia didakwa memiliki satu helai bendera berwarna putih, dua papan berukir kalimah dalam Bahasa Arab, dua bingkai gambar, gambar-gambar dan video berkaitan kumpulan pengganas itu.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara tujuh tahun atau denda dan hendaklah juga dilucutkan hak ke atas barang-barang tersebut.
Sementara bagi empat pertuduhan mengedar item berkaitan Daesh, Nahzatulazran didakwa mengedar sehelai bendera hijau bertulisan hitam, empai helai bendera hitam dan dua helai kain berwarna putih serta hijau mengandungi tulisan Jawi kepada beberapa individu, mengikut Seksyen 130JB(1)(b) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh dikenakan denda.
Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di beberapa lokasi antaranya sekitar kampung di Melaka Tengah, dan di sebuah rumah di Kepong di sini, pada Januari hingga September 2017.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Rohaiza Abd Rahman dan Mohd Farhan Aliff Ahmad, memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat berbentuk pengajaran terhadap tertuduh dan pencegahan kepada orang awam, agar tidak terikut dengan fahaman pengganas.
“Pihak pendakwaan juga memohon hukuman penjara lebih panjang, bagi membolehkan tertuduh menjalani rehabilitasi di penjara kerana fikirannya sangat cenderung kepada ideologi kumpulan pengganas itu, sehingga seorang saksi menyatakan tertuduh pernah mengajaknya berjihad ke Marawi, Filipina.
“Saya juga mohon mahkamah mengambil kira faktor keselamatan negara yang terjejas, ekoran perbuatan tertuduh ini,” katanya.
Bagaimanapun, peguam Usha Kulasegaran dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan yang mewakili tertuduh, memohon hukuman ringan atas alasan anak guamnya mempunyai seorang isteri dan anak selain telah insaf atas perbuatannya.
Seramai 16 saksi pendakwaan dan dua saksi pembelaan termasuk tertuduh, dipanggil sepanjang perbicaraan yang bermula pada Februari 2020.

-- BERNAMA

Kempen anti-minyak sawit: Malaysia sertai Indonesia saman EU

 

JAKARTA, 5 Feb — Perdana Menteri Malaysia Tan Sri Muhyiddin Yassin (kiri) dan Presiden Indonesia Joko Widodo (kanan) mengadakan sidang media bersama selepas kedua-dua pemimpin itu mengadakan pertemuan empat mata di Istana Merdeka di sini, Jumaat.—fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPERLIHARA

KUALA LUMPUR: Malaysia menyertai Indonesia sebagai negara yang memfailkan tindakan undang-undang terhadap Kesatuan Eropah (EU) susulan tindakan diskriminasi blok ekonomi itu terhadap produk keluaran kedua-dua negara menerusi kempen anti minyak sawit.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata beliau memaklumkan kepada Presiden Indonesia mengenai usaha Malaysia memfailkan tindakan undang-undang terhadap EU pada 15 Januari lalu di Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), sama seperti yang dilakukan Indonesia pada Disember 2019.

"Malaysia akan terus bekerjasama dengan pihak Indonesia dalam isu diskriminasi minyak sawit terutama memperkasakan Majlis Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC)," katanya dalam sidang media bersama Presiden Indonesia, Joko Widodo sempena lawatan rasmi ke Indonesia, hari ini.

Muhyiddin berkata, Malaysia dan Indonesia menzahirkan kebimbangan mengenai kempen anti-minyak sawit yang berlaku terutama di Eropah, Australia dan Oceania.

Perdana Menteri berkata, kedua negara sependapat kempen anti-minyak sawit itu tidak berasas dan tidak menggambarkan kelestarian industri sawit dunia serta bercanggah dengan komitmen EU kepada Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) mengenai amalan perdagangan bebas. (BH)

Siapa Muslimat Britian Berkahwin Dengan Tertuduh JI Indonesia?

 

Indonesia tahan wanita British dalam senarai pengganas.

POLIS Indonesia dan Badan Pencegahan Keganasan Nasional (BNPT) sedang menyiasat dakwaan penglibatan seorang wanita Britain, Tazneen Miriam Sailar - yang kini ditahan di Pusat Tahanan Imigrasi Jakarta atas tuduhan pelanggaran imigrasi - dalam rangkaian terorisme di Indonesia.

Suspek keganasan yang ditangkap di Makassar, Sulawesi Selatan, dipindahkan ke Jakarta oleh polis Indonesia, Khamis (04/02).

Menurut penemuan polis, Tazneen ketika tinggal di Indonesia telah berkahwin dengan anggota rangkaian pengganas Jemaah Islamiyah (JI), Abu Ahmad alias Asep Ahmad Setiawan, yang meninggal dalam pertempuran di Syria pada tahun 2014.

Dilaporkan bahawa Tazneen dan suaminya berada dalam senarai polis yang disyaki pelampau. Tetapi salah seorang peguam Tazneen, Achmad Michdan, mengatakan wanita Britain itu "tidak dikaitkan dengan keganasan" kerana tidak pernah ada dalam proses undang-undang tersebut.

Michdan juga mengatakan bahawa dia menemani Tazneen kerana masalah imigresen. Setakat ini polis telah menyatakan bahawa mereka masih menyiasat.

"Kami saat ini sedang menyiasat [apakah terlibat dalam kes-kes terorisme di Indonesia] dari penyiasat Densus 88. Apa peranannya?" kata Ketua Penerangan Umum untuk Hubungan Masyarakat Polis Indonesia, Kombes (Pol) Ahmad Ramadhan, kepada wartawan BBC News Indonesia, Renne Kawilarang, Khamis (04/02).

Polis, menurut Ramadhan, tidak menemui sebarang transaksi di akaun Tazneen yang mengarah ke Front Pembela Islam (FPI), seperti yang dilaporkan oleh sejumlah media.

"Dari akaun yang dikesan oleh PPATK, belum dijumpai [berkaitan dengan FPI]," katanya. Ada kemungkinan bahawa pihaknya akan terus mengesannya.

Tidak pernah mendengar nama Tazneen dan suami.

Namun, Achmad Michdan menyatakan bahawa setakat ini belum pernah ada proses undang-undang yang menunjukkan Tazneen terlibat dalam tindakan keganasan.

"Dia tidak dikaitkan dengan keganasan walaupun dia disenaraikan sebagai pengganas ... tidak ada kes yang diadili, tiba-tiba dia berada dalam senarai [disyaki pengganas], jika logik undang-undangnya ialah jika suspek diproses terlebih dahulu, dia jika disabitkan pertama, kenapa dia termasuk dalam senarai pengganas tetapi tidak ada kegiatan." kata Michdan kepada BBC News Indonesia.

Michdan juga mengatakan bahawa dia tidak menyedari kegiatan suami Tazneen, Asep Ahmad Setiawan, yang meninggal di Syria.

"Kami tidak tahu dengan tepat sama ada dia menyertai ISIS atau tidak kerana di Syria terdapat banyak kumpulan ... ada yang mengagihkan bantuan ... kami tidak mengetahui keadaan sebenar suaminya di sana," katanya.

Setelah kematian suaminya, kata Michdan, Tazneen, tinggal bersama mertuanya di Tasikmalaya dan kemudian pindah ke Jogja, bersama anaknya yang berusia 10 tahun.

"Dia pindah ke Jogja, ada aktiviti perdagangan dan menolong beberapa keluarga yang ditimpa bencana yang suaminya terjejas oleh kes-kes keganasan, dan ditahan, itu saja," katanya,

Rencana Tazneen untuk kembali ke England, menurut Michdan, adalah kerana menangani surat-surat yang hilang dan "sudah mendapat persetujuan untuk dihantar pulang berkaitan dengan masalah imigresen".

Pemerhati keganasan Institut Analisis Dasar Konflik (IPAC) Sidney Jones memberitahu BBC bahawa dia tidak pernah mendengar nama Tazneen dan suaminya. Sydney mengakui bahawa dia baru mengetahui tentang mereka dari media.

Sedang Koordinasi.
Jurucakap BNPT Eddy Hartono mengatakan bahawa pihaknya dan Ibu Pejabat Polis Densus 88 ketika ini sedang "melakukan koordinasi" dan "masih melakukan pendalaman". "Oleh itu, kerana masih disiasat, kami masih tidak dapat memberikan beberapa informasi," kata Eddy Hartono kepada BBC News Indonesia, Khamis (04/02) siang. "Sehingga nanti setelah kita melakukan pendalaman, kita juga akan menyampaikannya kepada media," tambahnya.

Di mana Tazneen sekarang?

Masih belum jelas bagaimana dan bila Tazneen memasuki Indonesia. Ahmad Ramadhan mengatakan ini bukan berada di pihak polis, tetapi di pejabat Imigresen.
Dihubungi secara berasingan, Ketua Perhubungan Awam Direktorat Jenderal Imigresen, Ahmad Nursaleh, mengakui bahawa Tazneen kini berada "di Rudenim (Pusat Tahanan Imigrasi) Jakarta". "Sejauh yang kami tahu, memang benar orang yang bersangkutan berada di Jakarta Rudenim, menjalani penahanan atas alasan pelanggaran imigrasi," kata Ahmad Nursaleh kepada BBC News Indonesia, Khamis (04/02) pagi.

Tazneen disyaki tidak memiliki izin tinggal di Indonesia.

Ditanya sejak ketika Tazneen ditugaskan ke pusat tahanan, Ahmad Nursaleh tidak memberikan jawapan. Namun, katanya, pada masa ini dia "menunggu proses pengusiran difasilitasi oleh Kedutaan Britain". "Masih menunggu pengesahan dari Kedutaan Besar Britain," kata Nursaleh ketika ditanya ketika yakin Tazneen akan dihantar pulang ke England, Khamis (04/02). Apa tanggapan dari Kedutaan Britain di Jakarta?
Sementara itu, Kedutaan Besar Britain di Jakarta mengatakan tidak dapat "memberikan komen atau pengesahan pada masa ini".

Hal ini disampaikan oleh jurucakap Kedutaan Besar Britain di Jakarta, John Nickell, sebagai jawaban atas pertanyaan BBC News Indonesia, Rabu (03/02), apakah pihaknya mengetahui penahanan Tazneen Miriam Sailar oleh Imigrasi Indonesia - termasuk apakah orang yang berkenaan masih warganegara Britain. Dalam pernyataan sebelumnya, Direktorat Jenderal Imigrasi di Kementerian Hukum dan Hak Asasi Manusia menyatakan bahawa Tazneen Miriam Sailar "ditahan" kerana didapati bahawa dia "tidak memiliki izin tinggal". Sejumlah laporan mengatakan Tazneen termasuk dalam senarai disyaki pengganas dan organisasi pengganas berdasarkan dokumen Polri yang dimuat naik di laman web PPATK. Dalam dokumen tersebut, Tazneen mempunyai alias Aisyah Humaira. Dia dikatakan beralamat di Desa Panyingkiran, Kabupaten Indihiang, Tasikmalaya, Jawa Barat. Tazneen dilaporkan mempunyai pasport yang tamat pada 18 Januari 2018 (IH)


LinkWithin

Related Posts with Thumbnails