Friday, March 12, 2021

Isu kalimah Allah: Umat Islam perlu adil dan kritis -K/Pemuda Pakatan Nasinal

 

SAYA mengajak kepada semua untuk kita berbincang isu ini dalam dua (2) keadaan:

Keadaan pertama 


Kalimah Allah sekiranya digunakan pada makna yang sebenarnya (seperti yang termaktub di dalam al-Quran) adalah dibenarkan untuk digunakan oleh orang bukan-Islam. Perkara ini adalah perkara yang maklum dan telah berlaku sejak zaman Nabi Muhammad S.A.W.

Sebagai contoh:

1. Nama ayah Nabi Muhammad S.A.W adalah ‘Abdullah’ meskipun ayah Nabi kita tidak mengucap dua kalimah syahadah.

2. Abu Jahal juga pernah menyebut nama Allah.

3. Perjanjian Hudaibiah antara Nabi Muhammad S.A.W dan Kafir Quraisy ditulis dengan dimulai dengan ‘Bismikallahumma’.

Kalimah Allah di atas telah digunakan pada tempatnya iaitu merujuk kepada Allah yang Esa Tuhan sekalian alam meskipun mereka masih mensyirikkan Allah. Allah S.W.T berfirman, 

‎وَلَئِن سَأَلْتَهُم مَّن نَّزَّلَ مِنَ السَّمَاءِ مَاءً فَأَحْيَا بِهِ الْأَرْضَ مِن بَعْدِ مَوْتِهَا لَيَقُولُنَّ اللَّهُ ۚ قُلِ الْحَمْدُ لِلَّهِ ۚ بَلْ أَكْثَرُهُمْ لَا يَعْقِلُونَ (63)

“Dan sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang Musyrik) itu: “Siapakah yang menurunkan hujan dari langit, lalu Ia hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya?” Sudah tentu mereka akan menjawab: “Allah”. Ucapkanlah (wahai Muhammad): “Alhamdulillah” (sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka yang demikian), bahkan kebanyakan mereka tidak memahami (hakikat tauhid dan pengertian syirik).”

(al-Ankabut: 63)

Keadaan kedua

Kalimah Allah digunakan untuk mengelirukan umat Islam, menggoncang akidah umat Islam dan digunakan dengan tidak merujuk kepada makna yang sebenar bahkan memberikan kalimah ‘Allah’ pada selain daripada Allah seperti patung-patung berhala, haiwan, tumbuhan, manusia (sama ada yang masih hidup atau telah mati) dan makhluk-makhluk yang lain.

Perkara ini hakikatnya adalah terlarang dan salah pada penggunaannya serta bermotifkan untuk melanggar prinsip Perlembagaan Persekutuan iaitu mengelirukan umat Islam demi dakyah agama mereka.

Keadaan kedua ini hakikatnya lebih teruk daripada apa yang dilakukan oleh Abu Jahal dan kaum kafir Quraisy kerana seburuk-buruk dan seteruk-teruk Abu Jahal, mereka tidak menggunakan kalimah Allah pada ‘Tuhan’ mereka yang lain bahkan memberikan mereka nama yang lain seperti Latta dan ‘Uzza.

Mesyuarat Majlis Syura Ulamak PAS pada 2 Rabiul Awwal 1434 bersamaan 13 Januari 2013 telah menetapkan isu ini seperti berikut:

1. Allah adalah kalimah suci yang merujuk kepada Tuhan yang diimani oleh umat Islam, iaitu Allah Yang Esa, Tunggal, tidak beranak dan tidak diperanakkan.

2. Kalimah Allah adalah alami (universal) kerana Allah Tuhan sekalian alam. Siapa pun boleh menyebut kalimah Allah seperti mana orang Arab Jahiliyah yang tidak Islam menyebut Allah lah yang menjadikan alam ini.

3. Kalimah Allah adalah kalimah khusus yang Allah menamakan diri-Nya Allah. Kalimah itu tidak boleh diterjemahkan ke dalam mana-mana bahasa dunia kerana tidak menepati kehendak sebenar dari kalimah ini. Demikian juga tidak boleh kalimah asing hendak diterjemahkan kepada kalimah Allah.

4. Menterjemah kalimah God atau Lord dari mana-mana kitab agama bukan-Islam kepada perkataan Allah tidak dibolehkan kerana ianya salah dari segi makna dan salah guna, tidak menepati kehendak sebenar yang boleh membawa kekeliruan yang nyata. Oleh kerana itu ia hendaklah dicegah.

Kesimpulan

Umat Islam mestilah mendepani isu ini dengan teliti, kritis dan cermat. Menjadi kewajipan untuk kita mempertahankan kalimah Allah daripada disalahguna namun ia tidak bererti kita berhak melakukan tindakan yang dimurkai oleh Allah (kerana mengharamkan perkara yang dihalalkan oleh Allah).

Kerajaan juga pada masa yang sama mestilah bertanggungjawab melalui kerangka Siyasah Syar’iyyah dan autoriti yang ada untuk mengenalpasti serta mengambil tindakan tegas kepada pihak yang cuba memanipulasi penggunaan kalimah Allah dan berniat untuk mengelirukan umat Islam demi kepentingan dakyah mereka.

Saya berterima kasih kepada Menteri Dalam Negeri, Dato’ Seri Hamzah Zainudin, yang mengambil tindakan pantas melalui ruangkuasa yang ada (tanpa mempengaruhi dan campurtangan dalam perjalanan penghakiman di mahkamah) agar isu ini dapat dirungkai dan diselesaikan dalam kadar segera. Saya yakin PAS Pusat juga sebagai sebahagian daripada kerajaan sedang meneliti isu ini daripada segenap sudut sebelum mengambil pendirian yang adil. Alhamdulillah.

“Malaysia Prihatin”

YB SENATOR IR. TS. HJ. KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia
Ketua Pemuda Perikatan Nasional – HARAKAHDAILY 12/3/2021

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Ya, mengenai isu kalimah Allah, umat Islam perlu adil dan kritis. Bukan macam sesetengah pengkritik yang jelas nampak kejahilannya dalam bidang agama, bahkan disulami dengan kalimat tidak berakhlak, lucah dan mencarut. 

Dari buah kita kenal pohonnya. Biasanya buah yang rosak, hasil dari pokok cacat atau tidak sempurna. Kita terpaksa longkangkan komennya. Harap maaf!

IHtv
IHtv
21 subscribers

Salah DAP, penganut Kristian dibenar guna kalimah Allah? -DrKamarul Zaman

 

JIKA ada pihak yang perlu dipersalahkan oleh pihak-pihak lain tidak bersetuju dengan keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan kalimah ‘Allah’ digunakan oleh penganut Kristian, maka orang itu mungkin adalah dua pemimpin DAP, iaitu Dr Abdul Aziz Bari dan Syahredzan Johan, dan Timbalan Pengerusi SPR yang juga pensyarah UM, iaitu Dr Azmi Sharom.

Ini kerana affidavit-affidavit mereka yang menyatakan penggunaan kalimah ‘Allah‘ oleh penganut Kristian tidak akan mengelirukan mereka sebagai penganut Islamlah yang digunakan oleh Hakim Datuk Nor Bee untuk menolak hujah kerajaan bahawa penggunaan kalimah ‘Allah’ oleh penganut Kristian akan mengganggu ketenteraman awam.

Masa sama, saya tertanya-tanya mengapa tokoh seperti mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, tidak diambil affidavitnya sedangkan beliau pada 5 Januari 2010 pernah menyebut:

‘Mungkin juga kalimah ‘Allah’ dapat menyamakan agama Kristian dengan agama Islam kerana menyembah Tuhan yang sama. Dengan ini penerimaan agama Kristian oleh orang Islam boleh jadi lebih mudah.’

Mantan Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad, juga tidak diambil affidavitnya sedangkan beliau pada 24 Januari 2014 pernah menyebut:

‘Tuntutan gereja Kristian untuk menggunakan kalimah Allah dalam Bible berbahasa Melayu adalah bertujuan untuk meyakinkan orang Melayu bahawa agama Kristian adalah serupa dan serumpun dengan Islam. Tujuannnya juga adalah supaya orang Melayu yakin mereka masih beriman dengan Allah biarpun sudah mengikut cara hidup dan bersembahyang mengikut cara Kristian.’

Begitu juga dengan affidavit-affidavit penganut Islam dari golongan bawahan yang lebih berkemungkinan untuk terkeliru dengan penggunaan kalimah ‘Allah’ oleh penganut Kristian berbanding mereka yang berpendidikan tinggi.

DR KAMARUL ZAMAN HAJI YUSOFF – HARAKAHDAILY 12/3/2021

T'ganu bantu dua anak mangsa kes bunuh. Al-hamdulillah

 

Foto daripada Facebook Haji Hanafiah Mat.

KUALA BERANG: Nasib malang dua beradik yang kehilangan ibu mereka dalam tragedi pembunuhan tragis di Kota Tinggi, Johor baru-baru ini, mendapat perhatian kerajaan negeri Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga serta Perpaduan Nasional Terengganu, Hanafiah Mat berkata kerajaan negeri sedia menanggung kos pendidikan dua beradik yang berusia tiga dan empat tahun itu hingga ke peringkat universiti.

“Pendidikan anak-anak ini tidak akan terabai…kita akan beri bantuan mengikut keperluan mereka dan untuk hari ini, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah menyampaikan bantuan segera sebanyak RM300.

“Bantuan bulanan juga akan diberikan kepada dua beradik ini sebanyak RM250 seorang sebaik sahaja selesai urusan mahkamah tentang hak penjagaan mereka,” katanya kepada pemberita selepas melawat keluarga mangsa bunuh itu di Kampung Telaga, di sini hari ini.

Turut hadir menziarahi keluarga mangsa ialah Pengarah JKM negeri, Zuhami Omar.

Selain itu, Hanafiah berkata kerajaan negeri bersama JKM Terengganu juga akan membantu memudahkan proses tuntutan hak penjagaan di mahkamah bagi memastikan keluarga mangsa mendapat hak tersebut memandangkan dua beradik itu lebih rapat dengan mereka.

Jumaat lepas, media melaporkan misteri kehilangan seorang wanita akhirnya terjawab apabila mayatnya ditemukan di dalam sebuah tong air yang tertanam di sebuah ladang di Bandar Penawar, kira-kira 30 kilometer dari tempat kejadian, sekitar 4.30 pagi pada hari kejadian.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay dilapor berkata suami mangsa berusia 43 tahun menjadi suspek utama dipercayai menembak isterinya secara dekat, menggunakan senapang angin ketika mangsa sedang tidur di rumahnya.

Kes berkenaan dipercayai bermotifkan cemburu dan polis juga menjumpai surat tuntutan fasakh di rumah berkenaan.

Jenazah wanita yang berusia 38 tahun itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Telaga di sini kira-kira 5.30 pagi semalam. – BERNAMA

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Al-hamdulillah, kerajaan prihatin rakyat, bukan kerajaan PH yang runtuh 22 bulan..

Covid-19 akan Berakhir dalam 10 Bulan' -WHO

 

1. 'Wabak Covid-19 ini akan Berakhir dalam 10 Bulan' -WHO

Pengarah Eropah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Hans Kluge menyatakan bahawa wabak jenis baru coronavirus (Covid-19) akan berakhir dalam masa kira-kira 10 bulan, tetapi ini tidak bermaksud bahawa virus itu akan hilang.

Bercakap dengan akhbar Jerman Die Welt, Kluge berkata,

"Saya rasa 2021 akan menjadi tahun Covid-19 lagi. Kami kini mempunyai alat yang lebih baik seperti program diagnostik dan vaksin. Merancang ke depan sangat penting dalam pekerjaan saya. Oleh itu, saya meramalkan bahawa wabak itu akan berakhir pada awal 2022 ”.

Kluge juga menekankan bahawa hilangnya wabak itu tidak bermaksud bahawa virus itu telah hilang.

Kluge mengatakan bahawa dia berharap tidak perlu ada sekatan yang keras dan mengatakan bahawa Eropah harus bersatu padu dalam isu ini.

Hans Kluge juga menyatakan bahawa perhatian harus diberikan kepada 3 isu tahun ini dalam memerangi wabak tersebut.

Pertama, Kluge mengatakan bahawa program vaksinasi harus dipercepat dan masalah kedua adalah vaksin terhadap mutasi baru harus disesuaikan,

"Ketiga, jarak sosial harus terbatas dan langkah-langkah kesihatan lain harus diteruskan." katanya.

Menunjukkan bahawa "keletihan wabak" berlaku pada orang yang menentang tindakan wabak, Kluge

“Atas sebab ini, kami sedang melakukan penelitian yang mengungkap langkah-langkah yang membuat orang bosan. Kita perlu bersabar, ”katanya.

2. 'Pandemi Penyebab Trauma Lebih Hebat dari Perang Dunia Kedua' -WHO

Tedros Adhanom Ghebreyesus, Ketua Pengarah Organisasi Kesihatan Sedunia (WHO), menyatakan bahawa "trauma massa" yang disebabkan oleh pandemi jenis baru coronavirus lebih sengit daripada Perang Dunia Kedua.

Menurut Sputnik, dalam kenyataan Ghebreyesus,

"Selepas Perang Dunia Kedua, dunia mengalami trauma besar akibat kesan banyak nyawa. Lebih banyak nyawa terjejas dalam wabak coronavirus," katanya.

Ghebreyesus juga menyatakan bahawa kesan pandemi terhadap kesihatan mental akan berterusan selama bertahun-tahun.

Maria Van Kerkhove, seorang ahli epidemiologi dari WHO, menekankan bahawa kesihatan mental orang harus menjadi keutamaan dan memberi amaran bahawa wabak itu akan memberi kesan psikologi yang signifikan terhadap manusia dalam jangka masa panjang.

(IH)

Ibu Ella meninggal dunia pada jam 2.30 pagi sebentar tadi.

 

Pentadbir akaun FB Ella mengumumkan pemergian bonda tersayang Ratu Rock itu, pagi tadi. Foto FB Ella

KUALA LUMPUR: Ibu Ratu Rock, Ella, Yang Asmah Long, 92, meninggal dunia akibat sakit tua di kediamannya di Telok Gadong, Klang, awal pagi tadi.

Abang ipar Ella, Syahrizal Ismail, berkata ibu mentuanya menghembuskan nafas terakhir dalam tidur, pada jam 2.30 pagi tadi.

"Arwah menetap dengan adik ipar, Korie di Klang. Kami berjumpa hari-hari kerana arwah semakin uzur.

"Arwah meninggal dalam tidur akibat sakit tua," katanya yang juga suami kepada kakak dan juga pengurus Ella, Jojie, ketika dihubungi BH Online.

Jenazah Allahyarham dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, Shah Alam, pada jam 11 pagi ini.

Berita duka itu dikongsi pentadbir akaun Facebook (FB) Ella atau nama sebenar, Norzila Aminuddin, melalui sebuah entri.

Hantaran itu berbunyi:

"Salam dan sejahtera. Buat makluman, mohon didoakan bonda kepada Ella, Hajah Yang Asmah Long yang pulang menemui penciptaNya sekitar jam 2.30 pagi tadi .

"Moga Allah ampuni, rahmati, maafkannya, muliakan kematiannya, lapangkan kubur, jadikanlah syurga sebagai ganti tempat tinggalnya dan berilah kesabaran kepada ahli keluarganya, semoga beliau ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman. Al-Fatihah

"Kami mohon moga Allah kurnia inayah dan rahmat. Takziah buat ahli keluarga Puan Ella atas pemergian bonda yang dikasihi," katanya.

Ella..

Thursday, March 11, 2021

Zahid guna dana Yayasan Akalbudi hampir RM1.5 juta untuk kegunaan peribadi

 

Ahmad Zahid hadir di Mahkamah Tinggi pada perbicaraan kes pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana milik Yayasan Akalbudi. - NSTP/Eizari Shamsudin

Kuala Lumpur: Saksi pendakwaan terakhir pada perbicaraan kes Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberitahu Mahkamah Tinggi, hari ini, bahawa bekas timbalan perdana menteri itu menggunakan dana Yayasan Akalbudi miliknya berjumlah RM1,469,547.36 untuk membayar kad kredit, insurans dan cukai jalan 20 kenderaan miliknya.

Pegawai Penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Khairudin Kilau, 44, berkata hasil siasatannya mendapati Ahmad Zahid membayar sembilan kad kredit beliau dan isterinya, Datin Seri Hamidah Khamis atas penggunaan peribadi berjumlah RM1,362,037.81, manakala RM107,509.55 lagi untuk pembayaran insurans dan cukai jalan bagi 20 kenderaan milik mereka.

Bagi pembayaran kad kredit, Ahmad Zahid menggunakan wang yayasan itu untuk membayar kad kredit AmBank Islamic sebanyak RM1,296,715.98, Maybank (RM34,686.03) dan American Express (RM30,635.80).

"Kad kredit AmBank Islamic dan Maybank mempunyai kad tambahan atas nama Hamidah Khamis. Hasil semakan dan penelitian ke atas penyata akaun bagi semua kad kredit itu mendapati banyak perbelanjaan dibuat di luar negara dan dibayar menggunakan cek Affin Bank Berhad milik Yayasan Akalbudi antara 2014 hingga 2016," katanya membacakan penyataan saksinya ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Lee Keng Fatt.

Saksi pendakwaan ke-99 itu berkata demikian pada hari ke-51 perbicaraan kes Ahmad Zahid yang menghadapi pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram, membabitkan jutaan ringgit dana Yayasan Akalbudi.

Khairudin berkata, Ahmad Zahid juga menggunakan wang yayasan itu untuk membayar insurans dan cukai jalan bagi 20 kenderaan termasuk 18 kenderaan mewah miliknya termasuk BMW X5, Mini Cooper S, Mercedes Benz CLS350, BMW 320i (A), Toyota Land Cruiser dan motosikal BMW R1200 GS.

"Bagi bayaran pertama sebanyak RM17,335.54 digunakan untuk membayar polisi insurans dan RM7,625.01 bagi bayaran cukai jalan membabitkan enam kenderaan milik Ahmad Zahid dan isteri, dengan pembayaran dibuat melalui tiga cek Affin Bank Berhad pada 22 Januari 2015.

"Bayaran kedua sebanyak RM27,246.90 untuk polisi insurans dan RM16,368.10 bagi bayaran cukai jalan melalui cek Affin Bank Berhad pada 15 April 2015, membabitkan empat kenderaan milik Ahmad Zahid, sebuah kenderaan milik BZ Motors Sdn Bhd dan sebuah kenderaan milik Juhari Janan.

"Bagi bayaran ketiga pula, sejumlah RM27,607.11 digunakan untuk membayar polisi insurans, manakala RM11,276.89 untuk membayar cukai jalan membabitkan lapan kenderaan milik Ahmad Zahid dan bayaran dibuat melalui cek Affin Bank Berhad pada 22 September 2015," katanya.

Mengenai penubuhan Yayasan Akalbudi, Khairudin berkata, berdasarkan maklumat daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia dan pemegang amanah yayasan itu, yayasan itu tidak pernah mengadakan mesyuarat agung tahunan (AGM) sepanjang penubuhannya antara 1997 hingga 2018.

"Tidak ada apa-apa mesyuarat dan perbincangan rasmi direkodkan setiausaha yayasan itu berkaitan aktiviti serta laporan kewangan Yayasan Akalbudi.

"Kewangan dan aktiviti ditadbir urus Ahmad Zahid sendiri. Pemegang amanah itu juga tidak mengetahui siapa penyumbang dana dan berapa jumlah sumbangan diterima Yayasan Akalbudi.

"Pemegang amanah yang lain hanya mengetahui Yayasan Akalbudi ada melaksanakan urusan kebajikan khususnya kepada penduduk kawasan Bagan Datuk membabitkan sumbangan kepada masjid dan pusat tahfiz," katanya.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung 18 Mac ini dan saksi itu akan menyambung keterangannya pada hari itu.

Khairudin adalah pegawai penyiasat SPRM ke-10 yang dipanggil pihak pendakwaan.

Ahmad Zahid, 68, berdepan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram, melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi. – BERNAMA

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Sama dengan kes Guan Eng sebelum ini (Guan Eng beri keterangan: Air tenang jangan disan...). Pepatah ada mengatakan, air tenang jangan disangka tiada buaya?

Guan Eng beri keterangan: Air tenang jangan disangka tiada buaya?

 

LIM Guan Eng (kiri) ditemani RSN Rayer hadir di IPD Timur Laut bagi memberi keterangan. FOTO Danial Saad

Guan Eng beri keterangan kepada polis [METROTV]

Georgetown: Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng hari ini hadir memberi keterangan kepada polis berhubung kenyataan bersama Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) mengenai pelaksanaan darurat yang dibuat pada 12 Jan lalu.

Lim yang ditemani peguamnya RSN Rayer tiba di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut di sini pada 11.25 pagi dan selesai memberi keterangan kira-kira sejam kemudian.

Rayer berkata, Lim yang juga Ahli Parlimen Bagan memberikan kerjasama penuh dalam siasatan yang dijalankan dan keterangan diambil oleh pegawai polis dari Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

"Kami memberikan kerjasama penuh kepada pegawai polis dan beliau (pegawai polis) juga memaklumkan telah selesai mengambil keterangan saudara Lim Guan Eng hari ini.

"Keterangan diambil bagi membantu siasatan kes itu dibuat mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKMM) 1998, " katanya kepada pemberita di perkarangan IPD selepas Lim memberi keterangan.

Polis sebelum ini mengesahkan membuka kertas siasatan berhubung kenyataan bersama Majlis Presiden (PH) itu yang didakwa mempersoalkan keputusan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengusulkan pelaksanaan darurat di seluruh negara bagi menangani wabak Covid-19.

Selain Lim, kenyataan itu turut dikeluarkan dua lagi pemimpin pembangkang iaitu Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Parti Amanah Mohamad Sabu.

Sebelum ini, polis turut mengambil keterangan Anwar bagi membantu siasatan kes sama di Ibu pejabat PKR di Kuala Lumpur pada 26 Feb lepas manakala Mohamad Sabu dijangka memberi keterangan esok.


Komen Weblog Ibnu Hasyim: Pepatah ada mengatakan, air tenang jangan disangka tiada buaya?


BERNAMA

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails