Friday, April 23, 2021

Kebakaran kondominium di Bukit OUG

 

Api dapat dikawal daripada merebak ke bahagian lain pada jam 10.10 malam.

KUALA LUMPUR: Dua unit kediaman di Kondominium Bukit OUG, Bandar Bukit Jalil, di sini, terbakar 9.10 malam tadi.

Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Kuala Lumpur, kebakaran berlaku di tingkat 12, membabitkan dua unit kediaman berkeluasan.

Katanya, Bomba dimaklumkan mengenai kejadian itu pada jam 9.14 malam.

"Sebaik menerima maklumat, pihak bomba menghantar sembilan jentera bomba dari Balai Bomba Penyelamat (BBP) Bukit Jalil, BBP Jalan Hang Tuah, BBP Sri Petaling, BBP Seputeh, termasuk ambulans ERMS dengan kekuatan 45 pegawai dan anggota ke lokasi kejadian.

"Pihak bomba yang tiba pada jam 9.23 malam menggunakan teknik 'attacking' dan 'offensive fire fighting' sebagai tindakan operasi pemadaman kebakaran.

"Api dapat dikawal daripada merebak ke bahagian lain pada jam 10.10 malam dan dipadamkan sepenuhnya 11 minit kemudian," katanya dalam kenyataan malam ini.

Beliau berkata, tiada mangsa yang terbabit dalam kebakaran ini dan punca kejadian masih dalam siasatan.

Thursday, April 22, 2021

Majikan ugut pengawal peribadi hadapi lima pertuduhan

 

Chung Chee Yang (depan) dan Choo Hin Voon (belakang) diiringi pegawai polis untuk didakwa ke Mahkamah Majistret, Klang atas lima pertuduhan berhubung kes dua pengawal peribadi dipukul dan diacu pistol kerana berpuasa. - NSTP/MUHD ASYRAF SAWAL

KLANG: Majikan kepada dua pengawal peribadi yang diugut dengan pistol dan dipukul kerana berpuasa bersama pembantunya, didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Ahli perniagaan, Chung Chee Yang, 43, didakwa dengan lima pertuduhan manakala pembantunya, Choo Hin Voon, 43, berdepan dua pertuduhan.

Untuk pertuduhan pertama, Chee Yang didakwa menakutkan secara jenayah terhadap Mohd Azminizam Zulkepli, 44, dengan ugutan ingin menyebabkan kecederaan parah sambil mengacukan pistol ke arah mangsa.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun dan denda atau kedua-duanya sekali.

Tertuduh juga didakwa mengeluarkan kenyataan dengan niat yang disengajakan untuk melukakan perasaan keagamaan terhadap Mohd Azminizam dan Ahmad Shamsuri.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara setahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Dia juga didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Mohd Azminizam yang memperuntukkan hukuman penjara setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Hin Voon pula didakwa dengan dua pertuduhan kerana menyebabkan kecederaan terhadap Mohd Azminizam dan Ahmad Shamsuri.

Bagi setiap pertuduhan, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu.

Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di luar halaman rumah No 2A Lorong 9L, Jalan Batu Nilam, Bandar Bukit Tinggi di sini, antara jam 10.30 hingga 11.30 malam, 13 April lalu.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Ashyraf Ashy'ari Kamaruzaman dan Mohd Fakhrurazi Ahmad di hadapan Majistret P Sarulatha.

Kedua-dua tertuduh diwakili peguam, Jacky Loi dan Abdul Hakeem Aiman.

Terdahulu, Ashyraf Ashy'ari memohon mahkamah mengena ikat jamin RM200,000 bagi setiap pertuduhan terhadap Chee Yang dan RM100,000 bagi setiap pertuduhan ke atas Hin Voon, selain kedua-dua tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah serta melaporkan diri di balai polis.

Bagaimanapun, peguam tertuduh merayu jumlah ikat jamin itu dikurangkan kerana kedua-duanya perlu menyara keluarga selain menjaga ibu bapa yang sakit.

Sarulatha bagaimanapun mengarahkan tertuduh pertama membayar RM50,000 untuk semua lima pertuduhan manakala tertuduh kedua dikenakan ikat jamin RM20,000.

Mahkamah menetapkan 23 Jun ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

https://youtu.be/FFP9Au6CY0Y

Campur-tangan DAP b/Islam, dalam agihan Zakat PP. Bongkar Dr Kamarul.

 

Agihan zakat: Wakil rakyat DAP tidak belajar dari kesilapan lalu?

TINDAKAN Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuri Patto, memadamkan hantaran berhubung bantuan Ramadan daripada Pusat Urus Zakat Pulau Pinang (PUZ) daripada akaun Facebook miliknya hari ini setelah ditegur oleh beberapa pengomen posting Facebook  saya yang tidak selesa dengan perbuatan beliau mengagihkan bantuan zakat kepada umat Islam malam kelmarin mengingatkan saya kepada kontroversi serupa pada bulan Ramadan dua tahun lalu.

Walaupun wakil-wakil rakyat bukan-Islam DAP waktu itu diselamatkan oleh Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor, yang menyebut harus bagi orang bukan-Islam mengagihkan bantuan zakat kepada golongan asnaf, yang menyebut ia tidak perlu dijadikan isu asal tidak diselewengkan dan yang menyeru umat Islam supaya tidak membesarkan perkara remeh temeh seperti ini, mereka tetap juga berdepan dengan kritikan keras umat Islam.

Kritikan ini juga memaksa Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PUZ, Amran Hazali, menjauhkan diri darinya dengan menyebut ‘kalau perhatikan gambar-gambar, tak ada satu pun gambar yang ada pegawai-pegawai dari PUZ, itu sekali gus menunjukkan kita tak terlibat dan tiada kaitan dengan proses penyerahan itu’ dan menyebut ‘PUZ tidak pernah melantik atau mewakilkan secara rasmi kepada mana-mana wakil rakyat bukan-Islam untuk menyerahkan zakat’.

Untuk ingatan wakil-wakil rakyat bukan-Islam DAP, dikemukakan kembali kritikan yang pernah dikemukakan oleh para pemimpin PAS, Umno, BERJASA, GPMS dan Mufti Kelantan ke atas tindakan mereka mengagihkan bantuan zakat kepada umat Islam ini.

Kritikan Ketua Pemuda PAS Malaysia, Muhammad Khalil Abdul Hadi

‘Apabila pemberian wang zakat atau apa sahaja berkaitan zakat cuba diambil keuntungan politik terutamanya oleh pemimpin bukan-Islam, ia adalah sesuatu yang serius dan perlu diambil perhatian. Ini adalah kerana di dalam isu zakat, proses wajib yang lazimnya adalah ia diambil dari orang Islam, untuk orang Islam dan diuruskan oleh orang Islam.’

‘Isu zakat cukup sensitif di kalangan orang Islam dan adalah sangat wajar orang Islam yang menguruskannya.’

‘Agihan zakat oleh pemimpin bukan-Islam seharusnya tidak berlaku dan wajib ditegur malah dipantau agar tidak menimbulkan prasangka buruk oleh orang Islam dan tidak berlaku lagi. Malah ia juga boleh mendatangkan fitnah yang boleh meresahkan umat Islam di dalam negara.’

‘Adalah lebih baik jika wakil rakyat yang bukan-Islam menyerahkan perkara berkaitan zakat kepada pegawai-pegawai mereka yang beragama Islam. Ia akan jadi lebih mudah dan tidak menimbulkan syak wasangka serta fitnah. Perkara sebegini harus dipantau oleh pihak berwajib agar ia tidak berulang lagi.’

‘Islam wajar dipelihara kesuciannya agar tidak diperkotak-katikkan dan diambil kesempatan ke atasnya. Jika kita sebagai umat Islam tidak menjaga dan memelihara kesuciannya, siapa lagi yang kita mahu harapkan?’

(Rujukan: https://www.facebook.com/mkhalilabdulhadi/posts/2200277586694408 )

Kritikan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi

‘Zakat itu salah satu daripada Rukun Islam… berdasarkan kepada kepercayaan kepada Allah. Ianya merupakan ibadat khusus yang disyariatkan… diambil daripada orang Islam dan diserah atau diagih kepada orang Islam @ asnaf yang berhak. Bila orang bukan Islam yang mengurus @ yang mengagih… lakonan apakah yang sedang dimainkan itu?’

(Rujukan: https://www.facebook.com/zahidhamidi.fanpage/photos/a.188352211303364/1417593488379224/ )

Kritikan Naib Presiden BERJASA, Mohd Hazizi Ab Rahman

‘Institusi Islam tertentu yang seolah-olah menyokong tindakan pemimpin DAP mengedarkan bantuan zakat kepada penduduk Islam baru-baru ini diingatkan supaya tidak menjual agama untuk harga yang murah. Tindakan ini bermakna institusi berkenaan secara tersirat menghalalkan promosi fahaman mungkar Sekularisme, Liberalisme, Sosialisme dan Pluralisme yang diperjuangkan DAP sejak puluhan tahun dahulu. Ini juga bermakna institusi Islam itu menyucikan imej ahli-ahli politik DAP yang menentang konsep Negara Islam dan memperjuangkan konsep negara Sekular.’

‘Perjuangan Sekularisme, Liberalisme, Sosialisme dan Pluralisme adalah perjuangan mungkar, wajib dicegah. Sesiapa yang mempromosikan perjuangan itu turut sama melakukan kemungkaran. DAP sememangnya sedia maklum memperjuangkan segala fahaman itu untuk direalisasikan dalam negara kita sejak puluhan tahun dahulu. Mempromosikan DAP seperti mempromosikan kemungkaran fahaman perjuangan mereka.’

‘Amat jelas sekali dan tanpa ragu bahawa ahli politik DAP turut agih zakat demi mempromosikan parti mereka kepada orang Islam yang majoritinya masih belum menerima perjuangan batil mereka.’

(Rujukan: https://www.1media.my/2019/05/isu-agihan-zakat-usah-jual-agama-untuk.html )

Kritikan Ketua Penerangan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Negeri Pulau Pinang, Azdy Mohd Arshad

‘Sebagai sebuah institusi yang diamanahkan untuk menguruskan kutipan dan agihan zakat di Negeri Pulau Pinang, tindakan Zakat Pulau Pinang memberikan agihan sumbangan zakat kepada ADUN dan Ahli Parlimen di kalangan bukan-Islam adalah suatu bentuk pengkhianatan terhadap kepercayaan dan penghormatan tinggi yang diberikan oleh umat Islam negeri Pulau Pinang terhadap Zakat Pulau Pinang.’

‘Tindakan membenarkan ahli politik bukan-Islam mencampuri urusan pengagihan sumbangan zakat ini adalah suatu tindakan yang menghina Islam dan umat Islam. Ia seolah-olah menggambarkan bahawa pemberian zakat adalah sama sahaja seperti sumbangan menjelang perayaan sedangkan hakikatnya zakat adalah salah satu daripada Rukun Islam dan merupakan ibadah wajib yang patut kita laksanakan dengan teliti, ikhlas dan tawaduk.’

‘GPMS juga ingin mengingatkan Zakat Pulau Pinang agar tidak terus menjadi kuda tunggangan kepada parti dan ahli politik bukan-Islam dan tidak tunduk kepada tekanan atau desakan politik. Agihan sumbangan zakat oleh ahli politik bukan Islam harus dihentikan segera dan kita tidak mahu lagi insiden ini berulang lagi di tahun hadapan.’

‘Zakat dikutip oleh orang Islam daripada orang Islam sewajarnya disampaikan kepada orang Islam oleh orang Islam’.

(Rujukan: https://www.facebook.com/MelayuPulauPinang/posts/10156620774572408 )

Kritikan Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad

‘Tindakan wakil rakyat bukan-Islam mengagihkan pemberian zakat tidak menjadi satu kesalahan sekiranya mendapat kebenaran daripada pihak pengurusan zakat itu sendiri.’

‘Bagaimanapun, adalah ‘tidak manis’ bagi bukan Islam berbuat demikian kerana ia memberi gambaran seolah-olah tiada orang Islam layak menguruskan agihan zakat.’

‘Isu sekarang adalah membabitkan isu pengurusan, ia tidak melibatkan soal hukum. Tetapi lebih beradab dan lebih manis jika orang Islam sendiri yang menguruskan agihan zakat, bahkan amil-amil yang dilantik untuk mengutip zakat juga boleh mengagihkan zakat.’

(Rujukan: https://www.malaysiakini.com/news/478210 )

DR KAMARUL ZAMAN HAJI YUSOFF – HARAKAHDAILY 22/4/2021

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Lihat campur-tangan DAP dalam agihan zakat di Pulau Pinang. Apakah tidak ada tangan orang Islam yang layak/bersih menguruskan agihan urusan zakat di Pulalu Pinang?.’

Al-hamdulillah.. bongkar terus Dr Kamarul!

Menteri Besar PAS: Ujikaji mengulamakan profesional?

 

Menteri Besar PAS -Fairuz Hafiz Othman 

PAS pernah memiliki beberapa orang Menteri Besar (MB) di Kelantan, Kedah dan Terengganu. Saya menyaksikan dan mengikuti secara dekat kepimpinan MB PAS sejak 1990. Adapun pemerintahan Menteri Besar PAS di Kelantan era Ishak Lotfi dan Asri Muda tidak saya kenali.

Menteri Besar PAS bermula 1990 di Kelantan berada di era PAS mempopularkan Kepimpinan Ulamak. Bertepatan Kelantan dengan jolokan Serambi Makkah, Menteri Besar juga adalah seorang ulamak. Tuan Guru Nik Aziz (TGNA) adalah seorang ulamak malah dalam hierarki kepimpinan PAS beliau berada di hierarki paling dihormati sebagai Mursyidul Am PAS.

Di awal pelantikannya sebagai MB, serangan bertubi-tubi ditujukan kepada diri dan kepimpinannya. Dengan watak ulamak tradisi, penampilannya sangat cocok dengan Kelantan yang miliki banyak pondok. Ketika itu rakyat Malaysia malah sebahagian ahli PAS ‘berotak moden’ pun kurang yakin dengan ulamak sebagai MB ini. Mereka hormati ilmu agamanya tetapi sangsi dengan kepimpinan pentadbirannya.

Bagi yang mengikuti keadaan Kelantan sangat tahu kesukaran Almarhum TGNA memimpin berdepan dengan pelbagai kerenah dari rakan Angkatan Perpaduan Ummah – S46 dan urusan dengan istana yang begitu dekat dengan KuLi.

Gangguan dan serangan ini masuk dalam pemikiran hingga ada orang luar Kelantan yang membawa beras kerana percaya gagalnya Kelantan hingga makan pun susah. Suasana itu berlalu dan hilang sedikit demi sedikit setelah melihat perkembangan dan pembangunan Kelantan seiring negeri lain walaupun sekatan Kerajaan Pusat sangat kuat.

Setelah berpuluh tahun berlalu, mereka akui tiada bezanya pemerintahan ulamak dan negeri lain di sudut pembangunan namun satu perkara yang sangat berbeza adalah ketelusan dan integriti kepimpinan ulamak.

Tuan Guru menunjuk contoh kehidupan pimpinan selaku MB adalah sama. Beliau tidak berkenderaan atau berumah mewah setelah menjadi MB sebagaimana tradisi di negara kita dalam politik. Banyak perkara diajar oleh MB ulamak ini mengenai pemerintahan dan konsep serta integriti yang dimiliki.

Apabila PAS menang di Terengganu 1999, seorang lagi ulamak diangkat menjadi MB. Tuan Guru Hadi Abdul Hadi Awang adalah ulamak bertaraf dunia. Beliau tidak dilihat sebagai ulamak pondok namun penghayatan hidup kedua MB PAS ini sama. Mereka memilih kekal tinggal di rumah kampung sebelah masjid.

PAS sekali lagi menampilkan ulamak sebagai MB setelah menang di Kedah. Ustaz Azizan Razak adalah ulamak dan pensyarah di universiti. Ia dilihat lebih moden dengan gaya dan penampilan. Namun beliau juga memilih kekal di rumah kampung.

Paling utama ketiga-tiga ulamak ini mengekalkan integriti tinggi. Tiada satu kes rasuah dipalitkan oleh SPRM atau tuduhan dan cakap-cakap belakang pintu berkaitan rasuah. Ia bukan sahaja telus di mata SPRM tetapi juga rakyat dan musuh politik.

PAS mula miliki MB bukan ulamak apabila kerajaan campuran PR di Perak. Seorang profesional dilantik sebagai MB namun dengan kekangan ketat kerana penguasaan DAP dan akhirnya tersungkur selepas 11 bulan.

Sebelum kematian, Tuan Guru Nik Aziz mewariskan kepimpinan beliau kepada seorang ulamak yang juga tinggi sifat merendah dirinya, Dato Hj Ahmad Yaakob. Ramai yang tidak menjangka. Hampir semua melihat Husam sebagai pengganti. Dengan bayangan media sebagai anak didik almarhum, orang paling berpengaruh, bijak serta strategis parti dan kerajaan juga Exco Kanan, maka beliau adalah pilihan paling tepat. Husam tidak dipilih sebaliknya TGNA menyerahkan kepada seorang ulamak bekas guru agama.

Ramai yang tertanya-tanya mengapa tidak dipilih Husam, namun untuk buka mulut dengan TGNA mereka kaku. Ternyata pilihan TGNA sangat tepat. Ia mewarisi legasi kepimpinan TGNA dengan watak sangat sederhana mirip Almarhum TGNA.

Kini PAS miliki dua orang MB bukan-ulamak iaitu Terengganu dan Kedah. MB Terengganu adalah orang yang paling hampir dengan TGHH sebagai bekas Setpol manakala MB Kedah adalah bekas Setpol Ustaz Azizan.

Mampukah keduanya menampilkan kehidupan sederhana dua ulamak mentor mereka? Mampukah mereka mengekalkan integriti di dua negeri majoriti Melayu itu? Apakah mereka memilih cara hidup mentor mereka atau sebaliknya?

Kedua-dua MB ini umpama satu ujikaji kepimpinan bukan-ulamak dari PAS di negeri yang ramai ulamak. Walaupun telah berlangsung proses mengulamakkan profesional dan memprofesionalkan ulamak, ia mungkin menjadi penanda aras apakah PAS boleh mengekalkan kepimpinan bukan-ulamak dalam negeri dimenanginya khasnya 3 negeri tersebut.

Mungkin suasana itu berbeza dari negeri lain kerana komposisi kaum dan budaya yang berbeza. Namun bagi 3 negeri dominasi Melayu ini, ia satu keadaan baru bagi PAS. Kedua MB ini mungkin tidak mampu mencontohi gaya hidup mentor mereka sebagai ulamak yang memerintah namun mereka diharapkan mengekalkan integriti sebagai pemimpin PAS yang memegang amanah.

Jika percubaan ini gagal, maka usaha mengulamakkan profesional dalam PAS belum berjaya. Semoga kedua MB bukan-ulamak dari PAS ini boleh menjadi contoh kepimpinan PAS bersendikan Islam telah berjaya mengulamakan profesional dalam PAS kerana hakikatnya ulamak adalah seorang yang profesional.

FAIRUZ HAFIIZH OTHMAN
Setiausaha Politik
Pesuruhjaya PAS Perak – HARAKAHDAILY 21/4/2021

K'jaan perluas tanam kenaf secara integrasi di Perak.

 

KERAJAAN kini giat mempromosikan penanaman kenaf di seluruh negara dan Perak merupakan salah satu negeri yang berpotensi serta berminat untuk memperluaskan tanaman komoditi berkenaan.

Program penanaman kenaf di negeri ini adalah bertujuan untuk mempromosikan komoditi itu sebagai sumber ekonomi dan pendapatan baharu kepada penduduk setempat dengan memberikan tumpuan kepada kawasan yang berpotensi untuk dibangunkan.

Bagi tahun ini, Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) mensasarkan tanaman kenaf di Perak seluas 80 hektar. LKTN telah mengenal pasti dua kawasan yang berpotensi untuk dibangunkan sebagai projek perintis tanaman kenaf iaitu di Lambor, Perak Tengah dan Slim River, Muallim.

Usaha ini adalah antara komitmen Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali untuk mempopularkan kenaf sebagai komoditi masa hadapan apabila hari ini menyempurnakan Majlis Perasmian Penanaman Kenaf di Kg. Balun, Slim River diikuti Majlis Pelancaran Penuaian Kenaf di Kg. Lambor, Perak Tengah, Perak esok.

Projek perintis tanaman kenaf di Slim River, Muallim dilaksanakan dengan kerjasama Ahli Jawatankuasa Pengurusan Pondok Muallim melibatkan kawasan kelompok seluas 4 hektar. Potensi tanaman kenaf di sekitar kawasan projek perintis adalah seluas 20 hektar.

Sementara itu, Ladang Rakyat Kenaf Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) Lambor adalah projek perintis usahasama antara PPPNP dengan LKTN di tanah milik perbadanan itu seluas 563 hektar. Dianggarkan tanaman kenaf seluas 140 hektar dapat ditanam dalam satu-satu masa. 

Namun sasaran awal ialah penanaman di Lambor seluas 60 hektar secara berperingkat. Ia melibatkan 30 pekebun kecil dengan hasil keseluruhan projek adalah kira-kira sebanyak RM240,000 semusim. Sehingga 15 April 2021, seluas 5 hektar tanaman kenaf telah ditanam.

Konsep tanaman yang dijalankan adalah secara integrasi tanaman kelapa sawit dan kenaf. Kesesuaian umur pokok kelapa sawit adalah 2 tahun ke bawah. Nisbah keluasan tanaman kelapa sawit berbanding tanaman kenaf adalah 4:1. Pemilihan peserta bagi projek ini adalah dalam kalangan penduduk setempat bawah kategori penerima bantuan zakat (asnaf) Kerajaan Negeri Perak.

Kerjasama strategik antara LKTN dan PPPNP adalah untuk membangunkan industri kenaf di Perak di samping mempromosikan kenaf kepada masyarakat awam sebagai sumber ekonomi dan pendapatan boleh jana melalui industri kenaf. Pendekatan kerjasama ini juga merupakan salah satu strategi LKTN untuk memperkembangkan kawasan penanaman kenaf dan juga pembangunan industri hiliran kenaf ke seluruh Malaysia.

Menjadi harapan Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi supaya usaha memperluaskan tanaman kenaf ini sebagai sumber ekonomi dan pendapatan yang baharu kepada penduduk setempat berterusan dengan galakan dan sokongan oleh LKTN sebagai agensi yang bertanggungjawab ke atas pembangunan komoditi itu.

DATO’ DR MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi
Slim River, Perak
21 April 2021 – HARAKAHDAILY 21/4/2021

Wednesday, April 21, 2021

Artis!! jangan buat persembahan maksiat, lucah .. -Ust Asma Harun

 

HALAMAN HIBURAN

Pendakwah bebas terkenal, Ustazah Asma Harun sekali lagi menasihati secara terbuka kepada golongan artis dan selebriti agar lebih bertanggungjawab terhadap masyarakat.

Menerusi perkongsian terbaharu di Instagram, Asma menegur para artis supaya tidak menghidangkan persembahan berunsur maksiat, lucah atau yang boleh menjatuhkan maruah.

“Mohon duhai semua artis tanah air atas tiket apa pun sama ada pelakon, penyanyi, pelawak, pengacara dan lain-lain. Jadilah penghibur yang ada rasa tanggungjawab, tidak menyumbang kepada kerosakan yang sedia parah ini.
“Hentikan persembahan atau pertandingan berunsur maksiat, berunsur lucah dan menjatuhkan maruah.
“Diharapkan Kementerian Komunikasi dan Multimedia, pihak berwajib, Persatuan Seniman dan lain-lain turut boleh memainkan peranan dalam isu begini. Jika tidak dibendung dengan bersungguh, maka normalisasi akan berlaku,” katanya.

Asma membuat teguran tersebut kerana menurutnya dunia hiburan pada ketika ini seakan-akan menormalisasikan maksiat dalam sesuatu persembahan yang dilakukan golongan artis.

“Kemungkaran berlaku secara terangan, dibanggakan, dipromosikan dan diikuti. Bahayanya jika kita dah tak rasa apa-apa, scroll atau dilihat sahaja tanpa rasa.
“Dan apabila ada pihak yang membuat teguran, berlaku situasi pembelaan terhadap pelaku maksiat.
“Lama-lama pelaku semakin berkuasa, pencegah semakin lemah, takut, paling sedih jika berhenti. Kita kuat kerana Allah,” katanya.

Namun dia berharap agar ia tidak dilakukan dengan cara yang boleh melalaikan.

“Iya, kalian diperlukan dalam persada seni, memenuhi fitrah insani, namun bukan dengan cara begini.
“Kasihanilah diri sendiri, kita semua bakal mati, janganlah ditangguh lagi hajat untuk kembali,” ujarnya lagi.

Sebelum ini, Asma pernah melahirkan rasa terkejut apabila menonton video muzik lagu Ayda Jebat berjudul Parah yang dikatakan secara terang-terangan mempamerkan aksi lucah dan memalukan. – MG

“Bangga menjadi Top 10 Youtube?”- Ustazah Asma’ Harun Tegur Video Muzik Separuh Bogel Nyanyian Aida Jebat.

Sebaran : Sebelum ini telah ramai yang memberi kritikan terhadap video muzik terbaru Aida jebat yang berjudul Parah. Pakaian penari … Continue reading


“Bangga menjadi Top 10 Youtube?”- Ustazah Asma’ Harun Tegur Video Muzik Separuh Bogel Nyanyian Aida Jebat.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails