Friday, June 18, 2021

Isteri kayuh basikal cari rezeki keluarga

 

Oleh SARINA ISMAIL

KUALA KEDAH:
 Penderitaan keluarga pesakit kanser di Kampung Tengah, Kuala Kedah turut mendapat perhatian Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor.

Halim Bakar, 54 dahulunya mencari rezeki sebagai nelayan terpaksa akur dengan takdir Ilahi apabila disahkan mengidap kanser limfoma pada 29 Mac lalu.

Tanggungjawab menyara keluarga kini terletak di bahu isterinya Zurina Md Zin yang hanya bekerja mengambil upah membeli dan menghantar barangan untuk penduduk kampung.

“Pendapatan tak tentu, kadang-kadang bolehlah dapat upah RM10 sehari, kadang-kadang RM5,” katanya ketika ditemui.

Setiap hari Zurina gigih melaksanakan kerja rutinnya walau pun hanya berbasikal.

Tinggal bersama keluarga itu selain dua orang anaknya yang berumur lapan dan 11 tahun, ibu mertua Zurina, Fatimah Md Isa, 75, juga tinggal bersama mereka.

“Saya tidak pandai menunggang motosikal dan lesen pun tak ada,” kata Zurina.

Menteri Besar mengetahui kesukaran hidup keluarga berkenaan, apabila tersiarnya kesusahan hidup keluarga ini dalam sebuah akhbar baru-baru ini.

Hari ini beliau berkunjung ke rumah Zurina untuk melihat sendiri nasib yang menimpa keluarga malang itu.

Pendapatan Zurina sebagai pengambil upah membeli barangan keperluan jiran-jiran sememangnya tidak mencukupi untuk perbelanjaan harian dan membiayai kos rawatan suaminya.

“Setiap bulan saya memerlukan RM500 untuk membeli beg stoma suami saya. Setiap hari perlu ditukar. Suami juga perlu minum susu khas yang berharga antara RM85 hingga RM100 setin,” katanya.

Lantai tingkat atas rumah keluarga terbabit juga begitu usang, sudah reput.

“Insya-Allah, pejabat Menteri Besar akan menyediakan sedikit sumbangan untuk membaiki lantai dan dinding rumah ini,” kata Sanusi yang juga Adun Jeneri.

Beliau turut menyumbang wang tunai untuk rawatan suami dan perbelanjaan harian Zurina sekeluarga.

Sementara itu orang ramai yang ingin membantu keluarga terbabit boleh menyumbang melalui nombor akaun 0210841100003903 (BSN): Zurina Md Zain. – HARAKAHDAILY 17/6/2021

Mengaji al-Quran tajamkan fikiran jadi amalan pelajar cemerlang

 

Pelajar Sekolah Maahad Muhammadi Lelaki, Muhammad Amnan Hazimi Che Mat, gembira mendapat pelajar cemerlang yang memperoleh keputusan Mumtaz Sofi dalam peperiksaan STAM 2020 ketika ditemui di rumahnya di Kampung Padang Enggang di sini, hari ini. NSTP/Nik Abdullah Nik Omar

KOTA BHARU: Mengaji al-Quran dan solat hajat setiap hari menjadi amalan seorang pelajar cemerlang yang memperoleh keputusan Mumtaz Sofi dalam peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2020.

Pelajar dari Sekolah Maahad Muhammadi Lelaki, Muhammad Amnan Hazimi Che Mat, 19, memperoleh keputusan Mumtaz (cemerlang) bagi 10 mata pelajaran yang diambil.

Katanya, bagi menajamkan fikiran untuk menghafal pelajaran, dia mengamalkan baca al-Quran selepas solat Maghrib setiap hari.

"Bacaan al-Quran ini penting kerana saya perlu tajamkan fikiran memandangkan subjek STAM ini kesemuanya perlu menghafal.

"Jika fikiran tenang, proses menghafal juga akan jadi lebih senang dan mudah mengingati setiap subjek yang dipelajari.

"Selain itu, saya akan fokus dalam sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) serta bertanya kepada guru jika tidak memahami," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Padang Enggang di sini, hari ini.

Anak ketiga daripada lima beradik itu mengakui terkejut dengan keputusan itu dan bersyukur kerana dapat memberi yang terbaik kepada kedua-dua ibu bapanya.

Katanya, dia menghadiahkan keputusan itu kepada ayahnya, Che Mat Che Daud, 53, dan ibu, Malita Mohd Zain, 49, yang masing-masing bekerja sebagai Penolong Pegawai Tadbir di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) dan Juruteknologi Maklumat Kesihatan Awam Perol di Batu Lapan di sini.

"Alhamdulillah atas keputusan ini dan saya bercadang menyambung pelajaran dalam bidang perundangan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Sementara itu, Che Mat bersyukur atas pengorbanan dan usaha anaknya itu untuk mencapai cita-citanya.

"Sebagai bapa, saya dan isteri sentiasa memberi semangat kepada anak untuk meneruskan usaha, terutama dalam menelaah pelajaran kerana kami tahu belajar di musim pandemik COVID-19 ini sangat mencabar dan perlu kesabaran," katanya. (BH)

Thursday, June 17, 2021

Pelaburan RM8.5b bukti keyakinan terhadap M'sia

 

KUALA LUMPUR: Biro Ekonomi Armada Malaysia menyambut baik usaha dan kepercayaan syarikat Austria Technologie & Systemtechnic yang merupakan pengeluar utama dunia bagi produk high-end printed circuit boards (PCB) dan integrated circuit (IC) substrates.

Pengerusinya, Ahmad Sobree Abas berkata, dengan pelaburan bernilai RM8.5 bilion, ia bukan sesuatu yang biasa kerana ketika dunia menghadapi wabak Covid-19, syarikat AT&S begitu yakin untuk melabur di Malaysia.

“Sebagai sebuah syarikat gergasi dunia, kami yakin syarikat AT&S telah mengkaji keadaan ekonomi dunia khususnya Malaysia sebelum mereka melabur dengan jumlah yang sangat besar,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Ini, katanya menunjukan sesuatu yang baik apabila mereka memilih Malaysia sebagai destinasi pelaburan mereka.

Menurutnya, syarikat AT&S berminat untuk melabur ke Malaysia melalui skim PENJANA yang ditawarkan oleh kerajaan pada tahun ini yang dijangka bakal menyediakan 5,000 peluang pekerjaan.

Tambahnya, kerjaya di dalam dunia semiconductor  merupakan kerjaya yang dilihat sebagai unsung hero di mana tanpa mereka sudah tentu teknologi yang dicipta tidak dapat dilaksanakan dan diguna pakai.

“Kita semua sedia maklum, PCB dan IC ini merupakan komponen penting dalam dunia elektronik, ia ibarat sebuah ‘otak besi’ yang dicipta untuk menggerakkan semua sistem di dalam sesuatu tetapan,” ujarnya lagi.

Selain itu juga, katanya pelaburan yang dibawa itu merupakan pelaburan yang tepat pada masanya memandangkan industri pengeluaran IC dan PCB sedang berkurangan dan tidak mencukupi di pasaran antarabangsa.

Tambahnya, ini menunjukan Perdana Menteri dan Menteri Kanan MITI amat peka dan berpandangan luas mengenai isu-isu pelaburan semasa.

“Terima kasih Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri di atas usaha berterusan untuk memastikan ekonomi Malaysia sentiasa berkembang di masa akan datang.

“Dengan adanya pelaburan ini, kami yakin akan ada lebih ramai lagi pelabur yang mahu menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan mereka kelak,” katanya.

Pelaburan terbesar dalam sejarah syarikat AT&S itu di negara ini adalah melibatkan pembangunan fasiliti perkilangan mereka yang pertama di Asia Tenggara, iaitu di Kulim High Technology Park (KHTP), Kedah. – HARAKAHDAILY 13/6/2021

Anak Kuantan harap tuah di China, Filem Cereka Terbaik.

 

Pengarah, Tan Chui Mui turut menggalas watak utama dalam filem Barbarian Invasion menembusi pencalonan kategori Filem Cereka Terbaik pada Festival Filem Antarabangsa Shanghai Ke-24 sejak Jumaat lalu.

HALAMAN HIBURAN

KUALA LUMPUR: Tiada yang lebih membanggakan apabila satu lagi naskhah anak tempatan, Barbarian Invasion arahan Tan Chui Mui, menembusi pencalonan kategori Filem Cereka Terbaik pada Festival Filem Antarabangsa Shanghai (SIFF) Ke-24 sejak Jumaat lalu.

Filem cereka ketiga garapan Chui Mui itu bersaing dengan 12 filem antarabangsa bagi merebut trofi utama, Golden Goblet Award.

Antara judul filem yang berentap adalah Amateurs, The Chanting Willows dan Manchurian Tiger. Pemenang trofi Golden Goblet Award dijangka diumumkan, Sabtu ini.

Filem yang turut menampilkan Chui Mui menggalas watak utama bersama Pete Teo, Bront Palarae, James Lee dan Zhiny Ooi itu, membuka tirai tayangan perdana SIFF24, selama dua hari iaitu Ahad lalu dan esok.

Lebih membanggakan, Chui Mui yang berasal dari Kuantan, Pahang, tidak menyangka tiket bagi menonton tayangan perdana Barbarian Invasion laris seperti pisang goreng panas.

"Saya terima mesej daripada teman, Huang Lu yang memberitahu tiket untuk dua sesi tayangan habis terjual.

"Disebabkan pandemik COVID-19, saya dan kumpulan produksi tidak boleh 'terbang' ke China untuk bertemu penonton. Apatah lagi, proses kemasukan ke negara itu sekarang ketat," katanya kepada BH Online.

Chui Mui menganggap pencalonan pada SIFF24 sebagai kebanggaan yang sukar diluahkan dengan kata-kata.

Memegang watak utama sebagai Moon Lee juga memberi cabaran dan keseronokan baharu buat dirinya.

"Ini suatu pengalaman baharu biarpun saya pernah berlakon dalam filem pendek dan cereka sebelum ini. Cuma, kali ini, mengarah dan berlakon, kali pertama dilakukan... Sangat mencabar.

"Saya sebenarnya suka mencabar diri, sejak kecil lagi," katanya.

Barbarian Invasion bukanlah percubaan pertama Chui Mui melakar nama dalam dunia perfileman dan festival antarabangsa.

Filem pertama arahannya, Love Conquers All yang dihasilkan pada 2006 pernah mencuri perhatian ramai.

Malah, filem pendek dihasilkan iaitu Everyday Everyday, Company Of Mushrooms dan A Tree In Tanjung Malim juga diiktiraf di beberapa festival filem antarabangsa.

Filem cereka ketiga, Barbarian Invasion garapan Tan Chui Mui turut bersaing dengan 12 filem antarabangsa bagi merebut trofi utama, Golden Goblet Award.

"Karya saya pernah menang dalam kategori New Currents Award dan Fipresci Prize pada Festival Filem Antarabangsa Busan Ke-11 pada 2006.

"Saya juga meraih VPRO Tiger Award pada Festival Filem Antarabangsa Rotterdam, Netherlands pada 2007.

"Sebenarnya, saya ada banyak projek filem yang belum dapat dilunaskan antaranya Imperial Exam dan All About Yuyu," katanya.

Chui Mui berkata, projek Barbarian Invasions diumumkan pada edisi ke-22 SIFF.

"Dua tahun selepas pengumumannya, filem ini ditayangkan pada edisi ke-24 festival ini. Saya anggap ini sebagai pengakhiran yang baik. Saya lebih memikirkan maklum balas penonton terhadap karya ini," katanya.

Tambah Chui Mui, filem berkenaan dibiayai atas inisiatif China's Heaven Pictures dan Hong Kong International Film Festival Society.

"Filem ini dibikin di bawah inisiatif digelar 'Back To Basic (B2B) : A Love Supreme'. Melalui projek ini, enam sutradara dari Asia termasuk saya dipelawa untuk berkarya.

"Filem Barbarian Invasion dihasilkan dengan bajet terbatas. Namun, ia bukan penghalang saya untuk berkarya," katanya.

Penggambaran filem Barbarian Invasion dilakukan selama dua bulan sejak Julai lalu di Kemaman, Terengganu dengan kos pembikinan RM643,000.

Ditanya bila filem aksi terbitan Da Huang Pictures itu akan ditayangkan di pawagam tempatan, penolong penerbit, Chua Jing Xuan belum dapat memberi jawapan pasti.

"Dengan situasi semasa pandemik COVID-19 dan operasi pawagam ditutup, sukar untuk saya beritahu bila Barbarian Invasion boleh ditonton rakyat Malaysia.

"Namun, saya berharap pandemik ini akan cepat pergi meninggalkan kita. Jadi, lagi cepat saya dan penerbit merancang tayangannya di Malaysia," katanya.

Barbarian Invasion disokong Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) di bawah program Dana Kandungan Digital (DKD).

SIFF24 menerima penyertaan 4,443 filem dari 113 negara di seluruh dunia. Kategori Golden Goblet Award dihakimi penggiat industri seni filem terkenal antarabangsa seperti Huang Jianxin, Anthony Chen, Marco Muller dan Natacha Devillers. (BH)

P.Pinang Lagi, Tuang pasiaq dalam periok nelayan.

 

Nelayan pertaruh nyawa, kerajaan negeri tuang pasir dalam periuk

Oleh SYAHIRAH SALLEH

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan projek tambakan laut di Selatan Pulau Pinang (PSR) umpama menabur pasir ke dalam periuk nasi nelayan sekitar.

Ini kerana, kawasan penambakan PSR merupakan kawasan nelayan pantai di Selatan Pulau Pinang mengaut hasil laut, kata Ketua Unit Nelayan Sungai Batu, Zakaria Ismail.

Menurutnya, para nelayan di sekitar mengunakan pukat hanyut untuk mengaut hasil laut

“Kalau projek itu berjalan, makna kata periuk nasi kami dimasuki pasir, yang dimasukkan oleh kerajaan negeri.

“Sebab kami nelayan pantai hanya meletakkan pukat kami di bahagian kawasan PSR ini.

“Jadi kalau kata, terjadi juga penambakan pulau ini, kami hendak pergi cari di mana lagi hasilnya?

“Kerajaan kata laut itu luas, memang betul. Tetapi punca rezekinya di mana? Kami punca rezeki kami, nelayan Pulau Pinang, di Selatan ini adalah kawasan emas. Di mana lubuk udang besar yang kita makan (berharga) RM50/kg sehingga RM60/kg.

“Kita tangkap di sini, dalam masa tiga hari, baru-baru ini sudah mencecah lebih RM2,000. Tuan bayangkanlah, kita dapat satu hari 15kg udang besar, darab dengan RM50. Sudah berapa?” soalnya.

Beliau berkata demikian dalam satu wawancara Dialektika TV, berjudul Prolog: PSR, Pi Mai Pi Mai yang turut menampilkan Jurucakap Penang Tolak Tambak, Khoo Salma Nasution dan Felo Kehormat Institusi Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS), Dr Hezri Adnan, semalam.

Mengulas lanjut, kata Zakaria, tawaran ex-gratia kerajaan negeri terhadap nelayan juga tidak berbaloi dengan jumlah kos yang perlu ditanggung nelayan untuk meneruskan aktiviti mereka selepas PSR mula dibangunkan.

Kata Zakaria, pampasan RM20,000 hanya kepada tekong bersama satu bot dan enjin dengan nilai RM50,000.

Sedangkan, nelayan-nelayan sekitar menggunakan sampan dengan enjin 115 horse power yang bernilai RM100,000.

“Pampasan ini memang tidak patut. Sebab kami punya pendapatan nelayan pantai di Pulau Pinang Selatan ini ada yang mencecah hingga RM100,000 setahun. Ini bukan olok-olok atau mainan.

“Saya sebagai Ketua Unit Nelayan, saya pantau semua ahli-ahli saya. Saya tahu pendapatan mereka banyak mana. Sampai RM100,000 pun ada.

“Tetapi, maklumlah, nelayan bukan bijak dalam ekonomi. Mereka beli sampan, enjin, pukat semuanya secara tunai.

“Tiada hutang, itu yang sebabkan kadang-kadang, nelayan ini nampak miskin. Tetapi bagi saya, nelayan ini dia mengorbankan diri dia untuk mendapatkan hasil laut untuk bagi kepada orang ramai.

“Khasnya penduduk Pulau Pinang yang dapat ikan segar, udang segar, ketam segar dan makanan laut lain.

“Cuba fikir, ini bukan masalah nelayan pantai sahaja, tetapi sebenarnya masalah penduduk Pulau Pinang, secara amnya. Kalau benda ini terjadi juga, saya tidak tahu bagaimana mereka akan fikirkan benda itu,” ujarnya.

Tambahnya lagi, kerajaan negeri sepatutnya mencari solusi untuk menjaga rantaian keselamatan makanan negara, namun mereka bertindak sebaliknya. – HARAKAHDAILY 15/6/2021

Cara berfikir seorang Cina normal..


Gerbang Pekan Cina di Mangga Dua JakartaIndonesia.

Catatan Perjalanan Ibnu Hasyim

Indokini: Menuju Cina Town Di Riau

PAGI ini, saya masih di Bagansiapiapi. Di sebuah kedai nasi Padang, terkenal mestinya kedai orang Islam, tidak perlu ragu-ragu lagi. Di dinding kedai itu ada dipamerkan seni khat ayat-ayat Qur'an dan dua gambar besar.

Satu gambar lukisan pekan Bagansiapiapi kelihatan dari atas tahun 1947 seperti yang tercatat di bawahnya, terletak di muara Sungai Rokan yang kini menjadi kota Kabupaten Rokan Hilir.

"Tetapi waktu itu masih belum jadi daratan, cuma kuala sungai yang dipenuhi lumpur." kata tuan punya atau penjaga kedai itu. "Hanya gambar inilah jadi kenangan, sekarang tiada lagi.. Ilustrasi dari pelukis tempatan."

Satu lagi tercatat gambar lukisan sungai garam di Bagansiapiapi pada tahun 1972, "Ini, di sebelah kedai ini!" katanya sambil menunjukkan sebuah lorong tar, tempat saya lalui tadi. "Dulu dipenuhi garam.."

Menurut beberapa informasi, nama Bagansiapiapi berasal dari gabungan kata “Bagan” dan kata “Api-api”. 

Frase pertama berarti “tempat menyimpan dan menjemur ikan”. Frase kedua merupakan kosa kata daerah-daerah Bagansiapi-api yang artinya “kunang-kunang”. Nama untuk binatang kecil yang berterbangan pada malam hari, dan di sayapnya terdapat cahaya berkerlipan sehingga terlihat seperti percikan-percikan api.

Menurut Astrie Andriyani, mengisahkan asal-muasal penggunaan kata “Bagansiapi-api” sebagai nama daerah ini, kerana bila malam tiba, di tempat-tempat “penyimpanan dan penjemuran ikan” milik masyarakat pribumi di daerah ini dikerumuni kunang-kunang atau kelip-kelip.

Menurutnya lagi, masyarakat China di Bagansiapi-api biasa menyebut Bagan dengan “Bangliau” (Wang Liao) yang artinya “Jaring Kosong”. Banyak orang dari daerah lain di sekitar Bagansiapi-api menyebut daerah itu sebagai tempat “Bagan” dan tempat “Siapi-api”, yang belakangan menjadi satu frase tersendiri, “Bagansiapi-api”. (Lihat, Andriyani, 2001:19-20).

Petangnya, saya berada di sebuah kedai makan Cina. Saya cuma minum air kelapa sahaja. "Bapak orang Cina?" tanya seorang perempuan Cina sebaya saya, mungkin taukeh kedai itu.

"Ya. Kira-kira begitu. Memang asal-usul saya dari sebuah negara yang berjiran dengan negeri China!",jawab saya. (Lihat asal-usul keturunan saya: Mencari Masjid Di Bandar Ha Noi & Imbauan 2: Sebelum adanya Harakah.. )

Orang Cina di Indonesia, bahasa dan percakapan agak sukar dibezakan dengan bahasa bangsa keturunan pribumi. Hampir sama, kerana pemerintah Indonesia dari dulu tetap mempertahankan kedaulatan penggunaan bahasa Indonesia di kalangan semua rakyatnya. Walaupun Bagansiapiapi mendapat julukan 'Cina Town' di Riau, namun bahasa perantaraannya tetap bahasa Indonesia.

Bagansiapi-api..

Pekan Baru Indonesia..

Kuala Lumpur.

Pulau Pinang.

"Tapi.. bapak orang Islam?"'

"Ya. Kan di negeri China sendiri ramai orang Islam, kira-kira 70 juta lebih. Melebihi dari seluruh penduduk Malaysia yang berbagai kaum itu? Saya sendiri pernah ke China di Kumning di daerah yang ramai orang Islam.. Bahkan orang Islam di sana menguasai ekonomi di daerah sana di China, seperti orang China di sini menguasai ekonomi daerah sini, di Indonesia." Saya berterus terang.

Dia kelihatan terpegun dan tergamam, mungkin pengetahuan itu masih belum sampai kepadanya. Lama juga dia termenung. Lalu katanya serius..

"Aku lahir di Indonesia. Indonesia negeri aku. Tapi aku masih dianggap bangsa bangsat atau kaum pendatang! Dari kecil aku dilatih melihat bangsa pribumi dengan jijik, pengotor, pemalas dan bangsa China mesti kedepan mendahului mereka.. Dan menguasai kekuasaan melalui ekonomi, kalau tidak mahu kita akan dihambat atau dibunuh di sini sebagai kaum minoriti. Kalau pulang ke negeri Cina pun kita tidak akan diterima sebagai rakyatnya lagi. Kini kita samada mati lari atau mati bertarung.. (bukan semestinya bertarung dengan pemberontakan bersenjata.)"
Kelenteng In Hok Kiong di tengah kota Bagansiapiapi

Bekas peninggalan Bangunan Kapitan Bagansiapiapi

Upacara bakar tongkang Bagansiapi-api.



Menurut maklumat, Bagansiapiapi memang dibuka pertama kali oleh nenek moyang orang Tionghoa atau orang Cina. Namun mereka tidak datang langsung dari Fujian, melainkan dari satu wilayah di Thailand. Ketika itu, mereka terpaksa atau dipaksa mengungsi atau berhijrah, kerana ada masalah dengan penduduk lokal di sana. Akhirnya mereka berangkat ke arah selatan dengan menggunakan beberapa boat, ada yang mengatakan tiga buah.. Salah satu boat itu tenggelam dan hanya bakinya yang berhasil sampai di Bagansiapi-api.

Menurut laporan perjalanan rombongan pendamai tentang 'peristiwa kerusuhan di Bagansiapi-api' yang ditulis oleh Mokhtar, Bagansiapi-api pada tahun 1945 berpenduduk kurang lebih 30,000 jiwa, 80% keturunan China. Pada zaman penjajahan Belanda sebelum tahun 1942, di kota ini tumbuh organisasi-organisasi rakyat Indonesia seperti Syarikat Islam dan Muhammadiyah. Sedangkan pada pihak China ada pula mempunyai organisasi sosial dan ekonomi yang mendapat tunjangan dari pemerintah Hindia Belanda (Lihat, Mahyudin, 2005).

Ada maklumat menyebutkan, berdasarkan pencatatan di empat kelurahan tersebut pada 2006 menyebutkan, penduduk beragama Islam menempati prosentase terbesar di semua kelurahan di Bagansiapi-api dengan rincian sebagaimana berikut:

Bagan Hulu sebanyak 9,712 orang atau 92%. Bagan Timur sebanyak 6,053 orang atau 80%. Bagan Barat sebanyak 8,568 orang atau 63%, dan Bagan Kota sebanyak 3.448 orang atau 57% dari populasi penduduk di kelurahan bersangkutan.

Prosentase populasi pemeluk agama Budha terbanyak ditemukan di Kelurahan Bagan Kota, ialah 2.427 atau 40%. Bagan Barat, yakni sebesar 3.915 orang atau 29%. Bagan Timur 938 orang atau sebanyak 12%, dan 112 orang atau 1% masyarakat Bagan Hulu yang mengaku beragama Budha.

Demikian pula pemeluk Kristen Katolik dan Protestan. Bagan Barat, 852 orang atau 6%, Kristen Protestan Bagan Hulu 372 orang atau 3%. Pemeluk Hindu paling sedikit, bahkan di Kelurahan Bagan Kota dan Bagan Hulu tidak ditemukan seorang pun yang mengaku beragama Hindu.

Yang menarik, meskipun etnik Tionghoa di Bagansiapi-api mencapai sekitar 40% dari total populasi, tidak seorang pun yang dicatat Badan Pusat Statistik (BPS) Kabupaten Rokan Hilir sebagai pemeluk selain lima agama resmi negara. Hal ini cukup mengejutkan, setidaknya apabila dibandingkan temuan Andriyani yang mengungkapkan bahawa masyarakat Cina di Bagansiapi-api umumnya menganut Tridarma.

Agama Tridarma agama dengan tiga aliran iaitu Budhisme, Konghucuisme dan Daoisme. Lebih lanjut Andriyani menyatakan,.. 

'orang-orang Cina di wilayah perkotaan Bagansiapi-api dalam menjalankan ajaran agama Tridarma berkonsep pada ajaran ketuhanan Budha, berkonsep pada Konghucuisme sebagai filsafat dan Daoisme dalam melaksanakan upacara keagamaan mereka. Orang Cina di Bagansiapi-api yang menganut agama Budha murni memang ditemukan, meski jumlah mereka sedikit dan tidak sebesar pencatatan yang dilakukan negara.'

Akhirnya, dengan nada lembut wanita Cina didepan saya ini berkata lagi, "Tetapi sekarang, pemikiran aku sudah berubah. Mungkin kerana zaman pun sudah berubah. Rasa benci pada kaum pribumi sudah tiada lagi. Itulah yang sedang aku ajarkan kepada generasi aku. Apalah yang ada pada bangsa dan warna kulit. Berpenganglah kepada pendirian, pegangan dan agama masing-masing. Tuhan jadikan kita berbangsa-bangsa bukan untuk gaduh dan bermusuh, tetapi untuk kenal-kenal dan bersatu... ke arah kebaikan."

Nampaknya sama dengan pemikiran dalam Al-Quran Surah Al Hujarat ayat 13; yang mahfumnya,.. 

“Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang lelaki seorang perempuan, dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenali. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal”

Hal ini membuktikan pemikiran dalam Al-Quran boleh menyatukan manusia di dunia, walaupun mereka masih belum berikrar 'Tiada tuhan melainkan ALLAH! Ertinya boleh berfikir secara Islam, walaupun masih belum Islam. Walaupun masih dalam zon Cina Town..

Di bagan kelip-kelip ini, mengingatkan saya kepada sebahagaian dari lagu Melayu berbunyi..

Kelip kelip ku sangkakan api
Sinar mentari membawa cahaya
Kau hilang ghaib sangkaku kau benci
Kiranya sengaja nak menduga.

Kalau 'Kau' itu dimaksudkan dengan 'ALLAH', maka Allah yang hilang dari jangkauan pemikiran manusia, bukanlah tanda Dia benci kepada makhlukNya, tetapi itu hanya cubaan sahaja, supaya ada pencetus yang menyedarnya kembali kepada Ke EsaanNya. Insya Allah. Sekian..






Ibnu Hasyim Catatan Perjalanan Riau 5.
alamat e-mail: ibnuhasyim@gmail.com 
Cina Town, Riau.
Jun 18, 10.




Daripada tulisan di atas (Jun 18 2010) terdapat 4 komen. Saya simpulkan, 'Apakah 4 perkara itu boleh dimasukkan dalam cara berfikir rakyat Cina Indoneia yang normal?

4 comments:

ahmed said...

Kalau 'Kau' itu dimaksudkan dengan 'ALLAH', maka Allah yang hilang dari jangkauan pemikiran manusia, bukanlah tanda Dia benci kepada makhlukNya, tetapi itu hanya cubaan sahaja, supaya ada pencetus yang menyedarnya kembali kepada Ke EsaanNya. Insya Allah. Sekian..

ali said...

Hal ini membuktikan pemikiran dalam Al-Quran boleh menyatukan manusia di dunia, walaupun mereka masih belum berikrar 'Tiada tuhan melainkan ALLAH!.Ertinya boleh berfikir secara Islam, walaupun masih belum Islam. Walauipun masih dalam zon Cina Town..

zaid said...

Akhirnya, dengan nada lembut wanita Cina didepan saya ini berkata lagi, "Tetapi sekarang, pemikiran aku sudah berubah. Mungkin kerana zaman pun sudah berubah. Rasa benci pada kaum pribumi sudah tiada lagi. Itulah yang sedang aku ajarkan kepada generasi aku. Apalah yang ada pada bangsa dan warna kulit. Berpenganglah kepada pendirian, pegangan dan agama masing-masing. Tuhan jadikan kita berbangsa-bangsa bukan untuk gaduh dan bermusuh, tetapi untuk kenal-kenal dan bersatu... ke arah kebaikan."

PIN PIN said...

Semua agama niatnya adalah mengajarkan kebenaran dan kebaikan, tidak ada satupun agama di dunia ini yang mengajarkan umatnya untuk berbuat jahat.
Semua tergantung kepada si pemeluk agama dalam menjalankan agamanya masing-masing, tetapi bukan berarti kalau si pemeluk agama berbuat jahat, maka agamanya ikut jahat.
Contohnya : dalam satu keluarga, anak2 yang dilahirkan dari orang tua yang sama, dari lingkungan yang sama, bisa kita lihat bagaimana di masyarakat banyak anak-anak dari keluarga yang , tetapi sangat bertolak belakang tingkah lakunya. Ada yang sangat baik, tetapi ada juga sangat jahat.
Begitu juga halnya dalam agama. Salam kompak.

Agong zahir pandangan sidang Parlimen secepat mungkin

 

Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Mustafa Billah Shah menzahirkan pandangan supaya persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin.

“Setelah memperhalusi semua pandangan para pemimpin parti politik, Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 dan sembah taklimat para pakar dari agensi-agensi Kerajaan maka Seri Paduka Baginda menzahirkan pandangan bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin.

“Ini untuk membolehkan Ordinan-ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dibahaskan oleh Ahli-ahli Dewan Rakyat,” kata Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, Seri Paduka Baginda turut menzahirkan harapan agar angka jangkitan wabak Covid-19 dapat dilandaikan dengan segera dan berpandangan vaksinasi merupakan satu-satunya exit strategy bagi mengawal penularan wabak Covid-19 di negara ini.

Sehubungan dengan itu, ujar beliau Seri Paduka Baginda turut menzahirkan pandangan bahawa kerajaan perlu bertindak tegas memudahkan birokrasi dan mempercepatkan proses vaksinasi kepada rakyat agar matlamat imuniti kelompok 80 peratus (herd immunity) dapat dicapai seawal mungkin

“Seri Paduka Baginda turut menzahirkan pandangan bahawa perlu adanya pentadbiran kerajaan yang stabil dan kukuh serta berupaya berfungsi dengan efektif dalam menangani wabak Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara,” katanya.

Tambahnya, Seri Paduka Baginda amat menyedari tentang peranan Parlimen sebagai satu platform penting untuk wakil-wakil rakyat bersidang bagi membincangkan pelbagai isu khususnya berkaitan penularan wabak Covid-19.

“Ahli-ahli Dewan Rakyat boleh berbincang berkenaan peruntukan perbelanjaan Kerajaan bagi membantu rakyat yang di dalam kesempitan dan bagi memulihkan semula ekonomi negara.

“Seri Paduka Baginda mengambil kesempatan ini menzahirkan setinggi penghargaan atas sokongan berterusan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu yang juga mencerminkan keprihatinan tinggi Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu terhadap kemaslahatan negara dan kelangsungan hidup rakyat,” ujarnya lagi.

Beliau berkata, Seri Paduka Baginda turut menzahirkan setinggi penghargaan kepada para petugas barisan hadapan dan seluruh rakyat yang bertungkus lumus mengorbankan masa serta penat lelah dalam usaha-usaha memerangi penularan wabak Covid-19 di negara ini.

“Seri Paduka Baginda turut mengambil kesempatan ini mengajak rakyat untuk bersama mendoakan agar rakyat Malaysia dan negara sentiasa berada di bawah lindungan Allah SWT, dijauhi dari sebarang musibah dan wabak Covid-19 dapat dibendung serta diakhiri dengan segera,” katanya. – HARAKAHDAILY 16/6/2021

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails