Friday, July 30, 2021

Ahli Parlimen UMNO diminta jarakkan diri daripada terheret

 

Perlembagaan UMNO menzahirkan ketaatan dan mempertahan institusi Raja-raja Melayu. Gambar Istana Negara. - Foto NSTP/MOHD YUSNI ARIFFIN

KUALA LUMPUR: Semua Ahli Parlimen UMNO mesti menjarakkan diri daripada terheret dalam krisis di antara kerajaan Perikatan Nasional dengan Istana Negara atau Raja-raja Melayu.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata 38 Ahli Parlimen daripada parti berkenaan tidak boleh berada dalam kedudukan dan pendirian yang boleh ditafsirkan sebagai menyanggah teguran Istana Negara.

Katanya, hal itu kerana perlembagaan UMNO tersemat ikrar untuk menzahirkan ketaatan dan mempertahan institusi Raja-raja Melayu.

"Saya menggesa kebijaksaan dan hikmah semua Ahli Parlimen UMNO untuk melakukan perkara yang benar dan selari pendirian parti," katanya hari ini.

Mohamad menggesa kebijaksaan semua Ahli Parlimen UMNO untuk melakukan perkara yang benar dan selari pendirian parti. - Gambar UMNO ONLINE

Semalam, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah menzahirkan rasa amat dukacita dengan pengumuman kerajaan berkenaan pembatalan semua Ordinan Darurat kerana baginda belum memperkenan pembatalan.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin, dipetik berkata, baginda turut menzahirkan rasa amat dukacita kerana yang diperkenan dan dititahkan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan Takiyuddin Hassan dan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun membabitkan cadangan pembatalan semua Ordinan Darurat dibentang dan dibahaskan di Parlimen bagi tujuan diungkaikan, tidak dilaksanakan.

Bagaimanapun, Pejabat Perdana Menteri mendakwa, semua tindakan yang dilaksanakan kerajaan membabitkan pembatalan Ordinan Darurat dan pelaksanaan sidang khas Dewan Rakyat, teratur dan selaras dengan peruntukan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan.

Pejabat Perdana Menteri memaklumkan, kerajaan sudah menyembah maklum nasihat Jemaah Menteri sebanyak dua kali kepada Yang di-Pertuan Agong supaya semua Ordinan Darurat dibatalkan, dan memohon limpah perkenan Seri Paduka Baginda mengenainya.

Mohamad berkata, jawapan balas kerajaan terhadap kenyataan Istana Negara, semalam mengusutkan lagi keadaan, selain menyebabkan Malaysia terjerumus dalam krisis Perlembagaan yang serius.

"Sikap kerajaan jelas angkuh dan tiada kesusilaan terhadap Seri Paduka. Justeru, pendirian rasmi UMNO sudah dinyatakan Presiden (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) kelmarin.

"Semua ahli dan pendokong setia parti, walau apa pun kedudukan, jawatan dan pangkat mereka di dalam dan di luar kerajaan, wajib akur serta patuh terhadap pendirian itu.

"Pendirian rasmi UMNO ialah keputusan kolektif parti. Ia selari suara akar umbi di Perhimpunan Agung UMNO, dan diperhalusi serta diabsahkan dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi 7 Julai lalu.

"Susulan pencerahan Istana Negara semalam, bertambah kukuh lagi kebenaran pendirian parti. Kerajaan jelas membelakangkan institusi diraja, melakukan tindakan tidak berperlembagaan dan tidak berlaku benar di Parlimen yang mulia," katanya.

Mohamad berkata, Ahli Parlimen UMNO dan anggota parti untuk selalu bermuhasabah, sentiasa sedar dan arif mengenai asal usul mereka.

Beliau mengingatkan mereka supaya tidak menjadi seperti kata pepatah, 'diberi berkuku, hendak mencengkam'.

Datuk Seri Najib Razak juga menggesa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatan. - Gambar UMNO ONLINE

Zaleha Hamid &Mat Sentol dapat bantuan..

 

Mat Sentol yang tidak lagi keluar rumah sejak peningkatan kes COVID-19, beramah mesra dengan Hasni. - Foto Ihsan Pejabat Menteri Besar Johor

Hasni melawat Zaleha yang kini sudah berpindah ke kediaman baharu di PPR Uda Utama, Taman Uda Utama, Johor Bahru, sejak Februari lalu. - Foto Ihsan Pejabat Menteri Besar Johor.

KUALA LUMPUR: Belum berupaya bangkit dan masih lemah, sesekali penyanyi veteran, Zaleha Hamid, 65, mengadu lenguh dan sakit badan.

Sekian lama terbaring, Zaleha yang diserang angin ahmar selepas terjatuh dalam bilik di rumahnya di Johor Bahru lebih setahun lalu, bergantung harap kepada suami, Ungku Sulaiman Ungku Aziz, 56, untuk menguruskan keperluan diri.

Ungku Sulaiman yang terpaksa berhenti kerja sebagai pengawal keselamatan bagi menjaga Zaleha kerap menyapu minyak urut dan menggerakkan anggota tubuh isterinya agar segar dan bertenaga.

"Alhamdulillah, isteri sihat. Bagaimanapun, keadaannya masih lemah disebabkan strok. Isteri saya belum boleh bangun dan hanya terbaring.

"Disebabkan itu, dia mengadu lenguh dan sakit badan. Jadi, saya kerap menyapu minyak pada badannya selain melakukan sedikit senaman," katanya berkongsi perkembangan terbaru kesihatan isterinya kepada BH Online.

Pada era 1980-an, Zaleha cukup dikenali sebagai penyanyi dangdut dengan himpunan lagu hit seperti Jangan Kau Tangiskan, Dangdut Reggae, Kerana Pengalaman dan Pria Idaman.

Berbanding hari ini, kesihatan Zaleha atau nama sebenar, Siti Zaleha Abdul Hamid lebih baik. Tahun lalu, Zaleha dilaporkan terlantar dan hanya mampu mengerdipkan mata sebagai tanda isyarat.

Ungku Sulaiman berkata, dia dan isteri sudah berpindah ke rumah baharu di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Uda Utama, Taman Uda Utama, Johor Bahru, Februari lalu.

"Alhamdulillah, selepas tiga kali membuat permohonan sejak 2012, akhirnya kami dapat unit PPR, ringanlah tanggungan saya.

"Kalau hendak dibandingkan, kadar sewa rumah lama RM700. Alhamdulillah, kami selesa di sini dan jiran semuanya baik. Ada yang datang menziarah isteri dan beri sumbangan, makanan semua cukup, tiada yang kurang," katanya.

Ungku Sulaiman terharu masalah kesihatan Zaleha mendapat perhatian Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad yang bertandang ke rumah mereka bagi menyerahkan sumbangan wang tunai RM500 menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) Ihsan Johor 3.0, baru-baru ini.

"Pejabat Menteri Besar menghubungi saya beritahu mahu menjenguk isteri. Mereka datang ke rumah, Ahad lalu.

"Saya terharu kerana masih ramai yang mengambil berat dan mahu tahu keadaan isteri saya. Bukan sahaja Menteri Besar, peminat isteri juga menghulurkan sumbangan dan barang dapur," katanya.

Hasni (duduk) bertanya khabar Zaleha yang masih lemah dan belum berupaya untuk bangun ketika berkunjung ke kediaman penyanyi itu di Johor Bahru, Ahad lalu. - Foto Ihsan Pejabat Menteri Besar Johor

Sementara itu, pelakon veteran, Mat Sentol turut menerima bantuan kerajaan negeri yang disampaikan sendiri Hasni di kediamannya.

Roslee Rashid, 59, iaitu anak Mat Sentol atau nama sebenar, Abd Rashid Yahaya, 88, memberitahu, bantuan kewangan itu sedikit sebanyak melegakan keluarganya yang turut menerima impak penularan COVID-19.

"Terima kasih atas bantuan ini, Alhamdulillah, ini rezeki kami," katanya.

Berkongsi perkembangan Mat Sentol, Roslee berkata, ayahnya hanya duduk di rumah berikutan penularan COVID-19 yang semakin meningkat.

"Saya harap orang ramai faham apabila saya terpaksa mengehadkan kehadiran tetamu demi kepentingan bapa kerana risau dengan penularan jangkitan COVID-19 sekarang.

"Saya cukup berjaga-jaga dalam soal ini. Selepas kunjungan Menteri Besar tempoh hari, saya selalu memeriksa kesihatan bapa saya. Alhamdulillah, tiada selsema dan sebagainya.

"Saya juga tidak mahu mengganggu bapa berehat. Orang sudah berusia, biasalah, ada masa letih dia rehat dan tidur," katanya.

Sementara itu, seorang lagi penerima sumbangan adalah penggiat seni silat dan teater Johor, Othman Jupri, 72.

Othman berkata, COVID-19 menyebabkan beliau hilang pendapatan kerana tidak boleh mengajar silat dan teater.

Bagi menampung hidup, Othman bergantung kepada wang yang dikirim dua anaknya yang bekerja di Singapura.

"Memang rindu dengan anak. Demi mencari rezeki, sudah dua tahun mereka tidak boleh balik ke Johor," katanya.

Kerajaan Johor menyediakan dana RM500,000 untuk diagihkan kepada 11 badan gabungan yang berdaftar di bawah Majlis Kebudayaan Negeri Johor dan Majlis Kebudayaan Daerah.

Seramai 958 penggiat seni di Johor menerima RM500 setiap seorang. (BH)

Kempen Covid-19 untuk Pelarian Rohingya &Sinabung Indo.

 


1. Bangladesh Lancar Kempen Vaksinasi Covid-19 untuk Pelarian Rohingya

Bangladesh mengumumkan bahawa akan melancarkan kempen vaksinasi jenis baru coronavirus (Covid-19) untuk pelarian Rohingya.

Menteri Luar Bangladesh Masud Bin Momen dalam satu kenyataan mengatakan bahawa orang berusia 55 tahun ke atas akan diberi vaksin terutamanya di kem untuk pelarian Rohingya di Cox's Bazar.

Momen menyatakan bahawa pelarian Rohingya akan diberikan jenis vaksin yang sama dengan penduduk Bangladesh dan bahawa tidak akan ada diskriminasi antara penduduk tempatan dan pelarian.

Pentadbiran Bangladesh telah mencatatkan bahawa 50 ribu pelarian akan diberi vaksin setelah peningkatan jumlah kes. Di kem Cox's Bazar, setakat ini 27 orang kehilangan nyawa kerana tertangkap Covid-19.

Bangladesh, negara yang paling terjejas oleh krisis Rohingya (Arakan), menempatkan lebih daripada 1.2 juta pelarian Rohingya.


2. Gunung Sinabung Indonesia Meletus Lagi

Gunung Sinabung, yang terletak di wilayah Sumatera Utara Indonesia, menyemburkan abu ke langit.

Aktiviti di Gunung Berapi Sinabung berlaku pada hari Rabu.

Akibat letusan itu, yang dinyatakan berlangsung selama 12 minit, abu dan asap mencapai ketinggian 4.500 meter.

Armen Putra, pengarah agensi geologi tempatan, melaporkan bahawa abu dan asap kekal di langit untuk waktu yang lama.

(IH)

‘PAS Bersedia Memimpin Kerajaan’?? Nafi 3 Perkara ini..

 


1. PAS nafi, kononnya, ‘PAS Bersedia Memimpin Kerajaan’.

KUALA LUMPUR: Pejabat Presiden PAS menafikan kenyataan yang tular kononnya kenyataan Presiden PAS bertajuk ‘PAS Bersedia Memimpin Kerajaan’.

Dalam satu kenyataan ringkas, Pejabat Presiden PAS memaklumkan kenyataan yang sedang tular itu adalah palsu dan tidak berasas.

“Adalah dimaklumkan kenyataan yang sedang tular ini adalah palsu dan tidak berasas.

“Kenyataan rasmi PAS telah dikeluarkan oleh YB Dato’ Sri Timbalan Presiden PAS,” ujar kenyataan itu, petang ini. – HARAKAHDAILY 29/7/2021

2. Kenyataan media Pejabat Perdana Menteri

MERUJUK kepada kenyataan yang dikeluarkan oleh Istana Negara hari ini, Kerajaan ingin menjunjung kasih di atas titah penghargaan yang dizahirkan oleh KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong kepada Kerajaan kerana telah melaksanakan Mesyuarat Khas Parlimen yang bermula pada 26 Julai 2021.

Kerajaan sentiasa menjunjung titah pandangan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu sepertimana yang dizahirkan susulan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu pada 16 Jun 2021 yang antara lain menekankan bahawa darurat tidak perlu disambung selepas 1 Ogos 2021 dan perlunya Parlimen bersidang secepat mungkin.

Berdasarkan titah pandangan ini, Kerajaan telah memutuskan untuk mengadakan Mesyuarat Khas Parlimen bermula 26 Julai 2021. Sebagai persediaan Mesyuarat Khas Parlimen ini, Jemaah Menteri pada 21 Julai 2021 telah mengadakan perbincangan yang teliti dan mengambil ketetapan-ketetapan seperti berikut:

Pertama, Mesyuarat Khas Parlimen diadakan setelah mendapat perkenan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong;

Kedua, Jemaah Menteri tidak akan menasihati KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk membuat Proklamasi Darurat baharu setelah darurat sedia ada tamat pada 1 Ogos 2021; dan

Ketiga, oleh kerana darurat tidak akan disambung, Jemaah Menteri memutuskan untuk menasihati KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di- Pertuan Agong untuk membatalkan semua ordinan darurat yang dimasyhurkan oleh Seri Paduka Baginda Tuanku sepanjang tempoh darurat berkuatkuasa.

Susulan ketetapan-ketetapan ini, Pejabat Perdana Menteri pada 22 Julai 2021 telah menerima deraf Ordinan Darurat (Pembatalan) 2021 yang disediakan oleh Jabatan Peguam Negara. Ordinan ini memperuntukkan semua ordinan darurat yang dimasyhurkan oleh KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dibatalkan berkuatkuasa pada 21 Julai 2021.

Pada 23 Julai 2021, Perdana Menteri telah mengutuskan warkah kepada KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk menyembah maklum nasihat Jemaah Menteri supaya ordinan-ordinan darurat berkenaan dibatalkan dan memohon limpah perkenan Seri Paduka Baginda Tuanku mengenainya.

Pejabat ini mengambil maklum sebagaimana yang dizahirkan di dalam kenyataan media Istana Negara hari ini, KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sedia maklum bahawa Seri Paduka Baginda Tuanku perlu menerima dan bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri seperti yang terkandung dalam Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan

3. Kenyataan media Ketua Whip Kerajaan

SAYA menjunjung akan titah KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di­-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah lbni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah, dalam kenyataan media yang dikeluarkan oleh lstana Negara pada hari ini.

Situasi politik negara pada hari ini dalam keadaan yang tidak stabil yang boleh menjejaskan usaha menyelesaikan masalah ekonomi dan memerangi pandemik Covid-19.

Saya ingin menegaskan bahawa Kerajaan masih mendapat sokongan melebihi 110 Ahli-Ahli Parlimen yang masih bersama-sama kerajaan pada hari ini.

Justeru, saya berharap rakyat bertenang di dalam menghadapi situasi terkini dan sama-sama kita berdoa agar kemelut politik ini berakhir dengan segera.

YAB DATO’ SRJ ISMAIL SABRI YAAKOB
KETUA WHIP KERAJAAN
29 Julai 2021 – HARAKAHDAILY 29/7/2021

Thursday, July 29, 2021

Kenyataan media Timbalan Presiden PAS

 

PAS tegas mendukung sistem Raja Berperlembagaan dalam kerangka keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.

PAS berdiri teguh bersama Perdana Menteri dalam mendukung semua keputusan yang telah diputuskan oleh Kabinet.

PAS menyeru semua pihak untuk kekal bersatu padu dan mengenepikan politiking dalam menguruskan negara ketika situasi pandemik Covid-19. Kestabilan politik serta perpaduan rakyat sangat diperlukan dalam menghadapi ancaman pandemik.

Terima kasih.

YB DATO’ SRI TUAN IBRAHIM TUAN MAN
Timbalan Presiden
Parti Islam Se-Malaysia (PAS)
Bertarikh 29hb Julai 2021 (Khamis) – HARAKAHDAILY 29/7/2021


Komen Weblog Ibnu Hasyim: Siapa dan Ke mana DAP sebenarnya?

-Perlembagaan DAP jelas menyebut dalam Perkara 2 matlamat-matlamat DAP ialah untuk “mengesahkan lagi dan memulihkan Perlembagaan Malaysia kepada rangka kerja sekular yang asal”.

-Sheikh Omar Ali, Pegawai Khas Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong, pada 8 September 2015 menulis: “Bagi DAP, urusan beragama adalah bersabit seorang hamba dengan Tuhannya”. Pegangan DAP yang membataskan urusan beragama kepada soal peribadi ini bercanggah dengan definisi Islam, iaitu satu cara hidup.

Kerana ini, DAP adalah parti sekular yang memisahkan politik dari agama, parti yang bercanggah dan antiIslam.

Lihat 15 perkara ini..

1. Mufti Pahang, Dr Abdul Rahman Osman, sewaktu mempertahankan kandungan khutbah Aidiladha yang dikeluarkan Jabatan Mufti Pahang menyebut mengenai campur tangan DAP terhadap hal ehwal Islam seperti pelaksanaan hudud di Kelantan. Malah, tokoh DAP, Karpal Singh, cukup terkenal dengan kata-katanya, “an Islamic state over my dead body”.

2. Perlembagaan DAP jelas menyebut dalam Perkara 2 matlamat-matlamat DAP ialah untuk “mengesahkan lagi dan memulihkan Perlembagaan Malaysia kepada rangka kerja sekular yang asal”.

3. Perkara 3(1) Perlembagaan Malaysia menyebut bahawa “Islam ialah agama bagi Persekutuan”. Namun, dalam Perlembagaan DAP pada Perkara 3 Matlamat-matlamat DAP hanya menyatakan “mengiktiraf kebebasan beragama sebagai hak asasi yang merangkumi kebebasan pelbagai agama”.

4. Sheikh Omar Ali, Pegawai Khas Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong, pada 8 September 2015 menulis: “Bagi DAP, urusan beragama adalah bersabit seorang hamba dengan Tuhannya”. Pegangan DAP yang membataskan urusan beragama kepada soal peribadi ini bercanggah dengan definisi Islam, iaitu satu cara hidup.

5. Penentangan DAP terhadap cadangan meminda Akta Mahkamah Syariah (RUU355) dengan pelbagai alasan. Sedangkan ia sekadar mahu meningkatkan kadar hukuman yang boleh dikenakan ke atas penganut Islam atas kesalahan syariah sahaja.

6. DAP juga memiliki rekod membentak dan ingkar kepada raja-raja Melayu. Antaranya mengenai isu pelantikan Menteri Besar Perak apabila Lim Kit Siang menyeru agar Adun DAP memboikot upacara mengangkat sumpah kerana tidak setuju perkenan Almarhum Sultan Azlan Shah yang melantik Adun PAS sebagai Menteri Besar pada 2008. DAP juga mengundang murka Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada 2014 apabila enggan mengemukakan lebih daripada dua nama untuk calon Menteri Besar Selangor susulan Langkah Kajang. Ini tidak termasuk banyaknya lagi celupar pro-DAP terhadap institusi Istana.

7. Lim Kit Siang menuduh khutbah Jumaat disediakan Jakim sebagai menyebarkan kebencian dan mencabar usaha ke arah keharmonian. Pengerusi Wanita DAP, Chong Eng, pula mengkritik khutbah Jumaat berkait kewajiban wanita Muslim menutup aurat. Timbalan Setiausaha Agung DAP, Dr P Ramasamy, pula pernah menggelar pendakwah Islam, Dr Zakir Naik sebagai ‘syaitan’.

8. Dalam isu laungan azan dan bacaan ayat al-Quran, Dr Tan Seng Giaw telah mempersoalkan di Dewan Rakyat pada 27 Sept 2005 keperluan melaungkan azan dan bacaan ayat al-Quran melalui pembesar suara yang dikatakan mengganggu penganut bukan Islam, terutama pada waktu Subuh. Antara disebut beliau, “bahkan juga 1,500 tahun yang lampau mana ada pembesar suara?”

9. Dalam isu solat hajat, Teresa Kok mempersoalkan dalam Facebook beliau pada 22 Julai 2016 kewajaran Exco Hal Ehwal Agama Selangor dari PAS, Dr Ahmad Yunus Hairi, mengarahkan agar semua masjid di seluruh negeri mengadakan solat hajat untuk memohon ke hadrat Allah agar konsert Selena Gomez di Stadium Melawati, Shah Alam pada 25 Julai dibatalkan.

10. Dalam isu umrah di Makkah, pemimpin DAP Melaka, Damian Yeo Shen Li, mempersoalkan sama ada dosa penganut Islam terhapus bila menjejakkan kaki ke Makkah. Sindiran sama juga telah disuarakan oleh pemimpin DAP Johor, Suppiah Ramakrishnan, dalam muka buku beliau pada Mac 2016 walaupun ia kemudiannya dipadamkan.

11. Dalam isu aurat, Nga Kor Ming menyindir purdah yang dipakai sebahagian wanita Islam sambil menyifatkan seorang pemimpin Umno Pulau Pinang, Ahmad Darus, yang mencadangkan dalam Perhimpunan Agung Umno 2015 supaya pramugari MAS memakai pakaian yang menutup aurat sebagai "pemimpin Melayu otak cacat".

12. Dalam isu murtad, Ngeh Koo Ham mengeluarkan kenyataan pada 7 Jun 2014, yang diikuti ucapan sama di Dewan Rakyat pada 11 Jun 2014, supaya umat Islam diberikan kebebasan untuk keluar dari Islam. Kata beliau, umat Islam mestilah menerima hakikat bahawa jika seseorang Islam atas kehendaknya sendiri mahu keluar dari Islam dia mestilah dibenarkan berbuat demikian.

13. Pemisahan DAP dari semua pakatan politik yang pernah disertainya, iaitu Gagasan Rakyat pada Jan 1995, Barisan Alternatif pada Sept 2001 dan Pakatan Rakyat pada Jun 2015 kesemuanya berpunca dari ketidaksetujuannya terhadap perjuangan Islam PAS.

14. Deklarasi Setapak DAP menyatakan, “kesamarataan etnik harus menjadi prinsip paling penting, dan di atas prinsip inilah pengasingan rakyat ke dalam dua kelompok bumiputera dan bukan bumiputera ditentang”.

15. Kuat menyuarakan supaya Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) diratifikasi.

Ini merupakan sebahagian daripada banyaknya lagi hujah dan fakta serta senarai panjang mengenai DAP dalam isu ini. 
(IH)

Nak beli kucing RM500, tetapi diperdaya RM30,500. Bagaimana?

 

Foto hiasan

Rugi RM30,500 diperdaya beli kucing Munchkin

SEREMBAN: Seorang suri rumah mendakwa kerugian RM30,050 gara-gara ingin membeli seekor kucing berharga RM500 menerusi media sosial, Isnin lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri Sembilan, Superintendan Aibee Abd Ghani, berkata wanita berusia 56 tahun dari Senawang itu berminat untuk membeli kucing jenis Munchkin yang diiklankan menerusi Facebook atas nama akaun 'Suhair Rahman' pada 26 Julai lalu.

"Selepas berbincang melalui Facebook Messenger dengan persetujuan harga sebanyak RM500, wanita itu memberikan butiran peribadi untuk diposkan kucing itu ke alamat rumahnya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Aibee berkata, pada hari sama wanita berkenaan membayar wang pendahuluan RM150 ke dalam akaun atas nama Leny Yohanis melalui pemindahan wang secara dalam talian.

Katanya, wanita itu berurusan dengan beberapa individu dan dia diminta membuat beberapa bayaran lagi sebagai wang jaminan ketika kucing itu berada di kastam dan selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, insurans pembelian haiwan, lesen pemilikan daripada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara serta upah menghantar kucing terbabit.

"Suspek memberitahu semua wang itu akan dipulangkan semula kepada wanita berkenaan jika proses selesai dilakukan. Justeru, mangsa memasukkan semua wang terbabit ke dalam 10 akaun berbeza," katanya.

Beliau berkata, wanita itu turut diugut jika tidak membuat pembayaran, kucing berkenaan akan dirampas dan wangnya tidak akan dikembalikan.

Aibee berkata, mangsa membuat laporan polis semalam selepas menyedari ditipu apabila nombor telefonnya disekat sehingga dia tidak dapat menghubungi individu berkenaan

"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebatan serta denda, jika sabit kesalahan," katanya. - BERNAMA

Rupnya, jenis bercakap tapi fikir kemudian.. lupa yang dicakap..

 

Hartal Doktor Kontrak: PH lagak tunjuk ‘hero’

KUALA LUMPUR: ‘Mengata dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih’, demikian perumpamaan yang sesuai bagi menggambarkan situasi blok pembangkang apabila membangkitkan isu kebajikan doktor kontrak di Sidang Parlimen baru-baru ini , kata Naib Presiden PAS, Senator Ustaz Idris Ahmad.

Menurutnya, persidangan Parlimen yang telah berlangsung beberapa hari bermula Isnin lalu jelas menunjukkan gelagat sebenar ahli-ahli Parlimen di Dewan Rakyat.

Ini apabila ahli Parlimen pembangkang sengaja menghangatkan isu Hartal Doktor Kontrak yang melibatkan puluhan pegawai perubatan kontrak di hospital di beberapa buah negeri terbabit dalam sebuah protes dengan bertindak berkumpul secara beramai-ramai dari fasiliti kesihatan tempat mereka bekerja pada Isnin lalu.

Katanya, Pakatan Harapan (PH) tiada legitimasi untuk menjadi ‘hero’ dengan mencanang kononnya memperjuangkan isu doktor kontrak, sedangkan mereka yang memasyhurkan dasar pengurangan penjawat awam ketika memerintah pada 2018.

“Sejak semalam lagi isu tersebut menjadi viral di media sosial yang memperlihatkan kononnya mereka nak membela nasib golongan tersebut.

“Tetapi rupa-rupanya pada zaman merekalah yang paling teruk sekali sehinggakan memberhentikan ramai pekerja sektor awam berstatus kontrak, selain menarik balik elaun kritikal pegawai perubatan.

“Semalam telah menyerlahkan rupa mereka yang sebenarnya, rupanya puak-puak ini jenis yang bercakap tapi fikir kemudian, mereka lupa apa yang dicakapkan, ujarnya ketika dihubungi HarakahDaily, hari ini.

Katanya, persidangan tersebut tidak menggambarkan kelancaran sebuah mesyuarat yang harmoni apabila berlaku pertikaman lidah antara ahli Parlimen Pembangkan dan Yang Di-Pertua Dewan.

Ini berikutan sikap biadap yang ditunjukkan blok pembangkang sehingga meninggikan suara kepada Speaker Dewan Rakyat, Dato’ Azhar Azizan Harun.

“Mereka bukannya ada idea-idea untuk nak diberikan sebagai satu penyelesaian kepada rakyat, sebaliknya ia adalah untuk agenda peribadi mereka.

“Mereka hanya memikirkan untuk menukar kerajaan dan mereka ingat dengan tukar kerajaan boleh menyelesaikan masalah.

“Kalau boleh mereka tolong cerminkan diri mereka dahulu, selama 22 bulan mereka memerintah dulu, apa yang mereka buat kepada rakyat.

“Hari ini mereka nak tunjuk hero bercakap tentang pengurusan Covid-19, nak kepakaran tetapi selama 22 bulan tu telah terbukti mereka gagal, begitu juga negeri yang mereka kuasai juga merupakan negeri yang berlaku banyak peningkatan kes Covid-19.

“Kita pun tak nampak cadangan-cadangan mereka berikan yang bersifat konstruktif untuk menangani masalah Covid-19 ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 29/7/2021

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails