Friday, February 25, 2022

Leissner mengaku curi puluhan juta dolar dana 1MDB

 

NEW YORK: Bekas jurubank Goldman Sachs, Tim Leissner, yang mengaku membantu menggelapkan berbilion dolar daripada dana 1MDB, memberi keterangan dia turut mencuri puluhan juta dolar daripada rakan jenayah dalam penipuan itu.

Leissner,52, yang juga saksi utama kerajaan dalam perbicaraan rasuah membabitkan bekas rakan sekerjanya, Roger Ng, memberi keterangan itu semalam di mahkamah di Brooklyn, New York.

Katanya, 'sebahagian besar' daripada AS$6.5 bilion (RM27.3 bilion) diperoleh melalui tiga perjanjian bon 1MDB yang dibuat bersama Ng digunakan untuk membayar sogokan dan rasuah kepada pegawai di Malaysia serta Abu Dhabi.

Namun, menurut Leissner, wang sogokan bernilai AS$60 juta (RM252 juta) yang disimpan untuk dirinya sendiri tidak mencukupi.

Apabila pembiaya dari Malaysia, yang juga dalang skandal itu, Jho Low, memintanya 'memegang' 145 juta Euro (AS$162 juta) dalam sebuah syarikat di Mauritius, beliau melihatnya sebagai satu peluang.

Disebabkan kebanyakan wangnya dilaburkan dalam aset tidak cair, Leissner memberitahu juri dia menyimpan AS$80 juta (RM336 juta) untuk dirinya sendiri selain turut meminjam AS$1.25 juta (RM 5.25 juta) daripada Ng.

Leissner berkata, penahanannya pada 2018 menghalang beliau membayar balik wang berkenaan kepada Ng.

"Saya mempunyai niat untuk membayarnya kembali dari masa ke semasa tetapi tidak mendapat peluang," katanya kepada juri.

Untuk rekod, Leissner mengaku bersalah pada 2018 kerana bersubahat untuk melanggar undang-undang anti-rasuah AS dan bersetuju untuk bekerjasama dengan harapan dijatuhkan hukuman yang lebih ringan.

Pada hari keempat semalam, beliau memberi keterangan dalam perbicaraan yang menyelidik kehidupan peribadinya termasuk bagaimana dia berbohong, mencuri dan menipu.

Leissner berkata dia menggunakan sebahagian wang yang dicuri daripada Jho Low untuk membeli bot bernilai AS$50 juta (RM210 juta), sebahagian pasukan bola sepak Inter Milan dan pangsapuri di 68th Street serta Madison Avenue, Manhattan.

Sebahagian wang turut digunakan sebagai bayaran pendahuluan sebuah rumah di Los Angeles, yang dikongsi dengan isterinya kini, Kimora Lee Simmons, seorang bekas model antarabangsa.

Selain itu, dia juga melabur dalam syarikat multimedia, All Def Digital Inc dan syarikat minuman tenaga, Celsius Holdings Inc.

Leissner dijangka menyambung semula keterangannya pada Isnin depan. - AGENSI

Lihat seterusnya..

TH diyakini kembali utuh di bawah teraju terkini

 


SATU demi satu penambahbaikan telah dilaksanakan ke atas Tabung Haji (TH) sejak berlakunya perubahan tampuk kerajaan. 

YB Menteri Senator Idris Ahmad, YB Dato’ Ustaz Ahmad Marzuk Shaary dan YB Senator Dato’ Dr Haji Zulkifli Mohamad Al-Bakri merupakan antara insan yang banyak menyumbang dalam memastikan Tabung Haji ini diurus mengikut landasannya. 

Tabung Haji masih mampu untuk berdiri utuh sekalipun terpalit berbagai kontroversi penjualan aset dan ketirisan yang menyekat potensinya untuk bergerak lebih jauh. Benarlah, apabila amanah itu diserahkan kepada orang yang benar dan jujur, maka Allah akan bantu. 

Pelbagai usaha dilaksanakan bagi memastikan Tabung Haji mampu berdiri dengan gah dan bersih daripada segala tuduhan. Jawatankuasa Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji yang diwujudkan bagi menyiasat isu-isu pengurusan dan operasi Tabung Haji merupakan usaha yang wajar dipuji. 

Bermula dari pemilihan ahli jawatankuasa yang arif sehinggalah ke isu-isu yang dibangkitkan, kesemuanya diperhalusi demi memastikan penubuhan RCI ini mencapai matlamat penubuhannya dan memberi manfaat kepada rakyat. 

Inovasi baharu Tabung Haji seperti THijari Biz menjadi suatu inisiatif transformasi digital dalam menambah baik perkhidmatan talian dan proses kerja automasi supaya perkhidmatan Tabung Haji menjadi lebih cekap. Inisiatif ini menggalakkan lebih ramai pekerja daripada sektor swasta dan awam untuk membuka akaun Tabung Haji serta merealisasikan impian untuk menunaikan haji hanya melalui potongan gaji oleh majikan. 

Usaha murni perolehan semula aset yang dijual dan pertukaran Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Tabung Haji juga diyakini mampu pulihkan Tabung Haji dan meredakan keresahan rakyat, melegakan pendeposit Tabung Haji.

Sehingga kini, ternyata Tabung Haji masih mampu meneruskan kelangsungan operasi sekalipun dalam keadaan pandemik dan ketiadaan pelaksanaan ibadah haji oleh rakyat Malaysia selama 2 tahun. Semoga Tabung Haji dapat bergerak lebih maju dalam mencapai hasrat penubuhannya dan terus meningkatkan sosioekonomi umat Islam.

“Memacu Perpaduan”
“Islam Menyatukan Ummah”

DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA – HARAKAHDAILY 25/2/2022

Rogol, penggal kepala dihukum mati. Wajar X mansuh hukuman mati..

 

Zahir Jaffer, tertuduh utama dalam kes pembunuhan Noor Mukadam, dijatuhi hukuman mati manakala ibu bapanya, Zakir Jaffer dan Ismat Adamjee, dibebaskan oleh mahkamah sesyen di Islamabad hari ini. - Foto AGENSI

Pakistan hukum mati lelaki rogol, penggal kepala teman wanita

ISLAMABAD: Mahkamah Pakistan hari ini menjatuhkan hukuman mati kepada seorang keturunan sebuah keluarga usahawan yang kaya kerana merogol dan memenggal kepala teman wanitanya. Pembunuhan itu mencetuskan bantahan berhubung kekejaman terhadap wanita di negara yang sangat patriarki itu.

Zahir Jaffer, 30, warga Pakistan-Amerika, menyerang Noor Mukadam di rumahnya di Islamabad pada Julai tahun lalu selepas dia menolak lamaran perkahwinannya, menderanya dan menggunakan 'senjata tajam' untuk memenggal kepalanya.

Noor, anak perempuan bekas duta berusia 27 tahun, berulang kali melakukan percubaan untuk melarikan diri dari rumah besar itu tetapi dihalang oleh dua kakitangan. 

"Tertuduh utama telah dijatuhkan hukuman mati," kata hakim Atta Rabbani di mahkamah daerah Islamabad.

Ibu bapa Zahir, Zakir Jaffer dan Asmat Adamjee, didapati tidak bersalah kerana cuba menutup jenayah itu. Kedua-dua kakitangan itu dijatuhkan hukuman penjara 10 tahun kerana bersubahat membunuh.

"Saya gembira keadilan telah ditegakkan," kata Shuakat Mukadam, bapa Noor, sambil berjanji untuk mencabar pembebasan ibu bapa Zahir. 

Kes itu mencetuskan reaksi meluap-luap daripada pejuang hak-hak wanita yang menganggap keganasan yang merebak ke atas wanita. Sifat pembunuhan yang mengejutkan, yang membabitkan pasangan daripada golongan elit istimewa masyarakat Pakistan, membawa kepada tekanan supaya perbicaraan selesai dengan cepat di negara yang sistem keadilannya terkenal lembap dan kes-kes biasanya berlarutan selama bertahun-tahun.

Menurut Badan Bantuan Guaman Asma Jahangir, sebuah kumpulan yang menyediakan bantuan guaman kepada wanita yang teraniaya, kadar sabitan bagi kes keganasan terhadap wanita adalah lebih kurang daripada tiga peratus. Mangsa penderaan seksual dan domestik selalunya terlalu takut untuk bersuara, dan aduan jenayah sering tidak disiasat dengan serius.

Zahir, yang boleh mencabar keputusan hari ini, telah diarah keluar dari mahkamah beberapa kali semasa perbicaraan kerana kelakuannya.

Dia sering dibawa ke prosiding dengan pengusung atau kerusi roda, dan peguamnya berhujah bahawa dia sepatutnya dianggap tidak 'sihat mental' - satu gerakan yang menurut pendakwa raya direka untuk menangguhkan perbicaraan. 

Pada satu perbicaraan, dia mendakwa orang lain telah membunuh Noor semasa 'pesta dadah' di rumahnya. Ketika menyoal bapa Noor - bekas duta ke Korea Selatan dan Kazakhstan - peguam Zahir membayangkan dia dibunuh oleh keluarganya sendiri kerana menjalinkan hubungan di luar perkahwinan.

Pendakwaan untuk keganasan dan serangan seksual sering melihat sejarah peribadi mangsa wanita dikaitkan mengikut adat resam patriarki Pakistan - satu lagi sebab mengapa keadilan jarang berlaku untuk wanita. - AFP

Komen Weblog Ibnu HasyimPakistan hukum mati lelaki rogol, dan penggal kepala teman wanita adalah amat wajar sangat. Memansuhkan hukuman mati dalam suasana begini amatlah tidak adil dan zalim. Wajar sangat tidak mansuh hukuman mati..

Beri peluang PN perubahan, calon & gabung terkuat.

 


1. Beri peluang PN lakukan perubahan di Johor

JOHOR BAHRU: Ketua Dewan Ulamak PAS Negeri Johor, Ustaz Azlisham Azahar berharap bangsa Johor memberi peluang untuk Perikatan Nasional membuat perubahan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) ini.

Beliau berkata, perubahan itu juga bakal menjadi contoh untuk rakyat Malaysia mengundi Perikatan Nasional pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

“Harapan saya semoga rakyat Johor memberi peluang kepada Perikatan Nasional untuk membuat satu perubahan bagi Negeri Johor seterusnya menjadi contoh untuk rakyat Malaysia mengundi PN,” katanya yang dicalonkan bertanding di DUN Machap.

Beliau juga menyeru kepada semua rakyat Johor untuk keluar menunaikan tanggungjawab demi kepentingan masa depan negara.

“Jadi kalau kita tidak keluar untuk mengundi dengan sebab sesuatu yang kita tidak sukai dalam politik, maka bermakna kita membiarkan negara kita, negeri kita akan ditadbir oleh golongan yang bermasalah, koropsi, yang salah guna kuasa.

“Maka adalah penting untuk kita keluar memilih calon-calon pemimpin-pemimpin yang berintegriti dan mempunyai kewibawaan untuk mentadbir dan memimpin  sebuah negara,” katanya ketika ditemui Harakahdaily pada Majlis Memperkenalkan Calon Perikatan Nasional PRN Johor di Pulai Springs Resort, di sini hari ini.

Sementara itu, Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Segamat, Maimunah Safwah Musa berkata, beliau akan memberikan yang terbaik untuk kemenangan di DUN Jementah.

“Kita akan cuba laksanakan yang terbaik untuk memberikan kemenangan kepada DUN Jementah.

“Apa pun keadaannya kita tahu kelemahan dan kekurangan yang kita ada, kita pun ada kelebihan juga, kita akan cubalah sedaya upaya untuk capai yang terbaik,” katanya.

Menurut beliau, DUN Jementah sebelum ini bukan terdiri daripada calon Islam.

“Jadi kita cubalah mendekati pengundi-pengundi Islam yang ada itu yang satu, mungkin cuba jugalah menarik pengundi Cina dan India dalam keadaan macam mana sekalipun.

“Kita pun faham suasana kita macam mana, pengundinya macam mana yang penting kita usahalah, setelah berusaha itu kita serahkan kepada Allah SWT natijah,” katanya.

Beliau turut menyeru kepada semua pengundi-pengundi di DUN Jementah untuk turun mengundi di DUN Jementah dan mengingatkan agar menjaga SOP.

“Laksanakan dan tunaikan tanggungjawab untuk mengundi,” katanya.

Pada PRN Johor kali ini, 15 calon Perikatan Nasional adalah daripada PAS, Bersatu (33) dan Gerakan (lapan).

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Mac sebagai tarikh pengundian bagi PRN Johor.

Tarikh penamaan calon bagi pilihan raya itu ditetapkan pada 26 Februari manakala pengundian awal pada 8 Mac. – HARAKAHDAILY 24/2/2022

2. PRN Johor: Senarai calon Perikatan Nasional


BERIKUT ialah senarai calon yang akan bertanding mewakili parti PERIKATAN NASIONAL dalam Piliharan Raya Umum Dewan Negeri Johor ke-15, tahun 2022.

N01 Buloh Kasap: Norazman Md Diah
N02 Jementah: Ustazah Maimunah Safwah Musa
N03 Pemanis: Uzzair Ismail
N04 Kemelah Normala Sudirman
N05 Tenang: Ahmad Humaizi Udin @ Uzir
N06 Bekok: Tan Lek Khang
N07 Bukit Kepong: Dato’ Dr Sahruddin Bin Jamal
N08 Bukit Pasir: Muhd Nur Iqbal Abd Razak
N09 Gambir: Mohd Solihan Badri
N10 Tangkak: Dr Chong Fat Full
N11 Serom: Rahmat Daud
N12 Bentayan: Tan Kok Hong
N13 Simpang Jeram: Ustaz Zarul Salleh
N14 Bukit Naning: Mahadzir Bin Abu Said
N15 Maharani: Abd Aziz Bin Talib
N16 Sungai Balang: Zainudin Sayuti
N17 Semerah: Datuk Haji Ariss Samsudin
N18 Sri Medan: Othman Kepol
N19 Yong Peng: Yong Fui Ling
N20 Semarang: Shazani A. Hamid
N21 Parit Yaani: Ustaz Ahmad Nawfal Mahfodz
N22 Parit Raja: Zulkifli Mat Daud
N23 Penggaram: Sia Wee Yet
N24 Senggarang: Khairul Faizi Ahmad Kamil
N25 Rengit: Mohammad Huzair Lajis
N26 Machap: Ustaz Azlisham Azahar
N27 Layang-Layang: Alagathiran A/L Krishnan
N28 Mengkibol: Wong Chan Giap
N29 Mahkota: Mohamad Nor Bin Lingan
N30 Paloh: Selvendran A/L Velu
N31 Kahang: Daud Yusof
N32 Endau: Alwiyah Talib
N33 Tenggaroh: Roslan Nikmat
N34 Panti: Hasan Rasid
N35 Pasir Raja: Jawahir Husein
N36 Sediili: Mohd Hasnolhadi Mohd Sebalas
N37 Johor Lama: Mohamad Alias Rasman
N38 Penawar: Mohd Faizal Asmar
N39 Tanjung Surat: Selamat Ujud
N40 Tiram: Dr Karim Deraman
N41 Puteri Wangsa: Loh Kah Yong
N42 Johor Jaya: Dato’ Dr Ker Ching Sheng
N43 Permas: Tazul Arifin Nasri
N44 Larkin: Zulkifli Bujang
N45 Stulang: Yap Chiang Youis
N46 Perling: Khoo Siaw Lee
N47 Kempas: Nur Faizal Abdullah
N48 Skudai: Khoo Kong Ek
N49 Kota Iskandar: Samsudin Ismail
N50 Bukit Permai: Tosrin Jarvanthi
N51 Bukit Batu: Tan Heng Choon
N52 Senai: Yeo Kwee Kwang
N53 Benut: YB Senator Dato’ Isa Ab. Hamid
N54 Pulai Sebatang: Ustaz Abdullah Husin
N55 Pekan Nanas: Dato’ Tan Chin Hock
N56 Kukup: Mahathir Iskandar Muhammad HARAKAHDAILY 24/2/2022

3. PRN Johor: Perikatan Nasional gabungan paling kuat 

JOHOR BAHRU: Gabungan PAS, Bersatu dan Gerakan di bawah Perikatan Nasional disifatkan sebagai gabungan paling mantap bagi berdepan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Penolong Setiausaha Agung PAS, Khairul Faizi Ahmad Kamil berkata, perkara itu dapat dilihat melalui pelancaran jentera Perikatan Nasional dan penyusunan gerak kerja yang teratur dan bersemangat.

“Ini kali yang kelima saya bertanding, bermula sejak 2004. Cuma, berbanding sejak pertama kali saya bertanding, saya lihat ini adalah satu pasukan parti politik paling kuat PAS sertai berbanding dengan 2004 atau 2013 bersama Pakatan Rakyat.

“Saya yakin, peluang PAS bersama Perikatan Nasional, bukan sekadar mampu memang kerusi, tapi saya yakin dengan kesepaduan yang ada.

“Gerak kerja bersepadu akan membantu Perikatan Nasional menang dalam pilihan raya yang akan diadakan nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Harakahdaily, selepas selesai menghadiri Majlis Memperkenalkan Calon Perikatan Nasional PRN Johor 2022, di sini, hari ini.

Khairul Faizi yang dicalonkan bertanding di DUN Senggarang juga berharap pengundi Johor bijak dalam menilai berdasarkan kejayaan Perikatan Nasional dalam membentuk kerajaan di bawah kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Dengan kepimpinan dan semangat kerja yang ada, pengundi perlu bijak memilih memimpin dan sudah tentulah Perikatan Nasional merupakan parti politik yang terbaik untuk dipilih sebagai kerajaan dalam masa akan datang,” katanya.

Pada PRN Johor kali ini, 15 calon Perikatan Nasional adalah daripada PAS, Bersatu (33) dan Gerakan (lapan).

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Mac sebagai tarikh pengundian bagi PRN Johor.

Tarikh penamaan calon bagi pilihan raya itu ditetapkan pada 26 Februari manakala pengundian awal pada 8 Mac. – HARAKAHDAILY 24/2/2022

Lihat seterusnya..

Benar hadir solat Jumaat tanpa dos penggalak

 

1. Terengganu benar hadir solat Jumaat tanpa dos penggalak

KUALA TERENGGANU: Jemaah yang lengkap dua dos vaksin diberi kebenaran hadir menunaikan solat Jumaat walaupun tanpa suntikan dos penggalak.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM), Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail, berkata walaupun dibenarkan, tetapi jemaah digalakkan untuk mendapatkan suntikan dos penggalak.

"Kita masih mengekalkan prosedur operasi standard (SOP) yang sedia ada termasuk penjarakan antara jemaah dan mewajibkan setiap jemaah merekodkan butiran menggunakan aplikasi MySejahtera.

"Jemaah juga diwajibkan merekodkan butiran peribadi termasuk menulis nombor telefon pada buku disediakan di pintu masuk masjid," katanya ketika ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kewangan dan Pelaburan, di sini, hari ini.

Yang turut hadir Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), M Rozi Bidin.

Mengulas lanjut, Shaikh Harun berkata, jemaah yang belum mendapatkan dos penggalak dibenarkan hadir untuk menunaikan solat Jumaat, tetapi wajib lengkap dua dos.

"Setakat ini tiada arahan dikeluarkan hanya membenarkan jemaah dengan dos penggalak hadir menunaikan solat Jumaat.

"Kita masih mengguna pakai SOP terdahulu termasuk setiap jemaah perlu memakai pelitup muka ketika hadir untuk menunaikan solat Jumaat," katanya.

Mengulas kapasiti masjid, Shaikh Harun menjelaskan, Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin sudah menitahkan semua masjid menyediakan kanopi mencukupi di ruang luar, termasuk di kawasan parkir masjid atau ruang kosong bersesuaian bagi membolehkan lebih ramai jemaah dapat mendirikan solat Jumaat.

Katanya, masjid yang mempunyai ruang solat bertingkat juga sudah dititahkan dibuka dan digunakan sepenuhnya untuk kegunaan solat Jumaat.

"Mesyuarat khas MAIDAM kali pertama yang bersidang pada 11 Januari lalu mengambil keputusan dan ketetapan bersetuju pengimbas suhu badan tidak diwajibkan.

"Tetapi semua jemaah diwajibkan merekodkan butiran dengan dengan menggunakan aplikasi MySejahtera atau ditulis pada buku disediakan di pintu masuk masjid dan surau," katanya.

2. Sabah benar hadir solat di masjid tanpa dos penggalak

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri tidak mewajibkan pengambilan dos penggalak kepada individu yang mahu mengerjakan solat lima waktu berjemaah dan solat Jumaat di masjid atau surau.

Mufti Sabah, Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar, berkata pihaknya hanya mewajibkan rakyat Sabah yang menerima dua dos vaksin COVID-19 memasuki masjid atau surau bagi melaksanakan solat berjemaah.

"Setakat ini kita tidak mewajibkan dos penggalak (sebagai syarat memasuki masjid atau surau) sebaliknya memadai hanya menerima dua dos lengkap vaksin sahaja.

"Bermaksud kalau belum menerima dos penggalak pun boleh masuk ke masjid," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Selain itu, beliau turut memberitahu pihaknya telah mengemukakan cadangan kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana COVID-19 Negeri Sabah untuk menambah kapasiti jemaah di masjid atau surau kepada 50 peratus.

Menurutnya, disebabkan terdapat peningkatan mendadak jumlah harian kes COVID-19 di Sabah baru-baru ini, satu pekeliling dikeluarkan yang menetapkan hanya 150 jemaah atau satu pertiga daripada keluasan ruang lantai tertutup masjid dan surau bagi masjid negeri, masjid bandaraya, Masjid bahagian (Tawau dan Sandakan) dan masjid daerah.

Bagi masjid dan surau lain dihadkan maksimum 100 atau satu pertiga daripada keluasan ruang lantai tertutup masjid dan surau.

"Kita telah bermesyuarat semalam dan mengemukakan cadangan supaya kapasiti masjid dan surau ditambah kepada 50 peratus.

"Walau bagaimanapun masih belum ada kata putus daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana COVID-19 Negeri Sabah dan kita juga masih menunggu," katanya.

Disamping itu, beliau berkata pihaknya juga akan melakukan pemantauan semula terhadap trend kes COVID-19 di Sabah berdasarkan perkembangan semasa.

Lihat seterusnya..

Sukar parti menang majoriti 2/3, era baru -Prof Datuk Dr Jayum Jawan -

 

Pengundi kini bijak memilih pemimpin yang mereka inginkan untuk mewakili suara rakyat. - Foto hiasan

Era baharu politik sukarkan parti menang majoriti dua pertiga

Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik dimeterai pada 13 September 2021 antara pemimpin Pakatan Harapan (PH) dan kerajaan adalah langkah baik, satu langkah musyawarah merentas parti, berbincang untuk kepentingan awam, rakyat serta negara.

MoU berkenaan yang dipersetujui Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dengan PH itu merangkumi enam perkara termasuk Pemerkasaan Pelan COVID-19, Transformasi Pentadbiran, serta Pembaharuan Parlimen.

Tiga lagi adalah Kebebasan Institusi Kehakiman, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Pembentukan Jawatankuasa Pemandu.

Walaupun begitu, pada akhirnya rakyat juga akan membuat keputusan melalui peti undi. Kehendak rakyat wajib dihormati dan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), banyak pihak berpendapat tidak akan ada perikatan parti politik atau satu politik mampu menang majoriti mudah seperti dulu.

Ia membawa maksud tiada pihak akan menang secara bersendirian namun ini bukan sesuatu yang buruk dan bukan juga sesuatu yang membawa kepada ketidakstabilan.

Mungkin itu satu norma baharu yang kita perlu pelajari dan terima dengan hati terbuka, kerana apabila tidak ada satu parti mempunyai majoriti yang cukup, mereka tidak boleh memerintah sendiri.

Ini bermakna mereka parti yang menang tadi akan berunding, berbincang, berkompromi dan mencari persefahaman yang terbaik untuk cuba membentuk kerajaan.

Perkara ini tidak semestinya buruk. Ia buruk hanya apabila ada wakil rakyat melompat ke sana sini. Akan tetapi bila Akta Anti-Lompat Parti diluluskan di Parlimen nanti, masalah ini dijangka selesai.

Apabila tidak ada satu parti mendominasi kerusi majoriti maka itu sesuatu yang bagus kerana pemimpinnya akan berusaha untuk berkompromi dengan parti lain.

Jika sesuatu parti mendapat majoriti dua pertiga, dibimbangi ia akan kurang peka kepada suara rakyat, malah kadang-kadang bongkak dengan mandat besar itu.

Bagaimanapun, dalam PRN Melaka dan PRN Sarawak yang lalu, disebabkan kelemahan parti pembangkang, parti kerajaan menang lebih dua pertiga kerusi. Ia perlu dihormati kerana itu keputusan pengundi.

Kita perlu menghormati pilihan pengundi yang mungkin sudah jemu dengan politiking berlebihan tetapi kecenderungan begini tidak semestinya akan berterusan di negeri lain atau di peringkat nasional.

Namun, dalam sesetengah amalan demokrasi ada peruntukan jika rakyat tidak senang dengan wakil rakyat, mereka berhak meminta wakil rakyat 'turun' dengan membuat petisyen dan sebagainya.

Apa lagi dalam suasana pilihan raya sekarang ini, yang mana tidak membenarkan berkempen seperti biasa, maka orang ramai mula menggunakan bermacam-macam cara untuk berpolitik terutama menerusi media sosial.

Perkara baharu ini yang membangkitkan semangat mahu didengar rakyat sekarang dan sebagai sesuatu yang baik tetapi malangnya 'kerajaan lama' melihat ini sebagai satu cabaran kepada mereka.

Setakat ini sejak Ismail Sabri menjadi Perdana Menteri, dapat dilihat beliau tidak banyak politiking dan ini sesuatu yang baik kerana menunjukkan pemimpin dan rakyat fokus kepada kerja mereka.

MoU antara pemimpin PH dan kerajaan adalah suatu langkah baik kerana ia menunjukkan ahli politik sanggup bekerjasama untuk rakyat.

Dalam PRU-15 kelak, kita tidak pasti apakah akan ada parti politik mendapat mandat untuk memerintah secara sendirian tetapi ketiadaan mandat kukuh bukan sesuatu yang buruk.

Ini kerana mereka akhirnya terpaksa bekerjasama selepas PRU untuk membentuk pakatan selepas proses tawar-menawar yang baik untuk semua pihak.

Pemimpin yang tidak mempunyai kuasa authoritarian akan disukai rakyat. Demokrasi kita akan sihat apabila rakyat sedar kuasa yang mereka ada. Rakyat adalah 'kerajaan' yang sebenarnya, bukan Perdana Menteri, Ketua Menteri atau menteri.

Penulis adalah Penyandang Kursi Penyelidikan Tan Sri Empiang Jabu (TSEJRC) Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM)


Lihat seterusnya..

Najib tak tahu laporan Bank Negara mengenai suami Zeti

 

Najib tak tahu laporan Bank Negara mengenai suami Zeti
Diterbitkan:  Feb 24, 2022 8:16 PM
Dikemaskini: 8:16 PM

Bekas perdana menteri Najib Razak berkata dia tidak tahu-menahu mengenai sebarang laporan maklumat yang dibuat Bank Negara Malaysia (BNM) melibatkan suami kepada bekas gabenor bank pusat berkenaan.

“Pada masa itu saya masih perdana menteri tetapi bekas gabenor tersebut, BNM atau ada mana-mana agensi kerajaan tidak pernah memaklumkan perkara ini kepada saya.

“Pihak saya hanya menyedari perkara ini pada akhir 2020 setelah surat akuan bersumpah ahli-ahli keluarga gabenor tersebut kepada polis Singapura mula terbongkar dan menjadi tular,” kata Najib di Facebooknya.

Najib merujuk kepada kenyataan BNM semalam bahawa ia ada menerima maklumat daripada unit perisikan kewangan asing berkaitan dengan akaun milik suami kepada mantan gabenor.

Ekoran daripada itu, BNM berkata mereka memberikan maklumat kepada “agensi penguatkuasaan undang-undang” berkaitan - yang tidak dinamakan - pada April 2016, selaras Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Pada masa itu, Najib ialah perdana menteri dan menteri kewangan, manakala Zeti Akhtar Aziz pula merupakan gabenor BNM sehingga 30 April 2016.

Tim Leissner

Pada 22 Feb, bekas pegawai bank Goldman Sachs, Tim Leissner, memberitahu sebuah mahkamah di New York bahawa dia dimaklumkan oleh bekas pekerja bawahannya yang suami Zeti telah “dirasuah”.

“Rasuah” berkenaan, menurut pemahaman Leissner, membolehkan 1MDB memindahkan AS$1 bilion ke luar negara pada 2009 untuk apa yang dikatakan sebagai usahasama PetroSaudi-1MDB.

Leissner berkata dia tidak mengetahui apakah benar-benar ada sebarang pembayaran rasuah dibuat.

Dia memberi keterangan sebagai saksi utama dalam perbicaraan jenayah membabitkan bekas ketua perbankan pelaburan Goldman Sachs Malaysia, Roger Ng.

Tidak ada maklumat

Keterangan ahli perbankan pada 22 Feb itu menyaksikan dia menamakan Zeti dua kali, tetapi bukan suami bekas gabenor BNM berkenaan, Tawfiq Ayman.

Dalam satu kenyataan hari ini, Tawfiq berkata dia tidak pernah menerima rasuah sepanjang hidupnya, serta tidak pernah mengenali Leissner mahupun Ng.

Najib turut mempersoalkan jika benar BNM ada memberikan maklumat mengenai suami bekas gabenor BNM itu, maka itu bererti kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) juga patut tahu mengenainya.

“[...] bekas Gabenor ini yang juga merupakan antara saksi-saksi penting dan memainkan peranan yang amat penting dalam kes-kes mahkamah SRC dan 1MDB saya.

“Jadi, kenapa pula pihak pendakwa raya tidak pernah menyalurkan maklumat ini kepada barisan peguam pertahanan saya untuk saya bela diri?” soal Najib.

Dakwanya ahli parlimen Pekan itu lagi, pihak pendakwaan bahkan mendakwa mereka tidak mempunyai maklumat berhubung bekas gabenor berkenaan.

(Mk)

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails