Saturday, July 09, 2022

Imaginur wakil Malaysia ke New York. 'Patuh Syariah'?

 

Filem Imaginur arahan Nik Amir terpilih dalam kelompok lapan filem Asia yang layak merebut trofi Filem Cereka Terbaik pada Festival Filem Asia New York (NYAFF) 2022 di New York, bulan depan.

HALAMAN HIBURAN

KUALA LUMPUR: Bagai memberi isyarat positif, sentuhan terbaru sutradara yang pernah meraih trofi Pengarah Terbaik, Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-26 melalui filem KIL ini, mula meraih perhatian juri filem antarabangsa.

Biarpun belum ditayangkan di pawagam tempatan, filem Imaginur arahan Nik Amir Mustapha terpilih dalam kelompok lapan filem Asia yang layak merebut trofi Filem Cereka Terbaik pada Festival Filem Asia New York (NYAFF) 2022 di New York, Amerika Syarikat (AS), bulan depan.

Filem cinta yang menerapkan elemen fiksyen sains itu bakal bersaing dengan tujuh judul lain iaitu Look At Me (Singapura); Reclaim (Taiwan); One and Four (Tibet); Angry Son (Jepun); The Sales Girl (Mongolia); Fast & Feel Love (Thailand) dan Perhaps Love (Korea).

Lebih mengujakan, filem Imaginur yang dibintangi Beto Kusyairy dan Diana Danielle akan dipertontonkan buat kali pertama di Walter Reade Theater, Film at Lincoln Center, New York, pada 23 Julai ini.

NYAFF adalah acara tahunan dianjurkan badan bukan berasaskan keuntungan, Yayasan Filem Asia New York dengan kerjasama Film at Lincoln Center sejak dua dekad lalu, bagi mengiktiraf budaya filem Asia dan hasil produk pembikin filem rantau ini.

Nik Amir yang mengemukakan pencalonan karyanya itu, tidak menyangka filem Imaginur yang diterbitkan syarikatnya, Lumatic Films, menempah tempat pada NYAFF 2022.

Nik Amir berusaha mengumpul dana bagi menghadiri NYAFF 2022 yang dianggap acara terbesar dalam menghimpunkan filem rantau ini.

Namun, Nik Amir tidak mahu meletakkan harapan tinggi kerana menyedari tujuh filem lain terutama dari Korea, Jepun, Taiwan dan Thailand hebat-hebat.

"Saya sedar, peluang untuk menang pasti sengit. Namun, berjaya disenaraikan dalam kategori Filem Cereka Terbaik sudah cukup menggembirakan kami.

"Sekiranya Imaginur dipilih sebagai pemenang, tentu sekali kami sangat bersyukur.

"Sebenarnya, berada dalam kelompok lapan yang terbaik pun sudah cukup membanggakan kami. Namun, kami mengharapkan yang terbaik kerana menjadi wakil sulung dari Malaysia ke NYAFF 2022," katanya kepada BH Online.

Nik Amir berkata, beliau dan pasukannya mungkin tidak dapat menyertai NYAFF 2022 berikutan kekangan bajet.

Namun, beliau berusaha mengumpul dana bagi menghadiri festival berkenaan yang dianggap acara terbesar dalam menghimpunkan filem rantau ini dan menyaksikan karyanya dipertontonkan buat kali pertama di New York.

"Sebenarnya, bukan sahaja masalah kewangan, namun masa agak suntuk untuk kami membuat persiapan. Majlis tayangan perdana akan berlangsung pada 23 Julai disusuli acara sebenar pada 30 Julai.

"Selain itu, kami perlu memohon visa daripada Kedutaan AS. Jadi, banyak prosedur perlu dibuat. Kami tidak pasti, sama ada sempat atau tidak berangkat ke AS.

"Namun, kami kami sedang berusaha menyusun dan 'mengorek' tabung bagi membolehkan kami pergi ke sana.

"Kami juga meminta bantuan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS). Difahamkan, FINAS ada beberapa geran. Kami faham permohonan mengambil masa, namun, kami akan cuba," katanya.

Filem Imaginur yang dibintangi Beto Kusyairy dan Diana Danielle akan dipertontonkan buat kali pertama di Walter Reade Theater, Film at Lincoln Center, New York, pada 23 Julai ini.

Melihat dari sudut positif kejayaan filem Imaginur menembusi acara berprestij itu, Nik Amir berkata, penyertaan karyanya itu dianggap promosi percuma, apatah lagi, syarikat belum memutuskan bila Imaginur akan menemui peminat tempatan.

"Kami belum mempromosikan filem Imaginur dan masih mencari masa sesuai untuk menghebahkan karya ini," katanya yang masih merancang tarikh tayangan filem berkenaan.

Filem Imaginur mula menjalani penggambaran pada Mac 2020, namun, terpaksa dihentikan akibat penularan pandemik COVID-19.

Imaginur berkisar kisah seorang lelaki yang berdepan pelbagai kejadian pelik apabila menggunakan khidmat hipnosis.

Selain trofi Filem Terbaik dan Pengarah Terbaik, filem KIL arahan Nik Amir membolot trofi Lakon Layar Terbaik pada FFM 26 pada 2014.

Filem kedua arahannya, Terbaik Dari Langit memenangi trofi Filem Terbaik pada Festival Filem Antarabangsa ASEAN 2015.

Terbaik Dari Langit lakonan Bront Palarae, Nadiya Nissa dan Amerul Affendi pernah dicalonkan pada Festival Filem Antarabangsa Tokyo pada 2014.

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Perlu difikirkan ke arah hiburan atau membuat filem bercorak 'patuh syariah' sesuai dengaan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan. Suatu idea baru yang unik.


Hibur Hibur Sikit 
Singapura Melayu punya.. siri 3


Dikir Marilah Undi Bule


PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 201

Friday, July 08, 2022

Lantik TPM, apa kata Presiden PAS? & Perutuan Aidiladha.

 


1. Presiden tegaskan pendirian PAS mengenai isu semasa.

KUALA LUMPUR: PAS berpendirian bahawa pelantikan Timbalan Perdana Menteri (TPM) tidak perlu diadakan pada masa ini sebaliknya kerajaan mesti memfokuskan penyelesaian masalah-masalah rakyat.

Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menegaskan demikian ketika ditanya media selepas menyampaikan Kuliah Dhuha mingguan di Masjid Rusila, Marang pada tengah hari tadi.

“Kita masih lagi berpegang kepada awal-awal kita tubuh kerajaan, tak ada TPM. Masih lagi (dipegang keputusan itu). Perbincangan ada, tapi tak ada keputusan kerana kita masih lagi sibuk dengan urusan-urusan rakyat.

“Kita masih lagi selesaikan masalah rakyat, kita kekal tak ada TPM,” ujar beliau kepada pertanyaan media terhadap permintaan pihak BERSATU untuk pihak kerajaan mengadakan pelantikan tersebut.

Wakil Khas Perdana Menteri Ke Timur Tengah itu turut menjawab pertanyaan media berkenaan PRU15 di mana PAS jelas beliau, berpendirian ia hanya dilaksanakan setelah tamat penggal PRU14 yang akan sampai tempoh akhirnya pada Julai 2023 nanti.

“Itu saya difahamkan lihat suasana ekonomi. Suasana ekonomi dunia, bukan ekonomi Malaysia saja, ekonomi dunia. Sehingga hari ini kita masih berpegang kepada habis tempoh. 

“Tetapi (jika) keadaan terdesak, boleh buat bila-bila masa. (Tetapi) Bila-bila masapun, (kena adakan) lepas bajetlah, bajet nak bentang, bentang bajet dulu,” cadang beliau yang juga Ahli Parlimen Marang.

Ditanya mengenai penggunaan logo oleh PAS dalam Perikatan Nasional bagi menghadapi PRU15, beliau memaklumkan sememangnya dihasratkan penggunaan satu bendera bersama termasuk penggunaan bendera sendiri, tetapi ia masih dalam perbincangan.

Menyentuh usaha kerajaan menangani masalah rakyat khususnya isu kenaikan harga barang dan kos sara hidup yang tinggi, beliau mengakui peruntukan subsidi hampir RM9 bilion sememangnya jumlah besar di mana tidak dibuat oleh Kerajaan Pakatan Harapan (PH) dahulu.

“Jumlah yang banyak, jumlah yang banyak. Apa yang tak dibuat oleh PH. PH terbantut masa PH, dan bila kita ambil alih, kita laksanakan dan perbetulkan perjalanan itu. Subsidi dah ada, cuma kita perbetulkan. 

“Dulu ada berlaku salah laku, subsidi diberi mengikut pilihan-pilihan mengikut sokongan-sokongan politik. Itu perlu diubahlah. Kita ubah kepada rakyat yang perlu dapat bantuan tanpa mengira sokongan parti politik dia, kerana semua rakyat kita belaka,” ujar beliau.

Beliau turut menyanggah pihak yang mengheret himpunan berkenaan isu itu di mana tempelaknya desakan tidak perlu diadakan kerana pemberian subsidi itu sudahpun dilaksanakan oleh kerajaan. – HARAKAHDAILY 8/7/2022

2. Penyatuan ummah mampu jamin kestabilan politik 

RASULULLAH SAW bersabda:

‎مَا عَمِلَ آدَمِيٌّ مِنْ عَمَلٍ يَوْمَ النَّحْرِ أَحَبَّ إِلَى اللَّهِ مِنْ إِهْرَاقِ الدَّمِ، إِنَّهُ لَيَأْتِي يَوْمَ القِيَامَةِ بِقُرُونِهَا وَأَشْعَارِهَا وَأَظْلَافِهَا، وَأَنَّ الدَّمَ لَيَقَعُ مِنَ اللَّهِ بِمَكَانٍ قَبْلَ أَنْ يَقَعَ مِنَ الأَرْضِ، فَطِيبُوا بِهَا نَفْسًا

Maksudnya: “Tidak ada amalan yang dilakukan oleh anak adam pada hari al-Nahr (Raya Aidiladha) yang lebih dicintai oleh Allah selain daripada menumpahkan darah (binatang korban). Sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat dengan tanduknya, bulunya dan kukunya dan sesungguhnya darah tersebut akan sampai kepada reda Allah SWT sebelum ia jatuh ke bumi. Maka, bersihkanlah jiwa kamu (dengan berkorban).” (Riwayat al-Tirmizi)

Aidiladha sentiasa mengingatkan kita kepada sebuah pengorbanan agung iaitu kisah Nabi Ibrahim A.S bersama puteranya Ismail A.S.

Penghayatan bagi ibadah haji melalui Hari Wukuf di Arafah serta Mabit perlu dilihat dan dihayati dengan lebih mendalam dan meluas supaya hikmahnya dapat diterokai sebagai panduan bagi perjuangan dan kesatuan umat Islam.

Perpaduan dan kesatuan ummah mestilah meletakkan agenda Islam sebagai keutamaan yang dipaksikan dengan akidah keimanan. Penyatuan ummah akan membawa kesatuan umat Islam tanah air sekaligus menjamin kestabilan politik dan keharmonian kaum.

Perjuangan untuk membawa kebenaran sering akan diuji dengan kesusahan dan kepayahan. Namun kejayaan Nabi Ibrahim A.S ialah sikap bertawakal kepada Allah SWT yang amat tinggi. Kekuatan pegangan akidah yang tidak berbelah bagi dan menyerahkan segala urusan kehidupan kepada Allah yang Maha Esa lagi Maha Berkuasa.

Sempena Hari Wukuf dan Aidiladha ini marilah kita sama-sama mendoakan semoga para jemaah haji dari seluruh dunia diberikan kesihatan dan keselamatan dan dianugerahkan dengan haji mabrur yang tiada balasan kecuali syurga.

Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Aidiladha kepada seluruh umat Islam.

Maaf zahir batin daripada saya dan seluruh kepimpinan Kerajaan Negeri, semoga Allah menerima segala amalan kita dan mengampuni seluruh dosa kita sempena Hari Arafah 9 Zulhijjah.

“Merakyat Membangun Bersama Islam”
‘Keberkatan, Kemakmuran, Kebajikan’

USTAZ DATO’ BENTARA KANAN AHMAD YAKOB
Menteri Besar Kelantan
8 Zulhijjah 1443H/ 8 Julai 2022 – HARAKAHDAILY 8/7/2022

Hibur Hibur Sikit 
Singapura Melayu punya.. siri 3

Dikir Marilah Undi Bule


PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails