Saturday, August 06, 2022

Ubah M'sia jadi pembangun dron. 100 dron K'tan.

 


1. Pelan menyeluruh ubah Malaysia jadi pembangun teknologi dron

KENDERAAN udara tanpa pemandu (UAV) atau lebih dikenali sebagai dron menjadi antara teknologi pesat membangun pada masa kini kerana berupaya melakukan pengawasan di tempat berisiko dan melakukan tugasan tidak merisikokan atau membahayakan manusia.

Dahulu dron digunakan dalam peperangan dengan peranannya sebagai umpan dalam pertempuran, melancarkan peluru berpandu, menghapuskan peledak dan menjatuhkan risalah untuk operasi psikologi, tetapi kini penggunaannya semakin canggih termasuk menghapuskan musuh seperti yang dilakukan tentera Amerika Syarikat (AS) terhadap pemimpin al-Qaeda, Ayman al-Zawahiri, iaitu individu paling dikehendaki.

Bagaimanapun, penggunaan dron lebih meluas daripada menjadi senjata kerana kelebihannya mampu bergerak dengan pantas serta keupayaannya untuk terbang dan merekodkan pemandangan muka bumi dari atas.

Di negara maju seperti Australia dan Amerika Syarikat (AS), dron digunakan untuk menghantar barangan dengan keupayaan terbang sejauh kira-kira 10 kilometer dalam tempoh enam minit dengan kemampuan membawa beban sehingga 1.1 kilogram.

Di Emiriah Arab Bersatu (UAE) pula, dron digunakan bagi menghasilkan hujan buatan dengan menyasarkan laser pada awan untuk menyahcas elektrik bagi memaksa titisan air berkumpul di udara seterusnya mencetuskan hujan.

Dron juga banyak digunakan dalam industri termasuk pertanian, perfileman, kajian cuaca mahupun pengurusan sisa pepejal.

Dalam konteks tanah air, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) mencipta rekod dalam Malaysia Book of Records dengan ciptaan dron gergasi pertama di negara ini yang diberi nama C-Drone.

C-Drone dibina dengan multirotor jenis terbang serta mendarat secara menegak (VTOL), berupaya membawa beban seberat 200 kilogram.

Dron mula rancak digunakan di negara ini pada 2014 ketika negara dikejutkan dengan misteri kehilangan MH370. Banyak pihak tampil menawarkan pemeriksaan menggunakan dron khususnya dron bawah air (UUV) termasuk syarikat dari luar negara dengan kos percuma.

Bagaimanapun tawaran dari syarikat luar boleh mengundang risiko keselamatan negara kerana bukan sahaja puing pesawat yang dicari malah data mengenai struktur geografi negara juga akan turut terdedah.

Dron bukan sahaja beraksi sebagai pesawat tanpa pemandu, tetapi wahana mengumpulkan data. Ini memerlukan negara membangunkan kepakaran teknologi dron sendiri bagi keperluan masa hadapan, tidak sekadar sebagai pengguna.

Teknologi akan dibangunkan perlu bersifat menyeluruh merangkumi analisis dan reka bentuk, simulasi, fabrikasi komponen, pemasangan, integrasi sistem dan pengujian terbang.

Dari aspek pembangunan teknologi, kebanyakan negara maju memupuk minat dan pendidikan berkaitan terhadap pelajar sekolah. Di Russia contohnya, pelajar sekolah didedahkan dengan pertandingan dron, manakala pelajar di AS didedahkan dengan kemahiran pengaturcaraan.

Bangunkan kepakaran tempatan

Turki yang disebut sebagai kuasa baharu dron dunia juga melaksanakan beberapa inisiatif bagi membangunkan bakat dan kepakaran tempatan dalam kalangan generasi baharu antaranya pertandingan pembangunan dron dan roket dalam program Teknofest dianjurkan hampir setiap tahun.

Malaysia juga tidak ketinggalan, beberapa inisiatif awal anjuran Drone Task Force di bawah kendalian Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) membuahkan hasil.

Pameran dron sudah banyak dianjurkan, bahkan isu berkisar pembangunan bakat dan operasi dron mula diwacanakan dengan meluas.

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bersama Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI) juga akan mewujudkan sehingga 100,000 peluang pekerjaan dalam industri dron. MOSTI menjangkakan industri dron akan mencecah RM50 bilion dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2030.

Bagi membangunkan bakat dan kemahiran tempatan seiring masa depan kompetitif, pelan tindakan menyeluruh pembangunan ekosistem pembangunan bakat teknologi dron perlu diwujudkan.

Perkara ini perlu dibincang dan diperhalusi, bahkan lebih utama adalah pembentukan hala tuju negara jelas dan bersepadu yang mampu mengubah cara kerja negara daripada negara pengguna teknologi kepada penguasaan asas teknologi yang mampu menjadikan Malaysia sebagai negara pembangun teknologi.

Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) juga mengeluarkan Civil Aviation Directive (CAD 6011), iaitu arahan dalam pengoperasian dan latihan dron.

Aspek keselamatan udara

Dari aspek keselamatan ruang udara, pembangunan sistem dalam aplikasi, iaitu Unmanned Traffic Management (UTM) dilihat akan banyak memudahkan pengendalian dron terutama operasi Extended Visual Line of Sight (EVLOS) dan Beyond Visual Line of Sight (BVLOS).

Dengan adanya sistem seperti ini, pengendali dron boleh meminta kebenaran pihak berkuasa untuk terbang di ruang udara terkawal termasuk ruang udara berhampiran bandar utama untuk jangka tertentu.

Namun, cabaran utama adalah membesarkan kapasiti pengaplikasian sistem dan pelaksanaan arahan ini supaya ia lancar dan berkesan.

Bagi dron bersaiz besar dengan kapasiti muatan melebihi 20kg, selain cabaran utama berkaitan pengoperasian, iaitu perkongsian ruang udara dengan pesawat dan frekuensi komunikasi, cabaran teknikal yang wujud adalah bagaimana hendak menstabilkan dron ketika penerbangan.

Lebih besar dron, lebih banyak tenaga dan bahan diperlukan seterusnya meningkatkan kos kerana rangka, kapasiti bateri dan motor lebih besar diperlukan.

Bagi penerbangan dron untuk tempoh lama, pengurusan tenaga diguna pakai adalah amat mustahak kerana dron digunakan pada hari ini hampir kesemuanya menggunakan bateri.

Pembekalan tenaga kepada dron banyak dibincangkan termasuk penukaran bateri di stesen tertentu, pengecasan secara pancaran laser dalam penerbangan, penambatan dron dengan bekalan kuasa terus, kecekapan prestasi bateri, memanfaatkan tenaga solar dan penggunaan kapasitor super (supercapacitor).

Cadangan dikemukakan memerlukan komitmen berterusan semua pihak bagi meletakkan negara seiring dengan negara maju pada masa hadapan.

Muhammad Rusydi adalah Pensyarah Kanan di Fakulti Teknologi Kejuruteraan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), manakala Muslim adalah Ketua Pegawai Eksekutif Technerve Technology Solutions Sdn Bhd (Aeronerve)


2. 100 dron perkasa aktiviti pertanian di Kelantan Mac 29, 2022 @ 11:46am 

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar negeri Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan ke-14 Penggal Kelima, hari ini. - Foto NSTP/Nik Abdullah Nik Omar

KOTA BHARU: Sebanyak 100 unit dron digunakan bagi memperkasakan sektor pertanian di Kelantan selaras teknologi Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0).

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar negeri Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail, berkata dron berkenaan digunakan untuk menyembur racun serangga dan membaja.

Katanya, dron yang ada dikendalikan oleh Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) sebanyak 80 buah, selebihnya dua sedang diusahakan oleh Jabatan Pertanian Negeri Kelantan, manakala satu dron besar milik kumpulan pertanian dan selebihnya petani.

"Kesemua dron yang digunakan oleh jabatan pertanian, pemilik dron, syarikat dan agensi untuk pertanian di negeri ini adalah yang terbaik. 

"Kerajaan juga menganjurkan kursus pengendalian dron kepada petani supaya mereka ini mempunyai lesen untuk mengendalikan sendiri dron.

"Kita berharap dapat memberikan lesen mengendalikan dron kepada petani," katanya dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan ke-14 Penggal Kelima, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan yang dikemukakan oleh Mohd Syahbuddin Hashim (BN- Galas).

Tuan Mohd Saripudin berkata, aplikasi dron sangat membantu petani yang mengusahakan projek pertanian yang berskala besar.

Menurutnya, penggunaan dron dapat membantu petani dalam menjalankan aktiviti pertanian seperti pembajaan dan meracun, sekali gus dapat mengurangkan penggunaan tenaga kerja, baja serta racun pada tanaman dan menjimatkan kos.

"Dalam usaha pendigitalan sektor pertanian, penternakan dan perikanan selaras perkembangan teknologi Revolusi Industri 4.0, terdapat beberapa kaedah yang diamalkan dalam sektor ini iaitu pendigitalan Internet of Thing (IOT) yang membolehkan penyambungan peranti kepada rangkaian internet yang mampu mengawal suhu atau kelembapan, pH (Potential of Hydrogen) media tanaman, proses pembajaan dan meracun hanya dikawal melalui telefon pintar.

Katanya, kaedah Pendigitalan Geospatial Pertanian mampu mengenal pasti bentuk muka bumi, ciri tanah dan kecerunan.

Undilah PAS dan rakan kumpulannya!

PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015

Wujud 4 blok parti Melayu PN, BN, PH dan GTA pecah lagi undi Melayu-Islam.

 

Senario terlalu banyak parti baharu mungkin menyebabkan berlaku perpecahan undi Melayu-Islam pada pilihan raya umum kelak. (FOTO HIASAN)

Wujud banyak parti Melayu rugi umat Islam

KUALA LUMPUR: Kewujudan empat blok parti Melayu di Malaysia – Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan terbaharu, Gerakan Tanah Air (GTA) dijangka memecah lagi undi Melayu-Islam.

Penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Ahmad Fauzi Abdul Hamid berkata, sudah pasti undi Melayu akan berpecah dengan kewujudan banyak blok parti politik Melayu.

Katanya, bukan semua orang Melayu dapat menerima nasionalisme haluan kanan yang dijuarai parti seperti PUTRA terutamanya di kawasan-kawasan yang komposisi penduduk berbilang kaum.

“Persoalannya bilakah akan berlaku kesatuannya (Melayu)?,” kata beliau kepada ketika dihubungi HarakahDaily, di sini, hari ini.

Semalam Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan gabungan baharu dikenali Gerakan Tanah Air (GTA).

GTA menggabungkan empat parti politik berteraskan Melayu iaitu PEJUANG, Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA), Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA) dan Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN). 

Prof Dr Ahmad Fauzi Abdul Hamid

Menurut Dr Mahathir gagasan politik itu hanya akan melibatkan ahli-ahli dalam kalangan orang Melayu meliputi parti politik, ahli akademik, NGO dan ahli profesional.

Gerakan Tanah Air juga dikatakan berusaha mengurangkan jurang kemiskinan dalam kalangan orang Melayu-Islam.

Prof Ahmad Fauzi berkata, PAS ada pengalaman dalam kerajaan sejak Mac 2020, kepimpinan Melayu-Muslim memerintah dengan aman hasil kesepakatan politik dengan parti-parti bukan Melayu. 

“Selagi tiada pernyataan sokongan dari elemen-elemen masyarakat majmuk, masa depan GTA dianggap malap,” katanya.

Bagaimanapun tambah beliau, bagi ahli politik berjiwa Islamik, kesepakatan itu juga merupakan salah satu bentuk dakwah.

Prof Dato’ Dr Ismail Sualman

Pensyarah Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Prof Dato’ Dr Ismail Sualman pula berkata, senario parti sekarang terlalu banyak parti baharu mungkin menyebabkan berlaku perpecahan undi Melayu-Islam pada pilihan raya umum.

“Impaknya, ia sekali gus akan mendatangkan kerugian kepada orang Melayu-Islam itu sendiri,” tegasnya.

Menurutnya, tujuan penggabungan beberapa parti di bawah satu parti politik induk untuk mencari kesesuaian dan kerelevanan survival masing-masing.

Katanya, langkah yang dibuat Dr Mahathir dan rakan-rakannya dilihat sebagai senario yang akan melemahkan umat Melayu-Islam.

“Terlalu banyak parti akhirnya menyebabkan ketidakbolehan mana-mana parti untuk menjuarai pemerintahan Malaysia,” katanya. 

Mengulas lanjut, Prof Ismail berkata, banyak parti yang ada sekarang merupakan gabungan serpihan parti-parti lama.

“Saya melihat itu menambahkan lagi kerugian kepada Melayu-Islam kerana ia menyebabkan kuasa penentu itu bukan lagi digunakan dengan kejituan dan kesepaduan mereka,” katanya. -HARAKAHDAILY 5/8/2022

Undilah PAS dan rakan kumpulannya!

PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015

Friday, August 05, 2022

Mynmar, harga beras turun. Eropah, kemarau buruk..

 

Myanmar membenarkan penduduk membeli sekampit beras pada harga rendah untuk mengelakkan jualan semula. - Foto hiasan BERNAMA

1. Peniaga turunkan harga beras

YANGON: Pengeluar dan peniaga beras Myanmar menetapkan harga runcit beras yang lebih rendah di Yangon bermula semalam, ketika harga makanan melonjak.

Data Pertubuhan Statistik Pusat menunjukkan, harga beras Emata, atau beras panjang Myanmar, serta harga minyak kacang tanah khas di hab komersial itu masing-masing meningkat 5.8 peratus dan 6.4 peratus semalam, berbanding seminggu sebelumnya.

Xinhua melaporkan, seorang penduduk yang memiliki lapan ahli keluarga, Daw Nwe, memberitahu dia sanggup datang dari Mingaladon, yang terletak di kawasan paling utara di Yangon, untuk membeli beras selepas dimaklumkan mengenai potongan harga beras itu, beberapa hari lalu.

"Harga barang terus meningkat, dan keadaan semakin sukar buat kami. Malah, keadaan makin sukar memiliki wang mencukupi untuk hidup," katanya, memaklumkan dapat menjimatkan kira-kira 10,000 kyat (RM240) dengan memberi beras dari depot itu. 

Walaupun Myanmar negara pertanian dan pengeksport beras, harga komoditi termasuk beras mencatat peningkatan akibat pandemik COVID-19.

Sementara itu, Setiausaha Bersama Depot Borong Beras dan Padi Wahdan, Zaw Khaing, berkata potongan harga runcit beras itu bertujuan membantu isi rumah di negara itu mengurangkan perbelanjaan, ketika harga komoditi melonjak.

"Kami menjual pelbagai jenis beras pada harga lebih rendah kepada pengguna. Kami merancang menjual selama tiga bulan sehingga musim menuai yang seterusnya tiba.

"Kami meletakkan had pembelian satu kampit beras bagi setiap isi rumah," katanya, sambil memaklumkan langkah itu bagi menghalang pembeli menjual semula beras berkenaan. - AGENSI


2. Kemarau buruk di Eropah: Empangan semakin kontang, hasil tanaman terjejas 

Keadaan akibat kemarau di Perancis. - FOTO AFP

PARIS: Sebahagian besar negara Eropah terus menderitai gelombang haba sejak Jun lalu, yang kini turut menjejaskan hasil tanaman dan memburukkan lagi krisis kos sara hidup penduduk.

Suruhanjaya Eropah kelmarin menggesa negara anggota Kesatuan Eropah (EU) supaya mengguna semula air sisa bandar yang terawat untuk pengairan di ladang yang kering-kontang.

Di Perancis, petani amat terkesan dengan kemarau buruk yang mengakibatkan penggunaan air tawar begitu terhad. Malah, agensi perkhidmatan meteorologi Perancis, Meteo-France memaklumkan taburan hujan pada Julai lalu hanya 9.7 milimeter, sekali gus menjadikannya bulan paling kering sejak Mac 1961.

Petani di seluruh negara melaporkan kesukaran mereka untuk memberi makan ternakan susulan keadaan padang ragut yang gersang, manakala pengairan dilarang di kawasan besar di barat laut dan tenggara akibat kekurangan bekalan air tawar.

Perancis adalah pengeksport gandum yang keempat terbesar di dunia, dan antara lima pengeksport utama jagung global. Kemerosotan hasil tuaian akibat kemarau, berkemungkinan menambah lagi tekanan terhadap masalah kekurangan bekalan bijirin dalam pasaran global kini susulan peperangan antara Russia dengan Ukraine.

Sementara itu, Pejabat Meteorologi Britain pula memaklumkan bahawa sebahagian besar kawasan selatan dan timur England mencatat rekod cuaca paling kering, bulan lalu.

Krisis itu menyebabkan sesetengah penyedia bekalan air terpaksa mengumumkan langkah catuan yang menjejaskan jutaan pengguna, manakala pengeluar buah-buahan serta sayuran-sayuran mengalami kerugian hasil tanaman seperti kekacang dan buah beri.

Inflasi Britain melonjak pada Jun lalu berikutan peningkatan harga bahan api dan makanan.

Di Sepanyol yang sudah mengalami kemarau berpanjangan pula, suhu diramalkan mencecah 40 darjah Celsius di beberapa kawasan, minggu ini.

Keadaan itu turut memburukkan lagi masalah kekurangan bekalan air di negara berkenaan, dengan kerajaan mengumumkan bahawa kapasiti empangan Sepanyol hanya 40.4 peratus pada minggu ini. - AFP

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Mynmar, harga beras turun. Eropah, kemarau memburuk.. Akhirnya terbukti bahawa ALLAH itu MAHA berkuasa, bagi mereka yang mahu berfikir!!

Undilah PAS dan rakan kumpulannya!

PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015

Larang bertudung di sekolah P'cis langgar hak . Sokong Elisabeth Moreno.

 

FOTO AFP

1. Larang wanita bertudung di sekolah, Perancis langgar perjanjian hak antarabangsa - PBB

GENEVA: Jawatankuasa Hak Asasi Manusia, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), mendapati Perancis melanggar perjanjian hak antarabangsa apabila negara itu melarang seorang wanita daripada memakai tudung ketika mengikuti kursus di sebuah sekolah.

Jawatankuasa terbabit memutuskan bahawa tindakan berkenaan melanggar Perjanjian Antarabangsa Mengenai Hak Sivil dan Politik, susulan aduan difailkan pada 2016 oleh wanita warga Perancis yang dilahirkan pada 1977 itu.

Bagaimanapun, peguam wanita itu tidak mahu nama anak guam mereka disiarkan.

Wanita itu dilaporkan menjalani kursus latihan profesional untuk dewasa pada 2010, dan lulus temu duga serta ujian kemasukan. 

Namun, pengetua sebuah sekolah tinggi di pinggir bandar Paris enggan membenarkannya memasuki premis itu berikutan larangan memakai simbol agama di kemudahan pendidikan awam.

"Melarang beliau daripada meneruskan penyertaan dalam kursus pendidikan yang diikutinya ketika memakai tudung, adalah sekatan terhadap kebebasan beliau dalam beragama, sekali gus melanggar perjanjian terbabit," menurut jawatankuasa berkenaan.

Keputusan jawatankuasa itu diterima pakai pada Mac lalu, namun baru dihantar kepada peguam wanita berkenaan, semalam.

"Ini adalah satu keputusan penting yang menunjukkan Perancis mempunyai tugas yang perlu dilakukan dari segi hak asasi manusia, terutama dalam isu menghormati minoriti agama, khususnya komuniti Muslim," kata peguam wanita itu, Sefen Guez Guez, kepada AFP. - AFP


2. Larangan pemain bola sepak Islam bertudung di Perancis dikecam Februari 11, 2022 @ 10:00am 

Gambar hiasan menunjukkan pemain bola sepak wanita berhijab. - Foto REUTERS

PARIS: Menteri Hal Ehwal Kesaksamaan Jantina Perancis, Elisabeth Moreno, semalam menyatakan sokongan kepada pemain bola sepak wanita Islam yang berusaha membatalkan larangan pemakaian tudung ketika beraksi.

Peraturan yang ditetapkan oleh Persekutuan Bola Sepak Perancis ketika ini menghalang pemain yang menyertai perlawanan daripada memakai simbol agama yang 'ketara' seperti tudung bagi orang Islam atau 'kippa' bagi orang Yahudi.

Gerakan wanita dikenali sebagai 'les Hijabeuses', yang mengambil tindakan undang-undang terhadap peraturan itu pada November tahun lalu mendakwa berlaku diskriminasi dan pelanggaran hak untuk mengamalkan agama mereka.

"Undang-undang mengatakan bahawa wanita muda ini boleh bertudung dan bermain bola sepak. Di padang bola hari ini, tudung tidak dilarang. Saya mahu undang-undang ini dihormati," kata Elisabeth Moreno kepada stesen televisyen LCI.

Dalam kenyataannya kepada AFP, beliau berkata, wanita sepatutnya dibenarkan mengenakan pakaian sebagaimana yang mereka inginkan.

Dua bulan sebelum pilihan raya presiden Perancis, isu itu menjadi bahan perbincangan utama di Perancis, yang mengekalkan bentuk sekularisme ketat bertujuan memisahkan antara negara dan agama.

Senat Perancis, yang majoritinya anggota parti sayap kanan Republikan, mencadangkan undang-undang melarang pemakaian simbol agama secara jelas dalam semua pertandingan pada bulan lalu.

Namun, ia ditolak Dewan Rakyat pada Rabu lalu, yang mana parti pimpinan Emmanuel Macron, Republic on the Move (REM), dan sekutunya memegang majoriti.

Undang-undang Perancis mengamalkan sekularisme menjamin kebebasan beragama kepada semua rakyat dan tidak mengandungi peruntukan mengenai larangan pemakaian simbol agama di tempat awam, kecuali penutup muka penuh yang diharamkan pada 2010.

Kakitangan di institusi negara itu turut dilarang mempamerkan agama mereka, begitu juga dengan pelajar sekolah.

Ramai ahli politik sayap kanan di Perancis berhasrat meluaskan sekatan ke atas pemakaian tudung, kerana melihatnya sebagai kenyataan politik yang menyokong Islamisme dan menghina nilai diamalkan di Perancis.

Demonstrasi yang dirancang oleh gerakan 'les Hijabeuses' di hadapan Parlimen Perancis pada Rabu diharamkan oleh pihak berkuasa bandar itu atas alasan keselamatan. - AFP


Undilah PAS dan rakan kumpulannya!

PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015

Pakai Bikini Bertema Agama, Bintang TikTok Addison Rae.

 

Addison Rae di MET Gala 2022. (Foto: Patrick McMullan via Getty Image/Sean Zanni)

KL/IH: Los Angeles. Berpakaian seksi bukanlah sesuatu yang asing bagi penampilan Addison Rae. Bagaimanapun, gayanya baru-baru ini mencetuskan kontroversi kerana tema keagamaannya.

Dalam siaran yang kini dipadamkan, salah seorang bintang terkaya TikTok memakai bikini putih daripada jenama bernama Praying. Pakaian pantai, yang dipanggil Holy Trinity Bikini.

Terdiri dari bahagian atas pakaiannya, yang dihiasi dengan perkataan 'Bapa' dan 'Anak'. Tulisan di seluarnya tertulis 'Roh Kudus'.
'Bikini Holy Trinity daripada Berdoa (Foto: Dok. Berdoa)

Dilaporkan juga termasuk dalam
5 TikTokers paling mahal pada 2022, Charli D'Amelio sanggup bayar AS$100 untuk satu pos 'Bikini Holy Trinity daripada Berdoa (Foto: Dok. Berdoa)

Dalam doktrin Kristian, Holy Trinity ditafsirkan sebagai Triniti yang merupakan bentuk satu tuhan, tetapi terdiri daripada tiga orang: Tuhan Bapa, Anak, dan Roh Kudus.

Addison Rae dan jenama bikininya juga telah dikritik di media sosial. "Ini adalah satu penghinaan kepada Jesus. Sangat menyedihkan kamu semua melakukan ini untuk wang," tulis seorang pengguna Instagram seperti yang dipetik oleh Halaman Enam.

Christina Aguilera juga pernah memakai bikini yang sama tapi dalam versi bahasa Perancis. Unggahannya dengan bikini itu mendapat 200-an ribu likes dan masih terpampang di Instagram.

Mungkinkah dalam agama Kristian masih belum ada peraturan 'patuh syariah' seperti yang sedang diperoses perlaksanaannya di negara Malaysia ini?
(IH)

Undilah PAS dan rakan kumpulannya!

PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015

Artis tolak rokok.. & artis pro-Hizbullah di Israel.

 

Aznil berkongsi kisah duka apabila bapa dan dua abangnya meninggal dunia dipercayai berpunca daripada tabiat merokok. - Foto IG Aznil Nawawi
HALAMAN HIBURAN

1. Artis sokong tolak rokok

KUALA LUMPUR: Kehilangan insan tersayang akibat rokok dan merasai kesan buruk merokok tatkala usia meniti senja, menjadi antara kisah dikongsi selebriti yang menyokong usaha kerajaan melindungi generasi muda daripada bahaya rokok.

Rata-rata artis menyokong langkah kerajaan   membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 yang disifatkan tepat pada masanya, apatah lagi ketika rakyat yang diuji pandemik COVID-19 sejak dua tahun lalu, makin memberi perhatian kepada kesihatan dan gaya hidup sihat.

Pengacara popular, Datuk Aznil Nawawi berkongsi kisah duka apabila bapa dan dua abangnya meninggal dunia dipercayai berpunca daripada tabiat merokok

Memandang serius usaha dilakukan kerajaan bagi memastikan generasi muda tidak terjebak dengan budaya rokok, Aznil atau mesra disapa Pak Nil memuat naik rakaman video yang dibuat pada 2019 mengenai bahaya rokok di IG.

"Saya muat naik sedutan video lama daripada sesi 'live' IG bagi menyokong usaha kerajaan. Saya buat sesi 'live' itu selepas pemergian abang kedua pada 17 Ogos 2019.

"Ketika itu, saya sedih dan kecewa disebabkan rokok, ia membinasakan hidup. Malah, lebih teruk hingga membawa maut. Saya sudah hilang bapa dan abang kerana rokok, jadi jangan kita biarkan orang tersayang berdepan nasib sama," katanya kepada BH Online.

Aznil berkata, hanya Tuhan tahu derita dilalui apabila insan tersayang pergi akibat kesan tabiat merokok hingga menjejaskan paru-paru, terkena angin ahmar dan kanser.

Berkongsi pengalaman sendiri, Aznil mengaku pernah menjadi perokok tegar selepas menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

"Apabila melangkah ke alam pekerjaan pada 1984, lagilah hebat. Saya jadi perokok tegar kerana sudah ada duit sendiri dalam tangan.

"Namun, sekembali daripada menunaikan umrah pada 2005, saya pasang niat untuk berhenti. Alhamdulillah, Tuhan permudahkan niat itu.

"Sekarang ini, saya alah bau rokok, malah tidak suka. Tengok orang merokok pun saya jelak," katanya.

Sementara itu, penerbit dan pelakon, Datuk Rosyam Nor, 55, mengaku pernah menjadi perokok tegar sejak memulakan tabiat itu pada usia 18 tahun.

Rosyam mengaku banyak wang dihabiskan penangan ketagihan produk campuran tar dan nikotin itu.

"Usaha gubal RUU saya sokong 300 peratus. Saya merokok sejak usia 18 tahun, sudah banyak duit habis. Sekarang, umur 55 tahun, sudah semput. Bayangkan, naik tangga pun semput dan macam-macam lagi," katanya.

Rosyam berharap rakyat Malaysia dapat menyokong usaha kerajaan itu yang bakal membawa kebaikan untuk semua.

"Saya sokong RUU ini supaya semua rakyat Malaysia sihat. Apa yang beliau (Khairy) buat, bukan untuk keburukan, sebaliknya, kebaikan.

"Jika Khairy sediakan insentif untuk rakyat berhenti merokok, saya terlebih dahulu pergi mendaftar," katanya.

Bakat muda, Khai Bahar mengaku berhenti merokok pada 2019 selepas menyedari keburukan amalan itu.

"Alhamdulillah, kempen tolak rokok sangat diperlukan bagi memberi kesedaran berterusan mengenai bahaya kandungan nikotin dalam puntung rokok.

"Asap rokok mampu memberi kesan terhadap orang sekeliling yang tidak merokok. Kita tidak mahu nyawa melayang begitu sahaja. Apatah lagi kepada mereka yang tidak merokok. Jadi, fikirlah orang lain dan usah pentingkan diri sendiri," katanya.

Khai mengaku proses untuk berhenti merokok bukan mudah.

"Namun, saya berjaya membuktikannya. Saya doakan jika ada keinginan berhenti merokok, semoga prosesnya dipermudahkan.

"Terus istiqamah jika berjaya berhenti merokok agar persekitaran kita terus sihat. Ini terutama bagi keluarga dan anak kecil," katanya.

Khai atau nama sebenar, Muhammad Khairul Baharuddin mengaku banyak hikmah dinikmati selepas berhenti merokok.

"Satu daripadanya, vokal saya. Ada yang puji, vokal saya semakin kemas dan baik.

"Saya mengaku apabila tidak merokok, saya lebih selesa ketika buat persembahan. Saya dapat rasa nafas lebih panjang dan tidak tersekat," katanya.

Selasa lalu, Dewan Rakyat bersetuju RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 dirujuk ke Jawatankuasa Pilihan Khas (JPK) Parlimen untuk diteliti serta membuat syor penambahbaikan.

Usul RUU berkenaan yang kini masih berada pada peringkat bacaan kedua, dilaporkan dipersetujui sebulat suara oleh Ahli Parlimen untuk dirujuk ke jawatankuasa berkenaan selepas ia dibahas 12 Ahli Parlimen, seterusnya digulung oleh Khairy.

Melalui RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022, Individu yang didapati menjual atau mempamerkan produk tembakau, bahan merokok atau produk pengganti tembakau kepada mereka yang lahir pada 1 Januari 2007 dan seterusnya, dicadang didenda tidak lebih RM20,000 atau dipenjarakan tidak lebih setahun atau kedua-duanya.

Rekod Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) mendapati tabiat merokok membunuh lebih lapan juta penduduk dunia setiap tahun, termasuk 1.2 juta perokok pasif.(BH)


2. Kontroversi penyanyi Lubnan ‘alun’ lagu pro-Hizbullah di Israel  

Julia Boutros sudah banyak muncul dengan lagu-lagu yang memuliakan perjuangan Hizbullah menentang pengaruh zionis Israel di Lubnan. (FOTO Getty Images)

ARRABA, Israel: Penyanyi tersohor Lubnan, Julia Boutros telah menimbulkan kekecohan di Israel selepas salah satu lagunya dimainkan pada sebuah festival yang diadakan di sini, baru-baru ini.

Boutros terkenal dengan sokongannya terhadap organisasi Hizbullah yang diketahui terbabit dalam konflik memerangi pengaruh zionis Israel di Lubnan. 

Lagu dendangan Boustros yang memuliakan Hizbullah dan pejuangnya dalam perang menentang Israel pada tahun 2006, dilaporkan dimainkan pada Festival Batoufna di sini pada awal Julai lalu, lapor The New Arab.

Pekan berkenaan yang juga dikenali sebagai Arrabat al-Battuf itu dihuni majoritinya oleh rakyat Palestin dengan kewarganegaraan Israel.

Media Israel yang ‘kecoh’ berkata bahawa ‘isyarat  jelas daripada penyanyi Lubnan, Julia Boutros, yang terkenal dengan sokongannya kepada Hizbullah, malah dalam sebahagian lagunya menyatakan simpatinya kepada organisasi itu dan ketuanya, Sheikh Hassan Nasrallah’.

Dalam lagu berjudul Aaba Majdak, Boutros menyanyikan antara liriknya yang berbunyi: “Kemuliaanmu telah dimalukan dengan penghinaan dan kekalahan, apabila selatan (Lubnan) bangkit untuk menentang”.

Sehubungan itu, media Israel dengan lantang menyelar ia sebagai ‘lagu yang mengagungkan perjuangan Hizbullah’.

Israel dan Hizbullah yang disokong Iran berperang selama sebulan pada musim panas 2006, yang mana kemenangan berpihak kepada Hizbullah dengan pemimpinnya, Hassan Nasrallah, berkata dalam ucapan di televisyen pada Selasa bahawa perang itu adalah ‘paling sukar yang pernah kami alami’

“Kata-kata ini mewakili visi penyokong Hizbullah. Menurut mereka, tentera Israel telah dimalukan oleh organisasi itu dalam Perang Lubnan Kedua,” ulas media Israel merujuk kepada perang 2006.

Media Israel  juga menyatakan bahawa imej kereta kebal Israel yang musnah dipaparkan semasa konsert oleh Boutros di bandar pesisir selatan Lubnan, Tire – di mana Hizbullah mempunyai pangkalan sokongan yang besar.

Menteri Kebudayaan dan Sukan Israel, Chili Tropper sehubugan itu menyatakan kekesalan atas kejadian itu, berkata kementeriannya tidak mengetahui program festival itu.

“Festival itu tidak diadakan dengan pengetahuan dan kelulusan kementerian, sebaliknya melalui program kebudayaan perbandaran (berasingan)…yang merupakan bajet tetap yang dipindahkan daripada kementerian kepada semua pihak berkuasa tempatan di Israel.

“Kementerian tidak campur tangan dalam kandungan perayaan yang diadakan di lebih 250 pihak berkuasa tempatan,” katanya

Sementara, Datuk Bandar Arraba, Omar Nassar berkata, lagu-lagu yang dimainkan pada festival itu tiada kaitan dengan Hizbullah, menjelaskan bahawa salah satu persembahan di situ memilih untuk memainkan lagu berunsur politik oleh Julia Boutros.

Boutros yang berasal dari selatan Lubnan  merupakan isteri ahli politik Lubnan, Elias Bou  Saab, sebelum ini sudah banyak menyanyikan lagu yang menyokong perjuangan Hizbullah, khususnya di Lubnan. – HARAKAHDAILY 4/8/2022

Komen Weblog Ibnu HasyimArtis di Malaysia yang tolak rokok.. dan artis Lubnan yang pro-Hizbullah menyanyi di Israel.

Apa pun, mereka tetap berpihak kepada kebenaran.

Undilah PAS dan rakan kumpulannya!

PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015


Hibur Hibur Sikit

H2S Pilihan: 12 -Nasheed Paletine/Hamas..

Nasheed (song) about Palestine



Nasheed Hamas - lagu perjuangan al-quds Palestina



JUNDULLAH NASHEED LAGU JIHAD FISABILILLAH PEJUANG ALLAH MUJAHID AKHIR ZAMAN

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails