Saturday, November 26, 2022

Sebak, 3 keadaan: Muhyiddin, MB Perlis & rogol Trump..

 


1. Sebak rasa hati ini mengenangkan sokongan rakyat

KUALA LUMPUR: “Sebak rasa hati ini mengenangkan sokongan rakyat di atas jalan perjuangan ini,” ujar Pengerusi PERIKATAN NASIONAL, Tan Sri Muhyiddin Yassin menerusi laman Facebooknya, malam ini.

Katanya, beliau juga insan biasa, yang punya rasa sedih dan kecewa.

“Insan kerdil yang juga punya air mata,” tambahnya yang berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Pagoh pada Pilihan Raya Umum ke-15, Sabtu lalu.

Berikut tulisan penuh.

Sebak rasa hati ini mengenangkan sokongan rakyat di atas jalan perjuangan ini. Saya juga insan biasa, yang punya rasa sedih dan kecewa. Insan kerdil yang juga punya air mata.

Di saat memeluk isteri saya ini saya bukan sahaja merasa tenangnya hati, lapangnya dada, redha takdir Illahi.

Terngiang-ngiang laungan sokongan daripada anda semua ketika berkempen, dan komen-komen sokongan saudara saudari rakyat yang saya kasihi di media sosial.

Saya tahu. Saya bukan sendiri. Bersama dengan saya adanya saudara saudari yang kekal berdiri. Memapah saya agar terus berjalan dan berlari di landasan perjuangan ini.

Saya insafi, perjuangan ini bukan milik saya. Perjuangan ini milik kita bersama, rakyat Malaysia.

Perjuangan murni yang didasari tekad menyelamatkan negara. Perjuangan demi kedaulatan agama, bangsa dan negara kita.

Usah kita bersedih hati. Sudah tentu jalan ini jalan yang sukar. Jalan ini jalan yang panjang. Kita tidak akan berhenti dari terus berjalan dek kerana ujian yang melanda.

Ingatlah bahawa obor perjuangan tetap terus menyala. Kuatkan semangat dan tabahkan hati. Jika kita sabar, dan berpegang teguh kepada amanah bangsa dan ikhlas dalam berjuang, insya-Allah akan sentiasa ada sinar di hujung jalan.

Pujuklah hati, bahawa esok hari masih ada. Kita bina Malaysia yang lebih baik dengan setiap kudrat yang ada, dalam apa jua kapasiti kita sekalipun. Ingatlah, Malaysia itu milik kita semua bersama.

Moga saudara saudari, sentiasa berada di dalam lindungan Allah SWT dan semoga perjuangan kita semua diredai Yang Maha Esa.

Terima kasih semua rakyat Malaysia.

Ikhlas daripada saya,
MUHYIDDIN YASSIN – HARAKAHDAILY 25/11/2022


2. Kerajaan Perlis harap tidak dipinggirkan kerajaan perpaduan  

Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli.

KANGAR: Kerajaan Perlis berharap kerajaan Pusat tidak meminggirkan negeri itu terutama dalam soal pembangunan, walaupun Perikatan Nasional (PN) menjadi pembangkang di peringkat Pusat.

Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli, berkata kerajaan Pusat adalah kerajaan perpaduan, bermakna perpaduan itu hendaklah bersama dengan semua negeri, termasuk Perlis.

"Perpaduan ini mestilah membabitkan semua dan tidak hanya di peringkat Pusat, di negeri juga perlu juga diberikan perhatian," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Pejabat Menteri Besar Perlis di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis, di sini, hari ini.

Mohd Shukri berkata demikian ketika ditanya mengenai perjalanan kerajaan Perlis selepas PN bertindak untuk menolak bersama kerajaan perpaduan menjadikan gabungan itu sebagai wakil pembangkang di Parlimen.

Pada masa sama, beliau mengucapkan tahniah atas pelantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10.

"Kami mengirim ucapan tahniah kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi laman sosial Facebook.

"Diharapkan beliau mampu menjalankan tugas sebagai Perdana Menteri sebaik mungkin dalam membawa amanah rakyat bersama," katanya.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) minggu lalu, PN Perlis berjaya membentuk kerajaan negeri selepas memenangi 14 daripada 15 kerusi DUN, selain 'menyapu bersih' tiga kerusi Parlimen di Padang Besar, Kangar dan Arau.

Kejayaan gemilang PN itu sekali gus menumbangkan Barisan Nasional (BN) yang mentadbir Perlis selama 65 tahun.


3. Kes rogol: Trump kena saman kali kedua 

Trump menafikan tuduhan rogol tersebut malah beliau menjelaskan tidak mengenali Carroll dan wanita itu bukan 'jenis yang diminatinya'. - Gambar fail AP

NEW YORK: Penulis, E Jean Carroll memfailkan saman kedua ke atas bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang didakwa memperkosanya pada 1990-an.
Carroll, 78, adalah antara orang pertama yang mengemukakan tuntutan undang-undang di bawah Akta Orang Dewasa Terselamat yang dikhususkan untuk individu berusia 18 tahun ke atas yang berkuat kuasa pada Khamis.
Wanita itu mendakwa kejadian tersebut berlaku di sebuah bilik persalinan gedung beli-belah mewah, Bergdorf Goodman di New York, kira-kira 27 tahun lalu.
Sebelum ini, bekas kolumnis majalah Elle tersebut pernah mengemukakan saman fitnah terhadap Trump selepas bilionair hartanah itu mendakwanya berbohong ketika dia mendedahkan kes tersebut pada tahun 2019.
Pada masa itu, Trump menafikan tuduhan rogol tersebut malah beliau menjelaskan tidak mengenali Carroll dan wanita itu bukan 'jenis yang diminatinya'.
Menerusi saman terbaharu tersebut, Carroll menuntut ganti rugi punitif yang tidak ditentukan untuk impak psikologi, penderitaan dan kesan kepada reputasinya.
Difahamkan, perbicaraan sivil untuk kes berkenaan dijadualkan pada 6 Februari depan. - Sinar Harian memetik agensi
Komen Weblog Ibnu Hasyim: Sebak, 3 keadaan: Muhyiddin, MB Perlis & rogol Trump..
(i) Sebak rasa hati ini mengenangkan sokongan rakyat. Ujar Pengerusi PN menerusi laman Facebooknya.
(ii) Kerajaan Perlis harap tidak dipinggirkan kerajaan perpaduan di bawah PM baru. Tidak seperti sebelumnya, kerajaan Persekutuan meng'anak tiri'kan kerajaan pembangkang PAS hanya kerana Melayu-Islamnya, tidak seperti Pulau Pinang, Selangor dan lain-lain.
(iii) Penulis, E Jean Carroll memfailkan saman kedua ke atas bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang didakwa memperkosanya pada 1990-an.
Hal itu berlaku kerana politik di AS bukan politik madani berteraskan agama dan akhlak kemanusiaan. Maka timbullah tuduhan soal presiden merogol rakyat sendiri, yang lebih rendah akhlaknya dari binatang.
Sekian.

PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015

Friday, November 25, 2022

PN semak, imbang di Parlimen. Hang Jebat,, & 1 AP Sabah..

 


1. PN akan main peranan semak, imbang di Parlimen

KUALA LUMPUR: Pengerusi PERIKATAN NASIONAL (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin  menegaskan PN bakal memainkan peranan semak dan imbang dalam Parlimen Malaysia.

Dalam ciapan Twitternya pada hari ini, Jumaat (25 Nov), Muhyiddin berkata beliau ingin merakamkan ucapan tahniah buar Anwar yang telah dilantik sebagai Perdana Malaysia yang ke-10 oleh KDYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah. 

“Dengan Kerajaan Persekutuan kini diterajui oleh Pakatan Harapan (PH), PN akan memainkan peranan semak dan imbang dalam Parlimen Malaysia dengan membawa suara rakyat selaras dengan prinsip Demokrasi Berparlimen,” tegas beliau dalam ciapan Twitter tersebut.

“Bergerak ke hadapan, PN akan meneruskan perjuangan demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara berpandukan prinsip Prihatin, Bersih dan Stabil,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 25/11/2022

2. Menunggu Hang Jebat muncul di PWTC 

Annuar Musa (kiri) dan Noh Omar (kanan) ketika hadir memberikan sokongan moral dalam kempen Khairy Jamaluddin bersempena PRU15 di Central Mart Sungai Buloh, Selangor pada 8 Nov 2022. (FOTO: FMT)

BIAR pun Perdana Menteri ke-10, Dato’ Seri Anwar Ibrahim sudah mengangkat sumpah petang semalam, namun masalah besar sedang menanti Umno. Umno sanggup menodai keputusan Perhimpunan Agung Umno (PAU) tahun lepas.

Sedangkan naratif ‘No Anwar No DAP’ dijaja dalam tempoh begitu lama. Maka, tidak salah apabila ada pengacara program sembang politik menyebut seumpama sarkas. 

Apa yang disebut sebelum ini dibenam begitu sahaja. Malah,ada yang sebut semua itu kerana kemaruk kuasa. Bagi pengamat politik mereka tidak sukar membayangkan apa yang akan berlaku terhadap Umno selepas ini.

Ramai menyebut era sekarang kepimpinan Umno paling teruk sekali. Sejak parti itu ditubuh pada 1946, Umno sedang mengesot ke lembah dalam. 

Kalau bahasa kasar, kalau dibiarkan ia boleh mereput. Sedangkan Umno sebuah parti yang berjasa besar. 

Ia turut dipersoalkan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Hamid Mohamad. Katanya: “Selamat Tinggal Umno”. Adakah Annuar Musa, Noh Omar atau Khairy Jamaluddin sanggup menongkah arus?

Apakah mereka berani menjadi Hang Jebat? 

Pemimpin Umno dicatat dalam buku sejarah merintis kemerdekaan negara. Malangnya, sekarang ini parti yang sering disebut keramat itu semakin ditolak rakyat. Era kegemilangannya berlaku ketika Tun Razak menerajui negara. 

Ketika itu tanah-tanah di kawasan hulu dibuka. Penduduk miskin yang berminat meneroka tanah dibawa ke kawasan hutan belantara.

Di situ, mereka membanting tulang empat kerat. Hutan belantara akhirnya menjadi penempatan. Kemudian menjadi desa, sekarang ada yang sudah bertukar menjadi pekan atau bandar baharu.

Itulah kejayaan Umno ketika era Tun Razak. Bagaimanapun Tun Razak juga berdepan dengan suasana cemas. Umno hilang majoriti dua pertiga di parlimen pada PRU 1969. 

Pulau Pinang terlepas ke tangan pembangkang, Gerakan. Kelantan terus kekal di tangan PAS. Perak dan Selangor juga sukar untuk membentuk kerajaan kerana menang tipis.

Drama di Perak

Sejarah yang berlaku di Perak bukan hanya berlaku sekarang. Selepas PRU 2008 situasi lebih tegang. Pada PRU tersebut Pakatan Rakyat (PR) yang dianggotai DAP, PAS dan PKR menang 31 daripada 59 kerusi DUN pada PRU 8 Mac 2008.

Namun, pada 4 Februari 2009, tiga ADUN PR keluar daripada parti dan menjadi wakil rakyat Bebas yang menyokong BN. ADUN terbabit dari DAP dan PKR.

Tindakan itu menyebabkan kerajaan PR Perak hilang sokongan majoriti di DUN Perak. Menteri Besar bertukar daripada Nizar Jamaluddin kepada Dr Zambry Abdul Kadir. 

Situasi serupa berulang lagi selepas PRU 2018. Ketika itu Pakatan Harapan (PH) menguasai Perak, yang mana Ahmad Faizal Azumu dilantik sebagai Menteri Besar.

Bagaimanapun selepas Bersatu keluar daripada PH, kerajaan Perak juga bertukar warna, biarpun Menteri Besar masih orang sama.

Ketika itu ADUN PAS dan BN dilantik sebagai anggota Exco. Namun, selepas pemimpin Umno kembali berada dalam kerajaan negeri, mereka mulai bermain silap mata.

Dengan bilangan ADUN BN yang agak ramai, gerakan untuk menyingkirkan Faizal dimulakan. Permainan wayang Umno bermula. Pada 4 Disember 2020 usul undi percaya terhadap Menteri Besar gagal memperolehi sokongan majoriti ADUN. 

Usul itu dibawa ADUN Pengkalan Baru (BN) Abd Manap Hashim. Usul tersebut hanya mendapat sokongan 10 undi, berbanding 48 tidak menyokong dan satu berkecuali.

Ketika itu Perak mempunyai 59 ADUN iaitu 25 daripada Barisan Nasional, Bersatu (5), PAS (3), DAP (16), PKR (3), Amanah (5), Gerakan dan Bebas masing-masing 1.

Berdasar sejarah yang berlaku itu, Perak mempunyai dua Menteri Besar dalam tempoh satu penggal. Ia bukan perkara pelik. Ia berlaku pasca PRU 2008 dan PRU 2018. Dan pasca PRU 2022 juga ia boleh berlaku. 

Dan PRU ini PERIKATAN NASIONAL memiliki paling banyak kerusi iaitu 26 manakala PH (23) dan BN (9). Namun, Umno sanggup menghubam keputusan PAU 2021 yang jelas menolak Anwar dan DAP.

Apakah kerana kemarut kuasa Umno sanggup langgar PAU untuk membolehkan kerusi MB terus dibolot parti tersebut? 

Namun, ramai percaya situasi itu boleh berubah selepas Presiden Umno bertukar tangan. Seperti kata bekas Setiausaha Agung Umno Annuar Musa, dalam BN ketara wujud perbezaan pendirian. 

Beliau mendakwa ‘perancangan gelap’ sebelum ini untuk menyokong Anwar dan DAP dirancang sejak Julai-Ogos 2020.

Namun ia digagalkan kelompok lain yang berpegang keputusan parti ‘No Anwar-No DAP’,” katanya pada catatan di laman sosialnya. 

Tanpa ketua yang ada sekarang, ramai percaya kerajaan Perak boleh bertukar sekali lagi. Kemungkinan itu boleh berlaku biarpun ada akta larangan lompat parti. 

Usul undi percaya terhadap MB boleh berulang di Dun Perak. Keabsahan Saarani boleh diuji. Sekarang lapan ADUN BN sedang memerhati. 

Kehadiran empat ADUN dari DAP tidak mudah untuk ditepis MB. Lima daripada 10 anggota Exco yang dilantik bukan Melayu. Mampukah tiga anggota Exco dari Umno mempertahankan MB. 

Kesukaran hampir pasti. Lebih-lebih lagi ada anggota Exco dari Umno sekadar miliki sijil SPM, sedangkan dua Exco dari DAP merupakan peguam. 

Ia mendedah kepelikan kerajaan BN-PH muncul secara tergesa-gesa. Kita tengok drama seterusnya. – HARAKAHDAILY 25/11/2022


3. Hanya seorang Ahli Parlimen Sabah tidak sokong Anwar, Kerajaan Perpaduan 

KUALA LUMPUR: Dua Ahli Parlimen Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) sah menyertai Kerajaan Perpaduan ditadbir Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Mereka ialah Datuk Wetrom Bahanda Ahli Parlimen Kota Marudu serta Riduan Rubin (Parlimen Tenom).
Turut menyatakan sokongan ialah calon Bebas yang menang di kerusi Parlimen Kudat, Datuk Verdon Bahanda. Penyerahan surat sokongan kepada Anwar itu disampaikan Presiden KDM, Datuk Peter Anthony.
Dalam satu kenyataan di Facebook, Peter percaya pelantikan Anwar akan dapat menyelesaikan kemelut politik yang berlaku dan mengembalikan kestabilan politik negara.  ...
"Pilihan raya sudah berlalu, yang baik kita jadikan teladan dan yang buruk kita jadikan sempadan.
"Saya menyeru semua bersama-sama berganding bahu untuk membina Sabah dan Malaysia," katanya.
Dengan sokongan KDM, 24 daripada 25 Ahli Parlimen Sabah menyokong Anwar dan Kerajaan Perpaduan.
Hanya satu Ahli Parlimen iaitu Datuk Seri Ronald Kiandee kekal bersama Perikatan Nasional.
Pada PRU15, Ronald bertanding atas tiket PN di Parlimen Beluran dengan majoriti 1,594 undi menewaskan calon Barisan Nasional, Benedict Asmat Felix Joseph Saang (Pakatan Harapan), Rowiena Rasid (Parti Warisan) serta calon Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Hausing Samsudin @Sudin. 
Komen Weblog Ibnu HasyimPN semak, imbang di Parlimen. Hang Jebat, & 1 AP Sabah..
Tak sokong Anwar..

PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015

PN sah pembangkang. Muhyiddin menurut Barjoyai Bardai.

 

1. PN sah jadi pembangkang, tapi mahu rintis kerjasama lain

Selepas menyatakan keputusan enggan menyertai kerajaan perpaduan Perikatan Nasional (PN) petang ini menyatakan kesanggupan mereka bekerjasama dengan pendekatan lain.

Pengerusinya Muhyiddin Yassin berkata PN bagaimanapun terbuka untuk merintis kerjasama dalam bentuk lain dengan kerajaan.

Dalam kenyataan terbarunya ahli parlimen Pagoh itu berkata PN memang menghargai tawaran dibuat Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk membawa mereka menyertai kerajaan.

Namun, katanya, atas semangat untuk menyuburkan demokrasi dan melaksanakan peranan semak-imbang yang berkesan di parlimen PN berpendirian untuk tidak menyertai kerajaan.

"PN akan memainkan peranan sebagai pembangkang yang berwibawa untuk membawa suara rakyat ke parlimen," katanya.

Tambah bekas perdana menteri itu lagi PN juga akan memastikan perjalanan urus tadbir yang baik serta berintegriti selaras dengan dasar mereka iaitu prihatin, bersih dan stabil.

"Demi untuk memastikan kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat, PN bersedia untuk merintis bentuk-bentuk kerjasama yang lain dengan kerajaan dalam ruang lingkup hubungan kerajaan dan pembangkang," katanya.

Kenyataan itu memberi gambaran bahawa PN bersedia mencari persefahaman dengan Putrajaya melalui kaedah perjanjian berbentuk persefahaman yang pernah dimeterai Pakatan Harapan (PH) bersama perdana menteri terdahulu, Ismail Sabri Yaakob.

Memorandum persefahaman tersebut ditandatangani PH dan Ismail Sabri sebagai langkah memberikan kestabilan kepada kerajaan pusat selepas Malaysia menyaksikan berlaku tiga kali pertukaran perdana menteri selepas PRU ke-14.

Satu lagi cara kerjasama yang biasa dicapai di antara blok kerajaan dan pembangkang dalam negara demokrasi ialah perjanjian kepercayaan dan perbekalan (CSA).

Semalam Muhyiddin masih lagi bertegas untuk mencabar keabsahan Anwar selepas pengerusi PH itu mengangkat sumpah sebagai perdana menteri.

Muhyiddin yang sebelum ini mengumumkan PN memiliki sokongan majoriti ahli parlimen di sebalik kedudukan parti itu menjadi blok kedua terbesar selepas PH juga mahu Anwar membuktikan sokongan yang diperolehinya.

Anwar kemudian mengumumkan sidang Dewan Rakyat akan diadakan pada 19 Dis ini dengan agenda penting selepas majlis angkat sumpah ialah usul undi percaya kepadanya.

Menurut Anwar usul itu akan dibawa sendiri oleh kerajaan.

Isu kestabilan dalam kerajaan menjadi antara aspek utama yang ditekankan Yang di-Pertuan Agong dalam pelantikan kerajaan baru selepas PRU pada 19 Nov lalu.


2. Tindakan Muhyiddin di luar dugaan – Barjoyai Bardai

KUALA LUMPUR: Tindakan Pengerusi PERIKATAN NASIONAL (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mencabar Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengemukakan jumlah sokongan yang dimiliki bagi mengabsahkan jumlah yang diperoleh untuk jawatan Perdana Menteri ke-10 disifatkan sebagai di luar dugaan semua pihak.

Pakar ekonomi daripada Universiti Tun Abdul Razak (UniRazak), Prof Dr Barjoyai Bardai  berkata demikian sebagai mengulas kenyataan yang dibuat Muhyiddin dalam satu sidang media yang diadakan pada petang semalam (24 Nov).

“Hal ini kerana, apabila Yang di-Pertuan Agong bersama-sama Majlis Raja-Raja telah membuat keputusan (melantik Anwar sebagai Perdana Menteri baharu), maka keputusan perlu dijadikan keputusan umum yang perlu diterima oleh semua pihak,” ujarnya kepada HarakahDaily.

Menjelaskan lebih lanjut beliau menegaskan bahawa dalam perlembagaan Persekutuan juga tidak dinyatakan individu yang mempunyai sokongan yang mencukupi melalui akuan berkanun (SD) boleh menjadi perdana menteri.  

“Dalam perlembagaan Persekutuan hanya dinyatakan siapakah yang difikirkan paling layak menjadi perdana menteri,” jelasnya. 

Menurut beliau, perkara keabsahan itu bukan menjadi isu besar bagi pelantikan perdana menteri Malaysia ke-10.  

“Muhyiddin dan PN boleh sahaja mengemukakan bukti keabsahan ini dalam parlimen nanti melalui undi percaya atau tidak percaya yang akan dilakukan di dalam pertemuan pertama di parlimen,” ujarnya lagi.

Keliru konsep kerajaan perpaduan

Justeru, Barjoyai turut menimbulkan persoalan bahawa beliau sebenarnya agak keliru dengan konsep kerajaan perpaduan di Malaysia. 

“Definisi sebenar kerajaan perpaduan adalah sebuah kerajaan yang mengandungi semua ahli parlimen iaitu tidak mengira daripada parti mana mereka datang. 

“Jadi dalam kerajaan perpaduan tidak ada pembangkang, pembangkang akan ada dalam kerajaan sendiri,” tegas beliau.

Tambah Barjoyai, kewujudan kerajaan perpaduan merupakan satu tindakan yang kreatif dan inovatif. 

“Jikalau wujud kerajaan (perpaduan)  ini, pertamanya, kita boleh mengharapkan bahawa kabinet yang dilantik adalah meliputi semua wakil-wakil yang mempunyai kumpulan besar dalam ekonomi. Jadi, ia merupakan kumpulan profesional yang layak daripada pelbagai parti.

“Seterusnya melalui kerajaan perpaduan itu, ahli kabinetnya nanti tidak mengira seseorang itu terdiri daripada parti mana. 

“Jikalau ini dapat dilakukan, kita boleh mencapai satu keajaiban baharu, yang mana Malaysia mempunyai kabinet daripada berbilang parti,” jelasnya.

Namun begitu, ujar Barjoyai, tidak mustahil ada pihak yang mempersoalkan jika semua parti ada dalam kerajaan, siapakah pula yang akan menjadi pembangkang? 

“Pembangkang masih terus ada dalam parlimen kerana pembangkang boleh wujud dari dalam. Adalah mudah menjadi pembangkang dari dalam kerana setiap mereka mempunyai maklumat yang sama.

“Pembangkang dari luar mempunyai masalah kerana tidak ada previllage untuk mendapatkan maklumat-maklumat khusus tentang kerajaan,” katanya.  – HARAKAHDAILY 25/11/2022

Komen Weblog Ibnu Hasyim: PN sah pembangkang. Muhyiddin menurut Barjoyai Bardai.

Tindakan Muhyiddin mencabar Anwar kemukakan sokongan bagi mengabsahkan jumlah perolehan untuk PM-10 disifatkan sebagai di luar dugaan semua pihak. Mengapa?

PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015

Akur keputusan Agung -SU Agung PAS. & Gesa Anwar buktikan.

 


1. PAS akur keputusan KDYMM Yang di-Pertuan Agong

PAS mengucapkan syukur ke hadrat Allah S.W.T kerana kemelut kepimpinan negara pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) tidak berterusan dan dapat diselesaikan dengan harmoni dan damai. PAS menerima dengan redha dan hati terbuka segala ketentuan Allah yang tentunya mempunyai hikmatnya yang tersendiri.

PAS menjunjung kasih dan mengucapkan setinggi-tinggi tahniah ke hadapan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di atas kebijaksanaan melaksanakan fungsi Baginda berdasarkan kuasa yang diperuntukkan di bawah undang-undang khususnya dalam soal pelantikan Perdana Menteri berdasarkan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a), Perlembagaan Persekutuan.

PAS turut mengucapkan tahniah kepada YAB. Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang telah diperkenan dan dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia Ke-10. PAS yakin beliau akan melaksanakan tanggungjawab dengan baik, adil dan ehsan serta turut mengutamakan konsep federalisma yang wajar kepada seluruh negeri-negeri dan rakyat jelata.

Mengenai tawaran YAB. Perdana Menteri kepada PERIKATAN NASIONAL (PN) untuk menyertai Kerajaan Perpaduan pimpinannya, PAS mengucapkan terima kasih seterusnya dalam waktu terdekat akan membincangkan perkara ini dengan rakan-rakan komponen dalam PN di samping turut sama meninjau pandangan dan kesediaan rakyat khususnya para pengundi yang telah memberikan undi yang amat memberangsangkan kepada PAS dan PN dalam PRU-15 yang lalu.

“Malaysia Sejahtera”

TAKIYUDDIN HASSAN
Setiausaha Agung PAS 
Bertarikh: 25 November 2022 – HARAKAHDAILY 25/11/2022


2. PN gesa Anwar buktikan keabsahan sokongan   November 24, 2022 

TUJUAN saya memanggil sidang media ini adalah untuk menjelaskan beberapa fakta berkaitan dengan proses pelantikan Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum yang ke-15.

Sepertimana yang saudara dan saudari sedia maklum, saya telah pun dinamakan sebagai calon Perdana Menteri bagi PERIKATAN NASIONAL dalam pilihan raya yang barupun selesai berlangsung.

Alhamdulillah berkat sokongan rakyat dan izin Allah S.W.T PERIKATAN NASIONAL telah memenangi 73 kerusi iaitu 43 kerusi telah dimenangi oleh parti PAS dan 30 kerusi oleh parti BERSATU. 

Pada 20 November 2022 iaitu sehari selepas pilihan raya diadakan, Yang Dipertua Dewan Rakyat telah menulis surat kepada Presiden-presiden parti mengundang mereka untuk mengemukakan cadangan pembentukan kerajaan gabungan dan menamakan seorang Perdana Menteri yang mendapat kepercayaan majoriti Ahli-ahli Dewan Rakyat.

Cadangan ini mesti dikemukakan menerusi surat pada Istana Negara dengan menamakan Ahli-ahli Parlimen yang menyokong pembentukan kerajaan gabungan dan menamakan calon Perdana Menteri yang disokong oleh Ahli-ahli Parlimen tersebut. 

Pada hari yang sama Yang Dipertua Dewan Rakyat menulis satu lagi surat kepada Presiden-presiden parti meminta supaya cadangan pembentukan kerajaan gabungan tersebut mestilah disertai dengan Surat Akuan Bersumpah Ahli-ahli Dewan Rakyat yang memberikan kepercayaan kepada seorang Ahli Dewan Rakyat untuk dilantik sebagai Perdana Menteri yang ke-10. 

Tarikh akhir penyerahan semua dokumen ini ke Istana Negara menerusi e-mel dan aplikasi WhatsApp ialah pada 21 November 2022. 

Susulan itu PERIKATAN NASIONAL telah menghantar surat daripada Setiausaha Agung PAS, Pengerusi GPS, Pengerusi GRS dan Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Malaysia KDM yang menyatakan persetujuan untuk membentuk kerajaan gabungan bersama PERIKATAN NASIONAL. 

Turut dihantar ke Istana Negara ialah 114 Surat Akuan Ahli-ahli Parlimen yang menyatakan kepercayaan tanpa syarat kepada saya untuk dilantik sebagai Perdana Menteri. 

73 Ahli Dewan Rakyat PERIKATAN NASIONAL termasuk pecahan Ahli-ahli Parlimen tersebut adalah seperti berikut. 

73 Ahli Dewan Rakyat PERIKATAN NASIONAL, termasuk 22 yang bertanding menggunakan logo PAS di Kelantan dan Terengganu.

• 22 Ahli Dewan Rakyat GPS.

• 6 Ahli Dewan Rakyat GRS.

• 1 Ahli Dewan Rakyat KDM.

• 10 Ahli Dewan Rakyat Barisan Nasional.

• Dan dua Ahli Dewan Rakyat bebas.

Semua dokumen ini telah dihantar ke Istana Negara pada jam 1:28 petang pada 21 November 2022 iaitu sebelum masa akhir yang ditentukan untuk parti-parti  menghantar dokumen berkaitan ke Istana Negara seperti yang dikehendaki oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Setiausaha Sulit Kanan kepada ke bawah duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah mengeluarkan surat kepada Setiausaha Agung PERIKATAN NASIONAL pada hari yang sama mengesahkan penerimaan surat-surat akuan ini. 

Saya percaya pada masa itu saya telah mempunyai kepercayaan majoriti Ahli-ahli Dewan Rakyat untuk dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10. 

Namun lebih kurang jam 1:30 petang hari yang sama, pihak Istana Negara mengumumkan perlanjutan tempoh untuk Presiden-presiden parti mengemukakan Surat-surat Akuan Bersumpah untuk proses pelantikan Perdana Menteri sehingga jam 2:00 petang 22 November 2022. 

Pada jam 10:30 pagi, 22 November 2022, Setiausaha Agung PERIKATAN NASIONAL menghantar lagi Surat Akuan Bersumpah, Ahli Dewan Rakyat yang memberikan kepercayaan kepada saya untuk dilantik sebagai Perdana Menteri menjadikan jumlah Ahli Parlimen yang menyokong saya adalah seramai 115 iaitu melebihi majoriti mudah 112 orang untuk membolehkan saya dilantik sebagai Perdana Menteri.

Hari ini Istana Negara telah mengeluarkan kenyataan bahawa Yang Berhormat Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dikatakan mempunyai sokongan majoriti Ahli-ahli Dewan Rakyat akan dilantik sebagai Perdana Menteri. 

Demi keyakinan rakyat akan keabsahan Yang Berhormat Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri adalah sewajarnya beliau membuktikan bahawa beliau mempunyai sokongan majoriti Ahli-ahli Dewan Rakyat.

Ini hendaklah dibuktikan melalui proses yang telah ditetapkan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat dalam surat bertarikh 20 November 2022 iaitu dengan mengemukakan Surat-surat Akuan Berkanun, majoriti Ahli-ahli Dewan Rakyat. 

Itu adalah kenyataan yang telah pun saya bacakan, yang telah pun dipersetujukan oleh Majlis Tertinggi PERIKATAN NASIONAL sebentar tadi.

Di hadapan saya ini ialah sekali lagi saya buktikan segala Surat-surat Akuan Bersumpah yang telah pun diserahkan surat penerimaan daripada pihak Istana Negara menerusi Setiausaha Sulit Yang Dipertuan Agong iaitu Datuk Kapten Nazim bin Mohd Alim mengesahkan penerimaan dokumen-dokumen yang saya sebutkan tadi.

TAN SRI MUHYIDDIN YASSIN
Pengerusi Perikatan Nasional 

SESI SOAL JAWAB

Wartawan: Apa tindakan selanjutnya Tan Sri…. ?

TSMY: Ya tadi dalam kenyataan saya, saya telah meminta supaya Datuk Seri Anwar membuktikan keabsahan dia dengan dokumen-dokumen Akuan Bersumpah yang mengatakan dia mendapat sejumlah sokongan majoriti Ahli-ahli Dewan Rakyat. So kita nak tunggulah.

Tan Sri, Kenyataan PN bersedia untuk mempertimbangkan Kerajaan Perpaduan?

Pertamanya kenyataan yang kita buat ini tak ada hubung kait dengan soal pembentukan apa Kerajaan Perpaduan, pasal kita respond pada kenyataan Istana Negara tentang keputusan untuk melantik Datuk Seri Anwar. Jadi tak ada disebutkan di sini soal itu, yang itu yang telah pun kita umumkan itu keputusan kita jugalah. Ya tapi saya tak nak kaitkan itu dengan apa yang telah pun diumumkan oleh Istana Negara tadi.

Tan Sri, adakah Tan Sri akan  menggesa supaya Sidang Dewan Rakyat dilakukan dengan segera selepas ini?

Itu bukan soal saya. Ikut peraturan dan sebagainyalah. Terserah pada pihak Setiausaha Dewan Rakyat untuk memutuskan.

Tan Sri, Dato Sri Anwar Ibrahim dilantik sebagai Perdana Menteri ataupun tidak?

Saya cuma berpegang pada kenyataan daripada Istana Negara. Yang dalam Istana Negara itu saya baca berkali-kali, dia tak dikaitkan dengan soal pembentukan Kerajaan Perpaduan. Dia kata melantik Datuk Seri Anwar sebagai Perdana Menteri.

Tan Sri mengenai 10 SD yang difahamkan ditarik itu adakan BN memaklumkan selepas ditarik daripada PERIKATAN NASIONAL?

Yang itu kemudian itu kami tak tahu. Saya cuma rujuk pada tarikh 21 hari bulan, sebelum dateline pukul 2:00 petang, kita masuk 1:28 petang iaitu ikut kehendak daripada Speaker Dewan Rakyat. Dan di waktu kita bentangkan itu dan diabsah, diterima oleh apa Istana Negara pada hari yang sama, saya telah dapat membuktikan saya mempunyai sejumlah Ahli-ahli Dewan Rakyat menyokong saya 114 dan selepas itu ditambah lagi satu kerana Baram. Bila mana SPR mengumumkan keputusan kita menang kita tambah satu lagi. Jadi akhirnya jumlahnya 115.

Tan Sri, sekiranya Datuk Seri Anwar tidak mengemukakan SD beliau ada majoriti, apakah PN akan kemukakan sebarang undi tidak percaya di Parlimen?

Tak apa dulu. Kita nak tengok itu dulu. Biar bagi dia peluanglah. Kalau dia boleh buktikan, itu satu perkara ataupun pasal disebutkan di sini mesti dibuktikan dengan adanya Akuan Bersumpah. Kenapa dibuat begitu? Kerana kami dalam PERIKATAN NASIONAL mengikut arahan daripada Speaker Ahli-ahli Parlimen yang nak beri sokongan mestilah disokong dengan SD, bukan surat daripada langit ke mana-mana ke ataupun parti-parti kata kita sokong tak boleh pakai itu. Kata kalau ikut pandangan sayalah. Mesti ada dengan SD. Kalau hari itu saya hantar, saya kata ada 115 menyokong saya dan kata nama-nama saja tapi orang yang berkenaan tak menghantar surat sokongan. Mungkin Istana Negara boleh tolak. Pasal itu arahan daripada Speaker yang diberikan tanggungjawab menguruskan soal pemilihan ini, bukan? Jadi kami dah menyatakan tadi, kalau Datuk Seri Anwar kata dia punya bilangan cukup, yang menyebabkan Agong mengumumkan dia akan mengangkat sumpah sebentar lagi. Kami nak tahulah dulu. Bukan kami saja. Di seluruh Malaysia rakyat yang menunggu-nunggu ni nak tahu betul ke tidak? Apa buktinya. Saya fikir penting supaya nak mengelakkan keraguan atau menimbulkan keresahan, ketidakpuasan hati. Ini semua pun media pun nak tahu kan. So lebih lagi rakyat di luar sana yang dah lama menunggu tergantung untuk berapa hari nak juga tahu. Jadi supaya kita agak boleh boleh tahulah sama ada kenyataan itu berpandu kepada Perlembagaan ataupun sebaliknya.

(Sidang media khas PN sebagai reaksi keputusan pelantikan Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10) – HARAKAHDAILY 24/11/2022

Komen Weblog Ibnu HasyimAkur keputusan Agung -SU Agung PAS. & Gesa Anwar buktikan.

Al-hamdulillah!

PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015

Tipu Agong salah berat.-Annuar Musa. & Zahid, kata MCA.

 


1. Percubaan menipu Agong kesalahan amat berat

KUALA LUMPUR: Bekas Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Annuar Musa menyifatkan percubaan untuk menipu Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah adalah satu kesalahan yang amat berat.

Beliau mendakwa surat Pengerusi Barisan Nasional (BN) kepada Yang di-Pertuan Agong merupakan surat yang sekali lagi dibuat oleh orang yang sama seperti dilakukan pada Oktober 2020.

“Ketika itu kononnya semua Ahli Parlimen BN menyokong Anwar menjadi perdana menteri menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin. Ini satu pembohongan.

“Laporan polis patut dibuat agar penyiasatan dapat dibuat atas perbuatan tersebut terhadap Yang di-Pertuan Agong,” katanya pada lontaran di media sosialnya hari ini.

Annuar yang juga Ketua Umno Ketereh berkata, pada surat menyembah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong bahawa (Zahid) mempengerusikan mesyuarat BN pada 22 November 2022 dan mesyuarat memutuskan semua 30 ahli parlimen bersetuju menyokong Anwar sebagai perdana menteri.

Namun katanya apa yang berlaku sebaliknya, di mana dimaklumkan BN memutuskan tidak menyokong mana mana calon perdana menteri.

“Siapakah yang berbohong di sini? Rakyat menuntut penjelasan pemimpin pemimpin BN yang terlibat khasnya ahli mesyuarat Dewan Tertinggi BN.

“Rakyat dan ahli umno dan BN akar umbi juga harus bangkit memperbetulkan… jika benar ia telah dilakukan,” ujarnya.

Annuar yang juga bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata, sekiranya 30 Ahli Parlimen BN gagal menjunjung titah mengadap pagi tadi, mungkin langkah selanjutnya dengan menitahkan mengadap 115 MP yang menyerah akuan bersumpah (SD) mereka pada 1.20 tengah hari 21 November lepas.

“Sekiranya 115 ahli parlimen dapat mengesahkan SD masing-masing, maka PM boleh dilantik dan kerajaan boleh dibentuk.

“Semuanya kita serah kepada budi bicara Yang di-Pertuan Agong yang sangat bijaksana dan adil dalam semua situasi,” tambahnya. – HARAKAHDAILY 23/11/2022

2. Surat kepada Agong, Zahid tidak layak pimpin BN, kata MCA 

Datuk Chong Sin Woon

KUALA LUMPUR: MCA percaya Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid tidak lagi layak memimpin Barisan Nasional (BN) sebagai pengerusi, kata Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon.

Ini susulan surat yang dihantar Zahid kepada Yang di-Pertuan Agong, bertarikh 22 November 2022.

Beliau menegaskan bahawa isi kandungan surat bertarikh 22 November 2022 dengan menggunakan kepala surat (letterhead) BN yang ditandatangani Zahid selaku Pengerusi BN mengenai BN memberi sepenuh kepercayaan dan sokongan kepada Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10, bukanlah keputusan yang dibuat secara konsensus dalam Mesyuarat Dewan Tertinggi BN, pada 22 November (semalam).

Sebaliknya, kata beliau Dewan Tertinggi BN kekal dengan pendirian berkecuali dan tidak menyokong mana-mana pihak buat masa ini.

“Apa yang berlaku dalam Mesyuarat Dewan Tertinggi BN malam tadi, MCA dan parti-parti komponen BN telah mempersoalkan tindakan YB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang dilihat secara jelas bercanggah dengan apa yang diputuskan oleh Dewan Tertinggi BN,” ujarnya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pada mulanya Zahid cuba menafikan mengenai surat tersebut, namun mengakuinya selepas salah seorang anggota Dewan Tertinggi BN mengemukakan bukti sahih.

“Surat yang diserahkan kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong itu secara jelas melanggar ketetapan yang dibuat oleh Dewan Tertinggi BN dan dilihat mempersembahkan maklumat salah kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

“Justeru itu, MCA percaya YB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid tidak lagi layak memimpin BN sebagai Pengerusi dan sekali lagi menggesa agar beliau meletakkan jawatan secara terhormat seterusnya digantikan dengan YB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Bin Haji Hasan seperti yang disarankan dalam Mesyuarat Dewan Tertinggi BN malam tadi,” jelasnya. – HARAKAHDAILY 23/11/2022

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Tipu Agong salah berat. -Annuar Musa. & Zahid, kata MCA.

Annuar Musa menyifatkan percubaan untuk menipu Yang di-Pertuan Agong, adalah satu kesalahan yang amat berat. Beliau mendakwa surat Pengerusi BN  kepada YDP Agong merupakan surat yang sekali lagi dibuat oleh orang yang sama seperti dilakukan pada Oktober 2020.

PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015

Hina azan -Baru BN-DAP ambil Perak. A/Hadi-hikmah?

 



1. Baharu BN-DAP ambil alih Perak dah ada kes menghina azan

Manjung: Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka kertas siasatan membabitkan kes penghinaan terhadap laungan azan di sebuah masjid di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Polis (ACP) Nor Omar Sappi, berkata pihaknya menerima satu laporan polis pada jam 5.45 petang semalam.

Menurut Nor Omar, pihak polis kini menyiasat pemilik akaun Facebook dikenali sebagai 'Jacky Chan' yang memuat naik ciapan terbabit.

"Hantaran terbabit menyentuh sensitiviti dan kebebasan mengamalkan ajaran agama Islam. Perbuatan ini boleh menggugat keharmonian kaum di negara ini.

"Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana individu yang sengaja menggugat ketenteraman serta keselamatan awam," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. (1Media.My)


2. Segala yang berlaku pasti ada hikmah – Hadi  


KUALA LUMPUR  Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang percaya apa yang berlaku dalam proses pembentukan kerajaan Persekutuan hari ini pasti ada hikmahnya.

Menerusi hantaram di laman Facebook miliknya, beliau berkata, apa yang penting, jujur kepada rakyat, bersabar dan tetap istiqamah.

“Terima kasih kepada rakyat atas sokongan tidak berbelah bahagi. Kita telah berusaha sedaya upaya. Seterusnya Perdana Menteri perlu membuktikan sokongan sebenar yang diterima.

“Kepada rakyat, kami akan terus berkhidmat. Kepada negara, kami akan terus berbakti,” tulisnya.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri ke-10 di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Al-Sultan Abdullah memberi perkenan pelantikan itu selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Istiadat angkat sumpah berkenaan diadakan selepas Seri Paduka memperhalusi titah pandangan Raja-Raja Melayu yang berkenan berangkat menghadiri Perbincangan Khas Raja-raja Melayu di Istana Negara pagi tadi bagi membuat keputusan yang terbaik demi kepentingan dan kesejahteraan negara serta rakyat, lima hari selepas keputusan rasmi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Buat pertama kali dalam sejarah negara, keputusan pilihan raya umum berakhir dengan situasi Parlimen tergantung apabila tiada parti atau gabungan parti politik mendapat majoriti mudah bagi membentuk kerajaan Persekutuan.

Majoriti mudah untuk membentuk kerajaan adalah 112 kerusi.

PRU15 pada 19 Nov menyaksikan keputusan PH memperoleh 82 kerusi; PN 73 kerusi; BN (30); GPS (23); Gabungan Rakyat Sabah (enam); Warisan (tiga); Bebas (dua) manakala Parti Bangsa Malaysia dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) masing-masing menang satu kerusi.

Menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong agar parti dan gabungan politik mempertimbangkan penubuhan kerajaan perpaduan bagi mengakhiri kemelut pembentukan kerajaan pasca-PRU15, akhirnya hasil rundingan antara parti bersetuju dan menyokong pembentukan kerajaan perpaduan yang diterajui Anwar. – MalaysiaGazette


Komen Weblog Ibnu HasyimHina azan -Baru BN-DAP ambil Perak.  A/Hadi-hikmah?

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang percaya apa yang berlaku dalam proses pembentukan kerajaan Persekutuan hari ini pasti ada hikmahnya.

Menerusi hantaram di laman Facebook miliknya, beliau berkata, apa yang penting, jujur kepada rakyat, bersabar dan tetap istiqamah.

“Terima kasih kepada rakyat atas sokongan tidak berbelah bahagi. Kita telah berusaha sedaya upaya. Seterusnya Perdana Menteri perlu membuktikan sokongan sebenar yang diterima." Kata beliau.

PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails