Thursday, January 12, 2023

Indo lulus lapangan gas RM13.5 bilion. & Iran..

 

Lapangan Tuna dijangka mencapai pengeluaran kemuncak 115 juta pada 2027

1. Indonesia lulus pembangunan lapangan gas RM13.5 bilion

JAKARTA: Indonesia meluluskan rancangan pembangunan pertama lapangan gas luar pesisir Tuna dengan anggaran pelaburan AS$3.07 bilion (RM13.5 bilion) pada permulaan pengeluaran, kata pengawal selia minyak dan gas huluan, SKK Migas.

Lapangan Tuna, terletak di Laut China Selatan antara Indonesia dan Vietnam, dijangka mencapai pengeluaran kemuncak 115 juta padu kaki standard sehari (mmscfd) pada 2027, kata jurucakap SKK Migas, Mohammad Kemal.

Gas asli dari lapangan Tuna, yang dikendalikan oleh unit tempatan Harbour Energy yang disenaraikan di London, dijangka akan dieksport ke Vietnam bermula 2026, kata menteri tenaga Indonesia sebelum ini.

Pengerusi SKK Migas, Dwi Soetjipto, berkata selain manfaat ekonomi, pembangunan projek itu akan menjelaskan hak maritim Indonesia.

"Akan terdapat aktiviti di kawasan sempadan yang menjadi titik geopolitik paling panas dunia," kata Dwi dalam satu kenyataan.

"Tentera laut Indonesia juga akan terbabit untuk mengawal projek minyak dan gas huluan itu supaya dari segi ekonomi dan politik, ia menjadi satu pengesahan kepada kedaulatan Indonesia."

Aktiviti tenaga di Laut Cina Selatan sejak beberapa dekad kebelakangan ini dibelenggu pertikaian berhubung negara mana yang memiliki hak kedaulatan, dengan kerja oleh Vietnam, Malaysia dan Filipina dalam zon ekonomi eksklusif mereka diganggu oleh pengawal pantai atau kapal pengwasan marin China.

China menuntut kedaulatan ke atas hampir keseluruhan Laut China Selatan dengan memetik peta sejarahnya sendiri, mendakwa bahawa satu tribunal timbang tara antarabangsa pada 2016 tidak mempunyai asas perundangan.

Pada 2021, China meminta Indonesia supaya menghentikan cari gali minyak dan gas asli di wilayah maritim didakwa milik kedua-dua negara, kata individu yang rapat dengan perkara terbabit kepada Reuters pada masa itu. (-Reuters)

BERITA BERKAITAN


2. Iran keluarkan amaran wajib bertudung walau dalam kereta 

Gambar fail menunjukkan protes besar-besaran pada Oktober 2022 selepas kematian Mahsa Amini, 22, ketika dalam tahanan polis moral Iran kerana kesalahan memakai tudung. - Foto AP

TEHRAN: Polis Iran mengeluarkan semula amaran bahawa wanita wajib memakai tudung walaupun berada dalam kereta, lapor media tempatan hari ini.

Peraturan itu dikeluarkan ketika protes masih berterusan berikutan kematian Mahsa Amini, September lalu.

Iran dilanda beberapa siri protes sejak kematian seorang remaja wanita Iran-Kurdish, Mahsa, 22, 16 September lalu.

Mahsa meninggal dunia ketika dalam tahanan polis kerana dakwaan melanggar kod pakaian republik Islam itu untuk wanita.

Tehran secara amnya menggelarkan protes itu sebagai rusuhan.

Agensi berita Fars memetik seorang pegawai kanan polis yang berkata, pihak berkuasa itu melancarkan peringkat baharu program Nazer-1 iaitu pengawasan dalam bahasa Parsi.

Menurut Fars, program Nazer sebelum ini dilancarkan pada 2020 yang menumpukan terhadap kesalahan membuka tudung di dalam kereta.

Apabila ia dilancarkan pada 2020, pemilik kereta akan dihantar mesej ringkas yang memaklumkan mereka mengenai pelanggaran kod pakaian dalam kenderaan dan amaran tindakan undang-undang jika ia berulang.

Namun. melalui pentas media sosial, polis dilihat sudah menggugurkan ancaman membabitkan tindakan undang-undang.

"Anda diperhatikan jika membuka tudung di dalam kereta: Adalah penting untuk menghormati norma masyarakat dan memastikan tindakan ini tidak berulang," menurut mesej yang dihantar oleh polis, yang kemudiannya disiarkan di media sosial.

Polis moral Iran yang dikenali sebagai Gasht-e Ershad, atau 'Peronda Pembimbing' mempunyai kuasa untuk memasuki kawasan awam bagi memeriksa pelaksanaan ketat kod berpakaian.

Susulan protes itu, ramai wanita di daerah kelas atasan di ibu negara Tehran, serta di pinggir bandar selatan yang lebih sederhana dan tradisional, dilihat tidak ditahan walau membuka bertudung.

Sejak September, kenderaan rasmi polis moral jarang kelihatan di jalan di Tehran.

Pada awal Disember, Ketua Pendakwa Raya Iran, Mohammad Jafar Montazeri, dipetik berkata bahawa perkhidmatan polis moral sudah dimansuhkan.

Tetapi aktivis ragu-ragu mengenai kenyataannya itu, yang juga maklum balas segera selepas ditanya melalui sidang media, dan bukannya pengumuman daripada Kementerian Dalam Negeri. - AFP


3. Iran senarai hitam hampir 60 pegawai AS  

TEHRAN: Tehran menyenaraihitamkan hampir 60 pegawai Amerika Syarikat (AS) kerana didakwa terbabit dalam kes pembunuhan komander tertinggi Iran, Qassem Soleimani, lapor Xinhua, memetik Agensi Berita Mehr.

Dalam wawancara televisyen menjelang ulang tahun ketiga pembunuhan Soleimani, Menteri Luar Hossein Amir-Abdollahian, berkata Iran sedang menyiasat pembabitan pegawai berkenaan dalam pembunuhan itu.

Beliau mendakwa AS dan Barat menggugat usaha Iran untuk meneruskan kes itu secara sah, walaupun Tehran sudah mengambil langkah yang perlu.

Amir-Abdollahian berkata semasa rundingan Vienna baru-baru ini mengenai perjanjian nuklear 2015, Amerika menuntut bekas pegawai mereka dikeluarkan daripada senarai hitam Iran.

Soleimani maut dalam serangan dron berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Baghdad pada 3 Januari 2020 dan Iran mengutuk keras pembunuhan itu dan menyifatkan ia sebagai 'keganasan negara'.

Pada 8 Januari, Iran bertindak balas dengan melancarkan peluru berpandu ke pangkalan tentera AS Ain al-Asad di wilayah Anbar, Iraq. - BERNAMA

BERITA BERKAITAN

Wednesday, January 11, 2023

Jangan bazirkan wang negara begini.. K'tan X bazir. & Seleweng RM 92.5 billion?

 


1. ‘Jangan bazir duit negara cari kami’ – Ivan Beerkus

PETALING JAYA – Lelaki warga Russia, Ivan Beerkus yang didakwa menceroboh Menara Merdeka 118 sebelum ini memaklumkan dia dan pasangannya, Angela Nikolau sudah tidak berada di Malaysia.

Beerkus menerusi hantaran di Instagramnya sebentar tadi memohon pihak berkuasa supaya berhenti mencari mereka berdua.

“Jangan bazirkan duit negara untuk mencari kami di Malaysia. Kami sudah tidak ada di Malaysia lagi,” tulisnya.

Katanya lagi, usaha dia dan pasangannya itu untuk memanjat puncak menara tersebut bukan sesuatu yang mudah dan tujuan mereka adalah bagi meningkatkan keyakinan diri.

“Kami menunggu di tempat persembunyian kecil di dalam Menara Merdeka 118 lebih 20 jam dalam keadaan kehabisan air, makanan, selain tidak dapat menggunakan tandas serta meregangkan kaki atau bernafas di tengah-tengah semua habuk pembinaan.

“Persediaan kami untuk mendaki mengambil beberapa hari. Bangunan itu telah meningkatkan langkah keselamatan dan kami terpaksa membuat perancangan yang sangat kukuh,” jelasnya.

Terdahulu, Angela mendedahkan dia terpaksa menyamar termasuk memakai tudung dan mengenakan seragam pekerja bangunan untuk memastikan kehadirannya di menara berkenaan tidak dikesan oleh mana-mana pihak termasuk pengawal keselamatan. – KOSMO! ONLINE


2. Peruntukan RM180,000 bina rumah dhuafat setiap DUN 

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan memperuntukkan sebanyak RM20,000 bagi setiap DUN untuk disalurkan bagi memberi bantuan kepada mangsa banjir di negeri ini.

Timbalan Menteri Besar Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, melalui peruntukan itu bantuan disampaikan dalam bentuk makanan dan keperluan asas kepada mangsa banjir yang terlibat.

Katanya, kerajaan negeri sentiasa memberi bantuan kepada mangsa banjir termasuk melengkapkan keperluan yang tidak mencukupi di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

“Kerajaan negeri hanya membantu keperluan yang tidak mencukupi terutama ketika berada di PPS. Bagaimanapun, bantuan lain diselaras Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma),” katanya kepada pemberita selepas selesai menyerahkan kunci rumah dhuafa’ DUN Panchor, semalam.

Pada majlis sama, beliau turut menyampaikan sumbangan kerajaan negeri untuk pembinaan Masjid Al-Alaq, Panji sebanyak RM60,000.

Dalam perkembangan lain, Mohd Amar berkata, kerajaan negeri memperuntukkan RM180,000 kepada setiap DUN di Kelantan untuk projek pembinaan rumah dhuafa’ dalam tempoh setahun.

“Melalui peruntukan yang disediakan sebanyak empat rumah dibina dalam tempoh setahun kepada asnaf yang layak di setiap DUN.

“Pemilihan penerima rumah tersebut dilakukan penghulu dan pejabat Pusat Khidmat DUN bagi memastikan mereka benar-benar layak,” katanya. – HARAKAHDAILY 7/1/2023


3. Muhyiddin jawab isu fitnah seleweng RM 92.5 billion   

FITNAH TERHADAP BERSATU
1.YAB Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan telah membuat kenyataan bahawa Pakej Rangsangan Ekonomi bernilai RM600 billion telah diselewengkan oleh Kerajaan Perikatan Nasional (PN) semasa saya menjadi Perdana Menteri.

2. Kenyataan itu jelas palsu apabila mantan Menteri Kewangan kerajaan PN, YB Tengku Datuk Seri Utama Zafrul bin Tengku Abdul Aziz, mengesahkan bahawa segala perbelanjaan yang melibatkan 8 Pakej Rangsangan Ekonomi diurus secara telus. Kenyataan beliau boleh dibaca di sini.


Tengku Zafrul kini adalah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri dalam kabinet kerajaan PH-BN.  

3.Kemudiannya, isu RM600 bilion tidak disebut lagi. Ini kerana sebahagian besar daripada jumlah ini adalah berbentuk non-fiskal, iaitu bukan perbelanjaan dana kerajaan. Ini termasuklah moratorium bank dan pengeluaran KWSP yang tidak melibatkan wang kerajaan. 

4.Dana yang berbentuk fiskal, iaitu yang melibatkan wang kerajaan ialah sebanyak RM92.5 bilion. Semasa saya menjadi Perdana Menteri, jumlahnya RM83 bilion tetapi telah meningkat selepas itu. 

5. Kerana itulah, tohmahan yang dilemparkan kepada saya dan BERSATU kini tertumpu kepada dakwaan penyelewengan dana berjumlah RM92.5 bilion. Kononnya, saya telah mengarahkan individu tertentu untuk mengutip 3%-5% komisen daripada keseluruhan dana ini untuk dimasukkan ke dalam akaun BERSATU. Jadi, atas andaian ini mereka memfitnah kononnya BERSATU mempunyai dana pilihanraya berjumlah RM4.5 bilion yang digunakan semasa PRU-15. 

6. Kerana itulah PN dikatakan berbelanja besar dan mewah semasa PRU-15 yang lalu sehingga ada pemimpin politik BN menuduh PN membeli undi untuk menang.

7. Ini adalah suatu pembohongan maha dahsyat yang disandarkan kepada cerita rekaan atas rekaan. Penyelewengan dana RM92.5 bilion itu adalah satu rekaan. Perbelanjaan fiskal di bawah pakej-pakej rangsangan ekonomi bukan dalam bentuk projek yang boleh diselewengkan, tetapi sebahagian besarnya adalah pemberian tunai langsung kepada rakyat (direct cash transfer) seperti Bantuan Prihatin Nasional (BPN), Geran Prihatin dan Subsidi Upah. Bagaimana dana ini boleh diseleweng jika ia merupakan pemberian tunai langsung kepada rakyat?

8. Kutipan komisen 3%-5% daripada perbelanjaan fiskal ini juga adalah rekaan. Bagaimana saya boleh kutip komisen daripada perbelanjaan ini? Adakah 10.6 juta rakyat yang menerima BPN memberi komisen kepada saya? Adakah 2.96 juta pekerja yang menerima subsidi upah memberi komisen kepada saya? Tentu sekali tidak.

9. Jadi kalau mereka tidak memberi komisen kepada saya seperti yang didakwa, dari mana datangnya RM4.5 bilion untuk BERSATU yang kononnya diseleweng daripada dana RM92.5 bilion itu? Ini jelas merupakan satu cerita rekaan yang karut dan merepek. Hakikatnya, tidak ada dana RM4.5 bilion dalam akaun BERSATU atau akaun saya. 

10. Sebagai sebuah parti politik, BERSATU mempunyai dana hasil sumbangan pihak-pihak yang menyokong perjuangan BERSATU. Akaun parti BERSATU diurus secara telus di mana setiap terimaan dan perbelanjaan direkod, diaudit dan dibentangkan dalam Perhimpunan Agung Tahunan mengikut kehendak perlembagaan parti dan Akta Pertubuhan 1966. 

11. Sumbangan untuk dana pilihan raya juga dimasukkan ke dalam akaun parti. Walaupun negara kita masih belum mempunyai undang-undang pendanaan politik, saya percaya setiap sumbangan yang diterima oleh BERSATU tidak menyalahi mana-mana undang-undang atau peraturan yang sedang berkuatkuasa.

12. Mengenai perbelanjaan pilihan raya PN yang dikatakan mewah dengan bendera, baju dan “merchandise” yang banyak, saya hendak ceritakan perkara yang sebenarnya. Sebagai langkah penjimatan, BERSATU telah mencetak bendera dan merchandise PN secara “bulk order” dua tahun lebih awal dengan kos hampir empat kali ganda lebih murah berbanding jika ia dicetak hampir dengan tarikh pilihan raya.

13.Sebab itulah PN membuat keputusan untuk tidak menukar bendera dan logo yang digunakan dalam PRU-15 walaupun ada cadangan sedemikian. Ini kerana kita telah menyimpan stok lebih awal. Jika hendak dicetak semula, semua stok yang ada akan dibazirkan selain perlu menanggung kos yang berkali ganda lebih tinggi untuk mencetak bendera dan “merchandise” yang baharu. PN tidak ada dana untuk tujuan itu.

14. Jadi, janganlah reka cerita palsu dan menabur fitnah kononnya BERSATU mempunyai dana berbilion ringgit semata-mata untuk mencemarkan imej BERSATU dan PN.

15. Apa motif PH-BN hampir setiap hari melemparkan tohmahan terhadap PN dan secara berterusan melakukan witch-hunting? Yang terkini, penahanan reman Timbalan Ketua Bahagian BERSATU Segambut untuk tujuan siasatan berkaitan dakwaan penyelewengan dana RM92.5 bilion juga dikaitkan dengan saya. 

16. Jawapannya mudah. PH-BN takut dengan bayang-bayang mereka sendiri. Mereka gelisah melihat PN mendapat sokongan sekurang-kurangnya 62% orang Melayu dan Bumiputera dalam PRU-15. Dengan tindakan BN bergabung dengan PH, sokongan kepada gabungan yang terbentuk atas pembohongan kepada pengundi ini akan lebih merosot, sepertimana yang terbukti dalam PRK Padang Serai dan PRK Tioman. 

17. Jadi saya fikir mereka gentar menghadapi kemaraan PN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang melibatkan enam buah negeri di Semenanjung Malaysia dalam tempoh beberapa bulan akan datang. Kerana itu, kerajaan PH-BN akan terus melakukan pembunuhan karakter (character assasination) terhadap PN dan saya dengan melemparkan pelbagai tohmahan jahat yang tidak berasas. 

18. Saya tidak menolak kemungkinan tohmahan penyelewengan RM600 bilion direka supaya tindakan undang-undang terhadap BERSATU dapat diambil dengan tujuan untuk melemahkan jentera pentadbiran BERSATU sehingga sukar menghadapi PRN akan datang. Saya harap ini tidak benar dan menyerahkan kepada pihak SPRM untuk menjalankan siasatan secara telus dan adil.

19. Saya yakin siasatan SPRM setakat ini akan mendapati bahawa tohmahan terdapat RM4.5 bilion dalam akaun BERSATU atau akaun saya adalah palsu. Saya tidak pernah mengambil walau satu sen pun wang yang bukan hak saya. 

20. Sehubungan itu, BERSATU akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada SPRM dalam menjalankan siasatan.

TAN SRI DATO' HAJI MUHYIDDIN BIN HAJI MOHD YASSIN
Presiden
Parti Pribumi Bersatu Malaysia
10 Januari 2023

Komen Weblog Ibnu HasyimJangan bazirkan wang negara begini.. K'tan X bazir. & Seleweng RM 92.5 billion?

Prihatin dan jangan bazirkan wang rakyat, apalagi melalui pencerobohan rakyat asing..

Ini bukti k'jaan PM10 gerun.. 3 perkara

 



1. Mengapa panas bila kami menjalankan tugas?

DAP dan parti Warisan (yang kalah di semua kerusi yang ditandinginya) Pulau Pinang mendakwa Ahli Parlimen Permatang Pauh Ustaz Muhammad Fawwaz Mohamad Jan telah bertindak melampau apabila berkunjung ke Sunway Carnival Mall Butterworth baru-baru ini atas alasan mahu berunding dengan pihak pengurusan berkenaan promosi jualan arak di premis Mall berkenaan.

Mengapa pula seorang Ahli Parlimen yang diangkat oleh rakyat tidak boleh menjalankan tugasnya mewakili suara rakyat?

Ustaz Fawwaz sendiri menyatakan yang beliau menerima aduan dari pengunjung Muslim yang tidak selesa dengan promosi arak secara besar-besaran di premis berkenaan. Salahkah beliau mewakili kepentingan rakyatnya sendiri?

Kononnya menurut ADUN DAP Daniel Gooi Ahli Parlimen PAS itu tidak punya ‘locus standi‘ atau hak perundangan untuk campur tangan dan keberadaannya di premis itu mengganggu ketenteraman awam.

Adakah seorang Ahli Parlimen tidak berhak memperjuangkan kepentingan rakyat yang diwakilinya? Tiada konfrontasi atau ketegangan pun yang berlaku sepanjang kunjungan YB PAS itu, mengapa pula DAP dan Warisan yang kepanasan?

Malah menurut laporan pihak pengurusan telah duduk berbincang secara harmoni dengan YB dan akhirnya bersetuju membuat beberapa pengubahsuaian dalam tempoh seminggu.

YB bukannya melarang atau menghalang promosi arak kepada bukan-Muslim cuma beliau minta agar diadakan beberapa pengubahsuaian kerana Mall itu juga dikunjungi masyarakat Islam. 

Syabas YB kerana mengambil pendekatan berunding dan bersungguh membawa suara rakyat yang diwakilinya.

DAP dan parti nyamuk seperti Warisan janganlah panas dan meracau apabila Ahli Parlimen yang dipilih oleh suara rakyat menjalankan tugasnya.

Kita pernah lihat sebelum ini tindakan wakil rakyat DAP lebih agresif lagi sehingga memaki hamun dan mengganggu tugas penjawat awam. Lupakah kita insiden melibatkan bekas Ahli Parlimen Bentong DAP Wong Tak dulu, Ronnie Liu yang mengganggu pegawai polis dalam menjalankan tugas, begitu juga bekas ADUN DAP Pengkalan Batu, Melaka ketika beliau Exco dulu.

Ahli Parlimen Permatang Pauh tidak bertindak agresif malah mengambil pendekatan damai dan sivil. DAP jangan panas tetapi belajarlah dari kami.

ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR – HARAKAHDAILY 11/1/2023


2. Pusat agih bantuan banjir melalui JPP 

RANTAU PANJANG: Bantuan banjir yang diumumkan kerajaan Persekutuan sebanyak RM100 juta dikatakan akan disalur kepada Kelantan dan Terengganu melalui Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP).

Adun Gual Periok, Dato’ Muhammad Awang berkata, tindakan tersebut tidak sepatutnya berlaku kerana dianggap melanggar konsep federalisme diamalkan.

Menurutnya, walaupun kerajaan persekutuan dan negeri tidak sehaluan ideologi politik, namun tindakan tersebut tidak sewajarnya berulang semula.

“Kami difahamkan bantuan yang dijanjikan perdana menteri belum lagi sampai kepada rakyat dan dalam proses diberi kepada JPP bukannya kerajaan negeri.

“Nampaknya kerajaan PH-BN yang menguasai Putrajaya sekarang kembali semula kepada amalan politik era kerajaan Barisan Nasional yang mengamal diskriminasi kepada Kelantan,” katanya di sini.

Ketika meninjau lokasi banjir di Kelantan akhir tahun lepas Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bantuan segera banjir RM100 juta kepada mangsa banjir di Kelantan dan Terengganu.

Menurutnya juga bantuan awal akan diberi kepada mangsa banjir sebanyak RM1,000 satu keluarga dan bantuan kematian RM10,000 bagi setiap individu terlibat.

Jajahan Rantau Panjang dan Pasir Mas antara kawasan yang terjejas akibat banjir pada akhir tahun lepas.

Mohamad yang juga Timbalan Yang Dipertua PAS Rantau Panjang bagaimanapun menyambut baik hasrat kerajaan persekutuan untuk meneruskan Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok.

Beliau berkata, rakyat amat memerlukan pembinaan tebatan banjir melalui projek tersebut kerana ia mampu mengurangkan kesan limpahan air dari Sungai Golok yang berlaku setiap tahun. – HARAKAHDAILY 9/1/2023


3. Politik Penyatuan Ummah dijangka subur sepanjang 2023  

KITA meraikan kemasukan tahun 2023 dengan kerajaan baru di peringkat Persekutuan, Kerajaan Campuran PH-BN dan lain-lain yang diketuai Perdana Menteri ke-10 Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Peristiwa naiknya kerajaan ini cukup kontroversi namun demikian biarlah ia kekal dalam lipatan sejarah sehingga dibongkar kembali satu hari nanti.

Buat PAS yang penting walaupun haknya melalui PN untuk menubuhkan Kerajaan Persekutuan ternafi, PAS sesungguhnya mencatatkan beberapa pencapaian besar yang pasti akan ia usung dan lonjakkan lagi sepanjang 2023 bagi merintis jalan membuka laluan buat kemenangan yang lebih bermakna.

PAS melangkah gagah tahun 2023 dengan rekod 43 Ahli Parlimen, di samping menguasai Kerajaan Negeri Perlis selain Kedah, Terengganu dan Kelantan. Ia hampir menguasai Pahang dan Perak, sekali lagi ternafi lantaran perkembangan di luar kawalan.

PAS melalui PERIKATAN NASIONAL berjaya memperolehi 56 peratus sokongan pengundi Melayu Islam atau Bumiputera seluruh negara sekali gus menggantikan Umno sebagai wakil sebenar suara umat Melayu Islam dalam negara.

‘Green wave‘ atau Gelombang Hijau yang membawa kemenangan besar buat PAS dan PN dikaitkan dengan kebangkitan undi Melayu Islam, iaitu blok kaum terbesar dalam negara, yang ternyata bangkit menuntut mahukan kualiti kepimpinan Melayu Islam yang lebih tinggi dan boleh memperjuang serta menjamin nasib dan masa depan mereka.

Mereka sedar dan insaf bahawa kuasa politik umat Melayu Islam mestilah disatukan, tidak lagi berpecah sehingga akhirnya menjadi lemah dan terpaksa tunduk pada tekanan puak lain. Mereka dambakan Penyatuan Ummah yang mengembalikan maruah dan harga diri umat Melayu, tidak lagi dikaitkan dengan kepincangan dan ketempangan kepimpinan yang hanya membawa aib buat semua dan dijadikan bahan senda gurau rakyat dan dunia luar.

Ternyata PN yang didominasi PAS menjadi pilihan mereka sehingga meletus Gelombang Hijau tadi membadai seluruh negara.

2023 pasti akan menyaksikan pencapaian lebih besar mereka yang bersama Gelombang Hijau ini, tambahan nanti akan ada Pilihan Raya Umum Negeri ke-15 untuk enam buah negeri iaitu untuk Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.

Kerajaan Campuran PH-BN ini bukan pilihan umat Melayu Islam. Dan Kerajaan Perdana Menteri ke-10 yang memuatkan campuran parti-parti yang sebelum ini musuh tegar dijangka akan terus porak-peranda dan lebih tertumpu pada isu-isu dalaman yang meruncing.

Justeru Gelombang Hijau tadi diyakini akan memastikan Kedah, Kelantan dan Terengganu terus kekal malah dengan lebih kukuh lagi, manakala Selangor dan Negeri Sembilan akan cuba dirampas dari PH. 

Kerusi-kerusi majoriti Melayu Islam di Pulau Pinang dijangka akan dikuasai PN menjadikan Kerajaan Negeri Pulau Pinang di tahun 2023 nanti cukup tercabar.

Rugilah jika parti kita parti Melayu Islam, yang berjuang untuk memartabatkan Kebangsaan Melayu dan agama Islam, tiba-tiba kita memilih untuk melawan arus, enggan meluncur bersama gelombang besar ummah ini.

Kiranya menurut rekod, Umno telah membuat pilihan itu. Dalam PRU Parlimen ke-15 Umno memilih untuk ‘go solo‘ menentang PH dan PN dengan sangkaan mereka akan mampu bangkit kembali dan menguasai Putrajaya setelah menang bergaya dalam PRN Melaka dan Johor.

Terbukti keputusan pimpinannya itu banyak melukakan hati ahli-ahli akar umbinya yang lebih yakin dan percaya untuk bersama politik Penyatuan Ummah bukannya politik pecah-belah.

Ahli-ahli dan sebahagian pimpinan Umno sendiri sudah selesa menjalin hubungan dengan PAS, tetapi atas kemahuan pimpinan mereka terpaksa melepaskan genggaman tangan persahabatan bersama PAS.

PRU15 itu menyaksikan bahawa bacaan politik pimpinan Umno itu silap dan tersasar sehingga akhirnya Umno cuma mampu bertahan di 26 kerusi, pencapaian terburuknya dalam sejarah sejak Merdeka. Mereka juga hilang sokongan pengundi Melayu Islam yang selama ini berdekad-dekad di belakang mereka.

Lebih memilukan apabila dengan hanya 26 kerusi itu pimpinan tertinggi yang sama menyeret pula Umno untuk bergabung dan memberi nyawa pada PH sehingga naik Anwar sebagai Perdana Menteri ke-10. 

Walau dalam PH itu ada DAP, Anwar akan jadi Perdana Menteri, unsur-unsur yang diikrarkan akan ditolak Umno sebelum ini, tetapi sekali lagi ahli-ahli dan pimpinan dipaksa menerima dengan berat hati.

Malang agenda peribadi pimpinan tertingginya lebih penting dari perjuangan sebenar Umno. Umno sudah bukan macam Umno dahulu lagi.

2023 dijangka akan menyaksikan ahli dan penyokong Umno termasuk sebahagian pimpinannya akan bertindak lebih rasional dan berkemungkinan kembali bersama menegakkan panji-panji politik Penyatuan Ummah, jalan perjuangan sebenar yang sepatutnya didukung Umno. 

Jika terpaksa meninggalkan pimpinan tertingginya sekalipun, 2023 bakal menyaksikan perubahan besar berlaku dalam Umno. Jika tidak Umno akan hanyut, dihanyutkan oleh PH yang didominasi DAP yang menunggu-nunggu untuk melihat Umno roboh dan pupus, manakala PKR pula tidak sabar mentalqinkan Umno.

Gelombang Hijau yang melonjak dan membawa arus perubahan ini bukannya gelombang yang ditaja sesiapa atau gelombang yang dibuat-buat. Ia cetusan hati nurani dibina atas semangat kesungguhan dan keikhlasan umat Melayu Islam yang mahukan perubahan demi agama dan bangsa. 

Ia ‘real‘ dan sepatutnya pasca PRU15 Parlimen baru-baru ini telah membuka mata semua pihak khasnya Umno, malang Umno terus tidak pandang serius walaupun Umno telah dilemahkan selemah-lemahnya oleh Gelombang Hijau ini.

2023 sebagaimana dinyatakan akan melihat 6 Pilihan Raya Negeri, dengan realiti semasa Umno agak sukar bangkit kembali di Kedah, Kelantan dan Terengganu setelah kalah di semua kerusi Parlimen di tiga-tiga buah negeri berkenaan.

Calon-calon Umno juga semua kecundang di Selangor dan Pulau Pinang, bagaimanakah agaknya nasib mereka dalam Pilihan Raya Negeri pula nanti?

Apakah tsunami ‘Gelombang Hijau’ ini akan terus bermaharajalela sepanjang 2023 nanti?

Selagi PH terus didominasi DAP, selagi Umno terus mengecewakan ahli-ahlinya dengan bersekongkol bersama Anwar dan DAP, tsunami ini tidak akan kendur atau lemah malah sebaliknya akan semakin bertenaga, menggunung tinggi membawa harapan umat Melayu Islam merubah landskap politik negara melalui Pilihan Raya di keenam-enam negeri nanti.  

2023 menjanjikan masa depan yang cerah buat politik Penyatuan Ummah, semoga ramai lagi akan berani dan bersama PN meluncur ke destinasi yang ditunggu-tunggu rakyat.

ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR – HARAKAHDAILY 6/1/2023

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Ini bukti k'jaan PM10 gerun.. 3 perkara

(i) Terasa panas bila Ahli Parlimen Permatang Pauh Ustaz Muhammad Fawwaz Mohamad Jan  menjalankan tugas..

(ii) Bantuan banjir yang diumumkan kerajaan Persekutuan sebanyak RM100 juta dikatakan akan disalur kepada Kelantan dan Terengganu melalui Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP). Takut ke?

(iii) Politik Penyatuan Ummah dijangka subur sepanjang 2023 mula gerunkan  kerajaan Persekutuan sekarang.

Ini baru 3 prkara, akan didedahkan lagi.. Tunggu!

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails