Friday, February 03, 2023

Negara Islam Madani Anwar.. PAS sokong, DAP? & Sweden-Erdogan.

 


1. DAP sudah menerima Negara Islam?

PADA 24 Januari 2023 yang lalu, genap dua bulan Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri Malaysia yang ke-10. Setelah bulan pertama berlalu, Anwar dilihat berusaha memulihkan imej dan membina keyakinan rakyat terhadap beliau dengan tindakan-tindakan bersifat populis. Manakala pada bulan kedua pula, Anwar mula menggagaskan model bernegara yang beliau ingin ketengahkan.

Seperti yang dijangka, Anwar menyegarkan semula model bernegara yang pernah beliau gagaskan sebelum ini, iaitu Negara Madani. Beliau telah menggariskan beberapa rangka kasar untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah Negara Madani. Gagasan Malaysia Madani yang dikemukakan oleh Anwar, telah disambut baik oleh banyak pihak termasuk rakan-rakan parti komponen PH dan BN di dalam Kerajaan Campuran.

Persoalan yang seharusnya ditimbulkan, adakah semua mereka memahami gagasan Malaysia Madani yang digagaskan oleh Anwar. Ketika memperkenalkan gagasan Malaysia Madani, Anwar tidak menjelaskan konsepnya dengan lengkap. Boleh jadi Anwar tidak mahu mereka memahaminya, kerana dibimbangi ada rakan-rakan parti komponen tidak bersetuju setelah mengetahui konsep ‘Madani’ yang sebenar.

Konsep Madani secara hakikatnya adalah merujuk kepada pembinaan negara yang bersumberkan kepada negara Madinah yang dibangunkan oleh Rasulullah S.A.W. Nama Madinah yang ditentukan oleh Rasulullah S.A.W kepada sebuah wilayah yang sebelumnya bernama Yathrib, bermaksud sebuah negara yang berteraskan agama (Islam). Dengan pengertian lain, Negara Madani merujuk kepada Negara Islam atau Islamic State.

Melainkan Anwar cuba memberi tafsiran yang berbeza, Negara Madani pada hakikatnya adalah negara yang mengambil model negara yang dibangunkan oleh Rasulullah S.A.W selama 10 tahun di Madinah, yang kemudiannya menjadi sebuah peradaban manusia yang agung lebih dari 1,500 tahun. Pembinaan sebuah Negara Madani sudah tentu mengambil contoh kaedah Rasulullah S.A.W membangunkan Negara Islam Madinah.

Sekiranya itulah gagasan Malaysia Madani yang mahu dibawa oleh Anwar, bermakna Anwar berhasrat untuk menjadikan Malaysia sebuah Negara Islam sebagaimana yang dibangunkan oleh Rasulullah S.A.W 1,400 yang lalu. Malah jika itulah hasrat Anwar, diyakini PAS bersedia mendukung gagasan itu, meskipun PAS tetap berada di blok pembangkang. Bagaimana pula dengan DAP, adakah mereka sudah boleh menerima Negara Islam?

DR MOHD ZUHDI MARSUKI
Ahli Jawatankuasa Kerja
PAS Pusat– HARAKAHDAILY 31/1/2023


2. Sweden 'jangan harap' sertai NATO jika benarkan perbuatan bakar al-Quran - Erdogan 

Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan bercakap semasa mesyuarat kumpulan partinya di Perhimpunan Kebangsaan Besar Turkiye di Ankara. - Foto AFP

ANKARA: Presiden Recep Tayyip Erdogan menegaskan semula semalam bahawa Turkiye tidak akan membenarkan Sweden menyertai pakatan tentera Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) selagi ia membenarkan bantahan yang mencemarkan kitab suci al-Quran.

Turki yang selama ini menangguhkan kelulusan keanggotaan Sweden dan Finland ke dalam pakatan tentera Barat itu berang susulan siri bantahan di Stockholm oleh aktivis yang membakar al-Quran di luar Kedutaan Turkiye dan menggantung patung berupa Erdogan.

Ia juga telah menangguhkan satu mesyuarat penting di Brussels yang sepatutnya membincangkan mengenai kemasukan kedua-dua negara Nordic itu ke dalam NATO.

"Sweden, jangan harap! Selagi anda membenarkan kitab suci al-Quran untuk dibakar dan dikoyakkan, dan anda melakukannya bersama pasukan keselamatan anda, kami tidak akan katakan 'ya' kepada kemasukan anda ke dalam NATO," tegas Erdogan dalam satu ucapan kepada penggubal undang-undang parti pemerintahannya.

Pegawai pemerintah Sweden menjauhkan diri daripada bantahan itu, yang dicetuskan oleh seorang aktivis anti-Islam berhaluan kanan yang membakar beberapa naskhah al-Quran di Stockholm dan Copenhagen, Denmark, menegaskan bahawa bantahan itu dilindungi oleh kebebasan bersuara.

Sweden dan negara jiran Finland telah meninggalkan berdekad ketidakselarasan dan memohon untuk menyertai NATO berikutan pencerobohan Russia ke atas Ukraine.

Semua anggota NATO kecuali Turkiye dan Hungary telah mengesahkan penyertaan mereka, tetapi keputusan sebulat suara diperlukan.

Terdahulu semalam, Menteri Luar Turkiye, Mevlut Cavusoglu berkata Ankara mempunyai lebih sedikit masalah dengan Finland menjadi anggota NATO berbanding jirannya Sweden.

Bagaimanapun, beliau menegaskan terpulang kepada pakatan tentera untuk memutuskan sama ada menerima satu negara sahaja atau kedua-dua negara Nordic itu bersama-sama - sesuatu yang kedua-dua negara komited.

Sekiranya NATO memutuskan untuk menangani proses keahlian negara jiran Nordic secara berasingan, "(Turkiye) sudah tentu akan mempertimbangkan semula (mengesahkan) keahlian Finland secara berasingan dan lebih baik, saya boleh katakan," kata Cavusoglu semasa sidang akhbar bersama dengan rakan sejawatnya dari Estonia di Tallinn.

Beliau tidak memberikan jangka masa.

Erdogan juga mengulangi bahawa pandangan Turkiye mengenai keahlian Finland adalah 'positif'.

"Tetapi ia tidak positif mengenai Sweden, itu harus diketahui," kata Erdogan. - AP


BERITA BERKAITAN

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Negara Islam Madani Anwar.. PAS sokong, DAP? & Sweden-Erdogan.

Ertinya, kalau benar 'Negara Islam Madani Anwar' disokong oleh PAS, adakah DAP juga akan menyokong negara Islam Malaysia? Sokong seperti Erdogan atau seperti Sweden??

Thursday, February 02, 2023

Cina, bukan asing -Abd Hadi. & Dayangku Intan, ahli PAS.

 

Abdul Hadi berkata, datuknya memiliki ramai anak angkat daripada kaum Cina, sama ada yang memeluk agama Islam ataupun tidak. - Facebook Abdul Hadi Awang

1. Masyarakat Cina bukan asing dalam kehidupan saya - Abdul Hadi


SHAH ALAM: "Kaum Cina bukanlah asing dalam kehidupan saya," kata Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.
Beliau berkata, datuknya memiliki ramai anak angkat daripada kaum Cina, sama ada yang memeluk agama Islam ataupun tidak.
"Mereka menjadi sebahagian daripada keluarga saya.
“Ketika berlaku Perang Dunia Kedua, terdapat pelarian Cina yang datang ke Pantai Timur.
“Datuk saya pernah menyelamatkan seorang pelarian Cina bukan Islam dan disembunyikan di kebunnya, ketika itu beliau merupakan seorang penghulu kampung,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya pada Ahad.
Jelas Abdul Hadi, salah seorang menantunya juga daripada kaum Cina, menunjukkan hubungan keluarga beliau dengan masyarakat kaum itu bukan perkara baru.
“Selepas Majlis Sambutan Tahun Baru Cina di Kuala Lumpur bersama pimpinan Perikatan Nasional dan Gerakan pagi tadi, saya terus pulang ke Kampung Rusila bagi meraikan sambutan Tahun Baru Cina bersama anak menantu sekeluarga.
"Jadikanlah perayaan ini sebagai salah satu cara untuk kita mengeratkan lagi silaturahim serta perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang bangsa dan kaum di Malaysia,” katanya.
Artikel asal di Sinar Harian
2. Dayangku Intan terima sijil keahlian PAS 
KUALA PILAH: Artis popular era 80-an, Dayangku Intan atau nama sebenarnya, Tengku Intan Tengku Abdul Hamid, 56, adalah antara empat penerima sijil keahlian PAS.

Beliau yang pernah menyertai PKR pada tahun 2012 mengumumkan menyertai PAS dan menyerahkan borang permohonan keahlian pada Disember lalu.

Selain Dayangku Intan, tiga lagi penerima sijil keahlian PAS ialah mantan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Datuk Dr Mohammad Fairus Khairuddin; mantan Ketua Pemuda Umno bahagian Seremban, Zool Amali Hussin dan dan mantan Ketua Umno cawangan Kampung Tengah, Anwar Omar.

Sijil tersebut diserahkan sendiri oleh Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam Majlis Semarak Gemilang Rakyat Bersama PERIKATAN NASIONAL (PN) di Ladang Alam Warisan, Kampung Tengah, Seri Menanti, di sini, semalam.

Terdahulu, Dayangku Intan menjadi ahli panel program Bual Bicara Santai bersama aktivis Bersatu, Che’gu Bard dan Zool Amali, manakala Badzli Bakar bertindak sebagai pemudah cara. – HARAKAHDAILY 

Komen Weblog Ibnu HasyimCina, bukan asing dalam kehidupan Abd Hadi. & Dayangku Intan, ahli PAS.

PAS bukan asing bagi masyarakat Malaysia yang berbagai kaum dan golongan kerjaya. Al-hamdulillah!

Konsert hiburan lawan syariat tetap diteruskan PM10..

 

Persembahan bertenaga BCL berjaya menggamatkan suasana Dewan Plenari, KLCC. - NSTP/Hazreen Mohamad

HALAMAN HIBURAN

1. BCL 'lemas' dalam emosi pada konsert di KLCC

KUALA LUMPUR: Penyanyi Indonesia, Bunga Citra Lestari bergelut dengan perasaan sedih dan rindu ketika menjayakan konsert BCL Blossom Intimate Concert di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Jumaat lalu.

Biarpun kelihatan riang pada awalnya, Bunga tidak dapat menahan air mata saat terkenangkan arwah suami yang juga pelakon kelahiran Malaysia, Allahyarham Ashraf Sinclair.

Kemunculan semula penyanyi berusia 39 tahun itu ke bumi Malaysia akhirnya menjentik setiap memori percintaan yang dibina bersama Allahyarham Ashraf.

Bagaimanapun, Bunga atau lebih mesra disapa BCL tetap meneruskan persembahan dengan lebih 20 lagu di hadapan lebih 2,500 penonton pada malam itu.

Pada konsert berkenaan, BCL turut berkongsi fasa perjalanan kehidupan sebelum dan selepas pemergian arwah suami tercinta.

Tampil megah di atas pentas dengan mengenakan gaun putih tepat jam 9 malam, Bunga atau lebih dikenali sebagai BCL menyuntik semangat penonton dengan dendangan lagu Sunny yang dipetik album Cinta Pertama terbitan 2006.

Persembahan pembukaan penuh bertenaga itu berjaya menggamatkan suasana Dewan Plenari, KLCC, malah BCL mengambil masa menyampaikan ucapan penghargaan kepada penonton.

BCL menjelaskan penganjuran konsert kali ini adalah berkonsepkan penceritaan kisah hidupnya baik dalam percintaan mahupun karier nyanyian.

"Saya sudah berasakan kepedihan yang teramat dalam, jadi lagu-lagu yang akan disampaikan ini adalah kisah hidup saya.

"Segala kisah hidup saya dituangkan dalam lagu yang akan disampaikan," katanya sebelum meneruskan persembahan dengan lagu Aku Tak Mau Sendiri, Saat Kau Pergi dan Kecewa.

Tidak lama selepas itu, BCL menjemput masuk anak didiknya yang juga pemenang tempat ketiga program realiti, X Factor Indonesia 2021, Danar Widianto.

Mereka saling berpadu suara menerusi lagu ciptaan Danar, iaitu Dulu dan diikuti dengan Pernah Muda petikan album BCL pada 2008 iaitu Tentang Kamu.

BCL menutup tirai persembahan segmen pertama dengan lagu Ingkar yang pernah dipopularkan pada 2006.

Memasuki persembahan segmen kedua, BCL tampil dengan untaian lagu yang lebih menyentuh jiwa dan emosi penonton.

Lebih lagi, segmen itu juga adalah penghormatan buat suaminya, Allahyarham Ashraf yang menghembuskan nafas terakhir pada 18 Februari 2020 akibat serangan jantung. 

BCL menampilkan konsert adalah berkonsepkan penceritaan kisah hidupnya baik dalam percintaan mahupun karier nyanyian. - NSTP/Hazreen Mohamad

BCL yang juga pelakon filem Habibie dan Ainun itu menyanyikan lagu Love Story, Tentang Kamu, Wanita Terbahagia, 12 Tahun Terindah dan Cinta Sejati.

Persembahan yang disertakan dengan paparan koleksi foto BCL bersama Allahyarham Ashraf itu turut membuatkan penonton sebak sehingga ada yang menitiskan air mata.

"Saya berasa sudah banyak diberi bahagia, jadi ini adalah momen untuk saya belajar lagi. Apa saya lakukan adalah berusaha menerima kenyataan.

"Tidak hanya saya sahaja yang mengalami kesusahan dalam hidup. Selepas beberapa bulan saya baru terima bahawa hal ini adalah nyata," kata BCL dalam nada sebak.

BCL kembali merancakkan suasana apabila mengambil peluang menyanyikan lagu daripada Datuk Sheila Majid berjudul Legenda sebelum mengakhiri persembahan segmen kedua dengan Cinta Sejati.

Persembahan terus meriah sebaik sahaja memasuki segmen terakhir yang menyaksikan BCL bermula dengan dua lagu rancak, iaitu Jangan Gila dan Aku Wanita.

Pada masa sama, penyanyi kelahiran Jakarta, Indonesia itu memperkenalkan lagu baharu berjudul Badai Telah Berlalu. Apa yang menarik, lagu itu diperdengarkan secara langsung buat kali pertama.

Kemeriahan konsert berterusan apabila BCL menyanyikan lagu duetnya bersama vokalis kumpulan Noah, Ariel iaitu Menghapus Jejakmu.

Biarpun Ariel tidak bersama dan hanya dipaparkan video nyanyiannya sahaja, segmen itu tetap menceriakan keseluruhan penonton.

BCL turut berduet dengan penyanyi baharu bernama Ray menerusi lagu Aku Dan Dirimu.

Penonton diberi kejutan pada persembahan penutup dengan menampilkan anak lelaki BCL, Noah Aidan Sinclair menerusi lagu Dance Tonight.

Pada persembahan itu, Noah memukau penonton dengan nyanyian rap dan kelincahannya menari di atas pentas sebelum mengundang sorakan gemuruh penonton.


2. ISLAM DAN MUZIK: BAYAN LINNAS SIRI KE-197

ISLAM DAN MUZIK

Mukadimah

Islam merupakan sebuah agama pertengahan yang amat menekankan aspek spiritualiti dan pembangunan rohani, tapi pada masa sama turut membenarkan penganutnya berhibur dan berseronok, selagi mana ia tidak melampaui batas-batas syarak. Keinginan untuk berhibur dan kecintaan kepada kecantikan serta keindahan merupakan fitrah insani yang telah ditetapkan oleh Allah SWT kepada hamba-hambaNya.

Terdapat satu hadith berkenaan salah seorang sahabat Rasulullah SAW bernama Hanzalah RA yang merasa takut dirinya telah menjadi munafiq, kerana beliau merasa lalai daripada mengingati Allah SWT dengan berhibur bersama keluarga beliau, setelah sebelumnya bermuhasabah dalam majlis bersama Nabi SAW. Baginda SAW bersabda:

يَا حَنْظَلَةُ سَاعَةً وَسَاعَةً وَلَوْ كَانَتْ تَكُونُ قُلُوبُكُمْ كَمَا تَكُونُ عِنْدَ الذِّكْرِ لَصَافَحَتْكُمُ الْمَلاَئِكَةُ حَتَّى تُسَلِّمَ عَلَيْكُمْ فِي الطُّرُقِ

MaksudnyaWahai Hanzalah! Ada masa untuk urusan keduniaan, ada masa untuk beribadah. Dan jika hati kamu sentiasa sama seperti kamu sedang mengingati Allah SWT, para malaikat akan bersalam denganmu dan memberi salam kepadamu di pertengahan jalan.

Sahih Muslim (2750)

Imam Nawawi sewaktu mentafsirkan hadith ini yang turut diriwayatkan dengan lafaz berbeza dalam Sahih Muslim, beliau menjelaskan bahawa kita tidak dituntut untuk beribadah sepanjang masa. Kerana itu apabila Hanzalah merasa risau dirinya telah munafiq kerana ‘lalai’ daripada mengingati Allah SWT, Rasulullah SAW menjelaskan bahawa ada masa diperuntukkan untuk ibadah, ada masa juga perlu diperuntukkan untuk kehidupan dunia dan berhibur bersama keluarga. (Rujuk Syarh Sahih Muslim, 17/66)

Terdapat juga athar daripada Ibn Shihab yang berkata:

رَوِّحُوا الْقُلُوبَ سَاعَةً وَسَاعَةً

MaksudnyaRehatkan hati-hati kalian, ada masa untuk urusan dunia, ada masa untuk urusan akhirat. (Lihat Ibn ‘Abdil Barr, Jami’ Bayan al-Ilm wa Fadhlihi, 1/434 dan Al-Maqasid al-Hasanah fima Isytahara ‘ala al-Alsinah, hal. 372)

Prinsip Halal dan Haram dalam Islam

Kami nukilkan di sini prinsip-prinsip Islam berkenaan halal dan haram daripada karya Dr Yusuf al-Qaradhawi, antara lain beliau menyebut:

  • Hukum asal sesuatu ialah harus (dibolehkan).
  • Kuasa halal dan haram adalah hak Allah SWT semata-mata.
  • Mengharamkan yang halal dan menghalalkan yang haram, sama dengan syirik kepada Allah SWT.
  • Pengharaman itu adalah disebabkan oleh kotor dan mudarat.
  • Dengan perkara halal, seseorang tidak perlu lagi kepada yang haram.
  • Apa yang membawa kepada perkara yang haram, hukumnya haram.
  • Haram membuat tipu helah untuk perkara yang haram.
  • Niat yang baik tidak boleh menghalalkan yang haram.
  • Memelihara diri dari perkara yang syubhah, iaitu yang samar-samar.
  • Sesuatu yang haram itu tetap haram untuk semua.
  • Darurat mengharuskan sesuatu yang dilarang. (Rujuk Halal dan Haram dalam Islam, hal. 5-38)

Nu’man bin Basyir RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ الْحَلاَلَ بَيِّنٌ وَإِنَّ الْحَرَامَ بَيِّنٌ وَبَيْنَهُمَا مُشْتَبِهَاتٌ لاَ يَعْلَمُهُنَّ كَثِيرٌ مِنَ النَّاسِ فَمَنِ اتَّقَى الشُّبُهَاتِ اسْتَبْرَأَ لِدِينِهِ وَعِرْضِهِ وَمَنْ وَقَعَ فِي الشُّبُهَاتِ وَقَعَ فِي الْحَرَامِ كَالرَّاعِي يَرْعَى حَوْلَ الْحِمَى يُوشِكُ أَنْ يَرْتَعَ فِيهِ

MaksudnyaSesungguhnya perkara halal dan haram itu jelas, dan terdapat perkara yang samar-samar (syubhah) antara keduanya, yang tidak diketahui oleh sekian ramai manusia. Barangsiapa yang memelihara dirinya daripada perkara yang syubhah, dia telah menjaga agama dan kehormatannya. Sesiapa yang termasuk dalam perkara syubhah, dia telah jatuh dalam perkara haram, seumpama pengembala yang mengembala binatang peliharaannya di sekitar kawasan larangan, lama-kelamaan akan jatuh ke dalamnya.

Sahih Muslim (1599)

Hadith ini menjelaskan bahawa daerah dan ruang lingkup perkara yang halal adalah sangat luas. Bahkan, ia lebih luas daripada daerah perkara yang haram. Hal ini dapat difahami daripada perumpamaan Rasulullah SAW yang membandingkan perkara haram seumpama kawasan larangan. Oleh itu, selain kawasan larangan tersebut ialah kawasan halal. Demikianlah betapa besar dan luasnya daerah perkara halal berbanding perkara haram.

 

Maksud Muzik Dan Nyanyian

Kami mulakan perbahasan muzik dan nyanyian ini dengan mengemukakan takrif dan definisi bagi istilah-istilah berkenaan muzik dan nyanyian yang sering digunakan dalam hadith dan juga oleh para ulama dalam kitab-kitab mereka.

  • Al-Ma’azif (مَعَازِفُ) merupakan kata jamak kepada مِعْزَفَةُ , yang bermaksud alat muzik. Ia turut dikenali sebagai الملاهي yang memberi maksud yang sama. (Rujuk Fath al-Bari, 10/55). Ibn Manzur dan Taj al-‘Arus menyebut: Al-Ma’azif ialah al-Malahi. Mufradnya ialah mi’zaf (مِعْزَف) dan mi’zafah (مِعْزَفَة) (Rujuk Lisan al-‘Arab, 9/244 dan Taj al-'Arus min Jawahir al-Qamus, 24/155 dan Mukhtar al-Sihah, hlm. 467)
  • Ibn al-Qayyim pula menyatakan: al-ma’azif adalah seluruh alat muzik atau permainan, dan ini tidak diperselisihkan lagi oleh ahli-ahli bahasa. (Lihat Ighathah al-Lahfan, 1/260)
  • Imam al-Zahabi pula berkata: al-ma’azif mencakupi seluruh alat muzik ataupun permainan yang digunakan bagi tujuan mengiringi sesebuah lagu atau sya’ir. (Lihat al-Siyar, 21/158 dan al-Tazkirah, 2/1337)
  • Imam al-Qahustani mentakrifkan kalimah al-Ghina’ (الْغِنَاءَ ) sebagai pengulangan suara beserta melodi dan intonasi dalam bersyair dan kombinasi tepukan tangan. (Rujuk Radd al-Mukhtar 6/349)
  • Menurut Ibn Khaldun, al-ghina’ merujuk kepada seni komposisi suara dengan kaedah menyusun suara mengikat nada yang tersusun. (Rujuk Tarikh Ibn Khaldun 1/534)
  • Bagi kalimah al-lahwu pula, Ibn Manzur mentakrifkannya sebagai sesuatu yang dijadikan alat atau wasilah , dan alat-alat muzik (al-malahi / الملاهي) pula termasuk di bawah kategori al-lahwu(Rujuk Lisan al-Arab 15/278)
  • Menurut Imam al-Qurtubi, al-ghina’ dari segi bahasa adalah meninggikan suara ketika bersyair atau yang semisal dengannya (seperti rajaz secara khusus). (Rujuk Kasyf al-Qina’47)

Antara nama-nama alat muzik yang disebut dalam hadith dan kitab para ulama’ ialah:

  • Al-Thunbur (sejenis alat muzik bertali seperti gambus)
  • At-Thabl (drum)
  • Al-Mizmar (seruling)
  • Al-Autar (gitar)
  • Al-‘Uud (sejenis alat muzik bertali seperti gambus)
  • Al-Duff (gendang)

Asalnya, perkataan muzik berasal daripada bahasa Greek, iaitu ‘muisike’ atau ‘mousa’. Ia juga dikatakan berasal daripada musica yang merangkumi seni muzik yang berbeza-beza dan alat-alat muzik seperti seruling, biola, gendang, dulcimer, kecapi, mandolin, simbal dan sebagainya. [1]

Dari sudut perspektif moden, muzik sepertimana yang disebut dalam Cambridge Dictionary ditakrifkan sebagai: “pattern of sounds made by musical instruments, voices, or computers, or a combination of these, intended to give pleasure to people listening to it” yang bermaksud bunyi yang terhasil daripada alatan muzik, suara, komputer, atau gabungan kesemua ini yang bertujuan memberikan ketenangan kepada pendengar.[2] Menurut Kamus Dewan pula, muzik bermaksud gubahan bunyi yang menghasilkan bentuk dan irama yang indah dan menyenangkan atau bunyi-bunyian yang terhasil daripada alatan.

PANDANGAN ULAMA BESERTA DALIL

  1. Fatwa yang mengharamkan muzik dan nyanyian.

Jumhur ulama dan fuqaha’ mengharamkan alat muzik. Cuma ada sebahagian mereka yang mengharuskan alat muzik tertentu dalam keadaan tertentu. Kami nukilkan di bawah antara pandangan-pandangan mereka:

  • Imam Malik pernah ditanya akan muzik dan nyanyian, dan beliau berkata hanya orang fasiq yang terlibat dengan aktiviti seumpama ini. (Rujuk Tafsir al-Qurthubi, 14/55)
  • Menurut Syeikh al-Islam Ibnu Taimiyah pula, mendengar nyanyian (atau alat muzik) menimbulkan mudarat yang dahsyat terhadap agama seseorang, tidak ada cara lain selain dengan menutup jalan agar tidak mendengarnya. (Rujuk Majmu’ al-Fatawa, 11/567) Beliau turut menambah, tidak harus menghasilkan alat-alat muzik, dan boleh untuk dihancurkannya disisi majoriti fuqaha; bahkan beliau menyebut bahawa alat-alat muzik merupakan arak kepada jiwa-jiwa manusia (Rujuk Majmu’ al-Fatawa, 22/140 dan 10/417)
  • Menurut Imam al-Nawawi, para ulama bersepakat atas haramnya upah yang diperoleh oleh penyanyi dalam aktiviti nyanyian. Ini juga pandangan Ibn Abidin dalam hasyiah beliau (Rujuk Syarh Sahih Muslim, 10/231 dan Radd Al-Mukhtar ‘ala Ad-Dur Al-Mukhtar, 6/424)
  • Imam Ibn Hajar al-Haitami pula setelah beliau menukilkan ijmak akan pengharaman alat muzik, telah menyatakan bahawa sesiapa yang menyatakan bahawa ada khilaf dalam isu ini, dia telah melakukan kesilapan atau dikuasai hawa nafsu, hingga ia memekakkannya dan membutakannya (daripada mendengar dan melihat kebenaran). (Rujuk Kaff al-Ri’aa, hal. 118)
  • Kata Ibn Qudamah, barangsiapa yang menjadikan muzik sebagai satu pekerjaan, atau mengambil kanak-kanak dan hamba untuk menyanyi dan dihadiri oleh orang ramai, maka orang seperti itu tidak diterima kesaksian daripadanya. Ini kerana muzik di sisi mereka yang tidak mengharamkannya, merupakan satu kebodohan, kerendahan dan menjatuhkan maruah. Manakala di sisi mereka yang mengharamkan muzik, ia merupakan satu dosa dan pelakunya dikira menzahirkan kemaksiatan dan kefasikan. (Rujuk Al-Mughni, 10/156)
  • Bahkan disebut oleh Imam Khatib al-Syarbini, bahawa merosakkan thunbur wajib dikenakan ganti rugi kerana ia merupakan alat yang membawa kepada maksiat. (Rujuk Mughni al-Muhtaj, 5/469)
  • Imam al-Qurthubi juga meriwayatkan pandangan al-Qaffal, bahawa tidak diterima penyaksian penyanyi dan penari. Tambah al-Qurthubi, oleh kerana itu, mengambil upah dan pendapatan daripada aktiviti nyanyian dan tarian juga tidak diharuskan. (Rujuk Tafsir al-Qurthubi, 14/56)
Ikuti sambungan seterusnya dalam..

ISLAM DAN MUZIK: BAYAN LINNAS SIRI KE-197..

Wednesday, February 01, 2023

PM10 silap lagi -Muhyiddin. Miskin bandar. Lantik rahsia. Bongkar!

 

Tan Sri Muhyiddin Yassin

1. Belum sampai 100 hari memerintah, satu lagi kesilapan Anwar 

KERAJAAN PH-BN pimpinan Dato’ Seri Anwar Ibrahim tidak bermula dengan langkah yang betul dari awal lagi. Janji tatakelola yang baik telah dikhianati apabila Anwar melantik Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang sedang berhadapan dengan tuduhan jenayah di mahkamah sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Ini dilakukan semata-mata kerana membalas “budi” Zahid yang berjaya memaksa ahli-ahli Parlimen BN memberi sokongan kepada Anwar sebagai Perdana Menteri.

Segala janji pilihan raya mengenai prinsip integriti ditolak ke tepi. Yang ada hanyalah sebuah transaksi politik yang berlandaskan amalan “you scratch my back, I scratch your back”.

Bukan setakat itu sahaja, janji Perdana Menteri tidak memegang jawatan Menteri Kewangan juga dibuang ke laut apabila Anwar melantik dirinya sendiri sebagai Menteri Kewangan. Ini satu lagi kesilapan Anwar yang tanpa segan silu bercakap tak serupa bikin.

Yang terbaharu apabila beliau melantik anaknya sendiri sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada Perdana Menteri. Tidak pernah berlaku dalam sejarah Malaysia seorang Perdana Menteri melantik anak sebagai penasihat. Pelantikan ini menjadikan slogan Reformasi yang dilaungkan oleh Anwar sejak lebih 20 tahun lalu sebagai omongan kosong.

Belum sampai 100 hari memerintah, Anwar telah mengkhianati semangat perjuangan Reformasi yang didukung oleh penyokong-penyokongnya sendiri.

Sebagai pemimpin parti pembangkang saya boleh saja mengambil kesempatan daripada kesilapan demi kesilapan yang dilakukan oleh Anwar dan kerajaannya. Tetapi sebagai rakyat biasa, saya tidak rela melihat maruah negara tercalar kerana keterlanjuran Perdana Menteri.

Masih belum terlambat untuk Anwar memperbaiki keadaan. Letak jawatan sebagai Menteri Kewangan. Fokus kepada tugas sebagai Perdana Menteri lebih-lebih lagi ketika rakyat dan negara sedang menghadapi waktu yang sukar.

Lagipun skandal 1MDB tercetus apabila Perdana Menteri pada masa itu, Datuk Seri Najib, adalah juga Menteri Kewangan. Anwar tidak patut mengulangi kesilapan yang sama.

Arahkan Zahid Hamidi supaya mengambil cuti sehingga kesnya selesai. Malulah rakyat Malaysia jika beliau ke luar negara bertemu pemimpin dunia atas tugasan rasmi sebagai Timbalan Perdana Menteri sedangkan kesnya masih dibicarakan di mahkamah. Apa agaknya tajuk berita di negara yang dilawatinya.

Akhir sekali, nasihatlah Nurul Izzah supaya meletak jawatan sebagai Penasihat Perdana Menteri. Saya percaya beliau seorang pemimpin wanita muda yang berbakat dan berpotensi besar. Janganlah pelantikan kecil yang tidak kena pada tempatnya ini menjadi titik hitam dalam perjalanan politiknya menuju masa hadapan yang mungkin lebih cerah.

Ini pandangan saya sebagai rakyat biasa.

TAN SRI MUHYIDDIN YASSIN
Presiden
Parti Pribumi Bersatu Malaysia – HARAKAHDAILY 30/1/2023


2. Selangor negeri miskin bandar 

DIANGGARKAN jumlah individu miskin di negeri ini dijangka meningkat kepada sekurang-kurangnya setengah juta orang termasuk isi rumah apabila sebanyak 157,000 keluarga asnaf diramal menerima bantuan Lembaga Zakat Selangor (LZS) menjelang 2030. – Utusan.

Miskin bandar hakikatnya lebih bergelut demi meneruskan kelangsungan hidup kerana hidup di kawasan dengan purata pendapatan yang sama namun menanggung kos sara hidup dan persaingan yang lebih besar di bandar.

Namun, tidak cukup dengan menilai kemiskinan bandar ini meliputi soal pendapatan keluarga sahaja malah ia merupakan suatu keadaan yang bersifat multidimensional.

Dalam satu kajian, Surwayati (2005) mentakrifkan kemiskinan multidimensional sebagai suatu keadaan kemiskinan yang meliputi beberapa aspek kehidupan yang lain seperti; kemiskinan harta, ketidakberdayaan (kuasa), kesukaran menghadapi situasi darurat, kebergantungan dan pengasingan.

Pembangunan yang rancak di Selangor sebagai pusat dan tumpuan ekonomi negara menunjukkan kepada pembangunan modenisasi yang baik dan seimbang.

Namun adakah pembangunan dan modenisasi yang rancak di Selangor ni disusuli dengan peluang pekerjaan yang banyak dan jika wujud peluang pekerjaan adakah gaji purata yang diperoleh seimbang dengan kos sara hidup di Selangor?

Adakah modenisasi yang wujud di Selangor membantu semua rakyat mendapat akses yang sama rata kepada pekerjaan, kediaman dan kehidupan yang baik?

Sayang sekali apabila Selangor yang sudah lama diperintah oleh parti yang mempunyai pakar formula ekonomi masih belum mampu memberi sesuatu kelainan yang dapat dibanggakan oleh rakyat Selangor.<

ZURK AHMAD
Naib Yang Dipertua
PAS Kawasan Hulu Langat – HARAKAHDAILY 31/1/2023


3. Miskin bandar bakal membuatkan Rafizi terduduk 

KEGAGALAN Rafizi selaku Menteri Ekonomi memberi kesan besar kepada masyarakat bandar yang menjadi pengundi teras kepada Pakatan Harapan selama ini.

Derita hidup masyarakat miskin bandar yang terseksa dengan kos sara hidup selama ini telah meletakkan harapan kepada PH untuk menyelesaikan masalah mereka.

Kehidupan miskin bandar ini terjerat dengan hutang-piutang seperti komitmen rumah, kenderaan, dan sebagainya. Bagi mereka, mempunyai simpanan yang mencukupi hanyalah mimpi dan angan-angan sahaja.

Namun, kegagalan Rafizi pada hari ini membuatkan mereka kecewa dan putus harapan kepada PH. Slogan politik selama ini tinggal retorik, harapan bertukar kepada kekecewaan dan mencetuskan kemarahan yang membuak-buak dalam kalangan mereka.

Pengkhianatan PH terhadap prinsip asas perjuangan mereka khususnya melantik ahli politik yang terpalit dengan kes mahkamah telah menambahkan lagi rasa kecewa mereka.

Pengundi teras PH kini sedang dalam keadaan yang rapuh sama ada terus memberikan sokongan kepada PH atau beralih arah kepada blok politik yang lebih praktikal, bersih dan stabil.

Teori Ekonomi Manusiawi versi Madani Perdana Menteri ke-10 lenyap ibarat debu di atas batu yang ditiup angin akibat daripada kegagalan Rafizi.

Malang nasib PH, diserang oleh ahli sendiri dan kini pengundi teras mereka bakal beralih pergi.

DR FIRDAUS AZIM
Ketua Penerangan Pemuda Selangor – HARAKAHDAILY 31/1/2023


4. Anwar mesti jelaskan siapa lagi lantikan rahsia 

Datuk Wan Saiful Wan Jan

KALAU tidak kerana Nurul Izzah terlepas cakap, satu Malaysia termasuklah penyokong Pakatan Harapan tidak tahu mengenai pembohongan Anwar Ibrahim, yang kononnya menentang kronisme, tetapi secara rahsia melantik anaknya sendiri sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada Perdana Menteri.

Padahal, Malaysia ini negara yang kaya dengan kepelbagaian dan telah melahirkan ramai pakar-pakar ekonomi dan kewangan tersohor tanah air. Kita ada anak Melayu, anak Cina, anak India, anak Kadazan, anak Iban dan pelbagai lagi. Tapi rupa-rupanya yang dipilih ialah anak Anwar! Untung jadi anak Papa!

Apa juga alasan Anwar dah tak relevan. Hakikatnya Anwar mengamalkan nepotisme.

Rakyat bukan mempersoalkan pro bono atau berbayar. Tetapi rakyat mempertikaikan kenapa lantik anak sendiri?

Rakyat pun tahu kuasa “Anak Perdana Menteri” apabila dilantik sebagai Penasihat rasmi, adalah kuasa yang besar. Rakyat persoalkan kuasa dan kedudukan yang diberi. Sama ada bergaji atau tidak adalah tidak relevan.

Saya menuntut Anwar segera nyatakan berapa ramai lantikan rahsia yang telah dibuat dan siapa lagi yang telah dilantik secara senyap-senyap

Saya juga menuntut Anwar jelaskan kenapa pelantikan Nurul Izzah dirahsiakan.

Selain itu, Anwar mesti jelaskan apa bidang kuasa yang diberi kepada Nurul Izzah.

DATUK WAN SAIFUL WAN JAN
Ketua Penerangan Bersatu Malaysia
Ahli Parlimen Tasek Gelugor
31 Januari 2023 – HARAKAHDAILY 31/1/2023

Komen Weblog Ibnu Hasyim: PM10 silap lagi -Muhyiddin. Miskin bandar. Lantik rahsia. Bongkar!

"Saya menuntut Anwar segera nyatakan berapa ramai lantikan rahsia yang telah dibuat dan siapa lagi yang telah dilantik secara senyap-senyap

Saya juga menuntut Anwar jelaskan kenapa pelantikan Nurul Izzah dirahsiakan." Tanya Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Ketua Penerangan Bersatu Malaysia.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails