Tuesday, February 14, 2023

Dikait menantu Muhyiddin? fiqh dominasi, & topeng madani..

 


1. Penjelasan Muhyiddin isu dakwaan kontrak dikait dengan menantu

SAYA merujuk kepada laporan portal Free Malaysia Today bertarikh 8 Februari 2023 yang mendakwa kononnya saya terlibat dalam pemberian kontrak Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) kepada syarikat IRIS Corporation Berhad yang dikaitkan dengan menantu saya.

Saya menafikan sekeras-kerasnya tuduhan ini. Ia adalah satu fitnah jahat yang sengaja direka untuk mencalar maruah saya dan keluarga.

Saya sebagai Perdana Menteri pada masa itu sama sekali tidak terlibat dalam proses penganugerahan kontrak NIISe kepada IRIS Corporation Berhad yang dijalankan secara tender terbuka. Proses perolehan kontrak dibuat mengikut tatacara perolehan biasa kerajaan di bawah seliaan Kementerian Kewangan dan kementerian yang berkaitan. Ia bukan berada di bawah tanggungjawab atau bidang kuasa saya sebagai Perdana Menteri pada waktu itu.

Selain itu, tiada mana-mana ahli keluarga saya mempunyai kepentingan dalam IRIS Corporation Berhad samada sebagai pengarah syarikat atau pemegang saham.

Bagaimana saya yang tidak mempunyai bidang kuasa dalam penganugerahan kontrak dan keluarga saya yang tidak ada sebarang kepentingan dalam syarikat yang dianugerahkan kontrak, ditohmah menyalahgunakan kuasa demi kepentingan diri dan keluarga?

Saya percaya ini adalah sebahagian daripada siri tohmahan jahat terhadap saya yang dilakukan oleh kerajaan PH-BN pimpinan Anwar Ibrahim. Tohmahan ini sengaja dibuat untuk menutup kepincangan melampau Perdana Menteri dan anggota kerajaannya melantik anak beranak dalam kerajaan termasuk dengan tanggungjawab dan kuasa untuk mengurus kontrak kerajaan. Amalan nepotisme ini tidak boleh ditutup dengan melemparkan tohmahan tidak berasas kepada orang lain.

TAN SRI MUHYIDDIN MOHD YASSIN
Presiden
Parti Pribumi Bersatu Malaysia – HARAKAHDAILY 9/2/2023


2. Kerajaan PH berdepan masalah fiqh dominasi 

GOMBAK: Kerajaan campuran yang diterajui Pakatan Harapan (PH) dianggap berdepan masalah fiqh dominasi apabila majoriti ahli parlimen kerajaan adalah dalam kalangan bukan Islam.

Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, berdasarkan fiqh dominasi, sepatutnya yang memimpin kerajaan adalah parti yang mempunyai bilangan kerusi terbanyak dan menggambarkan majoriti rakyat Malaysia.

Beliau berkata demikian semasa membentangkan kertas kerja Fiqh Al Nasri Wa Al Tamkin (Antara dominasi dan perkongsian kuasa) pada Liqa’ Fikri PAS Pusat di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM), di sini, hari ini. 

“Sepatutnya kerajaan campuran yang ditubuhkan dipimpin oleh PERIKATAN NASIONAL (PN) yang memimpin, bukan PH. Ini kerana PN didominasi oleh orang Islam apabila 74 kerusi yang dimiliki PN, hanya dua kerusi milik bukan Islam dan bumiputera.

“Berbeza dengan PH apabila 51 kerusi daripada 82 kerusinya adalah milik bukan Islam dan hanya 31 kerusi milik orang Islam.

“Jadi, bagaimana ahli parlimen orang Islam hendak memimpin kerajaan jika sebahagian besar daripada mereka adalah bukan Islam?” katanya. – HARAKAHDAILY 11/2/2023


3. Diskriminasi bertopengkan madani 

KERAJAAN madani yang ada hari ini nampaknya sedang mengamalkan dasar diskriminasi kepada negeri-negeri pembangkang.

Peruntukan disekat, agensi Kerajaan Persekutuan tertentu tidak dibenarkan berurusan dengan Ahli Parlimen Pembangkang termasuk agensi Kerajaan Negeri. 

Mesyuarat berkaitan pembangunan di daerah tidak dibenarkan jemput Ahli Parlimen Pembangkang. 

Semua arahan diskriminasi ini dipercayai berlaku secara lisan daripada YB Menteri berkenaan. 

Ada juga beberapa orang Menteri yang hadir ke negeri pembangkang atas nama Menteri, urusan rasmi kerajaan, tetapi tidak memaklumkan atau menjemput atau bertemu YAB Menteri Besar negeri berkenaan. 

(Hanya YB Senator Dato’ Seri Tengku Zafrul sahaja yang penuh beradab buat kunjung hormat bertemu YAB Menteri Besar Kedah baru-baru ini). 

Adakah konsep ‘madani’ membenarkan kita masuk rumah orang, duduk memasak di dapur, masuk bilik tidur orang, tidur atas katil orang ikut suka hati kita? 

Adakah konsep ‘madani’ hanya menghormati pengundi yang mengundi PHBN sahaja, dan menafikan hak rakyat lain yang tidak mengundi mereka?

Jika benar, maka dasar diskriminasi ini sudah lapuk, kuno dan ditolak oleh rakyat. 

Diskriminasi yang berselindung di sebalik nama ‘madani’ atau Perpaduan ini hanyalah semata-mata helah seolah-olah ada dendam kesumat membara yang sedang menyala dan membakar dengan penuh jahat. Amatlah pelik sekali.

Sepatutnya kita berlumba untuk buat baik. Bukannya berlumba-lumba untuk buat jahat. Melainkan jika memang benar-benar jahat. 

YB USTAZ AFNAN HAMIMI
Ahli Parlimen Alor Setar
10 Februari 2023 – HARAKAHDAILY 10/2/2023

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Dikait menantu Muhyiddin? fiqh dominasi, & topeng madani..

"Saya menafikan sekeras-kerasnya tuduhan ini. Ia adalah satu fitnah jahat yang sengaja direka untuk mencalar maruah saya dan keluarga." Jelas Muhyiddin.

Gangguan air, jangan lihat K'tan saja, ini S'ngor 1,335 kawasan. & Bau diesel.



1. 1,335 kawasan di Selangor, Kuala Lumpur dijangka alami gangguan bekalan air tidak berjadual

SHAH ALAM: Sebanyak 1,335 kawasan di lapan wilayah Selangor dan Kuala Lumpur dijangka mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual susulan empat loji rawatan air (LRA) terpaksa dihenti tugas selepas pencemaran bau dikesan di muka sauk LRA Rantau Panjang, Bestari Jaya, Kuala Selangor, malam tadi.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) berkata, empat LRA terbabit ialah LRA Rantau Panjang, LRA Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1), LRA Sungai Selangor Fasa 2 (SSP2) dan LRA Sungai Selangor Fasa 3 (SSP3).

"Lapan wilayah terjejas ialah Petaling membabitkan 370 kawasan dijangka mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual, Kuala Selangor (280), Gombak (279), Klang dan Shah Alam (189), Kuala Lumpur (186), Hulu Selangor (28) dan Kuala Langat (tiga)," katanya dalam kenyataan melalui Facebook Air Selangor.

Menurut Air Selangor, pihaknya akan memaklumkan perkembangan berhubung insiden itu dari semasa ke semasa.

"Pengguna boleh merujuk semua saluran komunikasi rasmi kami seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter, atau hubungi Pusat Perhubungan Air Selangor melalui talian 15300.

"Pertanyaan dan aduan juga boleh diajukan kepada Help Centre yang boleh didapati di laman: www.airselangor.com serta aplikasi Air Selangor," katanya.

Terdahulu, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) berjaya mengesan bau seperti diesel di muka sauk LRA Rantau Panjang, malam tadi.

Susulan itu, LUAS berkata, pihaknya sedang melaksanakan tindakan mengenal pasti puncanya, sekali gus bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan.

Menurutnya, tindakan kawalan di kawasan muka sauk empat LRA membabitkan Rantau Panjang, SSP1, SSP2 dan SSP3 turut dipertingkatkan.


2. LUAS kesan bau seakan diesel, giat atasi pencemaran 

Kakitangan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) menjalankan ujian persempelan susulan penemuan bau seakan diesel di kawasan Logi Rawatan Air Rantau Panjang, Bestari Jaya pada 11 Februari 2023. Foto Facebook LUAS

SHAH ALAM, 12 FEB: Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) meningkatkan tindakan kawalan bagi mengatasi masalah pencemaran susulan penemuan bau seakan diesel di kawasan muka sauk Logi Rawatan Air (LRA) Rantau Panjang malam tadi.

Agensi itu memaklumkan tindakan itu diambil bagi mengenal pasti punca dan bersiap siaga terhadap sebarang kemungkinan susulan bau minyak dikesan di kawasan tersebut pada jam 9.45 malam tadi.

“Tindakan kawalan di kawasan muka sauk keempat-empat LRA terlibat iaitu LRA Rantau Panjang, LRA Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1), LRA Sungai Selangor Fasa 2 (SSP2) dan LRA Sungai Selangor Fasa 3 (SSP3) dipertingkatkan.

“Pengepaman air daripada HORAS 600 dan kolam alternatif KL Larut sebanyak 836 JLH diaktifkan bermula pada jam 10 malam serta pintu baraj di muka sauk LRA juga diturunkan bagi meningkatkan pencairan dan membolehkan aliran pencemaran mengalir dengan segera,” katanya menerusi Facebook.

Sementara itu, Pengurusan Air Selangor (Air Selangor) memaklumkan henti tugas sementara empat LRA terlibat iaitu LRA Rantau Panjang, LRA SSP1, LRA SSP2 dan LRA SSP3.

“Berikutan itu, lapan wilayah Air Selangor iaitu Petaling bagi 370 kawasan, Gombak (279), Hulu Selangor (28), Klang dan Shah Alam (189), Kuala Langat (tiga), Kuala Lumpur (186) serta Kuala Selangor (280) dijangka terlibat susulan insiden tersebut,” katanya.

Menurut Air Selangor, pihaknya akan memaklumkan perkembangan dari semasa ke semasa berhubung perkara itu dan pengguna disaran merujuk kesemua saluran komunikasi rasmi seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300.

Pertanyaan dan aduan juga boleh diajukan di Help Centre yang boleh didapati di www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor. (sk)


3. Teori menteri tidak menjadi, harga barang makin naik 

KOTA BHARU: Pada 26 Disember lepas Menteri Ekonomi Rafizi Ramli dilapor mendakwa pembangkang akan terduduk dalam tempoh sebulan selepas rakyat memahami mekanisme kawalan harga.

“Dalam sebulan lagi, geng-geng PN yang pertikai akan terduduk. Sama macam mereka terduduk soal-soal lain yang asalnya kontroversial tapi bila hujahnya dibentang satu persatu, rakyat yang cerdik faham,” katanya pada ciapan di Twitter.

Bagaimanapun selepas hampir dua bulan teori yang disebut Menteri Ekonomi tidak menjadi kenyataan, sebaliknya barangan keperluan harian semakin meningkat.

Malah ramai pengguna mengeluh memandangkan harga barangan keperluan harian semakin mahal sehingga membebankan penduduk berpendapatan rendah.

Rata-rata orang ramai yang ditemui melihat kerajaan sekarang gagal mengawal harga barangan keperluan sehingga berlaku peningkatan secara berterusan.

Norliza Mat Nor, 41, berkata, kerajaan perlu bertindak segera mengawal kenaikan harga barangan yang semakin meningkat sekarang.

Katanya, peningkatan harga barangan menyebabkan ramai rakyat terutamanya golongan B40 hidup tekanan.

“Kenaikan harga barang memberi kesan kepada kos sara hidup rakyat terutama mereka yang mempunyai keluarga ramai sehingg ada yang terpaksa mencatu perbelanjaan harian.

“Perkara ini berlaku selepas pandemik Covid-19, namun kerajaan baharu belum mampu mengatasinya,” katanya.

Malah dalam keadaan sekarang ada penduduk yang terpaksa mencatu makanan dengan kata lain ‘mengikat perut’ demi memastikan perbelanjaan mereka mencukupi.

Pengusaha kek Surianu Mustafa, 31, pula memberitahu beliau terpaksa menaikkan sedikit harga jualan kerana menanggung kos teyang tinggi.

Katanya, bukan hanya harga telur sahaja yang naik sekarang, malah barangan keperluan lain juga meningkat.

“Saya sebagai penjual makanan amat terkesan dengan kanaikan harga barangan terutama telur. Kenaikan harga bahan mentah memberi kesan kepada produk yang dijual,” katanya ketika ditemui di sini. – HARAKAHDAILY 9/2/2023

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Gangguan air, jangan lihat K'tan saja, ini S'ngor 1,335 kawasan. & Bau diesel.

Mari sama-sama atasi..

Lagi bahaya pusat hiburan! 5 doktor 12 ditahan.. & ADUN Sungkai.

 

Azmi menunjukkan minuman disyaki berisi dadah yang dirampas dalam serbuan polis, baru-baru ini. - Foto Polis KL

1. Lima 'doktor' antara 12 ditahan proses, edar dadah di pusat hiburan sekitar KL

KUALA LUMPUR: Lima 'doktor' antara 12 yang ditahan kerana disyaki terlibat dalam kegiatan memproses dan mengedar dadah di pusat hiburan sekitar ibu negara baru-baru ini.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azmi Abu Kassim berkata suspek terdiri yang daripada 10 lelaki tempatan, seorang wanita tempatan serta seorang wanita warga asing ditahan sekitar Lembah Klang oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur dan Bukit Aman menerusi tiga operasi dari 7 hingga 9 Feb lepas.
Beliau berkata 'doktor' terbabit bertanggungjawab mencampurkan serbuk dan cecair dadah jenis ketamin ke dalam minuman sebelum ahli sindiket yang lain mengedarkannya ke pusat-pusat hiburan di ibu negara pada harga RM300 sebotol.
"Dalam operasi pertama (yang diberi nama) `Devon Rex,' polis menahan enam lelaki tempatan berusia 22 hingga 39 tahun dan merampas 21 kilogram (kg) dadah ketamin dianggarkan berjumlah RM1.2 juta dan 2kg syabu bernilai RM72,000," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
"Susulan penahanan itu, polis menjalankan operasi kedua iaitu `Breadnut' pada 8 Feb lepas dan menahan lima 'doktor' iaitu tiga lelaki tempatan, seorang wanita tempatan dan seorang wanita warga asing berusia 24 hingga 34 tahun.
"Hasil serbuan itu, polis merampas pelbagai jenis dadah dan rokok mengandungi cendawan sintetik dengan kesemuanya dianggarkan bernilai RM340,000," katanya.
Azmi berkata ia seterusnya membawa polis kepada operasi ketiga `Catclaw' yang menyaksikan rampasan dadah jenis ketamin seberat satu kilogram bernilai RM55,000 dan menahan seorang lagi suspek iaitu seorang lelaki tempatan berumur 37 tahun.
Beliau berkata ketiga-tiga sindiket yang aktif sejak enam bulan lepas itu menjalankan aktiviti pengedaran dadah secara berasingan namun percaya mereka saling berkaitan.
"Kebanyakan pengguna kenal 'doktor' masing-masing mengikut keperluan mereka. Doktor ini kononnya ada resepi tersendiri. Mereka akan beli dadah berkenaan di premis hiburan dan polis percaya selepas ini, ia mungkin boleh dibeli di luar premis hiburan pula.
"Keseluruhannya, polis telah merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM2.1 juta yang dipercayai boleh digunakan oleh 253,000 penagih," katanya.
Azmi berkata 11 daripada individu ditahan memiliki rekod lampau berkaitan jenayah serta dadah dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. -- BERNAMA
2. Mahkamah Persekutuan kenakan semula denda RM10,000 terhadap ADUN Sungkai  
Pada Februari 2021, Mahkamah Tinggi mengekalkan keputusan lembaga tatatertib yang mendapati Sivanesan bersalah atas salah laku profesional. - Gambar fail
PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan mengenakan semula denda RM10,000 yang dikenakan oleh lembaga tatatertib peguam bela dan peguam cara terhadap bekas peguam A. Sivanesan, yang kini Exco kerajaan negeri Perak, kerana salah laku profesional, 13 tahun lepas.
Panel tiga hakim yang terdiri daripada Datuk Nallini Pathmanathan, Datuk Vernon Ong Lam Kiat dan Datuk Harmindar Singh Dhaliwal yang membuat keputusan itu setelah membenarkan rayuan oleh Majlis Peguam Malaysia dan K. Pathmanathan.
Majlis Peguam Malaysia dan Pathmanathan merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan pada 15 Dis tahun lepas, yang membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang mengekalkan keputusan lembaga tatatertib itu.
Dalam penghakimannya, Nallini berkata Mahkamah Rayuan seharusnya lambat campur tangan terhadap penemuan fakta yang dibuat oleh jawatankuasa lembaga tatatertib peguam bela dan peguam cara.
Beliau berkata nota prosiding Mahkamah Perusahaan mengesahkan asas bagi penemuan fakta jawatankuasa tatatertib, sambil menambah bahawa tiada sebab bagi Mahkamah Rayuan untuk membatalkan penemuan fakta jawatankuasa tatatertib berhubung perkara yang berlaku pada 6 April 2010 semata-mata atas keterangan saksi lain.
Nallini berkata Mahkamah Rayuan gagal melihat Sivanesan bertindak untuk Pathmanathan malah memberi aku janji untuk memfailkan borang yang diperlukan untuk pelantikannya walaupun tidak mempunyai arahan untuk berbuat demikian.
"Oleh itu, jawatankuasa tatatertib mempunyai justifikasi dalam membuat keputusan," katanya.
Hakim itu berkata Sivanesan, yang kini Ahli Dewan Undangan Negeri Sungkai, sepatutnya menghubungi Pathmanathan berhubung tarikh perbicaraan baharu yang ditetapkan oleh Mahkamah Perusahaan tetapi gagal berbuat demikian.
Mahkamah memberikan kos RM20,000 kepada Pathmanathan.
Pada Februari 2021, Mahkamah Tinggi mengekalkan keputusan lembaga tatatertib yang mendapati Sivanesan bersalah atas salah laku profesional. Keputusan itu dibuat selepas mempertimbangkan saranan jawatankuasa tatatertib.
Prosiding tatatertib telah mendakwa Sivanesan melakukan beberapa pelanggaran terhadap Akta Profesion Undang-undang 1976 dan peraturan etiketnya yang termasuk antara lain, memperdaya Mahkamah Perusahaan untuk mempercayai bahawa beliau bertindak bagi pihak Pathmanathan.
Pada 13 Jun 2016, Pathmanathan telah memfailkan aduan terhadap Sivanesan selepas Mahkamah Perusahaan membatalkan tuntutannya untuk pemecatan tidak adil kerana ketidakhadirannya di mahkamah.
Beliau mendakwa, antara lain, bahawa Sivanesan gagal memaklumkan tarikh perbicaraan kepadanya.
Sivanesan diwakili oleh peguam yang diketuai oleh R. Kengadharan manakala peguam Heng Yee Keat mewakili Majlis Peguam Malaysia. Pathmanathan mewakili dirinya sendiri. -- BERNAMA
Komen Weblog Ibnu Hasyim: Lagi bahaya pusat hiburan! 5 doktor 12 ditahan.. & ADUN Sungkai.
Rakyat mebunggu bila lagi pihak kerajaan nak kaji balik konsep hiburan maksiat bertopeng kononnya hiburan untuk rakyat? Mengapa kerajaan tidak peka tetapi masih pekak?

Monday, February 13, 2023

Cuba keruhkan suasana Islam? Maki A/Hadi. & Dorasamy..

 


1. Pesta maki Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi

BUKAN perkara baru, bab maki dan kata huduh buruk kepada Tuan Guru (TG) Haji Abdul hadi, tapi macam tak ‘lut” (tak berkesan) apa-apa.

Orang cuba banding peribadi TG Haji Abdul Hadi dengan si pencaci, jauh sangat, sama ada dari segi sudut ilmu, watak, integriti dan kehidupan keluarga TG Haji Abdul Hadi.

Lagi kuat orang maki, lagi naik makam TG Haji Hadi di sisi masyarakat. Orang hendak ketahui lebih dekat peribadi TG Haji Hadi, akhirnya orang yang membuat cacian itu yang kena marah.

Betullah TG Haji Hadi bukan maksum, sebagai manusia biasa. TG Haji Hadi tidak melakukan dosa besar seperti minum arak, berzina, tidak makan rasuah (ketika TG Haji Hadi menjadi MB Terengganu 1999-2004), tidak bersalam dengan wanita ajnabi, anak isteri memakai pakaian mengikut syariat.

Cuba tuduh TG Haji Abdul Hadi samakan rasuah dengan sedekah. Biasalah tu, baca sekarat, faham sekerat. Pengalaman saya menjadi pensyarah dahulu, selalu berpesan, kena baca soalan sehingga habis. Perangai baca soalan tidak habis, akhirnya gagal jawab yang betul. Ia terbawa-bawa sehingga habis belajar. Ini memang pelajar yang gagal sejak belajar hingga habis belajar.

Cuba baca laporan Berita Harian 21/1/2023 Tuan Guru menyebut, “Mengikut undang-undang pilihan raya, calon dan wakil-wakil calon tidak boleh beri (wang), tetapi orang awam mahu beri sedekah maka terpulang kepada dia,”.

Apabila isu ini dimainkan, akhirnya keluar pula gambar sebuah parti yang sedang bagi duit secara jelas. Sudah terang lagi bersuluh.

Tetapi CT musuh PAS cuba hendak mengatakan TG Haji Hadi menyamakan sedekah dengan rasuah. Awat, ingat TG Haji Hadi jahil sangat ke.

Tuan Guru Haji Hadi telah membuktikan diri beliau semasa menjadi Menteri Besar Terengganu tidak ada rasuah. Boleh lihat cara hidup TG Haji Hadi yang sederhana. Jika hendak sebat rasuah waktu beliau menjadi Menteri Besar lah, beliau boleh buat apa sahaja. Boleh siasatlah.

Tuan Guru berkempen ke sana ke mari tidak naik private jet, kerana TG Haji Hadi tidak mampu untuk sewa jet, setakat gaji Ahli Parlimen tidak mampu untuk sewa jet. Tapi orang lain mampu, naik jet peribadi, depa ambil duit daripada mana, saya tidak tahulah?

USTAZ DATUK IDRIS AHMAD
Naib Presiden PAS
Ahli Parlimen Bagan Serai – HARAKAHDAILY 10/2/2023


2. Isu pelajar peluk Islam, Arun Dorasamy dilihat cuba keruhkan suasana  

Berita ini tular semalam dan ramai yang mengutuk perbuatan guru tersebut baik dari Belum Muslim & malahan dari Muslim hanya berdasarkan laporan media.

Beberapa persoalan yang kita perlu faham apabila membaca berita ini khususnya datang dari individu seperti Arun Dorasamy yang telah diistiharkan bankrap. Antara persoalan yang perlu ditanya;

1. Apakah benar apa yang disebut oleh Arun Dorasamy dalam sidang media itu?
2. Apakah ibubapa pelajar itu mengadu kepada Arun Dorasamy atau sebaliknya?
3. Apakah menjadi kesalahan jenayah berdakwah kepada pelajar belum Muslim di bawah 18 tahun?

Bagi menjawab soalan pertama, bagi masyarakat yang sihat akalnya akan bertanya apakah yang dilaporkan dalam berita itu adalah sebagaimana yang terjadi atau sebenarnya ada unsur-unsur ‘exxageration’ (keterlaluan): ditambah kicap, cuka, cili & lada?

Apakah perkataan yang digunakan oleh guru tersebut? Adakah dia mencadangkan atau mengugut pelajar tersebut? Kalau kita lihat kepada berita, yang dilaporkan adalah ‘MENGALAKKAN’ bukannya memaksa atau mengugut.

Sejak bila mengalakkan seseorang memeluk Islam di Malaysia adalah suatu kesalahan jenayah? Apakah dakwah telah menjadi satu kesalahan atau ada pihak mempunyai agenda mencairkan & menakutkan pendakwah dengan tindakan undang-undang?

Arun memetik Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan sebagai justifikasi tetapi jangan lupa Perkara 11(4) menegaskan bahawa penyebaran agama selain daripada agama Islam kepada orang Islam adalah dilarang sama sekali terutamanya dari segi penyebaran dakwah. Islam boleh disebarkan kepada semua dan tidak ditulis tentang umur

Kita berbincang dari sudut undang-undang adakah ianya jenayah atau sekadar dipolemikkan untuk agenda tertentu? Jangan masuk bab emosi yang tiada kena mengena dengan Perlembagaan Persekutuan & undang-undang.

Kedua, adakah benar ibubapa pelajar merasa marah dan kecewa terhadap guru tersebut atau sekali lagi mereka sebenarnya tiada masalah tetapi dipergunakan oleh individu individu tertentu untuk agenda mereka?

Ketiga, saya telah bertanya kepada beberapa penasihat undang-undang MRM & pakar undang-undang, tidak menjadi satu kesalahan berdakwah kepada mereka yang di bawah 18 tahun. Yang menjadi pertikaian hanyalah mengislamkan mereka yang di bawah 18 tahun oleh salah satu IbuBapa atau tanpa kebenaran ibubapa. 

Apakah ada pihak cuba mewujudkan ‘precedent’ di sisi undang undang bahawa berdakwah kepada bawah 18 tahun adalah suatu kesalahan jenayah yang menjadi sebahagian dari agenda besar sesetengah pihak untuk melemahkan usaha dakwah?

Saya telah berhubung dengan guru terbabit yang merupakan guru Bahasa Malaysia di sekolah tersebut. 

In Sha Allah kami akan berjumpa dalam masa terdekat. Cikgu tersebut telah membuat laporan polis menafikan tuduhan tersebut & kami berharap pihak polis akan mengambil tindakan terhadap Arun Dorasamy. 

In Sha Allah kami di MRM juga akan membantunya mengambil tindakan undang-undang (jikalau beliau mahu) terhadap pihak yang cuba mempolemikkan isu ini yang boleh mengugat keharmonian & keamanan negara.

Berani kerana benar, berbohong untuk buat onar… Hormat Perlembagaan Persekutuan & undang-undang negara! (1Media.My)

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Cuba keruhkan suasana Islam? Maki A/Hadi. & Dorasamy..

Islam tidak keruh, yang keruh ialah hati-hati mereka yang menentang Islam. Islam pasti bangkit menguasai dunia menjelang Hari Kiamat! Allahu Akbar! 

31% Melayu sokong PH kurang tepat -Sanusi. X bagus sebelah PH..

 

Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mendakwa, peratusan sokongan pengundi Melayu kepada Pakatan Harapan pada PRU15 yang disebut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim iaitu sebanyak 31 peratus adalah kurang tepat. - Gambar Astro AWANI

1. Undi Melayu diperoleh PH dicampur sokongan kepada BN - Sanusi

PENDANG: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mendakwa, peratusan sokongan pengundi Melayu kepada Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang disebut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim iaitu sebanyak 31 peratus adalah kurang tepat.
Sebaliknya, dakwa Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat itu, peratusan berkenaan adalah hasil campuran sokongan orang Melayu kepada PH serta Barisan Nasional (BN).
Tambah Muhammad Sanusi, semua pihak sudah boleh membuat penilaian sendiri berkenaan peratusan sokongan orang Melayu yang mana hampir majoritinya menyokong Perikatan Nasional (PN) ketika PRU15.
"Dia (Perdana Menteri) ambil (sekali) yang (pengundi) UMNO masuk situ (dalam peratusan yang dinyatakan), sokongan orang Melayu kepada UMNO memang ada, UMNO menang 26 kerusi (Parlimen) campur (parti komponen) BN, empat kerusi, (keseluruhan semua) jadi 30 (kerusi Parlimen),
"(Datuk Seri Anwar Ibrahim) ambil yang itu (sebenarnya), bubuh (masukkan) di situ, jadi banyak (sehingga dapat 31 peratus), (dia buat) macam orang tidak tahu.
"(Sebenarnya) tidak perlu (pun Perdana Menteri) cakap… kami pun dapat sokongan orang Melayu, (sekarang semua boleh) tengok sendiri, (semua) orang tahu.
"Kalau dapat 'partner' baharu, 'harta sepencarian' (pun dia) masukkan dalam (peratusan) itu, tidak apa ikut suka (dia), saya kata 11 (peratus PH dapat sokongan Melayu ketika PRU15), ada (juga) kata 19 peratus, semalam Perdana Menteri cakap 31 (peratus), banyak sebenarnya, pada pandangan saya, 31 peratus itu (termasuk yang) menyokong Barisan Nasional," tegas Muhammad Sanusi.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Penyerahan Surat Hak Milik, Lesen Menduduki Sementara, Hak Milik Sambungan dan Cukai Tanah bagi Daerah Pendang, di Dewan Cenderawasih, di sini, pada Selasa.
Semalam, Anwar berkata, andaian kononnya PH tidak mendapat dukungan pengundi Melayu iaitu hanya menerima 19 peratus undian kaum itu pada PRU15 November lepas adalah tidak benar.
Anwar yang juga Pengerusi PH berkata, berdasarkan data analisis awal kajian yang dilakukan mendapati secara keseluruhan gabungan itu menerima sebanyak 31 peratus undian daripada pengundi Melayu dan data berkenaan akan dikemas kini dalam tempoh seminggu dua lagi.
Kata Perdana Menteri, sekiranya PH hanya menerima 19 peratus sokongan pengundi Melayu, gabungan itu tidak mungkin mencatat jumlah kemenangan kerusi Parlimen yang banyak pada PRU15. (astroAWANI) 
2. 'Orang tidak bagus pergi berhimpun sebelah PH' - Sanusi

PENDANG: Pemimpin UMNO yang dipecat atau digantung, dipelawa menyertai mana-mana parti komponen Perikatan Nasional (PN) kerana mereka dilihat mampu memberi impak positif kepada gabungan itu menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, berkata pemimpin terbabit adalah individu yang mempunyai pengalaman dan pengaruh dalam politik negara ini.

"Mereka akan beri kesan positif (jika sertai PN) kerana yang dibuang UMNO adalah orang baik-baik, mereka ada potensi hebat. Siapa kata Khairy Jamaluddin, Tan Sri Annuar Musa, Tan Sri Noh Omar, Datuk Seri Shahidan Kassim, Datuk Seri Hishamuddin Hussein tidak hebat?

"Semua mereka ini orang hebat, terkenal di seluruh Malaysia. Khairy berapa lama beliau jadi menteri, orang yang hebat. Saya harap ia menjadi kenyataan, orang baik datang, orang tidak bagus pergi berhimpun sebelah sana (Pakatan Harapan)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Surat Hak Milik, Lesen Menduduki Sementara, Hak Milik Sambungan dan Cukai Tanah yang melibatkan lebih 500 individu di Pendang, hari ini.

Muhammad Sanusi berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Khairy semalam, bahawa beliau menerima tawaran bertanding pada PRN Selangor ini tanpa menyebut nama parti terbabit.

Sementara itu, mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bahawa sokongan pengundi Melayu kepada PH bertambah kepada 31 peratus, beliau yang juga Menteri Besar Kedah, berkata ia bukan sesuatu yang mengejutkan kerana UMNO kini bekerjasama bersama PH.

"Dia (Anwar) ambil (sekali) yang (pengundi) UMNO masuk sekali (dalam peratusan yang dinyatakan), sokongan orang Melayu kepada UMNO memang ada, UMNO menang 26 kerusi (Parlimen) campur (parti komponen) BN, empat kerusi, (keseluruhan semua) jadi 30 (kerusi Parlimen).

"Dia ambil yang itu, bubuh semua di situ, jadi banyak lah (sehingga dapat 31 peratus), (dia buat) macam orang tidak tahu. Tidak perlu cakap (semua itu), kami (PN) pun dapat sokongan orang Melayu, (boleh) tengok sendiri, (semua) orang tahu," katanya.

Semalam, Anwar dilaporkan berkata andaian kononnya PH tidak mendapat sokongan pengundi Melayu selepas hanya menerima 19 peratus undian kaum itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada November lalu, adalah tidak benar.

Beliau yang juga Pengerusi PH berkata, berdasarkan data analisis awal kajian yang dilakukan pihaknya mendapati secara keseluruhan gabungan itu menerima 31 peratus undian pengundi Melayu dengan data itu akan dikemas kini dalam tempoh terdekat.

Katanya, jika PH hanya menerima 19 peratus sokongan pengundi Melayu, gabungan itu tidak mungkin mencatat jumlah kemenangan kerusi Parlimen yang banyak pada PRU15. (BH)

Komen Weblog Ibnu Hasyim31% Melayu sokong PH kurang tepat -Sanusi. X bagus sebelah PH..

Menurut Sanusi, jika PH hanya menerima 19 peratus sokongan pengundi Melayu, gabungan itu tidak mungkin mencatat jumlah kemenangan kerusi Parlimen yang banyak pada PRU15.

Sekian.

Sunday, February 12, 2023

Charlie Hebdo: 'Karton lwn karton', wajarkah?

 

Karikatur yang dimuat naik di akaun Twitter, Mahmoud sebagai reaksi balas terhadap Charlie Hebdo.

1. Karikatur yang dimuat naik di akaun Twitter, Mahmoud sebagai reaksi balas terhadap Charlie Hebdo.

KUALA LUMPUR: Kartunis dan penyedia kandungan digital Malaysia diminta untuk memberikan reaksi terhadap karikatur jelik terhadap mangsa gempa bumi di Turkiye dan Syria seperti dihasilkan akhbar mingguan satira Perancis, Charlie Hebdo.

Charlie Hebdo dalam akaun Twitternya memuat naik karikatur dihasilkan Pierrick Juin menggambarkan bangunan rosak, kereta terbalik dan puing-puing runtuhan dengan kapsyen dalam bahasa Perancis bermakna: 'Tidak perlu hantar kereta kebal.'

Karikatur berasal Palestin, Mahmoud Abbas, berkata karya karikatur dihasilkan termasuk dalam bentuk digital itu sebagai reaksi balas terhadap Charlie Hebdo itu, dapat mengukuhkan solidariti bersama mangsa gempa bumi yang kini mengorbankan lebih 21,000 nyawa.

"Solidariti itu juga tidak kira sama ada bersama mangsa gempa bumi, peperangan dan konflik seperti di Palestin, Syria dan lain-lain," katanya kepada BH di sini, hari ini.

Dalam karikatur dimuat naik di akaun Twitter, Mahmoud menggambarkan seekor anjing menemani seorang mangsa di bawah runtuhan bangunan sedangkan watak babi memakai baju kuning tertera perkataan Charlie

Hebdo di belakangnya hanya melihat dengan rupa penuh muslihat.

Mahmoud turut memuat naik karikatur lain dalam akaun Twitternya, Mahmoud3bbas yang memuji usaha pasukan mencari dan menyelamat (SAR) dalam operasi mengesan mangsa gempa bumi.

Mahmoud yang juga Penerbit Kandungan Digital Al Jazeera berkata, beliau berharap kartunis di seluruh dunia tidak menerima tindakan Charlie Hebdo itu yang hanya mahir menerbitkan kartun menjijikkan.

Katanya, tindakan Charlie Hebdo sangat menjijikkan apabila mendakwa mereka memperjuangkan hak kebebasan berekspresi tetapi memperolok-olokkan mangsa gempa.

"Ketika serangan terhadap pejabat akhbar Charlie Hebdo berlaku (pada Januari 2015), seluruh dunia bersimpati kerana mereka dianggap sebagai mangsa walaupun sebelum itu mereka melakukan kesalahan kepada Nabi kita.

"Adalah tidak boleh diterima tindakan menyerang idea atau kepercayaan orang lain, lebih-lebih lagi memperolok-olokkan mangsa atas nama hak kebebasan berekspresi," katanya.

Tindakan Charlie Hebdo itu turut dibantah pereka grafik dan animasi Turkiye, Abrar Sabbah dengan 'mengajar' pelukis karikatur akhbar satira kontroversi berpangkalan di Paris terbabit bagaimana menghasilkan lukisan lebih manusiawi.

Dalam video dimuat naik itu, Abrar menunjukkan bagaimana beliau memadamkan sebahagian lukisan dan kata-kata keji dalam karikatur itu, sebelum melukis tangan yang menggenggam bendera Turkiye.

Malah, tindakan Charlie Hebdo turut dikecam ramai tokoh Muslim seperti ulama dan pemimpin hak sivil di Amerika Syarikat (AS), Omar Suleiman; Profesor Undang-Undang dan penulis The New Crusades: Islamophobia and the Global War on Muslims, Khaled Beydoun dan Editor Laman Web Muslim British, 5Pillars serta pengarang Confessions of a Muslim Journalist, Roshan M Salih.

Karikatur itu tidak hanya menerima bantahan tokoh Muslim, bahkan turut dicemuh tokoh bukan Islam seperti ahli politik dan wartawan Jerman, Jurgen Todenhofer yang menyifatkan tindakan Charlie Hebdo menjijikkan kerana mempersendakan penderitaan orang lain.

BERITA BERKAITAN


2. Bukan kali pertama, karikatur Charlie Hebdo kembali menghina Islam khusunya rakyat Turki 

KUALA LUMPUR: Akhbar mingguan satira kontroversi Perancis, Charlie Hebdo, menerima kritikan bertalu-talu daripada pelbagai pihak kerana menyiarkan karikatur tragedi gempa bumi kuat di selatan Turkiye dan Syria dengan kapsyen: 'Tidak perlu hantar kereta kebal.'

Karikatur dilukis kartunis, Pierrick Juin itu dan disiarkan di akaun Twitter akhbar berkenaan, menampilkan bangunan runtuh, kereta terbalik dan puing-puing runtuhan.

Antara tokoh Muslim mengkritik karikatur itu ialah ulama dan pemimpin hak sivil di Amerika Syarikat (AS), Omar Suleiman yang menganggap penerbitan keji kerana mengejek kematian ribuan mangsa gempa bumi, sekali gus menjadi isyarat kemuncak bagaimana Perancis menyahmanusiakan umat Islam dalam semua hal.

Sementara itu, Profesor Undang-Undang dan penulis The New Crusades: Islamophobia and the Global War on Muslims, Khaled Beydoun, menegaskan ia sebagai keji, perkauman dan sangat tidak sensitif.

Wartawan dan koresponden perang CNN, Bilal Abdul Kareem turut mencemuh akhbar mingguan itu kerana menyifatkan artis Charlie Hebdo itu mentertawakan mereka yang kehilangan nyawa dan harta benda rumah serta kanak-kanak dalam bencana berkenaan.

Bagi Editor Laman Web Muslim British, 5Pillars dan pengarang Confessions of a Muslim Journalist, Roshan M Salih, akhbar mingguan Perancis yang rasis dan Islamofobia itu menjadikan tragedi di Turkiye sebagai bahan jenaka.

"Jika beribu-ribu rakyat Perancis mati, orang Yahudi, LGBT atau mana-mana kumpulan lain, maka Charlie Hebdo tidak akan menyentuhnya. Namun, apabila ia hanya membabitkan umat Islam, jadi tiada isu (memperolok-olokkannya)," katanya.

Karikatur itu tidak hanya menerima bantahan tokoh Muslim, bahkan turut dicemuh tokoh bukan Islam seperti ahli politik dan wartawan Jerman, Jurgen Todenhofer yang menyifatkan tindakan Charlie Hebdo menjijikkan kerana mempersendakan penderitaan orang lain.

Ini bukan kali pertama, akhbar satira itu menghina Islam dan umatnya, sebaliknya banyak kali menyiarkan karikatur termasuk mencerca Nabi Muhammad SAW.

Pada 9 Februari 2006, Charlie Hebdo menyiarkan kartun menghina Nabi Muhammad SAW termasuk menerbitkan kembali 12 kartun lukisan penghinaan itu yang pernah disiarkan akhbar Denmark.

Tidak serik dengan tindakan keji itu, akhbar satira terbabit sekali lagi menyiarkan kartun bersiri menghina Nabi Muhammad SAW yang lebih menjijikkan pada 2012.

Pada 2020, sekali lagi Charlie Hebdo menyiarkan kartun menghina Rasulullah SAW, sekali gus membawa kepada serangan di luar pejabatnya yang mengakibatkan dua cedera parah.

Reaksi ganas itu bukan kali pertama kerana pada Januari 2015, pejabat akhbar satira itu diserang pengganas yang mengorbankan 12 orang yang dikaitkan dengan tindakan akhbar menghina Islam atas kebebasan bersuara.

Pada November 2011 pula, pejabat akhbar satira itu pernah dilempar bom dan dibakar tetapi tiada yang terkorban.

Sumber I BH Online

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Charlie Hebdo: 'Karton lwn karton', wajarkah?

Cukupkah hanya 'Karton lwn karton'? Lihat PAS atau Harakah, bukan saja membela kebenaran dan keadilan, bahkan berusaha menyalorkan bantuan dan lain-lain.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails