Wednesday, February 22, 2023

Selamat datang kepada Islam, setelah 2,000 Km perjalanan..

 


Pemuda China sanggup tempuh perjalanan lebih 2,000 kilometer peluk Islam di Aceh

BANDA ACEH  – Seorang lelaki berasal dari China, Yan Chain Lain sanggup menaiki pesawat dan menemapuh perjalanan lebih 2,000 kilometer menuju ke  Aceh untuk memeluk agama Islam, lapor portal berita Tribunnews.com semalam.

Chain Lain menentap di Wilayah Zhae Jian dan membuat keputusan untuk memeluk agama Islam di Masjid Agung Al-Falah, Kota Sigli, Kabupaten Pidie, Aceh Khamis lalu di hadapan ratusan jemaah.

Pemuda berusia 33 tahun itu kemudian menggunakan nama baharunya iaitu Salman Lian dan dia mengetahui tentang agama Islam selepas berkawan dengan seorang warga Indonesia yang kemudian memintanya datang ke Aceh. 

Warga China itu  bertemu dengan ulama muda Pidie, Dr. Tgk H Amri Fatmi Ansis dan terpikat kepada agama Islam setelah seharian belajar secara universal atau secara umum dengannya.

Dia turut belajar mengenai solat dan berbagai disiplin ilmu agama Islam lainnya.

“Sebelumnya, Yan Chain Lian tidak pernah menganut agama apa pun,” kata ulama muda tersebut kepada Serambinews.com.

 – Agensi

Komen Weblog Ibnu HasyimSelamat datang kepada Islam, setelah 2,000 Km perjalanan..

Ya, saya ucapkan selamat datang kepada Islam agama yang diredhai Allah SWT, dan akan menghubungi pihak tuan untuk sama-sama berkongsi pengalaman. Insya Allah! (IH)


E-Buku IH-39: Catatan Perjalanan Medan-Banda Aceh

Malam bulan mengambang & ubat rindu..

 


1. Khurafat kesihatan bulan mengambang

TARIKH 14 dan 15 Safar (sama dengan 14 dan November) tahun ini menjadi sejarah apabila bulan mengambang paling besar saiz dan paling bercahaya. Ia kelihatan 14 peratus lebih besar dan 30 peratus lebih cerah.

Fenomena ini disebut Supermoon setiap 68 tahun kerana kitaran galaksi bulan berada paling hampir dengan bumi.

Fenomena ini mencetus pelbagai kepercayaan dalam masyarakat. 

Dalam sosio budaya yang pelbagai, terdapat kepercayaan yang mengaitkan supermoon ini meningkatkan kejadian jenayah atas kepercayaan mistik.

Logiknya kegiatan manusia di bulan terang mengambang akan semakin aktif, lantas terjadinya peristiwa yang diluar jangkaan. 

Akan tetapi tiada statistik jelas kaitan antara bulan mengambang dan kejadian jenayah. 

Begitu juga, sesetengah masyarakat percaya jumlah kelahiran meningkat semasa bulan mengambang. 

Kajian sosio budaya telah menafikan hubungkait tersebut. Kajian mengenai bulan mengambang penyebab bencana alam juga telah membuktikan tiada hubungkait antara kedua-duanya.

Walaupun dari segi asasnya bulan mengambang akan mengakibatkan paras laut meningkat, tetapi tidak semuanya tepat jika tidak disertai hujan lebat sehingga mencetuskan banjir besar.

Dunia kesihatan juga tidak terlepas dari kepercayaan tahyul ini. Ada yang berteori penyakit gout akan menyerang orang ramai, jumlah pengunjung wad kecemasan makin bertambah dek kerana penyakit pelik timbul, kanak-kanak akan sakit perut akibat cacing makin membiak semasa bulan mengambang dan pelbagai lagi. 

Kesemuanya teori khayal yang hanya menjadi buah gelak ketawa para doktor perubatan di hospital. 

Bertahun-tahun kajian telah dijalankan bagi mencari hubungan antara kejadian penyakit dan bulan mengambang. 

Tiada bukti yang sahih secara statistik mengatakan biologi dan perangai manusia berubah semasa bulan mengambang.

Mungkin orang beranggapan pesakit gila atau meroyan meningkat semasa bulan terang akibat pengaruh mistik, tetapi ia tiada kaitan jelas. 

Cumanya mungkin apabila suasana makin terang, seseorang yang sudah berpenyakit gila akan tidur lewat malam. Kitaran biologi kehidupan berubah, akhirnya tercetus relaps (gila kembali).

Kejadian penyakit seperti serangan jantung, kematian, kelahiran, sawan, kemasukan wad psikiatri dan pelbagai lagi tidak menunjukkan kadar yang ketara berbanding di bulan gelap.

Adapun Rasulullah S.A.W menggalakkan umatnya berpuasa di hari putih, iaitu 13, 14 dan 15 hari bulan di mana bulan di langit mengambang penuh dan malam itu cahaya bulan sangat terang hingga tarikh tarikh ini dipanggil hari putih. 

Di dalam Islam digalakkan berpuasa sunat. Dipanggil hari putih sebab malam tersebut malam yang cerah. 

Tidak dikaitkan pun dengan apa-apa fenomena pelik sempena bulan mengambang. Semoga amalan puasa sunat kita berpahala. 

Semoga pencerahan ini ibarat terang bulan mengambang tanpa bersuluh bagi mengurangkan kekusutan pemikiran tahyul pelbagai dalam masyarakat.

#Post karut marut seperti dalam gambar itu pun ramai yang share? Adui la.

DR SUHAZELI ABDULLAH
Pakar Perubatan Keluarga
Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) – HARAKAHDAILY 8/2/2023


2. Malam pengubat rindu 

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil dan Menteri Perhubungan dan Penerangan Singapura, Josephine Teo bersama barisan penyanyi yang menghangatkan Konsert Muzika Ekstravaganza. - NSTP/Azhar Ramli

KUALA LUMPUR: Kerjasama dua badan penyiaran, iaitu RTM dan Mediacorp Pte Ltd, Singapura dalam membangunkan industri televisyen (TV), radio dan digital sejak lama dahulu, diakui membawa limpahan kepada penggiat industri seni dan hiburan.

Namun, sejak dunia dilanda pandemik COVID-19 hingga membawa kepada penutupan industri kreatif, RTM dan Mediacorp terpaksa menangguhkan projek kerjasama, termasuk Konsert Muzika Ekstravaganza yang menjadi antara program paling dinantikan pencinta seni dua negara.

Sabtu lalu, selepas lebih tiga tahun tidak dapat dianjurkan berikutan pandemik COVID-19, edisi ke-14 Konsert Muzika Ekstravaganza dipentaskan di Auditorium Perdana, Angkasapuri Kota Media di Kuala Lumpur, bertemakan 'Duo Hits'.

Kali terakhir dianjurkan pada 2018, Konsert Muzika Ekstravaganza yang dipentaskan setiap dua tahun, membuktikan keutuhan hubungan dua hala Malaysia-Singapura dalam konteks pembangunan industri penyiaran serta pertukaran seni dan budaya.

Yang turut hadir bersama penonton yang memenuhi segenap ruang Auditorium Perdana adalah Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil serta Menteri Perhubungan dan Penerangan Singapura, Josephine Teo.

Pada malam bersejarah yang dikendalikan hos dari Malaysia, Nabila Huda dan gandingan dari Singapura, Suzairhe Sumari, barisan artis dari dua negara tampil beraksi menghiburkan peminat dengan pelbagai genre muzik.

Sebanyak 19 lagu dipersembahkan artis popular tempatan iaitu Datuk Khadijah Ibrahim, Datuk Francisca Peter, Akim Ahmad, Stacy, Haziq Rosebi, Siti Nordiana, Sona One, Suki Low dan Hael Husaini.

Artis Singapura yang terbabit pula adalah Datuk Ramli Sarip, Jatt Ali, Rahila Rashun, Hazrul Nizam, Syakirah Noble, Yung Raja, Fariz Jabba dan Elfee Ismail. 

Khadijah dan Ramli menghiburkan peminat dengan lagu ‘berhantu’ mereka yang segar sehingga hari ini, iaitu Doa Buat Kekasih. - NSTP/Azhar Ramli

Tirai persembahan dibuka dengan paduan suara juara program SG Mania, Rahila Rashun dan naib juara program Anugerah 2017, Syakirah Noble menerusi lagu yang dipopularkan Anita Sarawak, Seksis, lantas membentuk rentak dan 'mood' pada malam itu.

Pentas terus dihangatkan dengan persembahan dua bekas peserta program realiti Akademi Fantasia (AF), Akim Ahmad dan Haziq Rosebi menerusi Kul It!, nyanyian asal legenda negara, Allahyarham Datuk Sudirman Arshad.

Tidak hanya mengetengahkan genre klise, konsert yang berdurasi dua jam itu turut mengangkat genre hip hop menerusi persembahan Fariz Jabba, Yung Raja dan Sona One. Mereka menyampaikan lagu Mad Blessing, And Then, No More dan Hakeleh.

Tidak ketinggalan genre irama tradisional yang dipersembahkan Siti Nordiana, Rashila Rashun, Elfee Ismail dan Haziq Rosebi menerusi lagu Tari Tualang Tiga, Zapin Bunga Hutan dan Hati Ke Hati.

Namun, siapa mampu menafikan penangan penghibur berpengalaman iaitu Datuk Francissca Peter, Jatt Ali, Datuk Ramli Sarip dan Datuk Khadijah Ibrahim sebaik mereka mengambil alih pentas.

Ini dapat dibuktikan melalui reaksi rata-rata penonton di auditorium apabila keempat-empat penyanyi legenda ini mendapat jeritan paling kuat.

Bukan sekadar itu, auditorium bergema dengan nyanyian penonton apabila mereka mendendangkan lagu nostalgia yang menggamit memori.

Lebih-lebih lagi ketika apabila pasangan duet yang dikatakan paling serasi sejak lebih tiga dekad lalu, iaitu Khadijah dan Ramli yang tampil mengisi slot persembahan.

Khadijah dan Ramli menghiburkan peminat dengan lagu 'berhantu' mereka yang segar sehingga hari ini, iaitu Doa Buat Kekasih. 

Francissca dan Jatt berduet menyampaikan lagu Kehebatan Cinta. - NSTP/Azhar Ramli

Tidak hanya itu, Khadijah yang juga mesra dengan panggilan Khaty itu menyampaikan dua lagu popularnya, Kupendam Sebuah Duka dan Ku Gembira Di Sampingmu, manakala Ramli yang sinonim dengan jolokan Papa Rock, mendendangkan lagu Istilah Bercinta.

Antara lagu lain yang turut mendapat sambutan hangat adalah Sekadar Di Pinggiran dan Ku Ke Udara Lagi yang dinyanyikan Francissca dan Kehebatan Cinta yang dipersembahkan bersama Jatt.

Jatt kemudian mengubat rindu peminat dengan mempersembahkan lagu Dulu dan Sekarang serta Gadis Ayu.

Memberi nuansa berbeza, Suki Low berpadu suara dengan Hazrul Nizam mendendangkan lagu yang dipopularkan Jay Jay dan Dayangku Intan iaitu Kita Insan Biasa.

Konsert Muzika Ekstravaganza yang disiarkan secara langsung menerusi saluran TV2 dan Suria (Mediacorp) itu diakhiri dengan persembahan Hael Husaini menerusi lagu Kelentang Kelentung.

Persembahan diiringi 32 pemuzik Orkestra RTM di bawah pimpinan pemuzik dari Malaysia dan Singapura, iaitu Luqman Aziz dan Syawal Kassim.

Turut dimeriahkan dengan gabungan 20 penari tempatan dari Alamak Dance Crew diketuai Alam Wakaka dan koreografer, Aliff Aircho serta penari Singapura, Dance Crew. (BH)

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Malam bulan mengambang & ubat rindu..

Ianya akan menjadi aktiviti maksiat, jika tidak di disiplinkan 'patuh syariah', seperti yang laksanakan di negeri-negeri di bawah tadbiran PAS dan sekutunya...

3 perkara ini, Antarabangsa kena tahu... Aurat-gadai nyawa, Iran & K'tan.

 

Abdul Bari bersama tiga anaknya menceritakan peristiwa gempa bumi yang melanda Turkiye ketika ditemui Sinar Harian bersama Syria Care di Reyhanly.

1. Gempa bumi Turkiye: Sanggup gadai nyawa demi aurat isteri -Sinar Harian

REYHANLI - "Saya tidak kisah kalau mati sekalipun kerana niat saya untuk menjaga aurat isteri yang terdedah selepas berjaya menyelamatkan dari runtuhan bangunan kediaman kami."

Demikian cerita Abdul Bari Yassin, 32, selepas dia kembali memasuki rumahnya, tingkat dua bangunan lima tingkat di Bohsin, Antakya yang sebelum itu 'terbelah dua' akibat gegaran kuat 7.8 skala Richter pada 6 Februari lalu.

Katanya, sewaktu menyelamatkan diri, isterinya hanya memakai baju tidur yang mendedahkan auratnya.

"Sebab itu saya kembali memasuki rumah. ALLAH menjadi saksi segalanya. Kalau mati mungkin saya mati syahid," katanya ketika ditemui Sinar Harian di rumah bapa saudaranya di sini.

Mengimbas kembali tragedi hitam itu, Abdul Bari berkata, sebelum kejadian gempa bumi berkenaan, beliau dan isteri bersama tiga orang anak berusia 3, 5 dan 7 tahun berada di ruang tamu rumah.

Sebaik berlaku gegaran, beliau terus mendukung dua anak lelaki, manakala isterinya mendukung anak bongsu perempuan dalam usaha menyelamatkan diri.

"Betapa kuatnya gegaran itu sehinggakan sewaktu melarikan diri, saya terhuyung-hayang sehingga kepala anak terhantuk kuat di dinding.

Keluarga Abdul Bari dan Isa bergambar bersama wakil Sinar Harian dan Syria Care selepas menerima bantuan kewangan Tabung #BantuanBencana Sinar Harian x Syria Care

"Isteri pula beberapa kali hampir terjatuh tambahan pula bekalan elektrik ketika itu terputus," katanya sambil mengucapkan syukur terselamat walaupun mereka kini hidup sehelai sepinggang.

Mujur katanya, sepanjang tiga hari, mereka dibenarkan untuk tinggal di dalam kereta milik jirannya.

"Selepas itu kami meminta bantuan bapa saudara kerana tidak tahan dengan suhu sejuk melampau yang mencecah -10 darjah Celsius apabila menjelang malam," katanya.

Sementara itu, Isa Halabi, 30, berkata, beliau sekeluarga bernasib baik dapat menyelamatkan diri walaupun ketika itu dinding dan siling batu mula runtuh.

Ceritanya, dalam keadaan gelap gelita dia gagal mencari kunci untuk membuka pintu rumahnya di tingkat satu bagunan lima tingkat di Kirikhan, antara bandar merekodkan angka kematian yang tinggi.

"Dalam keadaan rumah yang bergoyang kuat, saya menggunakan kudrat sepenuhnya untuk memecahkan pintu rumah. Anak dan isteri pula menjerit ketakutan.

Isa halabi

"Kalau lambat sesaat, saya rasa kami sekeluarga yang terdiri daripada lima orang anak berusia antara dua dan 11 tahun pasti akan terkorban. Begitulah yang terjadi terhadap jiran kami," katanya.

Keluarga Abdul Bari dan Isa antara penerima bantuan kewangan dari Tabung #BantuanBencana Sinar Karangkraf x Syria Care bagi meringankan beban yang dialaminya.

Sinar Harian bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Syria Care dan Task Emergency Medical Service (TEMS) ketika ini berada di Turkiye dalam misi menyalurkan bantuan kepada mangsa gempa bumi termasuk di Syria.

Orang ramai boleh mengambil bahagian dalam misi ini dengan menyalurkan derma kepada Tabung #BantuanBencana Sinar Karangkraf x Syria Care.

Mereka yang ingin menyumbang, boleh salurkan sumbangan ke akaun Maybank Sinar Karangkraf Sdn Bhd, 564276-529068.

Sumbangan untuk Tabung #BantuanBencana Sinar Karangkraf x Syria Care boleh dibuat melalui pautan ini: https://info.sinarharian.com.my/tabung-bantuanbencana-sinar-karangkraf-x-syria-care/


2. Iran International TV di London diarah tutup, terima ancaman dari Tehran 

Iran International TV. - Foto Iran International

LONDON: Stesen rangkaian bebas, Iran International TV hari ini berkata, mereka dipaksa menutup studio London atas nasihat polis United Kingdom (UK) selepas 'peningkatan ketara dalam ancaman yang disokong kerajaan Iran'.

"Saya tidak percaya ia berlaku. Negeri asing menyebabkan ancaman yang begitu ketara kepada orang awam British di bumi British sehingga kami terpaksa berpindah.

"Mari kita jelaskan, ini bukan sahaja ancaman kepada stesen televisyen kita tetapi orang awam Britain secara amnya.

"Lebih-lebih lagi ini adalah serangan terhadap nilai-nilai kedaulatan, keselamatan dan kebebasan bersuara yang sentiasa dihormati oleh UK," kata Pengurus Besar rangkaian itu, Mahmood Enayat, yang mengesahkan siaran 24 jam diteruskan dari pejabat stesen di Washington.

Satu sumber berkata, keputusan itu dicapai lewat semalam, berikutan penahanan seorang lelaki Austria-Iran di sekitar studio di Chiswick, barat London, hujung minggu lalu.

Kata polis, Magomed-Husejn Dovtaev, 30, didakwa pada Isnin lalu dengan dakwaan 'mengumpul maklumat yang mungkin berguna kepada seseorang yang melakukan atau menyediakan tindakan keganasan'.

Pada November lalu, polis memasang penghadang konkrit di luar studio, sama seperti di bangunan utama kerajaan dan tempat pelancongan di ibu negara Britain, untuk mengelakkan sebarang serangan menggunakan kenderaan.

Hari ini, polis berkata, walaupun lelaki itu ditahan, mereka masih mempunyai kebimbangan serius terhadap keselamatan orang yang bekerja di syarikat itu.

"Ini menyebabkan kami memberi nasihat lanjut dan syarikat itu kini berpindah.

"Situasi yang dihadapi oleh wartawan di seluruh dunia dan hakikat bahawa sesetengah wartawan menghadapi musuh (negara asing) ketika berada di UK adalah realiti mencabar yang kami perlu hadapi," kata Mahmood. - AFP


3. Bagaimana ‘suasana’ Islam wujud di Kelantan? 


TAMADUN yang pernah wujud di atas muka bumi ini begitu menyedari betapa kelangsungan dan pencapaian dalam banyak aspek kehidupan adalah sangat berasas dari pengetahuan atau ilmu.

Ini bererti, bidang pendidikan merupakan teras lembut hingga terbentuk segala tapak dan struktur dalam penerokaan, penemuan, pembangunan, pembinaan dan teknologi yang pesat, hebat dan teguh.

Kerana memahami hal itulah, negara ini pasca-Merdeka telah meletakkan pendidikan sebagai bidang keutamaan di mana bahagian besar kek Belanjawan Negara diperuntukkan kepadanya.

Namun, politik telah mempengaruhi serta mengubah kepentingan pendidikan di mana peruntukan kewangan ke atasnya semakin mengecil berbanding luas dan besar keperluan saiz perkhidmatannya dengan perkembangan masa.

Sebaliknya bidang pendidikan telah dijadikan peluang dan kesempatan dalam meraih laba besar menjana keuntungan kewangan dan kekayaan apabila ia dijadikan sebagai sebahagian perniagaan.

Akibatnya, kerajaan hilang fokus kepada usaha memenuhi tuntutan atau tujuan pendidikan negara, tetapi para politikus berlumba-lumba terlibat dalam bidang pendidikan untuk menerkam duit.

Kesannya, di sekolah rendah dan menengah timbul begitu banyak isu atau bebanan berkaitan pengurusan atau pentadbiran, di mana para gurulah yang terpaksa menanggung atau menangani semua itu.

Masalah telah membelenggu sekian lama ini bahkan terjadi di semua negeri dan daerah, tetapi lebih-lebih lagilah negeri yang sememangnya dianaktiri serta dimomokkan mundur dan miskin seperti Kelantan.

Sedangkan jika kerajaan selaku pemerintah benar-benar memiliki matlamat jelas ke arah membangunkan negara, maka menerusi pendidikanlah sepatutnya mereka ‘keluarkan’ Kelantan dari mundur dan miskin itu.

Tetapi jika di negeri lainpun isu dihadapi kekal berkemelut, sudah tentu di Kelantan tergamak diabaikan sahaja tanpa diusahakan untuk keperluannya dipenuhi atau diselesaikan dari berterusan berlaku.

Contohnya masalah kekurangan guru subjek atau mata pelajaran tertentu, namun sepertimana juga negeri-negeri lain, untuk para pengajar berkenaan masuk mengisi di Kelantan tidak dapat dilaksanakan.

Ia disebabkan kuota ditetapkan kementerian telah penuh yang menjadi antara ‘kayu pengukur’ terang dan jelas betapa pemerintah sebelum ini tidak memperkasakan pendidikan selaras keperluan semasa.

Iktibar pengalaman Kelantan

Satu keadaan unik yang boleh dijadikan pengalaman berguna dalam banyak aspek adalah dari masalah pernah dialami Kelantan satu ketika di mana kekurangan ustaz ustazah Pendidikan Islam.

Namun, negeri ini terbukti berjaya melahir dan membentuk rakyat yang beramal dengan baik agamanya dalam kehidupan harian kerana dipengaruhi oleh persekitaran serta pemerintah kerajaan.

Pemimpin politik yang mentadbir urus dengan membawa dasar Membangun Bersama Islam telah menunjukkan bahawa mereka memiliki matlamat jelas dalam memacu masa depan negeri.

Diketuai ulamak dan semangat ‘Kepimpinan Ulamak‘ secara kolektif di mana ajaran atau mesej Islam berjaya sampai kepada rakyat hingga terbentuk ‘cara hidup’ dan ‘suasana’ menerusi pemerintahan.

Maka biarpun di sekolah berlaku kekurangan ustaz ustazah, tetapi apabila guru sebagai rakyat yang berada di dalam negeri ini telah terbangun dengan peribadi Islam, maka merekalah secara tidak langsung memberikan ajaran agama.

Kekurangan ustaz ustazah mungkin menyebabkan murid atau pelajar mengikuti subjek Pendidikan Islam dengan jam tidak mencukupi dari ketetapan, tetapi agama tetap terbangun dalam diri mereka.

Inilah hasil dari pemimpin yang menerajui pemerintahan kerajaan dengan memiliki dasar dan matlamat jelas di mana kekurangan seumpama itu akan tertampung secara kemasyarakatannya.

Apatah lagi apabila Kerajaan Negeri Kelantan menggembleng pembangunan pendidikan berteraskan agama dengan mewujudkan institusi pengajian tinggi, sekolah, pondok dan tahfiz sendiri menerusi Yayasan Islam Kelantan (YIK).

Ianya telah memartabat dan memperkasakan lagi Islam dalam kehidupan rakyat dan pembangunan negeri hingga wujud ‘suasana’ sedang dinikmati pada hari ini di bumi Serambi Makkah ini.

Pencapaian ini harapnya sedia diterima sebagai teladan oleh Kerajaan-kerajaan Negeri lainnya, termasuk Kerajaan Persekutuan dalam mendepani masalah atau isu seumpama yang berlaku.

Jangan hanya jadikan sesuatu rujukan, dasar, matlamat atau pendekatan itu sekadar teori, retorik dan slogan puitis serta indah tanpa mematuhi atau berpandukan ia dengan sebaik-baiknya.

Jika tidak, kacau-bilaulah ia sepertimana penerimaan terhadap madani dan rahmah yang dilaung kempenkan kerajaan baharu ketika ini, tetapi jauh dari mengisi atau menurut hakikat sebenar.

NAZMAN CHE IBERAHIM
Darulnaim Research Centre – HARAKAHDAILY 16/2/2023


Komen Weblog Ibnu Hasyim: 3 perkara ini, antarabangsa kena tahu... Aurat-gadai nyawa, Iran & K'tan.

3 perkara yang puak-puak antarabangsa kena faham mengenai Islam, iaitu:

(i) Mempertahankan aurat wanita adalah sebuah perjuangan mulia dan boleh mendapat ganjaran 'mati syahid'. Di sini puak-puak belum Islam, dan baruanya mungkin tidak akan faham, perlu difahamkan betul-betul.

(ii) Mengenai Iran, puak-puak antarabanga juga kena sedar, bahawa London yang kononnya mengaku stesen rangkaian bebas Iran sebenarnya penghasut negara sah Iran, dan sentiasa memusuhi negara dan rakyat Iran.

(iii) Pihak antabangsa juga kena sedar, bagaimana ‘suasana’ Islam yang wujud di Kelantan Malaysia, perlu dijadikan iktibar kepada dunia seluruhnya. 

Sekian.

Ini, mengapa Islam larang? Konsert Tomok, Pulau & selingkoh..

 

New Boyz berhasrat menganjurkan konsert berskala besar sempena meraikan ulang tahun ke-25, tahun depan. - NSTP/Aswadi Alias

1. Konsert nostalgia jentik emosi Tomok

KUALA LUMPUR: Malam penuh nostalgia bagi vokalis New Boyz, Tomok yang tidak mampu membendung air mata tatkala melihat kesungguhan peminat hadir menyaksikan Konsert New Boyz Sejarah Mungkin Berulang di Stage 1 Theatre, Petaling Jaya Performing Arts Centre (PJPAC) selama dua malam, baru-baru ini.

Terharu sokongan diraih, namun Tomok tidak terlalu larut dalam emosi kerana bimbang persembahan selama lebih dua jam boleh terjejas fokusnya.

Hakikatnya, Tomok atau nama sebenarnya, Shah Indrawan Ismail itu ingin menangis semahu-mahunya dan terharu melihat peminat yang masih mampu menghafal lagu New Boyz meskipun sudah lebih dua dekad berlalu.

Muncul dengan persembahan penuh bertenaga dengan peminat yang seakan naik 'hantu' ketika New Boyz mempersembahkan lagu rancak seperti Lolita dan Iye Iye Iyo.

Malah, ada di kalangan peminat sangat sporting apabila tampil berbaju sekolah sebagai kejutan buat kumpulan yang ditubuhkan pada 1999 itu.

Ketika New Boyz mendendangkan lagu berentak perlahan seperti lagu hit, Sejarah Mungkin Berulang dan Meraung, ada peminat yang dilihat gagal menahan air mata kerana dibuai dengan vokal merdu Tomok pada malam itu.

"Kami sebak walaupun lagu New Boyz sudah berusia lebih 20 tahun, namun peminat masih mampu menghafal dan menyanyi bersama.

"Saya terharu melihat semangat peminat, tak sangka suasana malam ini akan menjadi 'happening'," kata Tomok.

Tambah Tomok, melihat maklum balas peminat membuatkan penat lelahnya bersama rakan-rakan yang gigih berlatih dan merencana konsert sejak setahun lalu hilang serta merta.

Katanya, kesanggupannya mengeluarkan bajet mencecah ratusan ribu dilihat berbaloi.

"Sebenarnya, masih ada peminat bertanyakan mengenai tiket sehingga saat akhir. Sedangkan, tiket sudah habis dijual dalam tempoh 24 jam pada November lalu.

"Memang berbaloi segala pengorbanan mengeluarkan bajet sendiri melihatkan sokongan peminat," kata Tomok.

Melihatkan sambutan luar biasa, timbul keinginan menganjurkan konsert berskala besar, tambahan pula New Boyz bakal meraikan ulang tahun ke-25, tahun depan.

"Ruang dipilih ini hanya mampu memuatkan 1,400 penonton untuk dua malam. Jika ada rezeki, New Boyz akan mengadakan konsert ulang tahun di lokasi lebih besar agar dapat memuatkan lebih ramai peminat.

"Kami berharap, konsert hari ini membuka mata penaja memandangkan saya terpaksa mengeluarkan bajet sendiri sebelum ini.

"Saya mahu penaja tahu New Boyz masih ada peminat dan memiliki banyak lagu-lagu hit," kata Tomok lagi.

Sementara itu, Tomok mengakui sebak dapat menghimpunkan semula rakan-rakan baiknya.

Walaupun tidak berjaya membawa Syuk dan Along, beliau tetap bersyukur dengan kesudian Jay, Lan, Zimi, Afiez, Zack dan Ristoe untuk menyertai dalam Konsert New Boyz Sejarah Mungkin Berulang.

Selain lagu Sejarah Mungkin Berulang dan Meraung, Tomok dan New Boys turut mendendangkan lagu Marah Bukan Sifatku, Lukamu Lukaku Jua, Ku Miliki Jua, Apa Kau Mau, Khilaf, Qyiam, Hanya Tinggal Sejarah, Norkia dan banyak lagi. (BH)


2. Filem Pulau 'diharamkan' di Terengganu 

Sebaik treler filem Pulau yang mengisahkan kembara sekumpulan anak muda ke sebuah pulau berhantu dimuat naik di YouTube, laman sembang kecoh dengan kritikan netizen yang mempersoalkan bagaimana naskhah lulus tayangan di pawagam.

KUALA LUMPUR: Penerbit filem, Fred Chong bersedia bertemu Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu susulan keputusan kerajaan negeri 'mengharamkan' tayangan filem kontroversi, Pulau di negeri berkenaan.

Menerusi sidang media secara virtual, Chong berkata, surat rayuan sudah siap dan mereka menantikan surat sokongan daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).

Chong berkata, dia bersedia terbang ke Kuala Terengganu bersama wakil FINAS dalam masa terdekat untuk membuat rayuan, sekali gus menayangkan filem Pulau kepada wakil kerajaan negeri agar penilaian boleh dilakukan, sama ada filem itu mempunyai unsur 'soft porn' atau sebaliknya.

"Pada 9 Februari lalu, TGV selaku pemamer menerima surat daripada Majlis Perbandaran Kemaman mengenai keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu yang melarang filem Pulau daripada ditayangkan di negeri ini.

"Keputusan kerajaan negeri menimbulkan kebimbangan. Bagi kami, ia satu gerakkan berbahaya kerana boleh mempengaruhi negeri lain untuk mengambil tindakan sama.

"Kami sedang menanti surat sokongan daripada FINAS. Saya akan ke Kuala Terengganu sebaik mendapat keizinan kerajaan negeri.

"Saya berhasrat menayangkan filem Pulau kepada wakil kerajaan negeri agar boleh membuat penilaian terhadap jalan cerita yang didakwa mempunyai adegan tidak sepatutnya seperti tertera dalam surat yang dihantar kepada TGV," kata Chong,

Menurut Chong, dia berharap kerajaan negeri menerima pelawaan produksi untuk menonton filem Pulau terlebih dahulu bagi berlaku adil kepada kedua-dua pihak.

"Biarpun Terengganu hanya mempunyai tiga panggung, namun ia tetap menimbulkan kebimbangan kerana boleh mempengaruhi keputusan negeri lain.

"Ramai terlalu cepat menjatuhkan hukuman tanpa terlebih dahulu menonton filem Pulau gara-gara terpengaruh dengan treler filem yang dikatakan keterlaluan.

"Semua yang mengkritik belum menonton filem Pulau, tetapi melemparkan pelbagai kritikan. Apa salahnya beri peluang kepada filem ini.

"Sekurang-kurangnya fikirkanlah usaha pelakon dan kru yang bertungkus lumus belajar menyelam dan terpaksa duduk dalam hutan bagi menjayakan filem ini.

"Apa yang ditayangkan dalam treler filem langsung tidak sama dengan keseluruhan jalan cerita dalam filem. Jika mengandungi unsur 'soft porn' seperti didakwa, tentunya filem Pulau tidak mendapat kelulusan Lembaga Penapis Filem (LPF), Syarat Wajib Tayang dan FINAS.

"LPF memberikan kelulusan berdasarkan keseluruhan filem, bukan berpandu kepada treler semata-mata. Malah, kami akur apabila empat babak dalam filem dipotong," katanya.

Chong berkata, gara-gara kontroversi treler yang ditayangkan pada Januari lalu, penerbit mengalami kerugian hampir RM500,000 apabila penaja menarik tajaan terhadap filem.

Justeru, katanya, pihaknya bimbang lebih banyak kerugian bakal ditanggung hanya disebabkan masyarakat salah faham terhadap filem Pulau.

"Kami membelanjakan RM4 juta untuk penghasilan filem Pulau. Tetapi, kami terpaksa menanggung kerugian dan kemungkinan besar selepas kontroversi.

"Produksi tidak mampu melabur membeli iklan papan gergasi dan malam gala secara besar-besarkan kerana tiada bajet selepas penaja menarik diri.

"Saya terpanggil mengadakan sidang media hari ini kerana saya perlu bersuara. Kita bangga apabila Tan Sri Michelle Yeoh diangkat sebagai Pelakon Wanita Terbaik Komedi/Muzikal, Anugerah Golden Globe Ke-80, baru-baru ini.

"Tetapi, filem tempatan pula diketepikan di negara sendiri sebelum terlebih dahulu ditonton. Jadi, macam mana filem tempatan ingin terus mengorak langkah ke persada dunia," katanya.

Chong menafikan, treler disiarkan di platform YouTube bertujuan sebagai strategi pemasaran, sebaliknya, ia adalah tujuan pasaran ke luar negara.

Filem Pulau arahan Euho dan dibintangi Alif Satar, Amelia Henderson, Nam Ron, Wan Hanafi Su, Ikmal Amry, Sanjna Suri, Joey Leong dan Harris Anuar.

Turut beraksi, Jazmy Juma, Mark O'Dea, Sabronzo, Evie Feroza, Cedric Loo, Pui Yi dan Vikar.

Pulau diterbitkan WebTVAsia dengan kerjasama My Way Pictures dan Filmforce Studio dan diarah Euho.

Menerusi kenyataan dikeluarkan, LPF mengklasifikasikan filem Pulau sebagai naskhah seram, bukannya filem porno seperti digembar-gemburkan.

Sebelum kerajaan negeri Terengganu mengumumkan pengharaman filem, Pulau dijangka bakal ditayangkan di 75 pawagam di seluruh negara. (BH)


3. Beri Alasan Nak Urut Ibu Mentua Dalam Bilik, Bintang Taiwan ‘Tangkap’ Bekas Suami Jalin Hubungan Terlarang  

Seorang bintang Taiwan, Jiang Ping mendedahkan bahawa perkahwinannya berakhir selepas dia berjaya menangkap bekas suaminya curang bersama wanita lain. 

Lebih mengejutkan apabila bekas suaminya yang juga merupakan seorang penulis skrip curang dengan ibu kandungnya sendiri (ibu mentua kepada suami).

Menurut Ping, ketika berusia 21 tahun dia telah berkeras untuk berkahwin dengan lelaki pilihannya meskipun pada ketika itu keputusannya ditentang oleh keluarga kerana bapanya merasakan lelaki terbabit bukan calon suami yang baik.

Namun, selepas tujuh tahun mendirikan rumah tangga, suaminya mula melakukan penderaan secara fizikal dan mental. Malah, lelaki terbabit secara tiba-tiba hilang selera untuk ‘bersama’ dengan isterinya.

Setelah disiasat, rupa-rupanya si suami sedang menjalinkan hubungan terlarang dengan ibunya sendiri.

Apa yang menyakitkan hati, lelaki berkenaan akan berpura-pura ke bilik untuk mengurut ibunya manakala si isteri berada di ruang tamu bersama anak-anak mereka.

Apabila saya tanya kepada buat perkara macam ni, dia kata ‘kalau saya tak buat macam ni, ibu awak akan cari lelaki lain untuk curang’.

Wanita itu cuba untuk memujuk hati serta memaafkan perbuatan si suami, namun Ping tidak mampu untuk menipu dirinya. Walau bagaimanapun, dia membuat keputusan untuk bercerai demi kesihatan mentalnya.

Susulan daripada kisah kecurangan itu, hubungan Ping dan ibu kandung terputus dan bapanya mengalami kekecewaan yang teruk.

Difahamkan, dia berkongsi kisah sedih itu selepas 20 tahun trauma gara-gara perbuatan bekas suami dan ibunya itu.

Sumber : 8day.sg


Komen Weblog Ibnu Hasyim: Ini, mengapa Islam larang? Konsert Tomok, Pulau & selingkoh..

Islam adalah agama yang ingin membawa kebahagiaan penganutnya dari dunia hingga akhirat. Kerana itu Islam menggariskan disiplin 'patuh syariah' kepada pengamal-pengamalnya di negara umat Islam Malaysia ini sesuai dengan Perlembagaan Persekutuan (perkara 3) seperti yang termaklum.

Maka berlakulah peraturan-peraturan seperti yang ditetapkan. 

Dalam kes 'Beri Alasan Nak Urut Ibu Mentua Dalam Bilik, Bintang Taiwan ‘Tangkap’ Bekas Suami Jalin Hubungan Terlarang' itu juga memberi pengajaran kepada manusia mengenai perlunya batas-batas aurat termasuk dalam keluarga, masyarakat, pergaulan, konsert, filem dan sebagainya.


Cuma umat Islam di negara ini jangan terpengaruh dengan dakyah dari parti-parti anti Islam yang ingin memecahkan perpaduan umah dan nasional di negara yang kita cintai ini.

Sekian.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails