PUTRAJAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) diarahkan bertindak segera dengan meneliti keseluruhan kandungan filem Mentega Terbang yang sedang hangat diperkatakan umat Islam.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, hasil penelitian Jakim mendapati bahawa filem ini terdapat pertentangan yang jelas dengan akidah dan cara kehidupan umat Islam di Malaysia yang beraliran Mazhab Syafie.
“Saya menerima pelbagai pandangan dan reaksi daripada masyarakat awam yang menyatakan kegusaran berhubung penayangan filem ini. Saya amat memahami akan sensitiviti masyarakat Malaysia khususnya yang beragama Islam berhubung isu filem tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mentega Terbang mula ditayangkan melalui platform penstriman berbayar Viu pada 19 Januari lalu dengan skrip ditulis bersama Khairi Anwar, Arjun Thanaraju dan Ting Teng Hui mengisahkan remaja Muslim bernama Aishah tertarik kepada agama yang mempercayai konsep kelahiran semula selepas kematian menjadi makhluk lain sebagai balasan.
Malah ada babak yang menunjukkan ayah Aishah berfahaman liberal tidak menyekat anaknya itu murtad selepas mengkaji pelbagai kitab agama lain konon mencari jawapan.
Cereka berdurasi satu jam 44 minit itu tidak tertakluk Lembaga Penapisan Filem (LPF) kerana hanya ditayangkan melalui wadah atas talian dan bukan pawagam atau televisyen.
Mengulas lanjut, Mohd. Na’im berkata, Jakim turut diarah mengemukakan ulasan terperinci kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) agar tindakan boleh dikenakan.
“Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) juga diminta untuk memanggil pihak yang terbabit dalam isu penerbitan filem itu untuk pengurusan selanjutnya,” jelasnya lagi.
Pihaknya tegas beliau, sama sekali tidak akan berkompromi dengan apa jua kandungan penerbitan yang boleh mencemarkan kesucian Islam dan jelik mengundang kontroversi kerana dibimbangi mengancam keharmonian masyarakat majmuk di Malaysia terdiri daripada pelbagai latar belakang agama, budaya dan cara hidup berbeza.
Rakyat juga kata beliau, dinasihatkan lebih berhati-hati dalam memilih program untuk tontonan seisi keluarga agar tidak terdedah kepada unsur menjejaskan akidah Islamiah.
Pada masa sama, beliau mengingatkan semua penggiat seni kreatif tempatan tidak sengaja menyalahgunakan kebebasan berkarya secara keterlaluan mengikut acuan luar.
“Saya juga ingin menasihatkan kepada semua penggiat seni supaya berwaspada dalam menerbit dan menyiarkan bahan kandungan kepada masyarakat,” jelas Mohd. Na’im. – UTUSAN
2. Pelakon Mentega Terbang hanya jalankan tanggungjawab
Kuala Lumpur: "Setakat ini, saya belum terima sebarang kecaman,".
Demikian kata pelakon filem Mentega Terbang, Firdaus Karim, 41, selepas filem yang mengangkat kisah mengenai keterbukaan dalam beragama itu mencetuskan kontroversi.
Firdaus yang memegang watak Jailani dalam filem itu, ketika ditemui berkata, dia menganggap setiap rezeki itu daripada Allah dan dia hanya menjalankan tanggungjawabnya sebagai pelakon.
"Saya percaya, rezeki itu daripada Allah SWT. Saya bergantung kepada apa yang ditakdirkan. Saya ada prinsip saya sendiri juga.
"Pembabitan saya dalam sesuatu naskah itu adalah untuk generasi akan datang. Jadi, kalau dipertanggungjawabkan untuk bawakan sesuatu tanggungjawab (watak), saya akan buat," katanya.
Tambah Firdaus, dia juga tidak melabelkan dirinya sebagai pelakon filem kontroversi atau apa, sebaliknya, melalui perjalanan kariernya mengikut alur rezeki.
"Saya tak berani nak melabelkan diri saya sebagai pelakon apa. Tapi, dalam perjalanan saya ini, saya anggap rezeki itu ada di mana-mana. Kalau itu ditakdirkan untuk saya buat, itu jalannya," katanya.
Diminta mengulas lebih lanjut mengenai kontroversi yang melanda filem itu sehingga dilaporkan oleh Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) kepada pihak berkuasa kerana didakwa memesong dan mencabar akidah umat Islam, Firdaus menyerahkan semuanya kepada penerbit dan pengarah.
"Berkenaan filem itu, saya serahkan kepada penerbit dan pengarah untuk memberikan komen. Mereka lebih sesuai dan layak," katanya.
Terdahulu, filem indie, Mentega Terbang yang ditayangkan secara percuma di platform penstriman digital mencetuskan kontroversi dengan jalan cerita dipaparkan didakwa bertentangan dengan agama Islam, dan dimainkan oleh pelakon beragama Islam. -(mymetro)
Komen Weblog Ibnu Hasyim: Lagi, filem hiburan, 'Mentega Terbang', 'lawan akidah' & liberal'?
Wajar di'patuh syariat'kan.
Kita bersetuju dengan Menteri JPM Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar, yang hasil penelitian Jakim mendapati bahawa filem ini terdapat pertentangan yang jelas dengan akidah dan cara kehidupan umat Islam di Malaysia bermazhab Syafie.
Sekian.