Saturday, March 04, 2023

Lagi filem hiburan, 'Mentega Terbang'', 'lawan akidah' & liberal'?

 

HALAMAN HIBURAN

1. Jakim sah filem Mentega Terbang bertentangan akidah

PUTRAJAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) diarahkan bertindak segera dengan meneliti keseluruhan kandungan filem Mentega Terbang yang sedang hangat diperkatakan umat Islam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, hasil penelitian Jakim mendapati bahawa filem ini terdapat pertentangan yang jelas dengan akidah dan cara kehidupan umat Islam di Malaysia yang beraliran Mazhab Syafie.

“Saya menerima pelbagai pandangan dan reaksi daripada masyarakat awam yang menyatakan kegusaran berhubung penayangan filem ini. Saya amat memahami akan sensitiviti masyarakat Malaysia khususnya yang beragama Islam berhubung isu filem tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mentega Terbang mula ditayangkan melalui platform penstriman berbayar Viu pada 19 Januari lalu dengan skrip ditulis bersama Khairi Anwar, Arjun Thanaraju dan Ting Teng Hui mengisahkan remaja Muslim bernama Aishah tertarik kepada agama yang mempercayai konsep kelahiran semula selepas kematian menjadi makhluk lain sebagai balasan.

Malah ada babak yang menunjukkan ayah Aishah berfahaman liberal tidak menyekat anaknya itu murtad selepas mengkaji pelbagai kitab agama lain konon mencari jawapan.

Cereka berdurasi satu jam 44 minit itu tidak tertakluk Lembaga Penapisan Filem (LPF) kerana hanya ditayangkan melalui wadah atas talian dan bukan pawagam atau televisyen.

Mengulas lanjut, Mohd. Na’im berkata, Jakim turut diarah mengemukakan ulasan terperinci kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) agar tindakan boleh dikenakan.

“Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) juga diminta untuk memanggil pihak yang terbabit dalam isu penerbitan filem itu untuk pengurusan selanjutnya,” jelasnya lagi.

Pihaknya tegas beliau, sama sekali tidak akan berkompromi dengan apa jua kandungan penerbitan yang boleh mencemarkan kesucian Islam dan jelik mengundang kontroversi kerana dibimbangi mengancam keharmonian masyarakat majmuk di Malaysia terdiri daripada pelbagai latar belakang agama, budaya dan cara hidup berbeza.

Rakyat juga kata beliau, dinasihatkan lebih berhati-hati dalam memilih program untuk tontonan seisi keluarga agar tidak terdedah kepada unsur menjejaskan akidah Islamiah.

Pada masa sama, beliau mengingatkan semua penggiat seni kreatif tempatan tidak sengaja menyalahgunakan kebebasan berkarya secara keterlaluan mengikut acuan luar.

“Saya juga ingin menasihatkan kepada semua penggiat seni supaya berwaspada dalam menerbit dan menyiarkan bahan kandungan kepada masyarakat,” jelas Mohd. Na’im. – UTUSAN


2. Pelakon Mentega Terbang hanya jalankan tanggungjawab   

Kuala Lumpur: "Setakat ini, saya belum terima sebarang kecaman,".

Demikian kata pelakon filem Mentega Terbang, Firdaus Karim, 41, selepas filem yang mengangkat kisah mengenai keterbukaan dalam beragama itu mencetuskan kontroversi.

Firdaus yang memegang watak Jailani dalam filem itu, ketika ditemui berkata, dia menganggap setiap rezeki itu daripada Allah dan dia hanya menjalankan tanggungjawabnya sebagai pelakon.

"Saya percaya, rezeki itu daripada Allah SWT. Saya bergantung kepada apa yang ditakdirkan. Saya ada prinsip saya sendiri juga. 

"Pembabitan saya dalam sesuatu naskah itu adalah untuk generasi akan datang. Jadi, kalau dipertanggungjawabkan untuk bawakan sesuatu tanggungjawab (watak), saya akan buat," katanya.

Tambah Firdaus, dia juga tidak melabelkan dirinya sebagai pelakon filem kontroversi atau apa, sebaliknya, melalui perjalanan kariernya mengikut alur rezeki.

"Saya tak berani nak melabelkan diri saya sebagai pelakon apa. Tapi, dalam perjalanan saya ini, saya anggap rezeki itu ada di mana-mana. Kalau itu ditakdirkan untuk saya buat, itu jalannya," katanya.

Diminta mengulas lebih lanjut mengenai kontroversi yang melanda filem itu sehingga dilaporkan oleh Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) kepada pihak berkuasa kerana didakwa memesong dan mencabar akidah umat Islam, Firdaus menyerahkan semuanya kepada penerbit dan pengarah.

"Berkenaan filem itu, saya serahkan kepada penerbit dan pengarah untuk memberikan komen. Mereka lebih sesuai dan layak," katanya.

Terdahulu, filem indie, Mentega Terbang yang ditayangkan secara percuma di platform penstriman digital mencetuskan kontroversi dengan jalan cerita dipaparkan didakwa bertentangan dengan agama Islam, dan dimainkan oleh pelakon beragama Islam. -(mymetro)

Komen Weblog Ibnu HasyimLagi, filem hiburan, 'Mentega Terbang', 'lawan akidah' & liberal'?

Wajar di'patuh syariat'kan. 

Kita bersetuju dengan Menteri JPM Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar, yang hasil penelitian Jakim mendapati bahawa filem ini terdapat pertentangan yang jelas dengan akidah dan cara kehidupan umat Islam di Malaysia bermazhab Syafie.

Sekian.

Thursday, March 02, 2023

Hasil bumi dikebas, getah merudum, tarik balik sangka jahat..

 


Tuan Guru Abdul Hadi Awang

1. ‘Hasil bumi dikebas, bahagi peruntukan dibeza-bezakan’

KUALA LUMPUR: Pembangkang dalam sebuah negara demokrasi selepas pilihan raya dianggap sebagai penasihat bagi melakukan muhasabah terhadap kerajaan, kata Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Ini, katanya supaya kerajaan jangan syok sendiri dengan tidak menyedari kelemahan-kelemahan yang berlaku dan mestilah bertindak membetulkannya.

Menurut beliau, Khalifah Abu Bakar RA menegaskan dalam satu ucapannya yang bermaksud: “Wahai tuan-tuan semua! Aku telah dipilih menjadi pemimpin kamu, padahal aku bukanlah orang yang terbaik dalam kalangan kamu. Oleh itu, sekiranya aku berlaku baik, maka tolonglah aku. Dan sekiranya aku ada melakukan salah silap, sila perbetulkan aku. Benar itu amanah dan bohong itu khianat. Orang yang lemah daripada kalangan kamu adalah kuat di sisiku, lalu aku kembalikan kepadanya apa yang menjadi haknya. Dan orang yang kuat daripada kalangan kamu (yang merampas hak orang lain) pula menjadi lemah di sisiku, nescaya aku bertindak merampas daripadanya untuk dikembalikan kepada yang berhak”.

Tambahnya, tindakan melengahkan peruntukan di kawasan pembangkang dan kerajaan negeri yang dikuasainya adalah tidak tepat dengan prinsip Islam dan demokrasi.

Bahkan, kata beliau ia terlalu jauh daripada ajaran Islam yang menjadi agama negara sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan sangat mencalarkan imej Islam.

“Selepas pilihan raya, semua pihak menjadi rakyat kepada mana-mana kerajaan yang memerintah, inilah konsep demokrasi yang betul.

“Janganlah dalam bab cukai diambil daripada semua, bab hasil bumi pula dikebas daripada semua negeri termasuklah negeri pembangkang dan rakyat pembangkang, tetapi dalam urusan mentadbir dan membahagikan peruntukan, dibeza-bezakan,” ujarnya yang juga Timbalan Ketua Ahli Parlimen PERIKATAN NASIONAL.

Katanya, perlu disedari bahawa berlaku banyak ketinggalan terhadap orang Melayu dan bumiputera yang banyak berada di kawasan pedalaman, luar bandar, di Pantai Timur, Utara Semenanjung dan Malaysia Timur (Sarawak dan Sabah).

Menurut beliau, perkara tersebut berlaku sejak zaman penjajah lagi mengikut penyusunan masyarakat yang telah dibentuk oleh mereka bagi mewujudkan ketegangan pada masa hadapan, melalui kesempatan memeras semua rakyat tanpa mengira bangsa dan agama.

Selain itu, ujarnya ia dilakukan bagi mengadu domba dalam kalangan mereka dengan meletakkan kaum Cina di kawasan bandar dan lombong, kaum India di kawasan estet dan membiarkan Melayu dan bumiputera di kawasan luar bandar, dengan mewujudkan jurang ekonomi dan sosial.

“Malah, tidak boleh dinafikan ramai juga masyarakat Cina di kampung yang dibentuk oleh penjajah dahulu dan kaum India di estet, berada dalam keadaan yang sangat miskin, bukan Melayu sahaja,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 28/2/2023


2. Harga getah merudum, penoreh duka lara 


KUALA LUMPUR: Hassan Saad (PN-Baling) meminta Menteri Perladangan Dan Komoditi menyatakan sama ada pihak kementerian bercadang untuk meningkatkan harga lantai getah sekerap kepada RM3 sekilogram.

Menurutnya, ini bagi membantu penoreh yang pendapatan mereka terjejas akibat kejatuhan harga getah ketika ini.

Hassan ketika mengemukakan soalan tambahan berkata, kenaikan harga lantai getah hanya 20 sen pada pembentangan Belanjawan 2023, Jumaat lepas.

“Kalau harga getah hanya dinaikkan 20 sen, jika dibahagi dua dengan tauke getah penoreh akan dapat RM1.35 sen.

“Jadi purata sebulan, mereka akan dapat RM162 sahaja. Apa yang penoreh boleh buat dengan jumlah pendapatan sebegini,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Jika sebelum ini, Hassan membangkitkan soal guru duka lara, tetapi pada minggu ini beliau menyuarakan perihal penoreh pula duka lara.

“Jadi, apakah kerajaan bercadang untuk menimbang semula harga lantai getah kepada RM3 atau lebih tambahan lagi, situasi terkini mereka berhadapan dengan harga barang yang mahal,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 28/2/2023


3. Ahli Parlimen Kota Melaka cetus kekecohan 

Muhyiddin Yassin jadi sasaran Ahli Parlimen Kota Melaka

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong, diarahkan menarik balik kenyataannya terhadap mantan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat putuskan sebagai sangkaan jahat.

Alice Lau Kiong mengarahkan Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) itu menarik balik semula kenyataannya yang mencetuskan kekecohan pada permulaan sesi perbahasan usul Belanjawan 2023 di Dewan rakyat, hari ini.

“Yang Berhormat Kota Melaka, memandangkan Peraturan-Peraturan Mesyuarat 36(6), seseorang ahli tidak boleh memulakan sangkaan jahat ke atas ahli yang lain, jadi saya minta Yang Berhormat Kota Melaka tarik balik (kenyataan terhadap) Yang Berhormat Pagoh.

“Kota Melaka boleh sebut mana-mana pihak, tetapi jangan sebut YB (Yang Berhormat) Pagoh sahaja,” katanya.

Sebelum itu, Poay Tiong membangkitkan beberapa projek kontroversi seperti Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa) dan Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe).

Katanya, skandal demi skandal dibongkarkan dalam tempoh tiga bulan lalu sambil mendakwa projek bernilai berbilion ringgit diberikan kepada ahli keluarga.

Ini menyebabkan Ahli Parlimen PERIKATAN NASIONAL (PN), termasuk Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut), Datuk Awang Hashim (PN-Pendang), Datuk Seri Shahidan Kassim (PN-Arau) dan Datuk Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa) bingkas bangun membantah kenyataan wakil rakyat DAP itu.

Ahli Parlimen PN menyatakan bahawa kenyataan itu seperti sudah menjatuhkan ‘kesalahan’ terhadap menantu Muhyiddin yang didakwa terbabit dengan projek NIIse.

Ini berikutan dakwaan itu sudah dijawab oleh Muhyiddin yang juga Pengerusi PN pada 9 Februari lalu. 

Datuk Awang Hashim lantang membalas kenyataan Khoo Poay Tiong.

Presiden Bersatu menafikan sekeras-kerasnya beliau terbabit dalam pemberian kontrak NIISe kepada IRIS Corporation Berhad yang dikaitkan dengan menantunya.

Muhyiddin yang turut bangun menyifatkan dakwaan itu sebagai fitnah yang sengaja direka untuk mencalar maruahnya dan keluarga.

Poay Tiong ketika perbahasannya membangkitkan isu pendanaan politik dan rasuah yang disentuh oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika pembentangan Belanjawan 2023, Jumaat lalu.

“Kita lihat dalam masa tiga bulan yang lepas, skandal demi skandal dibongkarkan, antaranya kita boleh lihat projek Jana Wibawa babit RM7 bilion, projek tebatan banjir RM7 bilion juga, Sistem Bersepadu Nasional melibatkan RM1 bilion. Semuanya kes telah dibongkarkan. Kita semua tahu ini adalah untuk tujuan politik,” katanya.

Ini menyebabkan Hamzah bangun mencelah dan menggesa Ahli Parlimen Kota Melaka itu mengulangi semula kenyataannya di luar Dewan Rakyat supaya tindakan undang-undang dapat diambil.

Ahli Parlimen PN turut menggesa Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat supaya mengarahkan Poay Tiong menarik semula kenyataannya, selain dihalau keluar dari Dewan Rakyat.

Ahli Parlimen Pendang berkata: “Mengikut Peraturan 36(6) seseorang ahli (Dewan Rakyat) tidak dibenar mengeluarkan sangkaan jahat. Yang disebut (Poay Tiong) adalah Pagoh secara individu. Minta tarik balik atau minta maaf, kalau berani tuduh di luar, kita jumpa di mahkamah.” – HARAKAHDAILY 28/2/23

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Hasil bumi dikebas, getah merudum, tarik balik sangka jahat..

Begitukah rakusnya kepimpinan yang tidak berasaskan agama di Malaysia? Tiada agama, tiada kebenaran dan keadilan.. 

Kerana telur, Ka Siong disaman.. & Wanita potong kemaluan lelaki.

 

Datuk Seri Dr Wee Ka Siong

1. Kerana telur, Ka Siong terima surat saman pengimport

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong mendedahkan beliau menerima surat saman daripada pengimport telur dari India susulan kenyataan dibuat ketika mencelah pada sesi penggulungan Usul Menjunjung Titah Diraja di Dewan Rakyat minggu lalu.

Presiden MCA itu meraih perhatian apabila membawa tiga telur ayam berlainan jenis iaitu telur dari India, telur omega dan telur tempatan ke Dewan Rakyat..

Beliau ketika itu menggesa Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu menumpu soal ketidakcukupan telur ayam tempatan, bukannya mengimport telur antaranya dari India untuk menampung keperluan domestik.

Selain itu, Ka Siong juga mendakwa ketiga-tiga jenis telur itu berbeza dari saiz dan harga.

"Cuma saya hairan apabila saya berucap di sini, saya (ada) terima surat daripada peguam yang mewakili pengimport dari India. Itu yang saya tak faham dan saya ditegah untuk berucap.

"Ini yang teruk. Sebab itu saya ada jawab nanti... tengok Facebook saya. Saya kena tunjukkan. Ini medan saya sebagai wakil rakyat.

Beliau ketika itu menggesa Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu menumpu soal ketidakcukupan telur ayam tempatan, bukannya mengimport telur antaranya dari India untuk menampung keperluan domestik.

Selain itu, Ka Siong juga mendakwa ketiga-tiga jenis telur itu berbeza dari saiz dan harga.

"Cuma saya hairan apabila saya berucap di sini, saya (ada) terima surat daripada peguam yang mewakili pengimport dari India. Itu yang saya tak faham dan saya ditegah untuk berucap.

"Ini yang teruk. Sebab itu saya ada jawab nanti... tengok Facebook saya. Saya kena tunjukkan. Ini medan saya sebagai wakil rakyat.

"Saya rasa terpanggil untuk membawa isu ini. Apa salah saya sehingga pengimport melalui peguam tulis surat kepada saya.

"Ini floor (platform) saya. Saya pun tak sebut syarikat apa dan saya tak nak tahu (syarikat apa)," katanya pada sesi perbahasan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat hari ini. (BH) 

BERITA BERKAITAN



2. Wanita potong kemaluan teman lelaki ugut sebar video lucah 

JAKARTA: Seorang wanita Indonesia didakwa memotong kemaluan teman lelakinya selepas berang berikutan lelaki itu mengugut untuk membocorkan video seks mereka berikutan keengganannya melakukan hubungan intim.

Menurut laporan media Indonesia, kisah tragik itu berlaku di sebuah hotel di Kota Sibolga, Sumatera Utara pada 25 Februari lalu.

Menurut polis, lelaki berusia 28 tahun itu mahu melakukan hubungan seks dengan wanita berkenaan yang hanya dikenali sebagai AST, namun dia menolak kerana 'tiada mood'.

Bagaimanapun, lelaki yang hanya dikenali sebagai OG itu kemudian mengugut untuk menyebarkan video hubungan intim mereka.

Ketua Polis Sibolga, Taryono Rajarja, berkata pasangan itu difahamkan berkenalan sejak tujuh bulan lalu.

"Apabila dia (lelaki itu) bersedia untuk mandi, suspek melakukan serangan. Dia mengambil pisau milik lelaki itu dan memotong kemaluannya," katanya.

Penyambut tetamu di hotel itu, Evi Wahyuni Siregar, berkata wanita berusia 28 tahun itu mendekatinya untuk mendapatkan bantuan selepas melakukan serangan itu.

Katanya, mangsa dilihat meraung kesakitan dan kini ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) sebuah hospital berhampiran.

Wanita itu ditahan polis, tetapi masih belum didakwa kerana polis berkata mereka sedang menunggu untuk menemubual mangsa. - AGENSI

Cadangan T/Ibrahim.. S'ngor negeri K-5 PN. Kecoh Ramasamy.

 


1. Tuan Ibrahim cadang kerjasama majukan SMART SBB 

KUALA LUMPUR: Menteri Makanan Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohammad Sabu mengambil kira cadangan Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Kubang Kerian) untuk bekerjasama dengan kerajaan negeri dalam program SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB).

Tuan Ibrahim mencadangkan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) supaya bekerjasama membangunkan SMART SBB seperti mana dilakukan Lembaga Zakat Kedah sebelum ini.

“Pada tahun 2022, sebanyak 19 syarikat peneraju menandatangani MoU (Memorandum Persefahaman) dengan kerajaan negeri termasuk Lembaga Zakat Kedah yang mensasarkan pembangunan asnaf Kedah.

“Apakah kerajaan juga berhasrat mengadakan kerjasama dengan agensi zakat negeri lain?” katanya dalam soalan tambahan pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Timbalan Presiden PAS itu turut meminta Mohammad Sabu membentangkan data lengkap mengenai jumlah keluasan projek SMART SBB setiap negeri dan bilangan peserta di setiap negeri.

Menjawab cadangan itu, Ahli Parlimen Kota Raja berkata, pihaknya mengalu-alukan sebarang kerjasama agensi kerajaan yang ingin terlibat dalam SMART SBB terutamanya dalam menyediakan dana.

“Sekarang ini kita sasarkan kepada 150,000 hektar, (tetapi) yang baru kita jalankan hanya 11,000 hektar. Jika agensi zakat mana-mana negeri mahu terlibat sebagai badan yang boleh membiayai, kita alu-alukan, termasuk Kelantan.

“Ini kerana SMART SBB yang sedang dilaksanakan di Kelantan hanya sekitar 138 hektar iaitu di Paser Puteh dan hasilnya belum lagi tinggi seperti di tempat lain, hanya mencapai sekitar 3.1 tan,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/2/2023

2. Menanti angin perubahan di Selangor 

PILIHAN Raya Umum Negeri ke-15 untuk enam buah negeri iaitu Kedah, Kelantan, Terengganu, Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang dijangka diadakan bila-bila masa selewatnya suku kedua tahun ini.

Setelah selesai Pilihan Raya Umum Parlimen ke 15 baru-baru ini yang mengakibatkan terjadinya ‘hung’ Parlimen dan akhirnya terpaksa dibentuk Kerajaan Campuran, ramai pemerhati sedang memberi tumpuan kepada PRN ini pula, apakah ianya juga nanti bakal menimbulkan kejutan sebagaimana PRU Parlimen.

Dengan kejayaan luar biasa PERIKATAN NASIONAL membolot peratusan terbesar undi Melayu dalam PRU Parlimen baru-baru ini, kombinasi PAS dan BERSATU dijangka menang mudah dan besar di ketiga-tiga negeri ‘bengkong Melayu’ itu iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Di Kelantan dan Terengganu PH dan BN gagal menang walau satu kerusi Parlimen manakala di Kedah pula hanya PKR menang satu kerusi iaitu di Sungai Petani, selebihnya dibolot PN. Jika keputusan demikian diambil kira, PH dan BN dijangka kecundang di ketiga-tiga negeri ini kerana kemenangan calon-calon PAS dan BERSATU adalah dengan majoriti yang cukup besar.

Kalau di Kedah majoriti paling kecil dimenangi calon PN adalah di Alor Setar iaitu 9,931 undi manakala terbesar adalah di Jerai dengan majoriti 33,192 undi.

Di Kelantan pula majoriti terkecil adalah calon BERSATU yang menang mengalahkan ‘gergasi’ politik Umno di Gua Musang iaitu Tengku Razaleigh dengan majoriti 163 undi manakala kerusi-kerusi lain majoritinya rekod antara 10,154 (Machang) ke 44,485 (Tanah Merah).

Di Terengganu pula majoriti terkecil adalah di Hulu Terengganu di mana calon BERSATU menang dengan majoriti 15,734 manakala majoriti terbesar dan rekod buat calon PAS adalah di Marang yang dimenangi Tuan Guru Presiden PAS dengan majoriti 41,729 undi.

Dengan pencapaian terbesar buat PN khasnya calon-calon Parlimen PAS ini, PN dijangka mampu bertahan dengan menyapu bersih ketiga-tiga Negeri Kelantan, Terengganu dan Kedah kiranya momentum ‘gelombang hijau’ kekal malah makin melonjak lagi.

Oleh kerana ketiga-tiga negeri ini hampir pasti kekal milik PN, maka perhatian sebenar para pemerhati adalah pada Selangor yang punya 56 kerusi DUN. Selangor adalah Negeri Pakatan Harapan.

Kedudukan PRU14 sesungguhnya meletakkan Selangor selesa di tangan PH, namun dengan perkembangan PRU Parlimen baru-baru ini, Selangor berupaya jatuh ke tangan PN jika ‘gelombang hijau’ memukul negeri ini sekali lagi.

Yang menariknya 5 dari 6 kerusi Parlimen yang PN menang dari 22 kerusi Parlimen di Selangor mempunyai peratus pengundi Melayu melebihi 60 peratus. 

Di Parlimen Kuala Langat walaupun peratusan pengundi Melayu adalah 58.23 peratus namun calon PAS iaitu Pesuruhjaya PAS Selangor Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi tetap boleh bawa kemenangan untuk PN.

Di Selangor dari 56 kerusi DUN, 33 mempunyai majoriti pengundi Melayu melebihi 60 peratus, manakala 6 pula lebih 50 peratus Melayu. 17 kerusi berbaki adalah kerusi majoriti bukan-Melayu di mana DAP kuat bertapak.

PN mampu menguasai negeri ini kiranya jenteranya bergerak pintar dan bertenaga. 

Di Selangor hari ini semangat ‘gelombang hijau’ yang berjaya membadai dari PRU Parlimen ke-15 lalu masih bergelora. Ini ditambah pula dengan kekecewaan dan sentimen tidak puas hati yang sangat menebal di kalangan ahli dan penyokong BN khasnya Umno dan PH sendiri.

Ahli-ahli dan penyokong Umno Selangor kecewa apabila Presiden dan Majlis Tertinggi Umno membuat keputusan membantu Datuk Seri Anwar membentuk kerajaan selepas PRU15 lalu bertentangan dengan keputusan Perhimpunan Umno. Mereka rata-rata mengharapkan Presiden Umno akan bersetuju membantu PN yang menguasai suara Melayu Islam membentuk kerajaan, tetapi apabila sebaliknya tawaran PH pula yang diterima dan tangan DAP yang disambut, ramai yang marah.

Selain itu mereka turut kecewa apabila bekas Pengerusi Perhubungan Umno Selangor, Tan Sri Noh Omar yang banyak berjasa pada rakyat dan negeri ini telah digugurkan dari mempertahankan kerusi Parlimennya di Tanjong Karang dan kemudiannya dipecat dari keahliannya.

Bagi penyokong PH di Selangor pula, tindakan pimpinan mereka bersetuju bekerjasama dengan BN dan Umno yang sebelum ini mereka dakwa sebagai penyamun dan perompak sesungguhnya meletakkan mereka dalam keadaan tidak selesa. PH berkempen dengan slogan anti rasuah dan integriti tetapi sebaliknya dengan mudah boleh menerima sokongan Umno yang mereka kritik semata-mata kerana kuasa.

Di mana perginya perjuangan dan semangat Reformasi dahulu?

BN dan PH Selangor cuba menyorok dan menyembunyikan sentimen kekecewaan dan ketidakpuasan hati akar umbi mereka itu, tetapi hakikatnya ia sedang membuak-buak mendidih, bakal menghukum mereka dalam PRN Negeri nanti.

Pengurusan Kerajaan Negeri Selangor yang lemah dan tidak tersusun berbanding di zaman Allahyarham Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim juga mula menghilangkan keyakinan rakyat pada PH. 

Banyak skim dan insentif yang membela kebajikan rakyat diperkenalkan semasa pemerintahan Tan Sri Khalid dahulu kini sewenang-wenangnya dihapus atau dipotong oleh kerajaan negeri.

Isu infrastruktur serta kemudahan awam, bekalan air yang sering terputus, banjir dan sampah serta kelemahan pengurusan cerun dan tanah tinggi terus menghantui rakyat negeri ini.

Kerajaan Negeri seakan tidak mampu mencari penyelesaian yang tuntas dan kekal selain mengambil langkah ‘ad hoc’ yang tidak menangani masalah sebenar.

Jika Kerajaan Persekutuan kini dikuasai BN-PH, sudah tiba masanya rakyat Selangor bertukar-angin. 

Demi memastikan semak dan imbang yang berkesan dan memanfaatkan rakyat dijangka panjang, serahlah pula kerajaan negeri ke PN agar kedua-dua Kerajaan Persekutuan dan Negeri dapat bersaing secara sihat demi kepentingan rakyat.

PN Selangor sama ada dari PAS mahupun BERSATU punya barisan kepimpinan yang layak, cekap dan berpengalaman untuk memimpin dan mentadbir negeri ini. 

PAS sahaja di Selangor pernah melahirkan 6 orang ahli Exco yang punya rekod cemerlang selain seorang Timbalan Speaker dan ratusan ahli majlis PBT dan lantikan politik yang lain yang berkaliber dan bersih.

Diharapkan momentum ‘gelombang hijau’ yang merupakan gelombang kesedaran politik umat Melayu Islam akan terus bertenaga di negeri ini sehingga PRN nanti.

Kini Perlis milik PN manakala Kedah, Kelantan dan Terengganu dijangka akan kekal ditangan PN-PAS. 

Biarlah Selangor menjadi negeri kelima. PN Selangor dijangka membariskan calon-calon yang profesional dan berwibawa yang mampu memenuhi aspirasi dan kehendak rakyat negeri ini.

Rakyat di kalangan penyokong BN dan PH yang kecewa sesungguhnya punya pilihan iaitu PN untuk melepaskan kekecewaan mereka itu. 

Bersamalah kita membawa angin perubahan pula di Selangor.

ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR – HARAKAHDAILY 21/2/2023

3. Ada apa di sebalik kenyataan kecoh Ramasamy? 

Kecoh baru-baru ini tentang kenyataan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang dari DAP, P Ramasamy yang mendesak agar kerajaan PH-BN di bawah pimpinan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim agar menghentikan dominasi satu kaum dalam sektor awam negara seperti yang dilaporkan media-media arus perdana.

Ramasamy yang juga Timbalan Pengerusi DAP Pulau Pinang, berkata, dasar perkauman sedemikian tidak lagi boleh dipertahankan terutama ketika Kerajaan PH-BN kini berada di tampuk kuasa. 

Kenyataan Ramasamy ini telah mendapat kecaman orang ramai, malah pemimpin PH-BN turut sama ‘mengecam’.

Namun begitu, Ramasamy kemudiannya mendakwa bahawa kenyataannya telah diputarbelitkan selain menegaskan bahawa pendapatnya itu adalah pendapat peribadi beliau. 

Sungguhpun begitu, tidak ada pula kenyataan memohon maaf daripada Ramasamy dalam hal ini.

Mereka bukan tidak tahu bahawa kelebihan kepada orang Melayu untuk memegang jawatan dalam perkhidmatan awam adalah sesuatu yang termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan Malaysia dan bukannya polisi biasa semata-mata. Ia tidak seharusnya dibangkitkan sama sekali.

Kita selalu mendengar ayat-ayat yang menyindir majoriti orang Melayu yang takut kepada DAP sebagai satu paranoid.

Mereka mempersendakan tidak balas daripada orang Melayu yang meletakkan kecurigaan yang tinggi terhadap DAP yang dikatakan mengancam Melayu dan Islam.

Hakikatnya bahawa prinsip mempersoalkan ‘hak istimewa orang Melayu’ ini memang berlaku pada ramai pemimpin di DAP walau pun mereka tegar menafikan.

Sementelah, DAP tidak pernah menarik balik perjuangan Malaysian-Malaysia mereka selama ini. 

Walaupun kita boleh melihat dalam isu kenyataan Ramasamy ini ramai juga pemimpin-pemimpin PH yang mengecam keras tindakannya ini, namun apa yang kita bimbang adalah ia  semua sekadar lakonan sahaja.

Lakonan untuk mengelakkan timbul persepsi bahawa PH sebuah parti gabungan yang ‘anti hak istimewa Melayu’ jadi tambah menebal dalam kalangan pengundi di saat Pilihan Raya Negeri (PRN) bakal berlaku bila-bila masa dari sekarang.

Seperti yang kita tahu PH sedang bergelut untuk mendapatkan undi dan sokongan orang Melayu. 

Persaudaraan mereka dengan DAP mencalarkan kepercayaan orang Melayu kepada PH, walaupun mereka kini sudah bersekongkol dengan Umno yang merupakan sebuah parti Melayu.

Sokongan orang Melayu terhadap Umno pula memang sudah merosot pada PRU15 lagi. Ini ditambah lagi dengan persekongkolan Umno dengan PH-DAP selepas Pilihan Raya ke-15 (PRU15), menambahkankan lagi kebencian orang Melayu terhadap Umno.

Justeru, harapan mereka untuk meraih sokongan tinggi daripada orang Melayu – melalui Umno hanya sia-sia.

PH-BN tidak mampu lagi untuk berhadapan dengan persepsi ‘anti hak istimewa Melayu’ dalam kalangan pengundi-pengundi Melayu. 

Isu sebegini yang timbul akan merosakkan imej PH-BN dalam berhadapan dengan pilihan raya akan datang. 

Oleh kerana itu, penulis berpendapat bahawa kecaman-kecaman yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin PH dan BN terhadap Ramasamy hanyalah lakonan sandiwara semata-mata. 

Jika kita melihat semasa PH kali pertama memerintah Kerajaan Persekutuan pada tahun 2018, terlalu banyak isu berkaitan dengan perkauman ini contohnya mengeluarkan kenyataan media rasmi menteri-menteri yang menggunakan tulisan Cina; cadangan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) dan beberapa perkara lagi.

Namun kita lihat dalam pemerintahan PH-BN pada kali ini mereka nampaknya sudah belajar dari kesilapan PRU-14.Tidak banyak perkara-perkara seperti itu berlaku pada pemerintahan mereka kali ini. 

Bukan kerana mereka sudah berubah, tetapi ini satu lakonan untuk mengelakkan mereka ditolak oleh rakyat terutama orang Melayu di peringkat awal pemerintahan kerajaaan mereka pada kali ini.

Malah, mereka akan mengeluarkan ‘taring’ mereka apabila mereka betul-betul dapat mengumpulkan pengaruh mereka. 

Yang menjadi masalah kepada PH-BN ialah individu seperti Ramasamy yang tidak mampu berlakon atau menahan diri buat sementara waktu ini daripada mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang menunjukkan ‘hati perut mereka yang sebenar. 

Orang seperti Ramasamy sangat ghairah untuk meluahkan apa sebenar yang terbuku di hati mereka sementelah mereka sedang berkuasa di peringkat Persekutuan.  

Apa yang sedang berlaku pada masa ini jelas membuktikan bahawa segala anggapan bahawa ramai pemimpin PH yang anti kepada hak istimewa orang Melayu bukanlah satu persepsi tapi ia adalah satu kenyataan dan bukan dongengan. kerajaan mereka pada kali ini. 

Mereka akan mengeluarkan ‘taring’ mereka apabila mereka betul-betul dapat mengumpulkan pengaruh mereka. 

Apa yang menjadi masalah kepada PH-BN ialah individu seperti Ramasamy yang tidak mampu berlakon atau menahan diri buat sementara waktu ini daripada mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang menunjukkan ‘hati perut’ mereka yang sebenar. 

Orang seperti Ramasamy sangat ghairah untuk meluahkan apa sebenar yang terbuku di hati mereka sementelah mereka sedang berkuasa di peringkat Persekutuan.  

Apa yang sedang berlaku pada masa ini jelas membuktikan bahawa segala anggapan ramai pemimpin PH yang anti kepada hak istimewa orang Melayu bukanlah satu persepsi tetapi ia adalah satu kenyataan dan bukan dongengan. – HARAKAHDAILY 20/2/2023

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Cadangan T/Ibrahim.. S'ngor negeri K-5 PN. Kecoh Ramasamy.

Al-hamdulillah, tanda-tanda Selangor menjadi negeri kelima PN mula terbayang..

Wednesday, March 01, 2023

3 tebusan di Papua. k/MalcolmX, & S'pura ISA.

 

Gambar tidak bertarikh yang diedarkan KKB menunjukkan mereka di samping Philip Mark Mehrtens yang diculik di Paro, Papua New Guinea pada 7 Feb 2023. (FOTO: Sydney Morning Herald)

1. Tiga tebusan masih ditawan di Papua New Guinea

PAPUA NEW GUINEA: Seorang tebusan wanita yang merupakan salah seorang daripada empat individu yang diculik oleh kumpulan bersenjata di tanah tinggi terpencil Papua New Guinea, telah dibebaskan dan rundingan diteruskan untuk membebaskan baki tiga lagi tebusan.

Pesuruhjaya polis negara pulau Pasifik dalam kenyataannya pada Khamis (23 Feb) berkata, ketiga-tiga tawanan itu berada dalam keadaan sihat tetapi ditahan di kawasan sukar, yang mana komunikasi adalah mencabar sangat mencabar, lapor Reuters.

Terdahulu, sekumpulan penyelidik arkeologi, termasuk seorang profesor yang bekerja untuk sebuah universiti Australia, dua graduan universiti tempatan dan seorang penyelaras program telah dijadikan tebusan oleh lelaki bersenjata itu menuntut wang tebusan pada Ahad (19 Feb). 

Profesor arkeologi (kanan) di luar kediamannya di kampung Fpgoma’iu, Papua New Guinea sebelum diculik 20 lelaki bersenjata pada 19 Feb 2023. (FOTO: Dailymail.co.uk)

Polis berkata pada Isnin (20 Feb) bahawa pasukan keselamatan khas melakukan perjalanan melalui udara ke kawasan itu dan akan menggunakan kekerasan terhadap kumpulan penjenayah itu jika perlu untuk membebaskan tebusan.

Identiti profesor berkenaan bagaimanapun dirahsiakan daripada laporan media atas sensitiviti keselamatan. Profesor tersebut sebelum ini telah menetap di Fogoma’iu untuk menjalankan penyelidikan dan bekerjasama dengan penduduk kampung itu untuk mengkaji tentang sejarah dan budaya lokasi berkenaan yang telah wujud sejak lebih 50,000 tahun lalu.

Penculikan profesor itu berlaku selepas seorang warga asing kelahiran Christchurch, New Zealand, juruterbang syarikat penerbangan Indonesia, Susi Air, Philip Mark Mehrtens diculik pada Selasa, 7 Feb lalu. 

Peta Papua New Guinea menunjukkan lokasi profesor Australia diculik (kanan) dan lokasi juruterbang New Zealand yang ditawan selepas mendarat di Paro (kiri). (FOTO: Daily Mail.co.uk)

Sehubungan itu, kerajaan Indonesia dilaporkan sedang berusaha untuk menyelamatkan Mehrtens yang diculik Tentera Pembebasan Kebangsaan Papua Barat – dikenali sebagai KKB – yang merupakan sayap militan Gerakan Papua Merdeka (OPM).

Mehrtens diculik selepas dia mendaratkan pesawat kecil satu enjin di landasan udara di daerah terpencil, Paro, Papua Barat berhampiran pergunungan Nduga untuk mengambil 15 pekerja binaan yang sedang membina pusat kesihatan di situ, sebelum KKB yang diketuai Egianus Kogoya mengancam untuk membunuh mereka.

KKB turut mengedarkan gambar dan video Mehrtens sambil Kogoya berkata, penculikan tersebut untuk menjadikan lelaki itu sebagai tebusan bagi menuntut kemerdekaan Papua New Guinea – ‘bukan untuk makanan atau minuman’. – HARAKAHDAILY 23/2/2023


2. Keluarga Malcolm X akan fail saman AS$100 juta terhadap polis, FBI dan CIA  
Malcolm X

WASHINGTON: Keluarga aktivis hak asasi Amerika Syarikat (AS) terkenal Malcolm X akan memfailkan saman AS$100 juta terhadap Polis Bandaraya New York, CIA dan FBI kerana “menyembunyikan bukti” membabitkan pembunuhannya 58 tahun lepas.

Pengumuman itu dibuat pada sidang akhbar pada Selasa oleh peguam hak asasi Ben Crump serta anak perempuan Malcolm X, Qubilah Shabazz dan Ilyasah Shabazz di Pusat Memorial dan Pendidikan Malcolm X dan Dr. Betty Shabazz, menurut Anadolu Agency.

“Kami juga akan mendapatkan keadilan untuk lelaki muda — baharu berusia 39 tahun — yang terkorban ketika memperjuangkan hak asasi manusia,” kata Ilyasah Shabazz.

Shahbaz menuduh agensi persekutuan dan tempatan New York senjaga menyembunyikan bukti konspirasi dan perancangan untuk membunuh Malcolm X.

Crump berkata anak perempuan Malcolm X berhak mengetahui semua fakta tentang kematian bapa mereka.

“Atas ketidakadilan yang teruk ini, kami akan memfailkan saman terhadap entiti kerajaan sebanyak $100 juta bagi pihak anak perempuannya”, kata Crump.

Malcolm X dibunuh semasa memberi ucapan di Harlem pada 21 Feb 1965. – BERNAMA


3. Remaja Singapura, individu termuda ditahan ISA 


SINGAPURA: Dua remaja Singapura telah dikeluarkan Perintah Tahanan (OD), salah seorang daripadanya berusia 15 tahun yang setakat ini menjadi individu termuda ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di negara itu.

Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) republik itu pada Selasa (21 Feb) berkata, remaja lelaki berusia 15 tahun merupakan pelajar tingkatan 3 sekolah menengah ketika dia ditahan pada Nov 2022, lapor CNA

Dalam kenyataan itu, tambah ISD, remaja berkenaan didakwa telah mempertimbangkan untuk melakukan serangan di Singapura, termasuk menggunakan pisau terhadap orang bukan Islam di kawasan pelancongan popular negara itu. 

“Remaja itu akan menjalani kaunseling agama intensif dengan dua kaunselor agama dari Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) Singapura,” kata ISD.

Seorang lagi warga Singapura, remaja berusia 16 tahun telah dikeluarkan OD pada Dis 2020 selepas dia didapati aktif di platform permainan dalam talian Roblox.

Sebelum pengumuman tentang remaja berusia 15 tahun itu, remaja Singapura berusia 16 tahun tersebut sebelum ini adalah individu termuda negara itu ditahan di bawah ISA negara berkenaan. – HARAKAHDAILY 22/2/2023


Hibur Hibur Sikit..

H2S Pilihan: 15 -Puteri dan Aku Papua.

Yusuf Subhan | Sayyidah Aisyah Istri Rasulullah (COVER) lirik baru arahan Buya Yahya


MasyaAllah.. Merdunya Bacaan Quran Santri Asli Papua




Halal Living - Belajar Dengan Anak-Anak Asal Papua di Pondok Pesantren Nu Wuur





LinkWithin

Related Posts with Thumbnails