Sunday, July 02, 2023

M'sia, negara umat Islam, anda setujukah begini? & DAP.



1. "Jadual Dia Padat"-Sertai Babak Menari Seksi, Pelakon Ganti Jennie BP Dalam 'The Idol'Tular

Seperti biasa, topik mengenai kemunculan Jennie BLACKPINK dalam siri “The Idol” masih lagi menjadi perbincangan hangat semua.

jennie the idol

Baru sahaja menayangkan dua episod namun siri HBO itu terus menerima reaksi negatif dari penonton dek plotnya yang semberono dan seperti hanya menjadikan wanita sebagai objek seksual.

Bukan itu sahaja, ramai sepertinya tertanya-tanya mengapa Jennie memilih untuk mengambil projek tersebut sebagai lakonan pertamanya. Meskipun bukan watak utama, namun ramai terkejut apabila mendapat tahu bahawa idola itu sebenarnya turut menggunakan pelakon ganti untuk sesetengah babaknya.

Pelakon Chelsea Fuji mengakui bahawa dia menjadi pelakon ganti wanita itu dalam episod kedua “The Idol” dalam babak di mana dia menari sebagai penari latar Lily-Rose Depp di kelab malam. Bahkan hal itu menarik perhatian penonton apabila terdapat sesetengah sudut kamera menangkap wajah pelakon itu dan bukannya Jennie.

chelsea fuji jennie

Tulis Chelsea di Instagram miliknya,

Jennie sangat sibuk di Korea kerana jadual yang padat. Walaupun cedera, dia bekerja keras.

Sepertinya ahli BLACKPINK itu tidak dapat merakamkan babak tersebut kerana kepadatan jadual di Korea selain mengalami kecederaan yang mungkin tidak didedahkan kepada umum lantas terpaksa menggunakan khidmat pelakon ganti.

Ohhh ada pelakon ganti rupanya..

Korang banyak topik ‘hot’ lain tentang dunia hiburan Korea yang nak dibincangkan? Kongsi lah ‘teh’ dengan kami di forum KimchiDaily      


2. LKAN: Terbongkar rahsia di sebalik pemerintahan DAP? 


SIDANG Dewan Rakyat minggu lalu menyaksikan gegak-gempita khususnya oleh dua isu yang menghangatkan persidangan, iaitu isu Pulau Pinang milik Kedah dan isu bahas Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2021.

Ringkasnya, sebagaimana telah diterangkan oleh beberapa pihak (rujuk Lampiran 1, 2 dan 3) dari aspek amalan kebiasaan Sidang Parlimen serta peruntukan Perlembagaan, tidak pernah dalam sejarah LKAN itu dibahaskan.

Motif pihak kerajaan mahu mengadakan perbahasan tersebut disyaki mempunyai muslihat, antaranya mempolemikkan LKAN 2021 yang mana merujuk kepada zaman pentadbiran Kerajaan PERIKATAN NASIONAL (PN).

Juga ‘menghalang’ pembentangan pihak pembangkang yang difahamkan daripada Tan Sri Shahidan Kasim (PN-Arau) sahaja terdapat 16 usul di mana tentunya sangat menggerunkan barisan kerajaan.

Selain mungkin untuk menutup kelemahan pihak kerajaan kerana dikatakan ada petugas Parlimen yang memaklumkan bahawa terdapat banyak Rang Undang-undang (RUU) dan lain-lain patut dibentangkan.

Sekurang-kurangnya tiga sebab ini sudah menunjukkan betapa pihak kerajaan yang ditunjangi Pakatan Harapan – Barisan Nasional (PH-BN) telah menunggangi Parlimen bagi kepentingan politik sempit mereka.

Jika PH-BN galak sangat hendak bahas LKAN di Parlimen melibatkan kementerian, jabatan dan agensi kerajaan itu, baik dipanjangkan secara terbuka di luar kepada penganjuran wacana atau forum.

Bentang dan ulas mengenai LKAN negeri-negeri di mana tentu sekali boleh nampak dan dinilai prestasi kewangan pentadbiran kerajaan dari semua parti politik yang mengetuai pemerintahan di negeri.

Ada PAS-PN, PKR-PH, Umno-BN, DAP-PH dan lain-lain supaya rakyat tahu mana sebenarnya yang lebih telus, cekap dan berintegriti, berbanding punyai keraguan dan ketidakcekapan pengurusan.

Beza Kelantan – Pulau Pinang

Antara yang boleh dibandingkan adalah Kelantan yang ditadbir oleh PAS berbanding Pulau Pinang diterajui DAP di mana selama ini pun bumi Serambi Makkah itu sering diperolokkan oleh pelbagai pihak.

LKAN 2021 merekodkan laporan bahawa pendapatan Kelantan adalah sebanyak RM773.48 juta yakni RM81.24 juta lebih tinggi berbanding dengan Pulau Pinang cuma RM692.24 juta.

Kelantan berbelanja RM725.87 juta, sekali gus memiliki lebihan (surplus) yang merupakan untuk tahun keenam berturut-turut, berbanding belanja Pulau Pinang RM836.48 juta mencatat defisit bagi beberapa tahun berturutan.

Menariknya, di sebalik penyata Kelantan lebih baik itu, kedengaran kecurigaan di pihak-pihak tertentu, adakah penyata Pulau Pinang itu wujud ‘muslihat’ yakni disyaki berlakunya ‘smart accounting’?

Di mana mungkin sebahagian hasil negeri atau keuntungan telah dimasukkan atau diagihkan melalui syarikat atau sub-kontraktor tertentu menjadi perolehan kaya-raya untuk mereka?

Adalah tidak munasabah Pulau Pinang sebagai negeri maju dipenuhi industri serta menjadi pintu keluar-masuk eksport-import, mencatat rekod yang lebih rendah dibandingkan Kelantan.

Apatah lagi kedudukan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Pulau Pinang berada di tempat pertama berbanding Kelantan hanya di kedudukan kesembilan dan sering diejek pula sebagai negeri yang tidak punyai apa-apa.

Sewajarnya perkara inilah yang perlu dibahaskan jika benar mahu dilihat ketelusan dan prestasi serta unjuran bagi perancangan dan pembangunan untuk masa hadapan negeri khususnya dan negara amnya.

Malang sekali, semua yang cuba dimomokkan sebagai propaganda dan tekanan politik itu tidak lebih ‘indah khabar dari rupa’ dan seperti ‘meludah ke langit, jatuh ke muka sendiri’.

Pentadbiran PH-BN membuka pekung dan melondehkan aib sendiri terutama DAP yang telah tiga penggal menjadi kerajaan di Pulau Pinang tetapi rupanya bukan sahaja tiada pencapaian membanggakan, bahkan terdapat banyak noda hitam.

Pulau Pinang di bawah DAP

Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor dalam ceramah PN di Permatang Pauh menyatakan bahawa tiada monumen dibangunankan sebagai petunjuk kemajuan dibawa pemerintahan DAP di Pulau Pinang.

Kata beliau, pembangunan Pulau Pinang yang nampak pada hari ini kebanyakannya berlaku di bawah kepimpinan GERAKAN selama 39 tahun iaitu 21 tahun semasa Tun Dr Lim Chong Eu dan 18 tahun ketika Tan Sri Dr Koh Tsu Koon.

Malah bidas Sanusi, DAP bukanlah parti yang bersih di mana setakat menerajui Pulau Pinang hingga kini, pemimpinnya telah terbabit pertuduhan rasuah melibatkan kes terowong, banglo dan lain-lain. (baca lanjut di Lampiran 4)

Sanusi juga pernah mendedahkan percaturan muslihat yang disebutnya ‘grand designed’ mewujudkan ‘The Greater Penang’ di mana memberi kelebihan sangat banyak kepada Pulau Pinang berbanding negeri Utara lain. 

Katanya, semua prospek pembangunan dan rancangan masa depan serta kebijakan dibawa untuk menjadikan Pulau Pinang pusat pertumbuhan yang akan membawa limpahan ke seluruh kawasan Utara.

Oleh itu hakikatnya, pertumbuhan ekonomi dan pencapaian KDNK Pulau Pinang yang diperintah DAP ketika ini adalah disumbangkan daripada negeri-negeri Utara lain kerana segalanya terpaksa melalui lapangan terbang dan pelabuhan di Pulau Pinang.

Hal ini menunjukkan bahawa pemerintahan DAP di Pulau Pinang tidak memiliki pencapaian gemilang melainkan menumpang dan mengalirnya hasil dari pihak lain, tetapi juga membongkar sisi khianat pemerintahan Umno-BN.

Iaitu negeri-negeri Melayu lain seperti Perlis, Kedah, Perak dan Terengganu serta bahagian Utara Perak seperti diabaikan atau dibiarkan tanpa perancangan pembangunan semaju yang sepatutnya.

‘Sisi hitam’ pemerintahan DAP?

Malang lain yang terdampak daripada pemerintahan DAP juga adalah kepentingan rakyat semakin terhakis, sebaliknya ditatang pihak lain di mana mereka itu mungkin ‘pembiaya’ nafsu parti tersebut.

Atas nama pembangunan yang mewah dan mahal, rakyat Pulau Pinang sendiri terusir kerana tidak mampu dan di bawah Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dicurahkan lagi dengan peruntukan besar.

Sedangkan sepertimana juga semasa pemerintahan Umno-BN, peruntukkan ke negeri-negeri Melayu tidak diberikan sewajarnya; bererti episod menganaktiri dan kezaliman PH dianggotai PKR, DAP dan PAN sama sahaja.

Di Perak yang kini Umno-BN bersama DAP-PH, berlaku laporan Tanah Rizab Melayu (TRM) semakin kurang dan tanah-tanah dimiliki Melayu-Bumiputera telah beralih tangan kepada bukan-Melayu.

Sedangkan di negeri-negeri ditadbir PAS iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis, kepentingan dan jaminan ke atas rakyat terutama menerusi pemilikan tanah dan status TRM terjaga dengan baik.

Lebih dikhuatirkan bukan sahaja ‘penindasan bersistematik’ yang dilakukan pemerintahan DAP ke atas rakyat di Pulau Pinang, tetapi juga perkembangan jenayah di negeri tersebut.

Media baru-baru ini melaporkan bahawa Ketua Polis Pulau Pinang diugut dengan kertas mayat dan tangkapan 13 kumpulan Ah Long yang menimbulkan persoalan sama ada wujud ‘sisi hitam’ pemerintahan DAP?

Apakah elemen-elemen gangsterisme dan jenayah seperti itu merupakan ‘sokongan’ yang berada di keliling pinggang pemerintahan DAP atau ianya membiak lantaran korupsi oleh kepimpinan DAP sendiri?

NAZMAN CHE IBERAHIM
Darulnaim Research Centre – HARAKAHDAILY 16/6/2023







3. Apabila mahasiswa dilalaikan dengan hiburan 


KEGILAAN untuk berkonsert dalam kampus adalah satu petanda jangkitan dalam benak jiwa mahasiswa kita.

Apabila berhibur dengan cara ini dilihat sebagai ‘sporting’ , tidak apa dan terbuka. Padahal ia petanda bahawa kampus sebagai gedung ilmu tidak lagi dihormati oleh warganya sendiri.

Tempat berlabuhnya ribuan kitab dan kajian akademik, penyelidikan dan perbahasan ilmu berjalan hari demi hari tidak boleh menerima layanan sama seperti alam luar sana. Meskipun kedengaran ‘holier than thou’ tetapi itulah hakikatnya. Ilmu wajar dihormati. 

Dari awal kemerdekaan lagi kampus dan universiti cuba dirodok dengan amalan hiburan kosong seperti ini. Ada beberapa yang berjaya tembus masuk ke kampus.

Tahun lepas kita disajikan dengan konsert Bunkface di sebuah kampus Islam di Gombak. Ramai alumni bising, MPP kampus itu pula pada awalnya menafikan tetapi akhirnya mengakui bahawa mereka luluskan konsert itu.

Kemudian hari ini tular pula konsert entah apa pula tular di Negeri Pantai Timur. Macam mat rempit dah aku tengok budak-budak ni.

Itulah masalah konsert. Lagu-lagu yang dimainkan menzahirkan sifat kebodohan kau. Dengan yang perempuan bertempik dan berliuk lentik macam tak ada agama. Yang lelaki pula rasa cool bila boleh jerit-jerit. 

Nak buat benda macam ni buat dekat luarlah. Mengapa harus kau kotori dunia keilmuan yang suci ini?

Sudah tentu ada banyak lagi kampus yang aku terlepas untuk aku petik sebagai contoh. Tetapi mesej yang aku ingin tekankan adalah semakin terhakisnya rasa hormat mahasiswa dan penuntut ilmu kepada kampus. Kau nak berhibur kau pergi kelab malam, bukan dewan universiti.

Salah siapa? Entahlah. Tetapi kita tahu ada sekelompok makhluk yang suka mahasiswa diperbodohkan. Dilatihnya mahasiswa menjadi anjing-anjing mereka. Diisinya minggu orientasi dengan hiburan berjoget dan segala pengisian kosong. Perkara penting tidak pula diajar.

Perwakilan Pelajar akan dilatih menjadi balaci utama mereka. Dan mereka sehingga kini masih berkuasa, berterusan memperbodohkan mahasiswa.

Mahasiswa sekarang pula, keliling kau orang semuanya hiburan kosong. Sumber Dopamine tersedia di mana-mana sahaja. Sudah tentu kau orang lagi suka benda menyeronokkan. Mana best buat benda berat macam diskusi buku dan idea-idea besar.

Mana best fikirkan cara dan program apa untuk bantu komuniti sekitar kampus kau. Kau orang sudah lupa apa makna sebenar mahasiswa.

Kalau dulu adalah budak-budak Islamis akan bersuara dan melawan kebodohan dan penghinaan seperti ini. Tetapi sekarang entahlah, budak-budak masjid ni pun dua kali lima saja dengan mahasiswa yang dah dibodohkan akal. Semua diam.

SULAIMAN AKHLAKEN
Projek Anak Muda Islam (PAMI) – HARAKAHDAILY 15/6/2023  


Komen Weblog Ibnu Hasyim: M'sia, negara umat Islam, anda setujukah begini? & DAP

Ya, sewajarlah kita semua kembali kepada Islam.  Celeklah mata wahai rakyat tertindas. Simpan apa lagi kerajaan macam yang ada ni. Tumbangkan segera melalui peti undi. Gunakan jari-jari anda untuk menukar kerajaan sekarang kepada kerajaan Islam Insya Allah! 

Jom bangun bersama Islam.

Saturday, July 01, 2023

DAP memalukan, tolak samseng perintah M'sia.

 


Campur tangan dan guna kuasa Menteri DAP memalukan

SALAH satu prinsip Rukun Negara adalah ‘Keluhuran Perlembagaan’ dan ‘Kedaulatan Undang-undang’ yang memberi makna rakyat Malaysia perlu taat, mematuhi dan menjunjung setiap peraturan dan undang-undang negara, termasuklah undang-undang dan peraturan negeri dan pihak berkuasa yang dibuat berdasarkan kuasa yang diberi Perlembagaan Persekutuan dan Negeri.

Rakyat Malaysia pelbagai kaum selama ini hidup aman dan damai, kerana setiap undang-undang dan peraturan dalam negeri dan negara dihormati dan dipatuhi rakyat. Yang melanggar akan dikenakan tindakan dan didakwa, itu satu norma yang diterima dan tidak pernah dipertikaikan.

Dalam satu insiden seorang peniaga wanita didenda oleh pihak penguatkuasa MPKB-BI baru-baru ini kerana berpakaian tidak sopan bertentangan dengan Seksyen 34(2)(b) Undang-undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (MPKB-BRI) 2019. Cukup mengecewakan apabila isu ini dipolitikkan pihak DAP.

Difahamkan ayah angkat wanita berkenaan telah hadir secara sukarela ke Pejabat Majlis Perbandaran Kota Bharu – Bandaraya Islam (MPKB-BI) bersama Pengerusi Gabungan Pertubuhan Tiong Hwa Kelantan, untuk berunding dan akhirnya bersetuju membayar kompaun RM50 atas kesalahan berkenaan.

Selesailah kes, bermakna prinsip Rukun Negara dipatuhi rakyat Kelantan. Malangnya Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan kerajaan PH-BN, Nga Kor Meng dari DAP telah mengutuk tindakan membayar kompaun itu.

Beliau mendakwa telah mengarahkan Yang Dipertua MPKB-BI untuk membatalkan kompaun berkenaan, malah DAP dilaporkan menyediakan peguam untuk mencabar kompaun itu di mahkamah.

Beginikah patutnya reaksi dan sikap seorang Menteri yang mewakili negara dan rakyat Malaysia?

Pimpinan negara sepatutnya mengajak rakyat mematuhi dan menghormati undang-undang selaras dengan prinsip Rukun Negara. Semua jenis dan bentuk undang-undang yang terpakai dalam negara diluluskan mengikut punca kuasa yang diberikan undang-undang induk negara atau negeri iaitu Perlembagaan Persekutuan mahupun Perlembagaan Negeri.

Menggunakan kedudukan untuk mengarahkan dibatalkan satu-satu kompaun yang dikeluarkan kerana kepentingan politik adalah tindakan salah-guna kuasa dan Menteri mesti dipertanggungjawabkan.

Malulah pada rakyat Kelantan tidak kira bangsa Melayu, Cina atau India yang mematuhi dan menghormati undang-undang. Malulah pada rakyat Malaysia. Menteri gagal dan memalukan. 

ROSLAN SHAHIR DATUK MOHD SHAHIR
Setiausaha
PAS Negeri Selangor – HARAKAHDAILY 30/6/2023


Komen Weblog Ibnu Hasyim: DAP memalukan, tolak samseng perintah M'sia.

Mengapa dikatakan begitu? Lihat perkara-perkara berikut.

(i) Malaysia, ada ekonomi ‘black markets’ sebesar 21% KDNK, DAP punya hal? 


Ekonomi gelap sebesar 21 peratus KDNK Malaysia
KL: Ekonomi gelap juga disebut sebagai ‘black markets’ di mana kegiatan-kegiatannya sampai ke peringkat industri yang tidak berperaturan atau tidak menuruti undang-undang sesebuah negara.

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr Mohd Zuhdi Marzuki berkata, ia juga dikenali sebagai ‘shadow economic’, selain gelaran ‘underground’ tetapi berselindung di sebalik industri yang berdaftar.

“Pelaksanaannya menyalahgunakan ataupun memanipulasikan sehingga melibatkan kegiatan-kegiatan yang haram dan lari daripada untuk membayar cukai dan apa-apa komitmen yang sepatutnya diberikan kepada sesebuah kerajaan.

“Contoh kegiatan ekonomi gelap ini antaranya disebut sebagai industri maksiat atau industri dosa. Ia juga melibatkan kegiatan seumpama perjudian sama ada perjudian online ataupun perjudian secara fizikal. 

“Ia juga melibatkan kegiatan seperti pelacuran, pemerdagangan manusia, menyeludup barang-barang secara tidak sah. Sama ada barang yang boleh digunakan seperti makanan, rokok dan seumpamanya.

“Ataupun barang yang diharamkan seperti dadah, senjata api dan seumpamanya. Kegiatan ekonomi gelap juga melibatkan kongsi gelap dan gengsterism serta Ahlong dan lain-lain yang dapat kita fahami ianya adalah kegiatan yang tidak sah,” jelasnya.

Menurut beliau, saiz ataupun ‘volume’ dagangan ekonomi gelap di negara ini dianggarkan sekitar 21 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia ataupun sekitar RM300-350 bilion setahun.

Tegas Dr Zuhdi, ia jumlah yang sangat besar di mana memberikan kemudaratan kepada negara sama ada kepada ekonomi ataupun kepada sosial masyarakat antaranya menyebabkan berlakunya amalan sogokan dan rasuah.

“Ia juga membunuh ekonomi putih yang dilaksanakan oleh pemain-pemain ekonomi mengikut peraturan. Ia menghilangkan kepercayaan pelabur-pelabur terhadap negara kita serta mengurangkan daya saing ekonomi negara.

“Juga menimbulkan penyakit-penyakit sosial sehingga menyebabkan negara terpaksa mengeluarkan kos yang tidak perlu bagi merawat penyakit-penyakit ini,” ujarnya berjanji mengupas siapakah pemain-pemain ekonomi gelap ini pada siri seterusnya.  -HARAKAHDAILY 26/6/2023


(ii) DAP menentang Islam secara terbuka, punca PAS tolak kerjasama May 12, 2023 -Agenda Daily

DAP secara terbuka mencabar Islam, merendahkan dan mempertikai hak istimewa Bumiputera dengan meminggirkan bahasa kebangsaan.

Demikian kata Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang ketika menjelaskan punca partinya meninggalkan kerjasama dengan DAP sebelum ini.

Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata DAP juga menjaja Islamofobia dan menjadikan gelombang hijau sebagai ancaman kepada masyarakat bukan Islam.

“Banyak yang mempertikaikan kerjasama PAS dengan pihak lain, mengapa ia boleh berubah? Malah, PAS dianggap mengkhianati kerjasama kerana sepatutnya tetap tidak boleh diubah khususnya kerjasama bersama DAP yang telah dibatalkan.

“DAP secara terbuka menentang negara Islam dan mendesak supaya menetapkan sekularisme dalam Perlembagaan Persekutuan. Tindakan ini sekali gus menyalahtafsirkan kedudukan Islam dalam Perlembagaan kerana ia ditafsirkan mengikut bahasa penjajah.

“Kemudian, mereka berlagak kononnya mereka ditindas oleh sifat perkauman Melayu. Laksana mendapat betis mahukan paha, setelah mereka diberikan hak kebebasan beragama, berbahasa dan berbudaya yang tidak diberikan oleh negara lain selain daripada Malaysia.

“Mereka menjaja Islamofobia dan menjadikan kemajuan PAS dalam PRU-15 dengan jenama Gelombang Hijau yang menjadi ancaman kepada masyarakat bukan Islam. Tanpa mereka mempedulikan kejayaan PAS memerintah beberapa negeri dalam keadaan majoriti besar Melayu Islam hidup aman dan harmoni dalam masyarakat majmuk,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini

Menurutnya, al-Quran tidak mengizinkan kerjasama hingga berwala’ (kesetiaan) yang meninggalkan prinsip dan konsep asas perjuangan Islam.

Malah katanya pemimpin DAP terus menerus menentang pelaksanaan Islam di negara ini meskipun ia hanya untuk penganut Islam.

“Banyak kenyataan dikeluarkan oleh pemimpin utamanya yang menentang pelaksanaan Islam, walaupun pelaksanaan Islam itu hanyalah bagi penganut Islam sahaja sebagaimana mengikut Perlembagaan Persekutuan, tanpa memaksa golongan bukan Islam.

“DAP terlebih dahulu bersikap proaktif apabila bertindak keluar daripada Barisan Aternatif kerana sifat anti-Islamnya yang ditunjukkan kepada PAS dan DAP juga terlebih dahulu bertindak mengeluarkan PAS daripada PR dengan alasan yang sama.

“DAP juga merancang untuk mendapatkan kuasa politik negara setelah kaumnya menguasai ekonomi supaya mereka dapat memerintah negara melalui pilihan raya dengan meletakkan calon-calon di kawasan Melayu dengan calon-calon Melayu yang berfahaman liberal, sekular, oportunis dan jahil agama. Bahkan, ada kalangan Melayu yang diumpan menjadi ketua kerajaan bonekanya,” katanya.

Menyentuh soal PKR dan Amanah, Abdul Hadi berkata dua parti itu lebih mengutamakan hubungan dengan DAP kerana menganggap strategi boleh membatalkan prinsip aqidah perjuangan, berpandukan kaedah matlamat menghalalkan cara sehingga bersedia menjadi syaitan bisu terhadap kemungkaran yang nyata serta menjadi jurucakap DAP terhadap orang Melayu Islam secara percuma.

Tambahnya, “PAS menolak PKR dan parti-parti liberal yang bekerjasama dengan DAP termasuk UMNO yang meninggalkan asas perjuangannya untuk membela agama, bangsa dan tanah air semata-mata kerana ingin mengejar jawatan, harta serta kepentingan diri.”

Kesimpulan:

Jom tinggalkan PMX Malaysia..
Kepada rakyat Malaysia, sebenarnya kebangkitan Islam di negara ini berada di hujung jari anda. Umat Islam wajib mempertahankan agamaNya dengan menentang kezaliman pemerintah puak anti Islam, yang ada di negara kita. 

Gunakan jari-jari anda untuk menukar kerajaan sekarang kepada kerajaan Islam. Menolak samseng-samseng biadap memerintah negara ini, melalui peti undi.. 

Berambuslah mereka, insya Allah!

Friday, June 30, 2023

Man City takluk Eropah. M'SIA, ekonomi Xpulih, k'jaan buat apa?

 


1. Man City akhirnya takluki Eropah

ISTANBUL: Manchester City akhirnya meluaskan penguasaan domestik ke seluruh Eropah apabila menewaskan Inter Milan 1-0 dengan gol pada babak kedua Rodri untuk memenangi Liga Juara-Juara buat kali pertama dan melengkapkan treble, pagi tadi.

Namun, Inter memberikan saingan hebat dengan kelihatan akan mengheret perlawanan akhir ke masa tambahan, hanya dinafikan dengan persembahan menakjubkan penjaga gol Ederson yang melakukan dua aksi menyelamat lewat permainan.

Ledakan kegembiraan menyambut wisel penamat dengan pemain City memecut ke arah penyokong mereka di Stadium Olimpik Ataturk.

“Anda mesti bernasib baik… kemenangan ini ditulis dalam bintang. Ia milik kami. Perlawanan ini ternyata menjadikan treble ini sangat sukar,” kata pengurus City, Pep Guardiola.

City bukan sahaja memenangi kejuaraan Eropah pertama sejak merangkul Piala Juara-Juara Piala Eropah yang kini tiada lagi pada 1970, malah menjadi pasukan Inggeris kedua memenangi treble Liga Perdana, Piala FA dan Liga Juara-Juara, menyamai kejayaan Manchester United pada 1999.

Inter yang mengejar piala buat kali keempat, menyekat pasukan Guardiola dengan persembahan hebat, terutama pada separuh masa pertama apabila pemain City, Kevin De Bruyne mengalami kecederaan.

City mungkin mengalami deja vu mengerikan apabila perancang utama, De Bruyne yang juga gagal menamatkan perlawanan akhir dua tahun lalu ketika City tumpas kepada Chelsea.

Malah mesin gol City dari Norway, Erling Haaland, mendapati dirinya dikawal ketat, tetapi akhirnya pemain tengah Sepanyol, Rodri yang memulakan perlawanan ke-52 musim ini, menjadi wira.

“Emosi. Impian menjadi kenyataan. Semua di sini menunggu, saya tidak tahu sejak bila. Mereka layak, kami berhak,” kata Rodri ketika Guardiola memeluk pemain dan penyokong City menyanyikan nama Sheikh Mansour, yang pengambilalihan kelab pada 2008 menjadikan City pemenang piala demi piala.

“Ia tidak mudah. ​​Betapa pasukan yang kami hadapi, cara mereka bertahan dan melakukan serangan balas. Perlawanan akhir begini. Kami bersaing seperti haiwan.”

City kini memenangi 17 piala sejak pengambilalihan pada 2008. – REUTERS.


2. Demam Benzema landa Jeddah 

Benzema ketika tiba di Jeddah, Rabu lalu. - REUTERS

JEDDAH: Juara Arab Saudi, Al-Ittihad menjual lebih 56,000 tiket untuk majlis memperkenalkan Karim Benzema di Stadium Bandaraya Sukan Raja Abdullah, hanya dalam tempoh beberapa jam selepas jualan diumumkan Rabu lalu.

Penyerang Perancis dan pemenang Ballon d’Or itu menandatangani kontrak tiga musim bernilai AS165 juta bersama kelab Liga Pro Saudi pada Selasa lalu.

Tiket untuk majlis memperkenalkan bekas kapten Real Madrid di arena 62,000 tempat duduk yang dikenali penduduk tempatan sebagai ‘Permata Bersinar’, bermula serendah sembilan Riyal (AS$2.40).

Sebilangan besar penyokong yang memakai warna kelab itu, kuning dan hitam, menyambut Benzema sebaik tiba di bandar ini pada malam Rabu lalu dan mengadakan sidang akhbar pertama pada Khamis sebelum diperkenalkan kepada peminat.

Benzema, 35, adalah pembelian pertama Al-Ittihad selepas memenangi kejuaraan liga buat kali pertama sejak 2009 dengan rakan senegara N’Golo Kante dijangka menyertainya dari Chelsea tidak lama lagi.

Cristiano Ronaldo lebih awal berada di Liga Pro Saudi dengan menandatangani kontrak lumayan bersama Al-Nassr pada Disember lalu.

Kelab-kelab Arab Saudi menyasarkan nama besar lain dalam beberapa bulan akan datang dengan pemain seperti Sergio Busquets, Angel Di Maria, Jordi Alba dan Sergio Ramos, dikaitkan dengan perpindahan ke negara padang pasir itu.

Sumber yang rapat dengan kapten Argentina, Lionel Messi bulan lalu, memberitahu Reuters bahawa dia telah menerima tawaran rasmi untuk menyertai Al-Hilal, tetapi pemenang Piala Dunia berusia 35 tahun itu memutuskan untuk menyertai Inter Miami di Amerika Syarikat. – REUTERS   


3. Ekonomi belum pulih, apa Kerajaan PH-BN buat?  


SEREMBAN: Pengkelasan penduduk di negara ini berdasarkan pendapatan isi rumah mengikut peratus masing-masing iaitu B40, M40 dan T20, telah berubah akibat daripada pandemik COVID-19 yang berlaku.

Pengerusi PERIKATAN NASIONAL (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, krisis kesihatan tersebut menjadi krisis ekonomi yang menyebabkan peratusan kemiskinan menjadi bertambah kepada B61, M18 dan T21.

Menurut beliau, data daripada kajian badan bebas tersebut mendapati orang Melayu adalah kaum terbanyak dalam kelompok B61 itu di mana jatuh miskin disebabkan tiada pendapatan kerana dibuang kerja.

“Tak cukup makanan, tak dapat menyara keluarga, tak boleh bantu anak masuk universiti, tak boleh membiayai kos-kos hidup yang lain. Semakin hari semakin meningkat dan bertambah,” ujarnya.

Ahli Parlimen Pagoh yang juga bekas Perdana Menteri itu berucap pada Ceramah Perdana Gelombang Kebangkitan Rakyat anjuran PN di Senawang, di sini malam tadi.

Katanya, dalam keadaan krisis yang penuh kesulitan itu, tetapi kerana ianya melibatkan kepentingan kehidupan dan nyawa rakyat, maka Kerajaan PN telah mengambil langkah berani ke Parlimen.

Jelas beliau, usul Rang Undang-undang untuk menguruskan masalah ketika itu dengan belanja RM350 bilion telah dibentangkan di mana sebahagian dalam bentuk fiskal dan lainnya berupa bantuan institusi kewangan.

Terangnya, moratorium diberikan dan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) juga dibenarkan di samping lapan Pakej Rangsangan Ekonomi diadakan dalam menangani kos sara hidup rakyat.

Kata Muhyiddin, semua itu tidak dibuat sekadar memandai atau bicara di lidah, tetapi berdasarkan fakta dan kajian serta pertemuan dengan rakyat memahami masalah sedang mereka alami.

“Isu dan masalah mereka ialah kos sara hidup. Apa makna kos sara hidup? Kos harga bahan-bahan baik makanan, bukan makanan ataupun perkhidmatan dan sebagainya sudah naik,” ujarnya.

Beliau bersetuju bahawa keadaan tersebut juga disebabkan keadaan pasaran atau di dalam ekonomi wujudnya penawaran dan permintaan di mana menjadi peranan dan tanggungjawab kerajaan untuk menstabilkannya.

Tindakan-tindakan kerajaan ketika itu ujarnya, bagi memastikan masalah setiap keluarga diatasi dan supaya ada makanan secukupnya di meja mereka, termasuk menangani masalah ekonomi yang lebih besar.

Maklum beliau, Jawatankuasa Tindakan Ekonomi yang dibentuk ketika itu bersidang setiap minggu meneliti isu dan masalah dengan membawa penyelesaian untuk tindakan pelbagai kementerian dan agensi.

Namun kesali beliau, dalam keadaan kesan tersebut masih berlaku ke atas rakyat, Kerajaan Madani kini tidak membawa sebarang langkah jangka pendek atau sederhana mahupun panjang bagi pemulihan.

Bidasnya, walaupun sudah enam bulan memerintah, kerajaan hari ini terus membawa kebimbangan yang menjadikan keadaan negara semakin merosot dan kehidupan rakyat terus menderita.

“Rakyat tak boleh tahan hidup sebegini, daif dan seksa. Tak ada satu idea, (tapi) banyak sebut formula-formula. Formula tapi tak ada apa-apa. Bercakap selalu tapi lepas itu tak
laksanakan. Bohong seribu kali.

“Saya tak pernah tengok keadaan sebuah kerajaan di mana ramai pemimpin cakap tapi tak serupa bikin,” ujarnya mengimbas keadaan luar biasa dihadapi Kerajaan PN ketika menguruskan krisis dahulu berbanding tindakan ‘luar biasa’ kerajaan kini. – HARAKAHDAILY 11/6/2023


Komen Weblog Ibnu Hasyim: Man City takluk Eropah. M'SIA,  ekonomi Xpulih, k'jaan buat apa?

Ini, gelombang rakyat di Senawang menjalar ke Kota Bharu. Di Kota Bharu, malam tadi gelombang rakyat yang membadai di Senawang dalam misi menawan Negeri Sembilan malam ini pula menjalar ke Kota Bharu. 

Ribuan rakyat Kelantan memenuhi Dataran Warisan Stadium Sultan Muhammad IV biarpun hujan agak lebat menjelang Maghrib. Kehadiran begitu sendat tersebut disifatkan Ketua Pimpinan Bersatu Kelantan Dato Kamaruddin Mohd Nor sebagai peluang cerah untuk menang 45 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun).

Jom tinggalkan PMX Malaysia..

Kepada rakyat Malaysia, sebenarnya kebangkitan Islam di negara ini berada di hujung jari anda. Umat Islam wajib mempertahankan agamaNya dengan menentang kezaliman pemerintah puak anti Islam, yang ada di negara kita. 

Gunakan jari-jari anda untuk menukar kerajaan sekarang kepada kerajaan Islam, melalui peti undi.. Insya Allah!

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails