Penculikan warga Palestin dedah ancaman Mossad di Malaysia
MALAYSIA adalah antara negara Islam yang lantang menyokong perjuangan bangsa Palestin membebaskan diri daripada cengkaman penguasaan rejim Israel.
Pada dasarnya, Malaysia tidak mengadakan hubungan diplomasi dengan Israel sejak penubuhannya, sebaliknya Putrajaya bersetuju rancangan perdamaian berdasarkan Israel kembali ke garisan sempadan sebelum 1967 untuk menamatkan konflik, menjayakan rancangan dua negara, sekali gus mewujudkan keamanan di Asia Barat.
Malaysia juga menyokong Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kota Palestin merdeka, di samping sentiasa menyokong perjuangan Palestin pada forum antarabangsa tanpa membezakan fahaman politik bangsa Palestin antara kumpulan Fatah dan Hamas.
Fatah dan Hamas dilayan secara saksama kerajaan Malaysia, sungguhpun misi diplomasi rasmi di Malaysia berada di bawah kerajaan Fatah. Pengaruh Hamas di Malaysia meningkat sejak penubuhan pertubuhan itu pada 1980-an oleh gerakan persaudaraan Islam di Asia Barat.
Dalam pada itu, Malaysia diketahui memiliki kadar populasi Islam yang memberikan sokongan besar kepada gerakan persaudaraan Islam. Ini menyebabkan Malaysia menjadi destinasi utama dan selamat bagi pengikut Hamas, selain Turki, Iran, dan Qatar. Jumlah pelajar yang menuntut di Malaysia juga turut meningkat.
Namun, Malaysia tidak boleh melupakan peristiwa pembunuhan seorang pensyarah Palestin di Kuala Lumpur pada 2018. Peristiwa ini membabitkan seorang warga Palestin Gaza bernama Fadi Mohammed al-Batsh.
Individu ini adalah seorang jurutera elektrik, ditembak mati dua penunggang motosikal. Keluarga Fadi menuduh pembabitan pasukan perisikan Israel ditakuti, Mossad dalam pembunuhan ini.
Sementara itu, Hamas mengakui Fadi adalah anggota Hamas dan cawangan tentera Hamas menggelarnya komander. Menteri Pertahanan Israel pada ketika itu, Avigdor Lieberman menafikan pembabitan Israel dalam peristiwa ini, tetapi mengakui Fadi sebagai pereka sistem peluru berpandu Hamas.
Dalam kes penculikan pada 28 September lalu, warga Palestin Gaza diselamatkan pasukan polis di Selangor. Sekali lagi Mossad Israel dan ejennya di Malaysia disabitkan dalam peristiwa ini.
Media Malaysia khasnya akhbar The New Straits Times (NST) menyiarkan laporan bertajuk 'Mossad behind KL abduction menyebabkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) memanggil Pengarang Kumpulan NST, Farrah Naz Karim untuk soal siasat berhubung maklumat itu.
Dalam laporan berkaitan, dinyatakan satu kumpulan terdiri daripada 11 warga Malaysia termasuk seorang wanita direkrut Mossad dan diberi latihan di Eropah menculik warga Palestin Gaza.
Operasi itu membabitkan warga Palestin Gaza diketahui sebagai pengaturcara komputer, dipercayai mempunyai hubungan dengan Hamas.
Seorang lagi warga Palestin Gaza dapat menyelamatkan diri daripada penculik lalu menghubungi PDRM. Ini membawa kepada serbuan PDRM di sebuah chalet di Hulu Langat, sekali gus membebaskan warga Palestin Gaza terbabit.
Laporan NST juga menunjukkan lokasi di Hulu Langat yang mana warga Palestin Gaza dikurung, disoalsiasat Mossad melalui panggilan video dan didera ejen Mossad tempatan.
Warga Palestin Gaza terbabit dikenali sebagai Omar ZM Albelbaisy Raeda. Laporan NST juga menyatakan Omar disoal siasat mengenai pengalamannya dalam bidang komputer, kepakaran komputer Hamas dan anggota cabang militari al-Qassam.
Berita Israel Haaretz melaporkan Omar adalah pembina perisian Android di Gaza, berpindah ke Turkiye sebelum datang ke Malaysia.
Bagaimanapun, Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyatakan penyiasatan sedang dijalankan sama ada Mossad terbabit dalam kes penculikan ini atau sebaliknya.
Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, berkata Malaysia akan mengambil tindakan jika Mossad terbabit dalam kes penculikan itu. Namun, PDRM pula belum dapat menentukan dakwaan pembabitan Mossad dalam kes itu.
Dalam pada itu nama Malaysia kini dibabitkan secara terbuka dalam akhbar di Israel dan negara lain, sungguhpun siasatan masih berjalan dan kerajaan Malaysia belum lagi memberikan kepastian mengenai pembabitan Mossad dalam kes berkenaan.
Keselamatan nasional negara
Ada beberapa perkara merungkai fikiran demi keselamatan nasional negara. Pertama, peranan akhbar dalam menjaga keselamatan negara.
Wajarkah akhbar mendedahkan perkara berbahaya atau sensitif secara terbuka? Kebebasan kewartawanan adalah luas dalam era globalisasi dengan kemajuan sains dan teknologi. Lazimnya di Malaysia dan negara lain, kewartawanan dibelenggu beberapa sekatan atas faktor keselamatan negara.
Kedua, komitmen PDRM dalam menjalankan tugasan secara sulit tanpa mengganggu ketenteraman awam adalah penting. Media sosial termasuk akhbar perlu ada komunikasi dan kerjasama dalam pengendalian kes membabitkan keselamatan negara.
Ketiga, masyarakat harus berwaspada terhadap kes sensitif dan tidak mudah percaya kepada spekulasi tertentu sehingga ia boleh dipastikan sebagai sahih.
Keempat, sejauh mana kebenarannya kumpulan penculik tempatan itu ejen Mossad? Apa yang penting kita perlu tunggu siasatan disempurnakan PDRM dan KDN untuk membuat kesimpulan.
Kelima, gerakan masuk warga asing ke Malaysia tidak dapat dielakkan dalam era globalisasi ini. Pemalsuan dokumen perjalanan juga mampu dilakukan dengan mudah.
Justeru, menjadi tanggungjawab KDN untuk dalam menapis semua butiran pelawat asing ke negara kita demi menjamin keselamatan dan kedaulatan negara tidak diperkotak-katik dengan mudah.
Keenam, semua negara dunia perlu menghormati kedaulatan Malaysia. Malaysia tidak harus dijadikan medan pertaruhan konflik.
Walau apa pun cabarannya, Malaysia sentiasa berharap konflik Israel-Palestin dapat ditamatkan secara aman untuk mengasaskan keamanan hakiki di Asia Barat.
Ketujuh, tidak dinafikan Malaysia berdepan dilema dalam aspek keselamatan dalam peristiwa penculikan ini. Nasib Palestin adalah perkara keprihatinan kerajaan dalam dasar luar Malaysia, tetapi keselamatan nasional pula tidak boleh dikompromi.
Penulis adalah Pensyarah Kanan Jabatan Hubungan Antarabangsa, Keselamatan dan Undang-undang, Fakulti Pengajian Pertahanan dan Pengurusan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM)
Semua artikel penulis tamu adalah pendapat peribadi, bukan pendirian rasmi BH.
Komen Weblog Ibnu Hasyim: Ini, Mossad Israel buru HAMAS hingga ke M''sia, kita masih diam?
Lihat komen ini..
(i) Lihat, apakata HAMAS?
Tuduhan Media Israel Terhadap Malaysia Tidak Berasas - Hamas. Sabtu, 02 Ogos 2014 8:01 PM-M Star.
KUALA LUMPUR: Hamas menafi sekeras-kerasnya laporan media Israel bahawa anggotanya mendapat latihan mengenai cara melakukan serangan melalui payung terjun di Malaysia.
Katanya tuduhan tidak berasas itu direka perisik Israel untuk menjejaskan perpaduan dan sokongan masyarakat antarabangsa yang semakin meningkat terhadap rakyat Palestin yang sedang menghadapi jenayah perang dan pembunuhan beramai-ramai oleh regim Zionis.
"Israel mencipta tuduhan itu sebagai cubaan untuk mengalih perhatian daripada penyembelihan dan pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan tenteranya terhadap orang awam, kanak-kanak, wanita dan golongan tua di Palestin," kata Hamas melalui kenyataan yang tersiar dalam laman sesawang rasminya httP://bit.ly/1sekj3.
Kenyataan dalam bahasa Arab itu diterjemah ke bahasa Inggeris oleh Pertubuhan Kebudayaan Palestin Malaysia (PCOM).
Ketika mengulas laporan berita itu semalam, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Malaysia tidak pernah menjalin sebarang kerjasama ketenteraan dengan Hamas atau pihak lain di Palestin.
Dalam kenyataan pada Jumaat, beliau berkata Malaysia dan Palestin hanya menjalin hubungan dan kerjasama dalam bidang diplomatik, perdagangan dan kebudayaan.
"Malaysia juga memberi sokongan besar kepada rakyat Palestin dari segi moral dan melalui bantuan kemanusiaan. Rakyat Malaysia memberi sokongan padu berikutan hubungan yang terjalin sejak sekian lama antara pemimpin Malaysia dan Palestin.
"Inilah yang mungkin menyebabkan Israel tidak berpuas hati," katanya.
Akhbar dalam talian The Jerusalem Post baru-baru ini memetik seorang anggota Hamas yang ditahan sebagai berkata Malaysia menjadi tempat latihan bagi anggota pasukan itu untuk melakukan penyeludupan dan serangan dari sempadan dengan menggunakan payung terjun.
Laporan itu juga memetik tahanan yang didakwa sebagai anggota Hamas itu memberitahu Agensi Keselamatan Israel (Shin Bet) bahawa mereka juga mengikuti latihan tentang cara menculik anggota tentera sebagai persiapan untuk menentang Pasukan Pertahanan Israel (IDF) di Gaza. (MStar)
(ii) Memang tuduhan media Israel terhadap M'sia tak berasas. Apa yang patut kita rakyat M'sia buat sekuangg-kurangnya?
KINI, kempen memulaukan barangan Israel dan negara yang membantu Israel sedang giat dilakukan. Hal ini disebabkan Israel sedang membunuh umat Islam di Palestin dengan melampaui batas sifat kemanusiaan dan undang-undang antarabangsa yang dipersetujui oleh semua negara dan mereka yang berperikemanusiaan.
Amerika Syarikat, Britain, dan beberapa negara sekutu mereka mengisytiharkan sokongan sepenuhnya kepada Israel. Sokongan itu termasuklah melalui pemberian senjata dan harta oleh pemimpin dan syarikat perniagaan Yahudi dan bukan Yahudi yang tergolong dalam pertubuhan Zionis.
Pemulauan barangan mereka ialah salah satu jihad dalam aspek ekonomi dan menentang pencerobohan.
Ikutilah seterusnya 'Isu memulaukan barangan Israel dan penyokongnya', oleh Presiden PAS ABDUL HADI AWANG, bertarikh: 12 Jumada al-Ula 1445 / 26 November 2023 – HARAKAHDAILY 26/11/2023.
Akhirnya, di M'sia, hanya tinggal pemimpin-pemimpin ekstrem mentadbir negara seperti DAP-madani yang masih bodoh sombong, degil tak mahu mengikut perkembangan keadilan dan kemanusiaan sejagat.
Sekian.
Kesimpulan:
Terima kasih tuan-tuan pengundi. Tuan telah menggunakan tugas tuan sebaik-sebaiknya, bila menyokong perjuangan parti Islam/PN dan rakan-rakan. Umat Islam wajib mempertahankan agamaNya dengan menentang kezaliman pemerintah puak anti Islam.
Namun, hak orang bukan Islam di negara ini pun wajib dilindungi oleh kerajaan Islam yang memerintah. Sila lihat peraturan dan hukum 'Hak orang bukan Islam dalam negara Islam' yang sebenar. Lihat negeri Kelantan sebagai contoh awalnya.
Terima kasih juga kepada kawan-kawan kita yang bukan dan belum Islam.
Sekian. Wassalam.
Maaf zahir batin, dari rakan Islammu Ibnu Hasyim.
Ikutilah siri keganasan Israel di Palestin, tanda hayatnya sudah dekat..
No comments:
Post a Comment